Sabtu, 14 Jun 2014

AKU DI HATIMU - BAB 9






Hana menolak daun pintu kamar Kiera yang sedikit terkuak dengan perlahan. Dia menjengulkan kepala di celah ruang yang sudah terbuka. Kelihatan adiknya itu sedang bersantai di atas katil sambil menghadap komputer riba. Tidak lain dan tidak bukan, pasti Kiera sedang khusyuk menonton Running Man, Rancangan TV Korea kesukaannya.
            
Jam 6.00 petang tadi, dia mendapati Kiera tiba bersama Badri. Dari jendela biliknya yang menghadap kawasan perkarangan rumah, Hana dapat melihat dengan jelas kereta Badri terparkir depan pagar rumah dan Kiera turun dari kereta itu. Wajah Kiera kelihatan sugul.
            
Setahu Hana, awal pagi tadi Kiera memandu sendiri untuk berjumpa Fazrin. Kenapa pula Kiera pulang bersama Badri? Di mana gadis muda itu meninggalkan Honda Civic miliknya? Hati Hana bagai tidak senang selagi belum mendengar sendiri dari mulut Kiera tentang isu hangat yang mungkin menjadi berita utama hari itu.
           
“Akak!” Kiera memanggil.
            
Hana tersentak. Rupa-rupanya Kiera sudah tahu tentang kehadirannya.
            
“Kenapa tercegat kat belakang pintu tu? Masuklah,” pelawa Kiera. Semasa Hana menolak pintu biliknya tadi, Kiera sebenarnya sudah perasan akan kehadiran Hana di situ.
            
Hana tersenyum seraya menghampiri Kiera. Dia duduk di birai katil. Wajah Kiera dipandang. Adiknya itu masih khusyuk menghadap komputer riba. “Kau tengok apa tu?” tanya Hana sambil menilik ke skrin komputer riba Kiera yang hanya menggunakan power save mode.
            
Kiera segera menanggalkan headphone yang melekap di kedua telinganya. Wajah Hana dipandang. “Akak tanya apa tadi?” Kiera menyoal kembali. Namun Hana sudah mendapat jawapan bagi persoalannya apabila terlihat wajah Song Ji Hyo dan Kang Gary sedang terpampang di skrin laptop. Adiknya yang meminati ‘Monday Couple’ itu sering bercerita kepada Hana tentang keromantisan pasangan itu.
            
“Tak ada apa-apalah,” balas Hana lalu tersenyum memandang Kiera yang sudah mengalihkan tumpuan kepadanya.
            
Kiera menekan punat pause pada papan kekunci untuk menghentikan seketika tumpuannya terhadap skrin komputer riba. Kini perhatiannya diberikan kepada Hana seratus peratus.
            
“Kenapa akak pandang Kiera macam tu?” soal Kiera setelah mendapati pandangan yang dihadiahkan Hana kepadanya tampak begitu asing.
            
“Hmm, akak nak tanya kau.”
            
“Apa dia?”
            
“Kereta kau mana? Akak tengok tadi kau balik dengan Badri,” Hana mula menyoal siasat. Dia tidak mahu ada satu pun maklumat yang terlepas dari rekod simpanannya.
            
“Nanti Badri hantarlah tu, kak...” jawab Kiera bersahaja.

Dia baru teringat yang keretanya kini tersadai di kawasan parkir Pusat Beli Belah Mid Valley gara-gara Badri yang memaksanya menaiki kereta lelaki itu awal tengah hari tadi. Badri berjanji akan mengambil dan menghantar kereta itu ke rumah.

“Kenapa pula macam tu? Apa yang jadi?” perasaan ingin tahu Hana semakin menebal. Seperti yang diduga, tekaannya tidak pernah salah.
           
“Kiera terkantoi dengan Badri masa jalan-jalan dengan kawan lelaki Kiera tadi,” Kiera tidak teragak-agak untuk berterus terang. Kalau dengan Hana, dia malas hendak berselindung. Lambat-laun Hana akan tahu juga perkara sebenar. Maklumlah, kakaknya itu ahli nujum termasyhur setelah berguru dengan ahli nujum dari zaman Tan Sri P.Ramlee dulu.
            
“Kiera kata nak keluar dengan Rin, kenapa boleh ada kawan lelaki pula? Dari mana datangnya tu?” Hana terus merangka satu demi satu soalan kepada Kiera. Nampak gayanya, cerita itu semakin menarik untuk dijadikan halwa telinga.
            
“Amboi, akak ni bukan main lagi ya? Kalau bab-bab nak soal siasat orang, nombor satu!” Kiera mengangkat jari telunjuknya di depan mata Hana.
            
Hana ketawa lalu menggenggam jari telunjuk adiknya itu. Dia mengerutkan hidung sambil berkata, “Cerita terhangat di pasaran, takkan tak nak kongsi dengan akak? Janganlah jadi tangkai jering sangat!”
            
