Selasa, 22 Mei 2012

HANYA SELAFAZ RINDU - BAB 53





KEHIJAUAN sekitar Tasik Putrajaya dengan panorama dan landskap yang cantik mampu menggamit perasaan setiap pengunjung yang bertandang ke situ. Suasana petang di situ, berlatarbelakangkan sebuah jambatan yang merupakan laluan utama ke kawasan pentadbiran negara nampak lebih indah. Tiupan angin yang berhembus sepoi-sepoi bahasa juga mendamaikan jiwa.
Dari jauh Alynn Hazra dapat melihat kegusaran di wajah Dierall. Berdiri salah, duduk pun seperti ada yang tidak kena. Bukan tidak pernah dia melihat Dierall sasau begitu. Setiap kali masalah itu melibatkan Nia, Dierall bagai tidak keruan lakunya.
Kedatangan mereka ke Tasik Putrajaya juga atas permintaan Dierall. Menurut lelaki itu, dia dan Nia selalu duduk menjamu mata di situ jika ada kelapangan. Hari ini baru Alynn tahu bahawa Putrajaya merupakan tempat kegemaran keduanya.
Jarak antara Putrajaya dengan Kuala Lumpur bukan dekat, tetapi sanggup juga mereka memandu jauh semata-mata menghabiskan masa senggang di situ bersama-sama.
“Awak sabarlah Rall...” Alynn memulakan bicara.
Dierall senyap. Menoleh Alynn pun tidak. Pandangannya dilontarkan jauh ke tengah tasik. Hatinya bagai berlari-lari mencari kedamaian. Bibirnya dikunci rapat.
Sudah tiga hari Nia menyepi tanpa berita sejak dia melangkah pergi dari rumah gadis itu. Lewat peristiwa itu, Dierall sudah pejal hati untuk menghubungi Nia. Apatah lagi ingin berjumpa. Namun, hatinya masih tetap memikirkan gadis itu. Sukar untuk dibuang terus meski dia sudah mengambil langkah untuk membawa diri. Tetap juga dia menyimpan sayang dan cinta dalam hati.
Awal pagi tadi dia terkejut menerima mesej ringkas dari Nia, hanya ucapan ‘selamat tinggal’ yang tertera. Dengan rasa yang berbaur, Dierall bergegas memandu keretanya menuju ke rumah Nia, namun dia hanya mendapat perkhabaran hampa dari pembantu rumah mereka yang menyatakan keluarga itu sudah berangkat ke lapangan terbang sejam lalu.
Sejurus selepas itu, dia bertemu Alynn di lapangan terbang setelah berusaha untuk bergegas ke sana. Bagai hendak luruh jantungnya kerana tidak berkesempatan bertemu gadis kesayangannya itu. Hatinya bagai dipanah halilintar.
“Rall...are you okay?” Suara pertanyaan Alynn mematikan lamunan. Pandangan yang redup dilemparkan ke raut Alynn. Dadanya sebu.
“Okay.” Pendek jawapannya.
“I think, you are not okay, Dierall.” Alynn menafikan kata-kata Dierall. Dia tahu di hati Dierall masih menyimpan rasa kecewa. Segalanya bercampur baur. Dari redup pandangannya, dari nada suaranya, Alynn sudah dapat menduga. Dierall sedang patah hati.
“Kenapa Nia buat macam ni? Dia tak fikir ke perasaan saya bila dia pergi macam tu aje?” Dierall membuang pandang ke sisi lain. Dia sudah melenting sendiri. Alynn sekadar membiarkan rasa itu terlerai perlahan-lahan.
Batu-batu kecil di tangan dibuang satu persatu ke dalam tasik. Ibaratnya sedang membuang resah yang berkubu. Perlakuan lelaki itu diperhatikan tanpa sepatah kata yang keluar. Alynn membiarkan saja persoalan Dierall berlalu sepi tanpa jawapan.
“Sudahlah Rall, dah lama kita kat sini. Jom kita balik.” Pujuk Alynn setelah lama membisu. Dilihatnya Dierall sudah berdiri tegak sambil menepuk-nepuk seluarnya yang terkena debu tanah tempatnya duduk tadi. Pandangan Dierall sekali lagi dilemparkan jauh ke tengah tasik sebelum sepatah kata keluar dari rongga mulutnya.
“Jom lah!”

“HAI, Rall! Bertemu lagi kita kan? Tak sangka jodoh kita kuat.” Ujar seorang gadis dari belakang. Gadis itu tertawa kecil mengenangkan ujarannya sendiri.
Dierall berpaling dengan riak kurang senang. Sudahlah hari itu malang buatnya kerana tidak berpeluang bertemu Nia di saat pemergian gadis itu ke Pulau Pinang. Ditambah pula dengan sapaan yang tidak semena-mena itu. Dierall mengeluh sebelum menyahut teguran itu.
“Oh, awak rupanya Shurie!”
“Awak sangkakan siapa?”
“Hmm...”
“Encik Dierall, ada panggilan.” Belum sempat Dierall menghabiskan ayat, tiba-tiba pekerjanya, Azmi datang membawa pesanan. Hari itu, Adi tidak datang membantunya di kedai kerana ada urusan lain yang perlu diselesaikan segera. Tinggallah dia seorang diri bertungkus lumus menyiapkan segala kerja.
“Excuse me!” Pantas Dierall mengorak langkah menuju ke ruangannya. Shurie Ratna yang membuntuti dari belakang berhenti di kaunter hadapan. Dia melirik ke arah Dierall sebelum lelaki itu menghilang di balik pintu ruangannya.
Sesudah itu, Shurie menghayun langkah menuju ke rak novel. Membelek-belek beberapa buah novel antara puluhan novel yang tersusun rapi di atas beberapa buah rak yang ada di situ.
Beberapa minit kemudian, Dierall muncul semula di kaunter hadapan. Mencari layak Shurie. Sepertinya gadis itu belum pergi, pasti masih ada di situ mencari bahan-bahan untuk ditelaah.
“Awak kat sini rupanya.”
“Eh, cari saya ke?” Semedang Shurie mengusik Dierall. Novel di tangannya diletakkan semula ke atas rak. Kini, dia menghadap Dierall dengan riak senang. Senyuman yang tak lekang di bibir semakin terukir selebarnya.
“Tadi tak, tapi sekarang saya cari.” Dierall hanya mengukir senyum. Terasa hambar, namun dipamerkan jua.
“Pandai awak bergurau. Ada apa?”
“Bukan apa, tadi kebetulan saya baru dapat panggilan dari penghantar stok. Berkenaan dengan 300 naskhah buku akademik yang awak order beberapa hari lepas. Esok baru sampai. Jadi, awak datang esok untuk buat bayaranlah ya?” Agak serius riak Dierall tatkala membincangkan perkara itu dengan Shurie.
Kelihatannya Dierall tidak berminat untuk berseloroh seperti selalunya. Dia lebih suka bekerja dalam keadaan serius ketika itu. Shurie juga perasan dengan tingkah laku Dierall. Kenapa mamat ni? Ada masalah agaknya.
“Awak okay ke?”
“Okay.” Sahut Dierall bersahaja. Di tangannya tergenggam kemas sebuah buku catatan hitam yang terkandung maklumat berkaitan keluar masuk stok. Sebentar tadi dia sudah mencatat butir-butir stok yang ditempah untuk Shurie beberapa hari lepas ke dalam buku itu.
Dierall sememangnya berhemah dalam menjalankan kerja. Walaupun ada waktunya fikiran terganggu dengan pelbagai perkara, Dierall tetap memberikan tumpuan dalam bekerja.Kerana baginya, hanya dengan cara menyibukkan diri, dia dapat melupakan sebarang masalah walaupun untuk sementara waktu.
Dierall sudah angkat kaki menuju ke kaunter hadapan. Kedainya hari itu agak lengang. Selengang hatinya ketika itu. Ingin menyambung kerja yang tergendala tadi, dilihatnya Azmi sudah mengambil alih pekerjaannya itu.
“Awak macam ada masalah. Maaflah saya mengganggu. Tapi tak apa, esok saya ke sini lagi ya?” Ucap Shurie sedikit ceria. Di hatinya merasa cuak melihat Dierall berkelakuan aneh begitu. Tanpa menunggu sebarang respon dari lelaki itu, dia sudah angkat kaki untuk pergi.

