Isnin, 9 Jun 2014

AKU DI HATIMU - BAB 8






Kiera sedang bersendirian di ruangan yang sederhana besar itu. Matanya memerhati ke setiap sudut. Tiada apa yang mampu menarik perhatian. Sejuk penghawa dingin yang terpasang seolah-olah meresap ke segenap anggota tubuhnya lalu memberikan kedinginan yang tidak terhingga.
            
Sudah lebih setengah jam Badri meninggalkan ruangan itu untuk menghadiri mesyuarat bersama rakan sekerjanya. Kiera diarahkan untuk tidak keluar ke mana-mana selagi Badri belum selesai segala urusan. Jika Kiera ingkar, Badri tidak akan teragak-agak buat laporan lagi kepada Rashidi tentang jenayah yang dia lakukan hari itu.
            
Kiera mengeluh. Ini pertama kalinya Kiera melihat Badri betul-betul mengamuk macam orang gila di Mid Valley tadi. Sekarang, Badri bertindak mengurungnya di bilik pejabat itu. Bukankah itu satu petanda bahawa Badri sudah nekad untuk melakukan sesuatu yang Kiera sendiri tidak tahu? Kiera mengeluh lagi sambil berpeluk tubuh. Tidak tahu apa yang harus dilakukan saat itu.
            
Kiera mengeluarkan Iphone dari dalam beg tangannya. Dia sudah berjanji untuk menghubungi Fazrin jika keadaan mengizinkan. Pada masa yang sama, dia turut rasa bersalah terhadap Zaff kerana tidak semena-mena lelaki itu menjadi mangsa kutukan Badri yang kadang-kadang tidak berfikir dengan waras. Hentam keromo aje nak marah-marahkan orang!
            
“Hello, Kiera! Kau okay?” Fazrin memulakan perbualan sebaik panggilan Kiera disambut. Suaranya kedengaran cemas di hujung talian.
            
“Aku okay ajelah! Yang kau nak gabra semacam ni apasal?” Kiera ketawa kecil. Kerisauan sahabatnya itu ada kalanya tidak bertempat. Tetapi, sejujurnya Kiera berasa sangat beruntung kerana memilik Fazrin sebagai teman di kala susah mahupun senang. Walaupun kadang-kadang otak si Fazrin tu senget campur mereng sikit, itulah yang menjadi hiburan Kiera setiap kali mereka bersama.
            
“Baguslah kalau kau okay. Kau jangan tipu aku tau?”
            
Kiera tersenyum. Fazrinlah satu-satunya sahabat yang sangat prihatin setiap kali dia dilanda musibah selain Hana. Kalau Kiera dalam situasi kurang senang, Fazrin pun tidak akan duduk diam.
            
“Betul, aku okay aje...” balas Kiera lagi demi meyakinkan Fazrin.
            
“Habis, kau kat mana sekarang? Kat rumah? Kalau macam tu aku pergi rumah kau sekaranglah,” ucap Fazrin terburu-buru.
            
“Eh, eh... tak payahlah. Aku sekarang ni dekat pejabat si remote control tu.”
            
“Eh, apasal kau kat sana pula?” Fazrin hairan.
            
“Adalah perhitungan yang dia nak buat dengan aku,” jawab Kiera ringkas. Dia tahu, kalau diterangkan panjang lebar dengan Fazrin, gadis itu tidak akan faham. Malah makin berserabut otak si Fazrin tu dibuatnya.
            
“Macam-macamlah si Badri tu. Aku nak nasihatkan kau, kali ni kau turutkan aje dulu apa kata Badri, nanti bila keadaan dah tenang, kau nak buat apa pun ikut suka kaulah. Aku tengok si Badri tu bila marah, macam-macam benda dia boleh buat,” nasihat Fazrin.
            
“Hmm, kau jangan risau ya? Tahulah aku nak buat macam mana. Cuma sekarang ni, aku rasa bersalah sangat pada Zaff. Kesian dia, tak pasal-pasal pula kena tempik dengan Badri,” luah Kiera sambil membayangkan wajah Zaff sewaktu kejadian awal tengah hari tadi. Lelaki itu hanya mampu mendiamkan diri apabila Badri menuduh yang bukan-bukan. Keterlanjuran Badri berkata-kata disesali dalam hati. Dia juga tidak mampu mempertahankan Zaff dengan sebaiknya.
            