Giliran Kiera pula tertawa melihat wajah Hana yang dibuat-buat. Seperti yang dijangka, berahsia dengan Hana bukanlah pilihan yang tepat. Hana itu boleh menghidu apa saja perkara yang tidak kena.
            
“Cerita dia macam ni... Akak kenal Zaff kan?” Kiera memulakan cerita.
            
“Zaff mana pula ni?”
            
“Zaff Hazril, kawan sekolah Kiera dulu...” Kiera merenung Hana. Namun, wajah Hana kelihatan buntu. “Alah, akak ni... Zaff yang kaki buli dulu tu,” jelas Kiera lagi supaya Hana dapat membayangkan wajah Zaff Hazril yang dimaksudkan. Tidak mungkin pula kakaknya itu cepat lupa tentang sejarah hitam antara dia dan Zaff yang cukup terkenal dengan gelaran kaki buli suatu ketika dulu.
            
“Oh, gangster sekolah yang pernah masukkan kotak rokok dalam beg sekolah Kiera?” Hana ingin memastikan.

Tiada lagi bayangan kaki buli lain selain budak lelaki itu dalam fikiran Hana. Dia terkenang akan peristiwa sewaktu Kiera dirotan guru disiplin atas tuduhan membawa kotak rokok ke sekolah. Gara-gara budak bernama Zaff Hazril itulah! Ketika itu, Hana dan Badri baru tamat sekolah. Jadi, mereka tidak tahu banyak tentang latar belakang budak lelaki itu. Sekadar mendengar cerita dari mulut Kiera saja tentang kenakalan Zaff di sekolah.

“Ingat pun! Tadi Kiera dengan Rin terjumpa dia kat Mid Valley. Jadi, kita orang keluar sama-sama. Entah dari mana si Badri tu muncul, tiba-tiba serang Kiera dengan Zaff depan orang ramai. Malu, tahu tak?” Kiera memegang kedua-dua pipinya sebagai isyarat malu dengan tindakan Badri.

“Ni dikira kes salah fahamlah kan?”

“Yalah! Dia tak double check dulu. Tiba-tiba aje nak mengamuk,” luah Kiera geram.

“Hmm, ayah tahu tak kes kau ni?”

“Mampuslah kalau ayah tahu, kak...” bisik Kiera seraya memandang ke pintu yang terkuak separuh ketika Hana masuk tadi. Dia khuatir kalau Rashidi mengintai di celah-celah pintu ataupun terdengar perbualan sulit kerajaan adik-beradik itu.

“Kiera rasa Badri dah berhenti buat laporan pada big boss kita tu,” ucap Kiera separuh berbisik. “Dua hari lepas, Kiera buat hal kat butik pengantin, tak ada pula dengar ayah bercerita pasal tu. Hari ini, Badri heret Kiera ke pejabat, ingatkan dia nak bawa Kiera bersemuka dengan ayah, tapi tak ada pula. Dia sendiri yang bercakap dengan Kiera...” cerita Kiera dengan panjang lebar. Dia merasakan sikap Badri yang suka buat laporan itu mula berubah.

“Kiera ni suka sangat buat hal tau,” ucap Hana lalu mencubit lengan adiknya itu. Ada waktunya Hana tidak setuju dengan tindakan Kiera. Adiknya itu juga perlu diberi pengajaran supaya tidak selalu bikin masalah dengan bakal suaminya itu.

Kiera tersentak dengan cubitan Hana. Dia menarik lengan lalu mengurutnya perlahan-lahan. “Kiera bukannya apa, Kiera cuma nak tunjuk yang Kiera tak suka Badri,” gumam Kiera.

“Nanti tak pasal-pasal ayah dapat tahu semua masalah ni, Kiera juga yang merana terpaksa menanggung hukuman dari ayah. Si Badri pula boleh duduk senang-lenang...” luah Hana mengenangkan nasib Kiera yang selalu menjadi mangsa keadaan.

Kiera terdiam. Kata-kata Hana terus bermain di benaknya. Dia sudah lama tahu bahawa Badri memang seorang lelaki yang mementingkan diri. Jarang sekali memikirkan dirinya yang akan menerima kesan setiap kali Badri berurusan dengan Rashidi berkenaan sikapnya. Kalau ada pun Badri membela Kiera, alih-alih lelaki itu mahukan ganjaran sebagai ganti.

“Dah kenapa pula kau diam ni? Terkena sampuk?” Hana mematikan lamunan Kiera.

“Tak ada apa-apalah, kak. Kiera malas nak fikir soal Badri ni. Layan Running Man lagi bagus,” ucap Kiera kemudian, ingin menutup topik tentang lelaki itu. Semakin diingat semakin menyakitkan.