MAZNI baru habis mengerjakan solat Isyak ketika telefon bimbitnya berdering di atas meja solek. Perlahan tangannya menyambar telefon bimbit itu. Dilihatnya nama Nia terpapar pada skrin telefon Nokia miliknya.
Puan Mazni mengukir senyuman seraya mengangkat panggilan itu. Dia menjawab salam Nia.
“Mama buat apa? Dah makan?” Tanya Nia Arisya lembut.
Sejuk hati Puan Mazni apabila mendengar suara ceria anak gadis kesayangannya itu. Nampaknya Nia sudah mula beroleh ketenangan yang dicarinya.
“Baru lepas solat. Makan pun sudah. Nia pula macam mana?” Giliran dia pula bertanya. Jika siang tadi dia bimbangkan Nia kerana langsung belum mengirimkan khabar berita kepadanya, tetapi kini hatinya cukup senang dan berasa lega kerana Nia sudah selamat sampai di rumah adiknya di Pulau Pinang.
“Pandailah Nia jaga diri kat sini, ma. Yang penting kesihatan mama tu kena jaga. Nia tak nak sepanjang ketiadaan Nia, ada apa-apa berlaku kat mama. Ingat pesan Nia ya, ma?” Kata Nia sambil disulami tawa. Semedang, si ibu yang menasihati anak tetapi terbalik pula kali ini.
Mazni tersenyum mendengar leteran anaknya itu. Dari dulu lagi mereka tidak pernah berenggang. Cuma sekarang ini, atas sebab-sebab tertentu, Nia sering menjauh darinya. Tetapi Mazni tidak bertindak untuk mengongkong kebebasan Nia, biarlah anaknya bebas membuat keputusan sendiri demi kebaikkan Nia juga.
“Mama tahulah Nia. Nia tu pun kena beringat kat tempat orang. Nanti sampaikan salam mama pada Mak Ngah.”
“Ya, mama. Nanti Nia sampaikan. Mama jangan risau ya? Nia kan anak mama, mesti pandai bawa diri kat tempat orang.” Sempat Nia berseloroh. Masih ada sisa tawa di hujung bicaranya.
“Baguslah kalau begitu.” Puan Mazni sudah mengukir senyuman.
“Oh ya! Dierall ada datang cari Nia tak, ma?” Tidak lenyap ingatan Nia pada lelaki itu meski dia sudah jauh di perantauan.
Semenjak lelaki itu menghilang dari rumahnya beberapa hari lepas, sebarang berita tidak lagi diterima. Dia tahu Dierall pasti sakit hati dengan kata-katanya tempoh hari. Jika tidak diambil tindakan begitu, Dierall tidak akan menjauh darinya.
Namun, hatinya juga merasa sakit dengan perbuatan Dierall bermesra dengan seorang gadis di hadapannya. Dia turut terasa hati. Itulah perasaan aneh yang dia rasa. Sedangkan, dalam hatinya Dierall hanya sebatas kawan, mengapa harus dia cemburu? Bukankah itu permintaannya dulu? Ada kalanya Nia diselimuti rasa bersalah kerana memperlakukan Dierall sedemikian rupa. Tetapi, kehendak hatinya inginkan begitu.
Puan Mazni tersenyum lagi apabila mendengar pertanyaan anaknya tadi. “Sudah lari jauh-jauh pun Nia masih teringatkan Rall ya?” Sempat Puan Mazni tertawa sebelum menyambung kata. “Pagi tadi kata Alynn dia ke airport. Tapi sayang betul Nia dah berlepas. Nia tak bagitahu dia flight Nia berlepas awal ke?”
Nia terdiam. Tapi tidak lama. “Oh, Nia dah ucapkan selamat tinggal sebelum Nia berangkat. Mungkin Rall ada urusan sebab tu terlewat. Biarkan dia mama. Siapa suruh dia lewat jumpa Nia kan?” Di hujung talian, Nia sudah menyeka air mata yang tumpah. Dia tidak ingin sendu itu berterusan. Khuatir tangisannya akan kedengaran di cuping Puan Mazni. Mamanya itu kuat khuatir jika terdengar dia menangis lagi. Cukuplah segala apa yang pernah dilalui selama ini.
Biarlah pemergiannya ke Pulau Pinang kali ini dapat membina sebuah pengharapan baru dalam hidupnya. Sungguh, Nia benar-benar ingin membina hidup baru di tempat orang. Meskipun sukar, lama-kelamaan dia akan mampu membiasakan diri.