“Itu kau jangan risau. Aku dah tolong jelaskan semuanya pada Zaff masa dia hantar aku balik tadi,” ucap Fazrin.
            
“Thanks, Rin!”
            
Ketika itu juga pandangan Kiera terpaku pada sebatang tubuh yang sedang berjalan menghampiri pejabat itu. Lewat dinding kaca yang jernih, Kiera dapat melihat wajah tegang Badri.
            
“Kiera, kenapa kau diam ni?” suara Fazrin masih kedengaran di hujung talian.
            
“Eh, Rin! I got to go. Remote control dah sampai,” Kiera segera mematikan talian sewaktu Badri masuk ke dalam pejabat.
            
You borak dengan siapa?” soal Badri sambil melabuhkan punggungnya di tepi meja kerja. Dia dapat melihat wajah Kiera yang sedikit kalut sewaktu dia tiba di ruangan itu tadi. Dia juga perasan yang Kiera sedang bercakap dengan seseorang di talian sebentar tadi.
            
Nobody...” Kiera berdalih. ‘Mata si Badri ni macam helang! Nampak aje aku buat semua benda. Nak cari kesalahan akulah tu,’ omel Kiera dalam hati sambil matanya merenung Badri.
            
Lelaki itu tersenyum tawar lalu bingkas ke tempat duduknya di belakang meja kerja. Mata lelaki itu juga masih tidak putus-putus memandang Kiera yang cuba berlagak tenang dalam situasi yang agak tegang itu. Tiba-tiba pula Kiera rasa tidak selesa dengan tingkah Badri itu. ‘Kalau dia nak buat apa-apa yang tak senonoh dengan aku lepas ni, aku buka silat tendang kuda, biar dia tahu aku ni bukan calang-calang perempuan!’ Kiera terus berleter sambil pandangannya tidak berkalih melihat Badri.
            
You masih nak berdalih lagi dalam situasi macam ni?” ucap Badri dengan muka bersahaja.
            
Kiera diam. Nasihat Fazrin berlegar-legar dalam fikirannya saat itu. Wajah Rashidi turut datang silih berganti. Tiba-tiba saja Kiera rasa cuak. Kalau Rashidi tahu yang dia sudah buat Badri mengamuk macam beruang kutub yang kebuluran hari ini, pasti Rashidi dua kali ganda lebih marahkan dia.
            
“Kenapa you tiba-tiba diam pula ni? Dah bisu? Tadi, bukan main you bercakap semata-mata nak mempertahankan mamat tu,” sindiran Badri ibarat pedang tajam yang sedang merobek hati Kiera saat mendengarnya.
            
“Kalau I cakap pun, bukannya you nak dengar. Asyik you aje yang betul!” Kiera menarik muka dan berpeluk tubuh.
            
Badri tersenyum sinis. “Dah benda tu berlaku depan mata I, you tak payah nak berdolak-dalih lagi. I percaya dengan apa yang mata I ni tengok,” Badri tetap dengan pendiriannya. Sedikit pun dia tidak mahu mempercayai sama ada Kiera mahupun Fazrin. Dia sudah banyak kali terkena dengan rencana dua sahabat sejati itu.
            
I dah malas nak bercakap tentang perkara ni. Sekarang I nak you hantar I balik. Bosanlah duduk office you ni,” ujar Kiera kemudian.
            
Balik dari Mid Valley tadi, Badri terus memandu ke Permata Vista bersama Kiera. Gadis itu tidak berani membantah banyak tatkala melihat ketegangan pada wajah Badri saat itu. Keretanya juga terpaksa ditinggalkan di kawasan parkir kerana terpaksa mengikut Badri.

Kiera tidak tahu tujuan sebenar lelaki itu membawanya ke pejabat. Pada awalnya Kiera khuatir sekiranya Badri melaporkan kejadian hari itu kepada Rashidi sewaktu mereka tiba di Permata Vista. Namun, andaian Kiera salah.
            
I takkan hantar you balik sampai kerja-kerja I dekat pejabat ni selesai,” balas Badri lalu mencapai sebuah fail dari rak di sisi meja kerja.
            
“Habis? I nak buat apa kat sini?”
            
You temankan I buat kerja,” Badri tersenyum. Kemudian dia terus menyelak helaian kertas di dalam fail tanpa mengendahkan Kiera yang sudah buat muka merajuk.