Hana sekadar menggelengkan kepala. Sebagai seorang kakak yang sudah hidup lama dengan Kiera, dia cukup kenal akan sikap Kiera, seorang gadis yang sentiasa memandang ringan terhadap sesuatu perkara. Selagi masalah itu tidak merenggut kebahagiaannya, selagi itulah Kiera tidak mahu ambil pusing walau sedikit pun. Adiknya itu lebih senang menghiburkan diri daripada memikirkan masalah-masalah yang remeh.

“Ayah dah balik ke?” soal Kiera sebaik bayangan Rashidi terlintas dalam fikirannya. Sejak dia sampai tadi, bayang Rashidi tidak kelihatan. Sepatutnya, waktu-waktu begini Rashidi sudah balik dari pejabat.

“Ayah beritahu akak dia balik lewat sikit sebab ada majlis makan-makan kat hotel,” jelas Hana. Sebelum ke bilik Kiera tadi, dia menerima panggilan daripada Rashidi yang memaklumkan tentang kelewatan itu.

Kiera mengangguk lalu melekapkan semula headphone ke telinga. Kemudian dia mencapai komputer riba lalu diletakkan di pangkuannya. Ketika itu, Hana memberikan isyarat tangan untuk mempamitkan diri. Dia mengangguk lagi sambil menghantar tubuh Hana keluar dari bilik itu dengan pandangan mata. Kemudian, dia meletakkan kembali penglihatannya pada skrin komputer. Rancangan Running Man belum habis ditonton sewaktu Hana masuk tadi. Jadi, dia ingin menyambung semula gelak tawa bersama karakter-karakter yang mencuit hati itu.


***


Tumpuan Kiera terganggu sebaik deringan telefon bimbitnya menjengah telinga. Ketika itu dia sedang sibuk menelaah cerpen tulisannya untuk disunting memandangkan tugasannya yang satu itu belum terusik lagi. Skrin telefon ditilik. Keluhan terus hinggap dibibir.
            
“Nak apa?” Kiera menyahut sapaan lelaki itu.
            
“Buat-buat lupa pula. I hantar kereta you,” jawab Badri.
            
“Habis tu?”
            
You jangan buat drama Melayu. Cepat turun! I sekarang kat depan rumah you ni,”
            
“Yalah! You tunggu situ, jangan masuk rumah!” ucap Kiera sambil buat peringatan kepada Badri. Dia tidak peduli kalau Badri bengang dengan kata-kata itu. Maklum juga yang dia memang suka mengacah-acah si Badri dengan kata-kata seperti itu supaya hatinya puas. Dia segera mematikan talian.
           
‘Nak ganjaran dialah tu. Menyampah!’ getus Kiera.
            
Dia mengeluh seraya memandang skrin laptopnya. Kerjanya bakal terbengkalai lagi. Tanpa banyak fikir, dia bingkas dan segera berlalu ke tingkat bawah rumah. Ketika itu dia melihat Hana sedang mengintai di celah jendela. Hana berpaling sebaik Kiera mendekati.
            
“Akak nampak satu lembaga paling digeruni kat luar tu,” ujar Hana sambil membeliakkan biji mata.
            
Kiera pelik.
            
“Ish, akak ni! Itu Badrilah!” tegah Kiera. Hana pasti sedang memaksudkan Badri sebagai lembaga itu.
            
Hana ketawa. Dia tahu Badri baru tiba sewaktu terdengar bunyi enjin kereta memasuki perkarangan rumah sebentar tadi. Dia segera menghendap dari ruang tamu itu melalui celah jendela yang terkuak kecil. Dari situ dia dapat melihat dua orang lelaki keluar dari kereta yang berbeza. Salah seorangnya Badri.
            
“Akak tahu. Saja nak mengusik kau! Kau kan gerun dengan si Badri tu,” Hana terus tertawa apabila melihat Kiera buat-buat muka menyampah dengan statement pedasnya itu.
            
“Eh, tak ada masa nak gerun dengan si remote control tu!” ucap Kiera mempertahankan dirinya dari terus menjadi bahan usikan Hana. Kalau diusik dengan Badri, Kiera memang mudah terasa hati. Sensitif kalau dirinya diganding-gandingkan mahupun dilagakan dengan lelaki bernama Badri Hazmi. Kalau dengan lelaki lain, dia masih boleh tahan lagi.
            
Kiera terus menjenguk ke luar. Dengan hanya bersuluhkan cahaya lampu di halaman rumah, Kiera dapat melihat tubuh Badri sedang bersandar pada kereta miliknya sambil berpeluk tubuh. Ketika itu, Badri dilihat sedang berbual-bual dengan seorang lelaki yang tidak dikenali.
            
“Kenapa lagi tercegat kat sini? Pergilah jumpa tunang tersayang tu,” Hana tidak henti-henti mengusik. Sedari tadi dia hanya jadi pemerhati tingkah Kiera yang masih teragak-agak hendak bersemuka dengan Badri.
            