HANYA SELAFAZ RINDU - BAB 52





NIA ARISYA melangkah masuk ke dalam biliknya. Jiwa dan fikirannya kosong ketika itu. Dia tidak tahu apa yang perlu dia lakukan. Cuma satu yang terlintas di fikiran, dia ingin menghabiskan masanya dengan mengenang segala kenangan bersama arwah Zarul. Dia tidak mahu lupa segala perkara yang pernah dilalui bersama lebih 5 tahun lalu.
Nia terpandangkan almari besar yang menjadi peti simpanan kenangannya. Setelah peristiwa Aiman ditangkap sebulan lepas, Nizi lalu menyerahkan segala barang pemberian Zarul. Rupa-rupanya selama ini, selepas Nia didapati menghidap Retrograde Amnesia, Nizi mengambil dan menyimpan semua barang itu.
Perlahan-lahan Nia membuka almari. Dia terpandangkan anak patung beruang pemberian arwah Zarul. Tangannya segera mencapai anak patung besar itu lalu mendakapnya erat. Terasa Zarul ada menemaninya ketika itu. Dia ingin berkongsi segala kesedihan yang dirasa bersama pasangan anak patung beruang itu. Itulah pemberian Zarul yang paling dia sayang.
Setelah itu, matanya tertancap pada beg kertas pemberian Alynn sempena hari jadinya yang ke-20 tahun. Nia mencapai beg kertas tersebut lalu mengeluarkan segala isi di dalamnya. Terdapat sebuah kotak kecil yang berbalut dengan kertas pembalut hadiah berwarna ungu kini ada di hadapan matanya.
Nia lalu mengambil bungkusan kotak tersebut dan membukanya dengan penuh cermat. Sebaik sahaja penutup kotak itu dibuka, ada sekeping gambar kecil yang dibingkaikan dengan cantik dan terdapat ukiran namanya dan Zarul pada bingkai itu. Gambar itu diambil ketika mereka mengikuti kelas seni lukis semasa di kolej dulu. Bingkai berisi gambar itu lalu diletakkan di atas meja lampunya. Dia berjanji akan menyimpan gambar itu dengan sebaik mungkin.
Pandangannya kembali dialihkan pada sebuah kotak besar yang berisi album gambar dan barang-barang lainnya. Pantas tangannya mencapai kotak itu lalu diletakkan di atas tilam. Nia melabuhkan punggungnya sambil tangannya meraba-raba isi yang ada di dalam kotak tersebut.
Album gambar dikeluarkan terlebih dahulu. Nia menyelak satu persatu halaman dalam album tersebut. Ada sekeping gambar yang benar-benar menarik perhatiannya. Gambar dia bersama Zarul dan Alynn. Nia teringat akan suatu peristiwa di sebalik gambar itu.
Ketika itu, mereka bertiga sedang leka membeli cenderahati di Langkawi sehingga tiba-tiba hujan turun dengan lebatnya membuatkan mereka kelam-kabut mencari tempat berteduh. Waktu itu juga ada seorang pelancong yang turut berteduh bersama mereka. Entah bagaimana Alynn boleh terfikir untuk meminta bantuan pelancong tersebut untuk mengambil gambar mereka bertiga.
Nia Arisya tersenyum apabila mengenang peristiwa itu. Namun, hatinya kembali disapa kesedihan apabila teringatkan bahawa Zarul sudah tiada. Sudah pasti hatinya sepi. Kepergian orang yang paling dicintai amat sukar diterima meski sudah bertahun lamanya.
Nia menyeka air mata yang baru tumpah. Hatinya cuba ditenangkan semula. Dia sudah berjanji dalam hati tidak ingin meratapi kesedihan itu lagi. Kini, matanya berkalih pada sebuah lagi kotak kecil berbentuk hati. Album di tangan diletakkan ketepi. Tangannya perlahan-lahan mencapai kotak tersebut.
Ada sebentuk cincin berlian di dalamnya. Fikiran Nia kembali diterjah dengan kata-kata Zarul.
“Bersusah-payah saya kumpul duit beli cincin ni untuk awak, takkan sewenang-wenangnya saya nak bagi macam tu aje dekat penyangak tu!”
Betapa risaunya perasaan Nia ketika itu. Zarul sanggup membahayakan dirinya demi menyelamatkan cincin berlian yang ada dalam genggaman Nia kini. Itulah semua yang Zarul tinggalkan untuk Nia. Segala kenangan yang tidak terlupakan dari ingatannya. Mata Nia tertancap pula pada sepucuk surat yang tertulis namanya di situ.
Nia menyandarkan dirinya pada kepala katil. Jemarinya membuka perlahan lipatan surat tersebut. Dia menarik nafas sebelum menumpukan perhatiannya pada tulisan yang tersurat. Bibirnya bergerak-gerak ketika membaca warkah yang bertinta hitam itu.

Kepada buah hati yang Zarul cinta, Nia.
Rul minta maaf sekiranya kehadiran warkah ini membuatkan Nia bersedih. Rul terasa ingin menulisnya buat tatapan Nia. Siapa tahu mungkin esok atau lusa, Rul tidak berkesempatan untuk bersua dengan Nia lagi. Ajal maut di tangan Tuhan. Hanya luahan hati ini yang Rul sempat titipkan.

Nia,
Tahukah Nia? Rul adalah lelaki yang paling bahagia di dunia pada saat Nia menyatakan kesudian untuk menjadi suri di hati Rul. Rul berjanji pada diri Rul untuk menjaga tulang rusuk kiri yang Allah telah kurniakan pada Rul ini baik-baik. Andai kita ditakdirkan membina rumah tangga nanti, Rul berjanji menjadi suami terbaik buat Nia, isteri Rul.

Nia menyeka air matanya yang sudah tumpah untuk kesekian kali. Tangannya mula terketar-ketar. Lama Nia kaku sebelum dia meneruskan bacaan.

Tapi, jika ditakdirkan Rul tiada nanti, jagalah diri Nia sebaiknya. Maaf sekiranya Rul tidak berpeluang untuk menjaga Nia sehingga ke akhir hayat. Rul yakin Allah telah tentukan yang terbaik untuk kehidupan kita. Nia teruskan hidup ya sayang? Terimalah lelaki yang boleh memberikan kebahagiaan buat Nia selepas Rul. Berjanjilah sayang.

Selalu cinta, Zarul.

Hati Nia runtun apabila membaca kata-kata pada perenggan kedua dalam surat tersebut. Tangisan yang cuba ditahan-tahan sedari tadi semakin jelas kedengaran. Dia mula merasa terlalu sedih. Dia ingin menangis sepuas-puasnya. Biarlah hari itu dia ditemani kenangan bersama Zarul.

BANGUNAN Suria Holdings tersergam megah lebih 20 tahun lamanya. Ketika mula beroperasi, hanya diusahakan di sebuah bangunan kedai dua tingkat. Kini, bangunan kedai itu dijadikan sebagai cawangan syarikat. Bangunan utama Suria Holdings pula sudah berdiri di tapak sendiri.
Sebuah kereta Honda City berhenti betul-betul di perkarangan halaman Syarikat Suria Holdings. Nia Arisya mematikan enjin lalu turun dari kereta. Sesekali anak matanya melilau ke sekitar kawasan yang agak luas. Tidak banyak perubahan yang berlaku meskipun sudah lama dia tidak ke situ. Kakinya dihayun perlahan menuju ke meja penyambut tetamu.
“Encik Nizi Arash ada?”
“Cik Nia?” Gadis itu bagai terkejut melihat kedatangan Nia Arisya. Sudah sekian lama Penolong Ketua Eksekutif itu tidak berkunjung ke syarikat. Hampir semua staf syarikat juga tahu tentang kejadian yang berlaku.
“Alia, awak sihat?” Soal Nia seraya mengukir senyuman. Sememangnya Nia Arisya sangat terkenal dengan sikap ramahnya pada staf-staf Suria Holdings.
“Saya macam biasalah Cik Nia. Ceria selalu!” Gadis itu sudah tersenyum senang hati. “Encik Nizi ada di pejabatnya. Cik Nia nak saya inform pada Encik Nizi ke tentang kedatangan cik?” Sambung gadis itu lagi.
“Tak mengapalah. Saya minta diri dulu, nak ke pejabat dia.”
Setelah mengucapkan terima kasih, Nia mengatur langkah ke arah pintu masuk lif. Entah kenapa hatinya teringin hendak melihat-lihat suasana di syarikat. Dia juga ingin melawat ke pejabatnya yang sudah lama ditinggal sepi.
“Along!” Sergahnya tiba-tiba. Mujur saja ketika itu Nizi tidak mempunyai tetamu. Nia sudah senang hati melangkah masuk tanpa menghiraukan setiausaha Nizi yang sibuk dengan tugasnya di luar pejabat.
Nizi bagai tidak percaya dengan kehadiran Nia Arisya di Suria Holdings. Apa pula mimpi adiknya itu datang ke pejabat? Bosan di rumah agaknya, duga Nizi sendiri. Dia mahu menyoal tentang tujuan kedatangan Nia namun bibirnya terkunci sebaik sahaja setiausahanya menerpa masuk.
“Maaf, Encik Nizi! Saya tak sedar pula yang adik encik datang.”
“Tak apa Shila. Awak boleh teruskan kerja awak.”
Seusai setiausaha Nizi berlalu, Nia menghenyakkan punggung di atas kerusi berhadapan dengan meja kerja Nizi. Pandangan dilemparkan ke atas meja itu. Fail-fail bertaburan dengan kertas-kertas pelan yang bergaris sana sini sesak memenuhi hampir kesemua ruang meja.
“Sibuk ke along?”
“Macam biasalah!” Sahut Nizi selamba.
“Projek apa pulak kali ni?” Soal Nia untuk kesekiannya. Tangannya mencapai kertas pelan di atas meja. Matanya meneliti sejenak sebelum dibuang ke wajah Nizi.
“Projek bandar utara.” Jawab Nizi pendek. Matanya masih ditumpukan ke skrin komputer.
“Oh..”
Nia Arisya diam sejenak. Dia memerhati alongnya membuat kerja. Mungkin semenjak ketiadaannya, tugas Nizi bertambah berat. Dia mengeluh dalam hati. Rasa bersalah juga apabila melihat keadaan abangnya itu, namun Nia harus macam mana lagi? Hatinya tidak boleh didesak.
Nizi mula beralih pandang pada seraut wajah yang menyepi tanpa disangka. Terbuntang sejenak tatkala melihat Nia.
“Eh, kenapa mata macam kembang aje tu? Mesti baru lepas nangis kan?”
“Mana ada. Along ni perasan yang pelik-pelik.” Pangkas Nia menyembunyikan keadaan sebenar.
Selepas terperuk di kamarnya sepanjang pagi, Nia berusaha membawa dirinya kembali pada keadaan yang stabil. Sudah puas dia meratap segala kenangan bersama arwah Zarul. Lalu dia berniat untuk keluar bersiar-siar bagi menenangkan diri.
“Yalah! Nia ke pejabat ni ada apa-apa ke?”
“Saja nak datang menjenguk. Dah lama rasanya Nia tak tengok urusan-urusan kat pejabat. Lagipun, Nia nak tengok pejabat Nia jugak. Entah-entah tak terurus sebab Nia dah lama tinggalkan, betul tak?”
“Siapa cakap tak terurus? Hari-hari abang suruh tukang cuci bersihkan pejabat Nia tu tau! Setiausaha Nia tu masih bekerja lagi di bawah nama Nia. Kalau ada tugas ringan yang sepatutnya jadi tanggungjawab Nia, along serahkan pada dia juga untuk uruskan.” Jelas Nizi.
Nia Arisya sekadar menongkat dagu. Memandang tepat ke dalam mata Nizi yang tampak lesu.
“Kesian kan Rubisa? Along bagi dia buat kerja banyak sangat!”
“Apa pulak? Along bagi kerja yang patut aje dengan kemampuan dia. Sementara menunggu orang lain datang ganti tempat Nia, Rubi kena buat semua kerja tu lah.”
“Orang baru?” Nia bagai tersentak.
“Ya, papa plan nak ambil orang baru bekerja di syarikat, gantikan tempat yang bakal Nia tinggalkan nanti.” Nizi lantas menyandarkan tubuhnya pada kerusi. Mengeluh seketika. Dia teringat akan keputusan Nia untuk menyambung pelajarannya. Dia tidak banyak membantah, tetapi Tuan Mukrish seakan tidak bersetuju dengan hasrat tersebut.
Entah apa yang difikirkan Tuan Mukrish sehingga pagi tadi papanya itu membuka niat mencari seorang pekerja baru bagi menggantikan posisi Nia di syarikat. Mungkin Tuan Mukrish sudah berfikir panjang dan bersetuju untuk melepaskan Nia ke Pulau Pinang. Anak gadis walidnya itu memang keras kepala sikit! Susah nak dibantah jika itu kemahuannya.

HONDA CITY yang dipandu Nia perlahan-lahan masuk ke perkarangan rumah. Dari dalam kereta dia sudah melihat Puan Mazni sedang duduk bersantai di luar rumah. Kesian pula mama duduk sorang-sorang, detik hatinya tatkala mematikan enjin kereta.
Semasa melangkah keluar dari kereta, Nia sempat mengerling jam tangannya. Hampir pukul 5.00 petang. Kemudian langkah diatur ke arah Puan Mazni yang sudah mengukir senyum. Kelihatan ibunya itu gembira sekali menyambut kepulangan Nia.
Setelah memberi salam, Nia mencium tangan dan pipi Puan Mazni lalu duduk di sebelah wanita yang sudah agak berusia itu. Kelihatan secawan kopi masih panas bersama goreng pisang yang menyelerakan di atas meja. Memang sudah menjadi rutin keluarga mereka duduk minum petang dan bersantai di halaman rumah.
“Nia dari mana?”
“Selepas ke syarikat tadi, Nia singgah kejap kat kedai bunga Puan Syira. Dia kirim salam kat mama.” Jawab Nia sambil mencapai goreng pisang yang masih panas di dalam pinggan.
“Waalaikumussalam. Lama dah mama tak ke sana. Lain kalilah mama singgah.” Nia hanya tersenyum mendengar kata-kata uminya sambil mengunyah perlahan goreng pisang yang dimakan.
“Mama nak tahu?” Nia berhenti mengunyah lalu menelan sisa yang berbaki di rongga mulutnya.
“Tahu apa?” Berkerut dahi Puan Mazni.
“Papa dah benarkan Nia sambung study!” Nada suara Nia sedikit melonjak kegirangan. Nia lantas memeluk lengan ibunya itu dengan riak senang.
“Eh, papa cakap macam tu ke?”
“Ya, ma! Tadi Nia jumpa papa kat office dia lepas along cakap papa dah bagi izin.”
“Baguslah kalau macam tu, Nia. Mama tumpang gembira.” Sahut Puan Mazni bersama senyuman. Dalam hati, dia benar-benar menanam kesyukuran kerana Tuhan melembutkan juga hati suaminya itu.
Dalam keasyikkan berbual, pandangan Nia berkalih pada sebuah kereta putih yang dipandu masuk ke perkarangan dan diparkir di belakang Honda City miliknya. Dahi Nia berkerut. Begitu juga dengan Puan Mazni. Nia bagai mengenali pemilik kereta putih itu.
“Apa dia nak datang sini?” Kata Nia separuh berbisik.
“Bukan tu Dierall ke Nia?” Soal Puan Mazni untuk kepastian. Pandangannya masih tidak beralih dari susuk tubuh yang kian mendekat.
“Assalamualaikum mak cik, Nia?” Sebaris senyuman dilemparkan dengan raut wajah yang tenang.
“Waalaikumussalam, Rall. Nak jumpa Nia ke?” Pantas Puan Mazni menyoal dan segera juga Dierall menganggukkan kepala. Matanya dibuangkan ke wajah Nia yang sedikit murung. Gadis itu seakan tidak mengambil peduli kehadirannya.
“Rall duduklah berborak dengan Nia dulu. Mak cik nak masuk ke dalam.” Seperti mengerti keadaan itu, Puan Mazni tergesa-gesa beredar meninggalkan keduanya.
Setelah bayangan Puan Mazni menghilang di balik pintu rumah, Dierall melabuhkan punggungnya tanpa disuruh-suruh. Gadis di sebelahnya tidak berkata sepatah pun. Masih menyepi beribu bahasa.
“Semalam balik naik apa?” Dierall menyoal bersahaja. Matanya tidak tertumpu lagi ke arah Nia.
“Teksi.”
“Kenapa off phone?” Soalnya lagi.
“Ada masalah ke kalau saya nak off phone? Soal Nia pula, agak dingin.
“Memanglah, saya dah berapa kali call awak, asyik masuk voicemail. Saya risau!” Kata Dierall menyuarakan apa yang terbuku di hati. Semalaman dia tidak langsung melelapkan mata. Fikirannya menerawang memikirkan gadis itu. Resah di hati hanya dia yang tahu.
“Tak perlu risaukan saya lah!”
Dierall menghembus nafas berat. Kini, pandangannya sudah berpindah ke laman wajah Nia yang mencuka. Dingin aje? Marah lagi ke? Tak mungkinlah. Hatinya meneka.
“Semalam awak tiba-tiba menghilang tu kenapa?” Tanya Dierall hanya dengan sekali nafas.
Tiada jawapan yang lahir. Gadis itu mengunci mulut. Kaku. Pandangan Nia sedikit pun tidak berganjak. Terus dilontarkan ke hadapan. Seolah-olah kehadiran Dierall di situ tidak wujud buatnya.
“Nia, kenapa diam? Awak masih marah?”
“Tak ada masa nak marah-marah.” Rentak suara Nia masih kedengaran dingin walaupun Dierall sudah berbicara lembut dengannya.
“Habis tu? Cemburu eh?” Dierall sudah tersenyum. Mungkin benar tanggapannya, gadis itu cemburu.
“Nak cemburu apa? Buang masa saya aje nak cemburukan awak. Kita dah tak ada apa-apa. Kita kawan aje pun. Awak tak faham-faham lagi ke tentang status hubungan kita? Kita cuma kawan.” Kata-kata Nia tegas pada bait-bait terakhir bicaranya.
Mendengarkan omongan itu, Dierall sudah menarik muka. Bagai luruh hatinya mendengar kata-kata tajam yang dilemparkan dari seorang gadis yang dicintai. Nia seakan sudah tiada perasaan sewaktu mengungkapkan semuanya. Hati Dierall bagai diguris sembilu.
Lelaki itu mengetap gigi. Tujuannya ke rumah Nia untuk memujuk gadis itu, tetapi lain pula yang terjadi. Dirinya bagai dihina. Dia cukup terasa hati dengan kata-kata Nia, namun disimpan saja apa yang dirasa. Dia cuba berlagak setenang mungkin. Sakit hatinya ditahan-tahan.
“Saya tahu kita sekadar kawan. Terima kasih sebab mengingatkan saya banyak kali.” Bibirnya diketap. Dierall sudah tenggelam punca. Malu dengan tanggapan sendiri, Dierall langsung berkalih pandang ke sisi lain. Sudah semu dengan permainan hati.
“Baguslah kalau awak dah faham.” Suara Nia semakin perlahan. Dia mengetap bibir. Tiba-tiba, ada satu perasaan aneh mula mengalir dalam rongga hatinya. Kepastian terhadap perasaan itu masih samar.
“Saya pergi dulu.” Tanpa berkira-kira, Dierall angkat kaki. Dadanya sebu dengan perasaan yang menggelegak. Hatinya terpanah dan berdarah. Tercalit luka kerana kata-kata berbisa itu. Dia menangis dalam hati. Tidak terpamer lagi kesedihan sendiri lalu dia mengambil keputusan menjarakkan diri dari Nia.
Nia Arisya hanya memerhati ketika Dierall melangkah jauh dan semakin jauh. Sejurus selepas lelaki itu menghilang ke dalam perut kereta, Nia meletakkan pandangannya ke depan. Tiada kuasa melihat lagi.
Namun, apabila enjin kereta menyapa gegendang telinga, Nia pantas berpaling semula. Dia melihat kereta itu perlahan-lahan keluar dari kawasan rumahnya. Seketika dia menekur ke hamparan rumput hijau sebelum Puan Mazni datang menyapa.
“Eh, Rall mana? Takkan singgah sekejap aje? Penat mama buatkan air ni.” Puan Mazni meletakkan dulang di tangan ke atas meja. Terpinga-pinga lagaknya mencari bayang Dierall. Nia sudah mengangkat kepala memandang ke wajah Mazni yang kehairanan.
“Dia kata dia ada urusan. Sebab tu dia balik awal.” Kata Nia bersahaja. Di dalam hati, dia merasa cukup aneh dengan apa yang sedang dia rasa. Perasaan apakah itu?