Seperti yang telah direncanakan, Badri tidak akan melibatkan Rashidi lagi dalam perkara berkaitan Kiera. Selepas ini, dia akan mengambil keputusan sendiri selagi hal itu masih berada dalam kawalannya. Jika terdesak juga, barulah dia akan melibatkan Rashidi.
            
“Kalau you nak I rahsiakan perkara tadi dari pengetahuan ayah, lebih baik you duduk diam dan ikut aje kehendak I,” Badri bersuara lagi apabila melihat Kiera bagai orang berdiri salah, duduk pun tidak senang. Dia memang senang hati apabila dapat mengusik Kiera dengan ugutan sedemikian.


***


Kiera memerhati ke sekeliling kawasan Lake Gardens yang hijau dan mendamaikan itu. Dari tempat dia berdiri, Kiera dapat menyaksikan sekumpulan itik sedang berenang-renang di dalam tasik.
            
Saat itu Badri hanya melihat dari jauh kelibat Kiera yang sedang berdiri di atas jambatan. Badri tersenyum sambil dalam hati Badri merasakan betapa bertuahnya dia kerana mampu memiliki gadis secantik Kiera sebagai bakal isterinya dalam sedikit waktu saja lagi.
            
Badri membawa haluan ke arah Kiera. Kelihatan gadis itu masih berteleku di situ sambil merenung ke tasik yang menghijau. Selesai saja urusannya di pejabat jam 5.00 petang tadi, Badri membawa Kiera ke situ. Dia berniat hendak meluangkan sedikit masa bersama Kiera memandangkan sudah dua hari mereka tidak bersua.
            
You suka tempat ni?” soal Badri sebaik sahaja Kiera menyedari kehadirannya di situ.
            
“Hmm, not bad! Kenapa you bawa I ke sini? Bukan tadi you janji nak hantar I balik?” Kiera meminta penjelasan atas tindakan lelaki itu. Dia tidak mengerti kenapa Badri tiba-tiba berubah sikap. Selalunya, lelaki itu akan angin satu badan sepanjang hari kalau Kiera buat hal. Berbeza pula hari ini, angin dalam badan Badri tak cukup barangkali.

Sewaktu di pejabat tadi, sempat Kiera melelapkan mata di sofa gara-gara terlalu bosan menemani Badri yang sibuk dengan kerja-kerja pejabatnya. Petang itu, bukannya Badri menunaikan janji, malah membawanya ke tempat itu pula. Apa niat si remote control ini sebenarnya?

I nak luangkan masa dengan you. Lagipun, kita jarang keluar berdua dalam suasana tenang macam ni. Kalau keluar pun asyik nak bertegang lidah aje,” luah Badri sambil mengimbas kembali pertemuan-pertemuan mereka sebelum ini, selalu macam anjing dengan kucing. Pantang berjumpa, pasti ada saja yang tidak kena.

Kiera mengeluh. Dia tidak membalas kata-kata Badri malah bebola matanya terus memerhati itik-itik di tasik itu yang sedang berenang ke hulu ke hilir. Alangkah bahagianya kalau Kiera boleh bebas seperti itik-itik itu. Ke mana saja pergi, boleh bawa haluan sendiri tanpa ada paksaan dari mana-mana pihak.

“Kenapa you suka protes I, Kiera?” Tiba-tiba Badri bertanya. Dia benar-benar ingin tahu alasan Kiera sering bersikap dingin terhadap dirinya sepanjang mereka disatukan dengan ikatan pertunangan. Selama ini Badri tidak pernah berbual tentang perkara itu dan dia juga tidak ingin tahu.

I tak suka cara dan sikap you,” Kiera berterus terang. Pandangannya masih tidak berkalih, terus memandang ke tengah tasik.

“Kenapa?” Badri inginkan lebih penjelasan daripada Kiera.

Kiera berpaling menghadap Badri. Lelaki di sisinya itu kelihatan tenang, berbeza sekali dengan mimik muka Badri sewaktu dia marah-marah tengah hari tadi. “Sepatutnya I yang tanya soalan tu pada you, Badri...” ucap Kiera dengan nada perlahan. Kali ini dia merenung Badri. “Kenapa you suka paksa-paksa I ikut semua kehendak you?”

“Kiera... I sayangkan you. Bukan I saja-saja nak paksa you buat itu buat ini,” Badri membuat pengakuan tentang perasaannya terhadap Kiera.