“Kiera rasa nak jahit aje mulut akak ni dengan tali kapal,” bisik Kiera sambil bercekak pinggang menghadap Hana yang tidak putus-putus ketawa. Mujur Badri tidak tahu yang Kiera dan Hana sedang bersembunyi di belakang pintu sambil memerhatikan lelaki itu.
            
Tanpa menghiraukan Hana di sisi, Kiera segera berlalu mendapatkan Badri yang mungkin mengamuk kalau Kiera melambat-lambatkan pertemuan mereka malam itu. Saat itu juga Badri melemparkan senyuman kepada Kiera yang sedang menghampirinya.
            
“Hah, Tajul! Inilah bakal isteri aku,” ujar Badri kepada lelaki di sisinya.
            
Kiera sekadar tersenyum. Dia sedikit janggal dengan kehadiran lelaki yang hanya dikenali dengan nama Tajul itu. Sebelum ini Badri tidak pernah lagi memperkenalkannya kepada mana-mana kawan lelaki itu. Mungkin juga Badri tidak pernah berkesempatan untuk melakukan perkara itu kerana mereka asyik berkrisis.
            
“Oh, not bad juga pilihan kau ni, Bad! Cantik...” lelaki itu tersenyum. Pandangannya direbahkan ke muka Kiera.
            
Badri ketawa.

“Eh, Kiera! Ini Tajul, cousin I. Dia baru sampai dari Australia,” ujar Badri kemudian.
           
Nice to meet you, Kiera...” ucap Tajul seraya menghulurkan tangan. Gadis di depan mata itu ternyata memikat hatinya.
            
Kiera tersenyum. Huluran tangan Tajul tidak disambut. Dia sekadar menundukkan kepala sebagai menghormati perkenalan mereka malam itu. Sejujurnya Kiera tidak selesa dengan pandangan Tajul. Renungan lelaki itu seakan-akan membawa makna tersirat yang sukar ditafsir dengan pandangan mata kasar.
            
“Ini kunci kereta you,” Badri menyerahkan kunci kereta yang diambil dari dalam kocek seluarnya tadi kepada pemilik asalnya. Dia telah menyelesaikan tugasnya yang satu itu kepada Kiera seperti yang telah dijanjikan siang tadi.
            
Kiera menyambut huluran Badri dengan wajah bersahaja. Dia tidak tahu sama ada perlu berterima kasih ataupun tidak atas jasa lelaki itu. Kiera terdiam. Matanya merenung Badri yang sedang tersenyum.
            
“Terima kasihnya mana?” Badri mengada-ngada.
            
Thank you!” Kiera menjeling Badri. ‘Kalau Tajul tak ada, sudah lama aku tunjal-tunjal kepala lelaki kuat berangan ni,’ getus Kiera dalam hati. Tetapi, masalahnya berani ke Kiera nak buat begitu? Dia hanya pandai bercakap, tapi buatnya tidak!
            
“Tak nak jemput kita orang masuk ke?” Badri mengada-ngada lagi. Dia memang suka mengusik jika gadis itu takut-takut hendak berbicara. Jarang-jarang sekali dia dapat peluang begini. Selalunya Kiera akan banyak bunyi, marah-marah dan berlawan kata dengannya.
            
Kiera teragak-agak. Wajah Badri dan Tajul dipandang silih berganti. Dia jadi tidak senang hati kerana Badri membawa tetamu. Nanti apa pula kata Tajul kalau Kiera tidak menjemput mereka berbual-bual di dalam.
            
“Tak apalah. I tahu ayah tak ada kat rumah. Tak manis pula kalau kita orang masuk dalam. Lagipun, I dengan Tajul ada plan lain lepas ni. You nak ikut?” Badri mempelawa walaupun dia tahu jawapan Kiera pasti mengecewakan.
            
I nak temankan kak Hana. Kesian dia duduk rumah sorang-sorang,” Kiera beralasan tanpa sebarang kompromi. ‘Pelik! Ini first time dia tanya pendapat aku sebelum buat keputusan nak heret aku pergi mana-mana,’ ucap Kiera dalam hati, sedikit aneh dengan sikap lelaki itu.
            
Badri mengangguk tanda mengerti akan keputusan Kiera. Dia dan Tajul segera berlalu setelah mempamitkan diri memandangkan Kiera juga nampak terburu-buru hendak menyiapkan tugasannya yang tergendala. 







1 Curahan Hati:

Unknown berkata...[Reply to comment]

Assalamualaikum,
saya adalah salah seorang pembaca novel di blog ini. Berminat tak untuk menerbitkan novel sendiri dalam bentuk ebook, untuk dijual terus kepada pembaca?
Jika berminat sila hubungi penulis@appnovella.com untuk penjelasan lanjut