HANYA SELAFAZ RINDU - BAB 51





KERETA yang dipandu oleh Dierall terus meluncur laju. Nia yang berada di sisinya lebih gemar menyepikan diri. Melayan perasaan dengan mendengar alunan muzik sentimental yang sedari tadi terpasang perlahan. Sesekali, Dierall memandang Nia yang masih membisu di sebelahnya.
Begitulah perubahan sikap Nia. Beberapa hari yang lalu, dirasakan suram setiap kali gadis itu bersamanya. Tiada lagi gelak tawa seperti selalu. Dierall cuba mengerti. Tambahan pula posisinya di hati Nia Arisya kini hanya sebatas kawan. Tidak lebih dari itu.
Namun dia tidak pernah membuang sayang yang berkubu. Malah makin dalam perasaannya itu terhadap Nia. Cuma dia tidak mampu meluahkannya seperti selalu. Sekali lagi Dierall berkalih pandang. Keadaan tetap sama. Hening tanpa sepatah kata yang terbit antara mereka.
Dierall mengeluh lantas menekan punat pada radio kereta. Menukar ke stesen radio yang lain. Kini alunan sentimental tidak lagi kedengaran. Rentak muzik yang rancak mengambil alih. Dierall tahu Nia Arisya termenung. Gadis itu seperti berada dalam dunianya sendiri.
“Kita nak ke mana ni?” Soal Dierall memecah keheningan.
Bagai tersedar dari khayalan, Nia spontan menoleh. Dia membisu sejenak, memikirkan tempat yang sesuai untuk dikunjungi.
“Kita ke Moon’s Kitchen Cafe?” Terlintas di fikirannya untuk menikmati hidangan di kafe itu. Serasanya sudah lama dia tidak ke sana. Kali terakhir ke sana juga bersama Dierall. Mungkin tempat itu sesuai untuk tujuannya hari itu.
Dierall tidak bersuara sepatah pun. Kenderaan yang berjejeran di sepanjang jalan raya diredah untuk sampai ke destinasi yang disebutkan Nia.

TIGA PULUH MINIT kemudian, Dierall menghentikan keretanya di tempat parkir kosong betul-betul berhadapan dengan Moon’s Kitchen Cafe. Sempat matanya meliar ke dalam kafe lewat cermin kaca kereta, agak lengang.
Setelah mematikan enjin, Dierall menguak pintu kereta dan bergegas keluar. Dilihatnya Nia sudah pun mengatur langkah menuju ke pintu kafe. Dia mengiring Nia dari belakang.
“Ada apa awak nak jumpa saya ni?” Dierall memulakan bicara mematikan lamunan Nia yang tiada penghujungnya. Membisu sedari awal mereka melabuhkan punggung di situ membuatkan Dierall tidak selesa dan kekok.
“Saya dah ambil keputusan.” Lancar saja Nia berbicara. Dari tadi dia berfikir tentang perkara itu.
“Keputusan apa pulak ni?” Bagai membuntang anak mata Dierall mendengar omongan Nia. Keputusan apa lagi yang dimaksudkan oleh gadis itu? Argh! Biasalah, banyak keputusan yang perlu dibuat dalam hidup. Kata Dierall memujuk hati yang mulai resah.
“Saya nak sambung pengajian saya.” Dierall lalu mengangkat kepala dan meletakkan pandangannya pada Nia. Gadis itu kelihatan serba salah dengan renungannya.
“Berapa lama?” Soal Dierall perlahan.
“Setahun setengah aje.”
Dierall diam. Berfikir untuk kata-kata selanjutnya. Namun, dia kehilangan punca. Tidak terlintas di fikiran Dierall bahawa Nia akan mengambil keputusan itu. Menyambung pelajaran memang ada kebaikannya buat gadis itu. Tetapi, dia pasti akan merasa sepi ketika ketiadaan gadis itu nanti. Setahun setengah bagaikan satu tempoh yang cukup lama.
“Kenapa awak diam?”
“Tak, saya cuma berfikir.”  Dierall sudah mati akal.
“Awak rasa keputusan saya ni terburu-buru?” Pandangan Nia dibuangkan ke raut Dierall. Wajah itu tidak menunjukkan apa-apa riak. Sesekali Dierall dilihat menekur ke lantai.
“Hmm...” Jawab Dierall pendek. Dia mahu bersuara lagi tetapi disimpankan sahaja kata-kata itu sebaik sahaja seorang pelayan kafe datang membawa hidangan pesanan mereka.
“Saya dah fikir banyak kali tentang perkara ni. Saya rasa ni sajalah keputusan terbaik. Walaupun papa tak setuju beberapa hari lepas, tapi saya yakin papa pasti hormat dengan keputusan saya bila saya pujuk dia nanti.” Jelas Nia dengan panjang lebarnya.
Dia teringat akan bantahan Tuan Mukrish beberapa hari lalu ketika dia menyuarakan hasrat hatinya menyambung pelajaran. Pada awalnya, Tuan Mukrish berkehendakkan Nia untuk meneruskan pekerjaannya di Suria Holdings. Namun, Nia tidak berhasrat begitu. Hatinya lebih tergerak untuk meneruskan pengajian.
Air yang sedia terhidang dihirup dengan straw beberapa kali. Kehausannya terubat. Kini, pandangan Nia berkalih ke suatu sudut di dalam kafe. Pelbagai hiasan cantik dipamerkan di sudut itu. Sedikit menarik perhatiannya.
“Kalau awak dah fikir macam tu, awak teruskan. Saya takkan lah nak halang awak pula kalau itu perkara terbaik untuk awak.” Getus Dierall.
Nia tersenyum. Dia yakin sungguh lelaki itu sentiasa menyokong keputusannya.
“Tapi, pekerjaan awak kat syarikat papa awak tu macam mana?” Dierall bertanya. Teringat akan perusahaan Tuan Mukrish yang memerlukan khidmat Nia sebagai Penolong Ketua Eksekutif.
“Nizi kata dia boleh uruskan sendiri. Lagipun saya dah malas nak fikirkan segala urusan kat pejabat tu. Terlampau banyak!” Sahut gadis itu dengan riak kurang senang.
Nia belum bersedia untuk membebankan diri dengan tugas-tugas berat seperti yang pernah dilaluinya. Kepalanya kini dibebankan juga dengan masa-masa lampau yang membuatkan dia tidak bersedia dengan urusan lain.
“Kalau awak sambung pelajaran nanti, sama juga kan kesibukkannya? Serabutkan otak jugak.”
“Itu tak sama.” Pantas Nia menepis kata-kata Dierall.
Memang ada terfikir tentang apa yang baru diperkatakan itu. Tetapi, kesibukkan menghadapi tugas-tugas kuliah tidak sama dengan tugas-tugas di pejabat yang dirasakan lebih mencabar. Kuliah lebih santai dari bekerja. Itu yang bermain di fikirannya.
“Saya rasa lebih santai dengan kuliah berbanding bekerja di syarikat besar. Bukan awak tidak tahu kesibukkannya macam mana. Awak dapat lihat ayah awak sendiri bekerja macam mana kan?”
Dierall mengetap bibir. Terbayang akan Dato’ Kamaruddin yang semedang sibuknya. Terkadang waktu di rumah juga jarang walidnya habiskan bersama keluarga kerana terlalu mementingkan perniagaan. Sedangkan peniaga kecil sepertinya juga letih dengan rutin harian, apatah lagi walidnya yang menjalankan perusahaan besar-besaran.
Sekarang, Dato’ Kamaruddin juga berada di luar negeri. Sudah tiga hari lamanya kerana menguruskan cawangan yang semakin meluas dan mendapat tempat dalam dunia korporat. Mujur dulu dia keras membantah untuk terlibat sama dengan dunia yang mencabar itu.
Pandangan kini tertumpu ke arah Nia. Gadis itu sepi sekali lagi. Mungkin sedang mencorak rancangan seterusnya. Ah, jika itu yang terbaik, biarkan Rall. Prinsip kau, kalau Nia memang untuk kau, dia akan balik juga pada kau nanti. Dierall mendesis sendiri. Wajah itu setia menjadi tontonannya untuk kesekian waktu.
“Kenapa pandang saya macam tu?” Dahi Nia berkerut-kerut. “Ada apa-apa yang tak kena dengan muka saya? Selendang saya senget?” Nia membelek-belek selendang yang melekap di kepalanya.
Dierall memburai tawa apabila melihat reaksi spontan gadis itu. Lalu disambarnya telefon bimbit yang terletak bersebelahan dengan minumannya di atas meja. Dia memeriksa skrin telefon.
“Ah, ada SMS rupanya!” Kata-kata Dierall mencuri tumpuan Nia ke arahnya.
“Dari siapa?”
“Adi.” Jawab Dierall pendek sambil memeriksa mesej yang dihantar kepadanya.
Mendengar nama Adi disebut, Nia teringat akan kawan lelaki yang diperkenalkan Dierall kepadanya beberapa bulan lalu. Mungkin ingatannya pada wajah itu masih samar-samar, namun Nia yakin itulah Adi yang dimaksudkan.
“Kenapa?” Soal Nia apabila melihat kerutan di dahi Dierall.
“Adi suruh balik ke kedai sekarang. Entah apalah masalahnya.”
“Kalau macam tu, kita baliklah sekarang.” Tegas Nia tanpa berfikir panjang. Tujuannya mengajak Dierall keluar juga hanya untuk mengkhabarkan tentang niatnya menyambung pelajaran dan mungkin meluangkan masa sebentar bersama lelaki itu. Maka dia mengajak Dierall keluar.

“ADA apa halnya Di?” Adi yang berdiri di kaunter hadapan seraya dirapati. Matanya difokuskan ke wajah tenang itu.
“Eh, Nia pun ada sekali?” Bagai tersedar dari kekhusyukkannya membuat kerja kira-kira di kaunter, Adi tersenyum senang melihat kehadiran Nia Arisya. Sudah lama dia tidak bersua muka dengan buah hati pengarang jantung Dierall itu.
“Kau apahal mesej aku? Macam penting sangat je sampai suruh aku balik kedai.”
“Kalau aku tahu kau keluar dengan Nia tadi, tak ada lah pula aku nak ganggu kau dengan mesej tu.” Adi sudah mengemas helaian-helaian kertas yang bertaburan di hadapan matanya.
“Habis?”
Dierall mengambil posisi duduknya di sebelah Adi. Lelaki itu kelihatan sibuk menyusun helaian kertas supaya nampak lebih teratur di dalam laci.
“Rall, Nia nak ke sana sekejap.” Sampuk Nia sebelum Adi meneruskan kata-kata. Nia tampak tidak berminat dengan topik perbincangan mereka. Dierall mengangguk perlahan. Matanya dilirikkan sejenak tatkala gadis itu melangkah ke rak buku.
“Tu, ada perempuan nak jumpa kau. Katanya nak order sesuatu dari kau.” Adi memuncungkan bibir mengunjuk ke arah seseorang yang sedang leka membelek-belek majalah.
Dierall melontar pandangan. Terlihat seorang gadis berambut panjang sedang meneliti majalah di tangan. Matanya dikecilkan sedikit bagi membolehkannya mengecam gerangan gadis itu dari kejauhan.
“Siapa Di?”
“Cik Shurie kalau tak silap aku.”
“Ah?”
“Ha, betullah kan? Itu nama yang dia bagi kat aku. Shurie.” Adi menyebut nama itu sekali lagi. Aku silap sebut ke? Duga Adi pelik.
“Dia nak order apa sampai engkau tak boleh nak handle sendiri?” Sedikit kehairanan, Dierall mengemukakan pertanyaan. Bukankah Adi tahu sendiri selok-belok perniagaan itu, takkanlah urusan tempahan dia tidak tahu bagaimana hendak uruskan sendiri?
“Engkau janganlah melenting dulu Rall. Perempuan tu nak order dengan kau. Aku cakap aku boleh uruskan, dia yang tak nak. Pelanggan ni kita kena hormat permintaan mereka. Etika penjual, kau ingat lagi?” Adi mengerling dengan pandangan sinis. Dulu Dierall sendiri pernah memberi ceramah dengannya tentang etika penjual. Masakan Dierall sudah lupa tentang nasihat sendiri?
“Ada-ada sajalah.” Dierall bingkas dari duduknya. Berkira-kira juga hendak menghampiri gadis itu. Kenapa mesti aku yang kena uruskan? Getusnya. Langkahnya terkunci masih terfikir-fikir.
“Pergi aje lah!” Paksa Adi.
Dierall menghembus nafas. Langkah dikemudi perlahan. Sedikit gusar bermain di hati. Tidak tahu atas tujuan apa gadis itu bersungguh-sungguh untuk bertemu dengannya. Bukan tidak ada Adi, gadis itu yang saja-saja suka.
“Ehemm...” Dehem Dierall dari belakang. Sedikit tersentak, gadis itu seraya berpaling.
“Hai, Rall!” Dierall mengangkat kening. “Oh, maksud saya Encik Dierall.” Shurie menayang gigi, tersengih-sengih dengan kehadiran lelaki itu.
“Cik Shurie nak buat order apa? Kawan saya kat depan tu pun boleh uruskan untuk cik.” Kata Dierall tanpa bertapis-tapis. Jari telunjuknya sudah mengunjuk ke arah Adi yang memerhati ke arah mereka.
“Memang saya nak buat order. Tapi...”
Dierall mengetap bibir. Tertunggu-tunggu ayat seterusnya.
“Eh, saya dengar awak masuk hospital dua minggu lepas, betul ke?” Laju saja Shurie menukar topik perbualan.
“Mana awak dengar cerita ni?”
“Kawan awak tu yang cakap.” Shurie memuncungkan bibir mengunjuk ke arah Adi. Dierall sekadar memandang kosong pada wajah sahabatnya itu sebelum berpaling semula ke wajah Shurie.
“Beberapa hari lepas pun saya ada datang sini jugak, tapi tak nampak awak. Rupanya awak masuk wad. Awak sihat ke?” Soal Shurie yang tampak berminat.
“Masa tu saya demam panas aje. Tak ada apa-apa yang serius.”
“Baguslah!” Sahut gadis itu senang.
“Jadi, awak nak order apa?” Dierall beralih semula kepada topik asal. Tidak ingin bicara lama dan lari dari tujuan sebenar.
“Saya nak tempah dua tiga jenis buku akademik. Apa-apalah, yang penting buku akademik.” Kata gadis itu bersama lirikan senyuman.
“Oh, berapa naskhah?”
“300 naskhah boleh?” Spontan jawapan diberikan.
“Banyaknya. Untuk apa buku akademik sebanyak tu? Awak ni cikgu ya?” Dahi Dierall berkerut lagi.
“Tak adalah. Saya cuma bermurah hati nak dermakannya pada anak-anak yatim.”
“Tak sangka eh?” Dierall bagai tidak percaya. Gadis yang dikenalinya hasil daripada pertelingkahan di kedainya suatu ketika dulu, rupa-rupanya seorang yang bermurah hati.
“Tak sangka apa pulak? Mesti awak fikir saya ni jahat kan?” Dierall tertawa mendengar omongan gadis itu. Perbualan keduanya kian rancak disisipkan dengan gelak tawa.
Dari jauh Nia memerhati kemesraan yang tercipta antara Dierall dengan seorang gadis yang tidak dikenali di satu sudut. Dia seraya merapati kaunter hadapan memandangkan Adi masih berlegar di situ. Novel yang digenggam sudah diletakkan di kaunter pembayaran. Namun, anak matanya tidak berganjak dari memerhatikan tingkah dua manusia di hadapannya.
“Beli novel ni Nia?” Sapa Adi sambil membelek-belek novel yang sudah berpindah ke tangannya.
Nia yang bagaikan tersedar pantas menoleh. Satu senyuman hambar dilemparkan kepada Adi. Segera Nia mengangguk sebelum dia berkalih pandang ke sudut tadi.
“Siapa tu?”
“Mana?” Pandangan Adi bagai berlari-lari ke setiap penjuru. Mencari-cari gerangan yang dimaksudkan dalam pertanyaan Nia.
“Perempuan yang bersama Dierall tu?” Kata Nia satu persatu.
“Oh, yang tu pelanggan kami. Namanya Cik Shurie.”
“Shurie?” Adi mengangguk meski tidak kelihatan di mata Nia. Pandangan Nia masih dilemparkan tepat ke arah tadi.
“Dierall macam dah kenal rapat aje dengan perempuan tu.”
“Entahlah Nia. Cik Shurie tu datang nak buat tempahan, pasal tu lah saya mesej Dierall tadi.”
“Eh, awak tak boleh uruskan untuk Rall ke?” Dengan nada sedikit melenting, Nia berpaling ke arah Adi. Sekeping wang kertas bernilai RM50 dihulurkan kepada lelaki itu.
“Dia yang nak Rall uruskan. Pelanggan ni kita kena hormat.” Adi mengeluh dalam hati. Sudah berapa kali ayat yang sama dilemparkan semata-mata menghindarkan dirinya dari tempias kesalahan.
Nia diam. Sempat otaknya ligat berfikir. Kenapa perempuan tu beria-ria sangat nak Rall uruskan untuk dia? Adi kan ada. Nia mendengus dalam hati. Tiba-tiba satu perasaan aneh lahir dalam rongga hatinya. Terasa sedikit sakit melihat gelak tawa yang tercetus antara mereka berdua.
Dierall pula bagai tidak sedar dengan riak kurang senang Nia. Sedari tadi gadis itu memerhati lagaknya, namun langsung lelaki itu tidak menoleh. Apa dia terleka kerana terlalu asyik berbual dengan gadis itu?
“Ni novel awak dengan bakinya sekali.” Perlahan-lahan Adi menghulurkan wang itu kepada Nia. Gadis itu menoleh dengan riak masam mencuka.
“Terima kasih.” Ucapnya ringkas.
“Sama-sama.” Adi cuba menguntum senyum. Terasa cuak melihat wajah Nia yang tiba-tiba berubah. Senyuman manis yang pada awalnya kini berubah suram.
“Nanti awak pesan kat Dierall, cakap kat dia yang saya balik sendiri!”
“Eh, tak nak...” Belum sempat Adi menghabiskan ayat, Nia sudah berganjak pergi meninggalkan kaunter. Gadis itu tergesa-gesa membawa langkah keluar dari kedai. Adi pula termangu sendiri. Pandangan dibuang pula ke arah Dierall. Masaklah kau Rall! Buah hati dah cemburu.

DIERALL memandang telefon bimbit di atas meja. Dia tidak tahu mengapa tiba-tiba dia resah. Sejak pulang dari kedai bukunya petang tadi, dia rasa bagai ada sesuatu yang tidak kena. Puas dia berfikir, namun gagal mencari jawapan bagi persoalannya itu.
Dia cuba mendail nombor telefon Nia. Lama dia menanti dan akhirnya hanya masuk ke dalam peti pesanan suara. Jarang gadis itu mematikan telefonnya meskipun gadis itu sedang merajuk atau ada urusan penting.
Sekarang sudah jam 11.00 malam. Masih tiada tanda-tanda Dierall hendak melabuhkan tirai malam walaupun dirinya terasa lesu. Dia risaukan Nia. Petang tadi, ketika sedang sibuk berbual dengan Shurie, dia tidak teringat langsung akan janjinya untuk menghantar gadis itu pulang.
Sedar-sedar saja, gadis itu sudah menghilang dari kedai. Bila ditanya pada Adi ke mana menghilangnya Nia, lelaki itu cuma menyatakan Nia sudah pergi dan Adi menyampaikan pesan daripada gadis itu.
Sekali lagi Dierall cuba mendail. Namun, masih tetap sama, masuk ke peti pesanan suara. Beberapa kali dicuba, begitulah jawapan yang diterima. Dierall mengeluh berat. Seakan ada yang tidak kena dengan perangai Nia. Kata-kata Adi turut terngiang-ngiang.
“Itulah kau, layan sangat Cik Shurie tu sampai lama si Nia tu perhatikan kau. Bukannya kau nak sedar. Tengok! Dah merajuk! Aku tak tanggung Rall.”
“Merajuk sebab apa?” Dierall berbisik. Dia bagai tidak dapat menangkap maksud tutur kata Adi petang tadi. Nia cemburukah?
“Takkanlah nak cemburu. Setakat berbual kosong. Lagipun, aku dengan Nia cuma kawan sekarang. Dia sendiri yang cakap macam tu.” Dierall berkata sendiri. Tidak ingin menduga jauh. Takut nanti akan memberi harapan pada diri sendiri. Almaklumlah, kalau Nia cemburu, tandanya gadis itu masih sayang! Atau mungkin masih cinta! Ah, jangan berharap sangat! Dierall cuba menafikannya.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...