Kiera masih berlagak tenang. Ternyata kata-kata Badri tidak terkesan langsung di hatinya. Bagi Kiera, Badri tetap mahu mengawal kehidupannya sebelum dan selepas berkahwin nanti. Kiera menganggap kasih sayang Badri itu tiada jaminan kebahagiaan buat dirinya selagi Badri tidak mahu mengubah sikap.

“Kalau betul you sayangkan I, you takkan paksa I ikut cakap you. You akan bagi I buat keputusan sendiri,” jelas Kiera selanjutnya dengan harapan Badri akan mengerti maksud hatinya yang sedang tersiksa oleh tindakan Badri dan juga Rashidi. Dia mahu Badri tahu bahawa dia memerlukan kebebasan seperti gadis-gadis lain yang sedang berbahagia dengan pilihan hati sendiri.

“Kalau I bagi you buat keputusan, alamatnya hancurlah impian I dan juga ayah you selama ni,” Badri mendongak ke langit yang sedikit mendung. Cahaya mentari petang telah dilitupi awan putih. Cuma bilah-bilahnya saja yang kelihatan memancar menembusi di celah-celah yang tidak tertutup.

Kiera melihat Badri sejenak. Lelaki itu langsung tidak memikirkan soal hatinya yang sedang terguris. Perkara yang lebih penting buat Badri hanyalah impian yang dinyatakan tadi. “I tak faham kenapa ayah nak sangat you jadi menantu dia,” ujar Kiera.

“Sebab I ni menantu kesayangan, boleh diharap dan sentiasa menjadi menantu kepercayaan ayah untuk menjaga you sampai bila-bila,” Badri menjawab dengan senang hati. Senyuman lebar dihadiahkan kepada Kiera.

Kiera mencebik. Badri memang suka masuk bakul angkat sendiri! ‘Menyesal pula aku tanya, buat sakit hati aje,’ Kiera mengomel dalam hati. Dia segera berlalu menuruni jambatan putih itu dan melangkah di sepanjang jalan yang mengelilingi tasik tanpa menghiraukan Badri.

Badri tersengih-sengih sendiri ketika menyaksikan air muka Kiera tadi. Dia segera membuntuti Kiera sambil mengenangkan kata-katanya tadi. Kepercayaan yang diberikan oleh Rashidi tidak pernah disia-siakan. Malah, Badri menyambut dengan senang hati keputusan Rashidi untuk menyatukan dia dengan Kiera.

You tak patut pertikaikan pilihan ayah you ni, semua ayah di dunia ni menginginkan yang terbaik untuk anak dia, begitu juga dengan ayah you...” ujar Badri lagi sambil berusaha menyaingi langkah Kiera. Entah kenapa hari itu hatinya cukup senang mengusik gadis itu dengan kata-kata.

“Masalahnya pilihan ayah salah,” Kiera menjawab.

“Apa masalahnya dengan I?”

“Banyak!” Kiera memaku kaki. Dituruti juga oleh Badri. “Dan I tak suka semua tentang you,” tambah Kiera lagi.

Kiera terus melangkah. Badri mengekori lagi. Sesiapa saja yang menyaksikan tingkah Kiera dengan Badri ketika itu pasti menganggap bahawa mereka sedang melakonkan aksi dalam sebuah drama Melayu di mana Hero mengejar Heroinnya untuk mendapatkan penjelasan. Ah, kenapa pula si Badri ni nak jadi Hero dalam kisah hidup aku? Kalau boleh buat undian pelakon, nak aje aku gantikan si Badri ni dengan Aaron Aziz yang asli. Tak adalah aku nak lari-lari macam ni.

“Teruk sangat ke I ni?” Badri mahukan pencerahan tentang sikapnya yang Kiera tidak suka.

You tanyalah diri you sendiri.”

“Hmm, okay! I akan buktikan pada you yang I ni tak adalah teruk sangat...”

Kiera menghentikan langkah sekali lagi. Wajah Badri diteliti membuatkan pandangan lelaki itu turut terpaku pada wajah Kiera yang putih gebu. ‘Nak aje aku cekik-cekik mamat ni sekarang juga,’ Kiera berfikir. ‘Atau aku tunjal-tunjalkan aje kepala dia ni?’

“Kenapa? Dah jatuh hati ke?” tanya Badri sambil senyum kambing depan Kiera.

“Perasan!” Kiera segera mengalihkan pandangan sebelum Badri berangan lebih jauh. Dia ingin lari dari keadaan yang merimaskan itu.






0 Curahan Hati: