Sabtu, 7 Jun 2014

AKU DI HATIMU - BAB 7






Badri merenung helaian kertas putih bercetak dakwat hitam di atas meja. Sedikit keluhan dilepaskan sambil menyandarkan tubuhnya ke kerusi. Sesekali dia merenung ke luar pejabat yang hanya dipisahkan dengan dinding kaca. Kelihatan beberapa orang staf sedang sibuk di meja kerja masing-masing.
            
Setengah jam tadi dia baru selesai menghadiri mesyuarat bersama staf Jabatan Pemasaran Permata Vista di tingkat tiga bangunan itu. Ayahnya Badrul dan Datuk Rashidi awal-awal lagi sudah keluar dari pejabat untuk menyelesaikan beberapa urusan lain bersama klien syarikat. Tugas mengendalikan mesyuarat hari itu diserahkan sepenuhnya kepada Badri.
            
Badri  mencapai telefon bimbitnya di sisi meja. Dia berniat hendak menghubungi Kiera. Sejak peristiwa di butik dua hari lepas, Kiera menjadi semakin dingin macam benua Antartika, sukar hendak dicairkan. Walaupun kali ini Badri tidak membuat aduan kepada Rashidi tentang kejadian tempoh hari, namun Kiera tetap juga acuh tidak acuh terhadap dirinya. Badri mengeluh lagi, mungkin dia perlu merangka strategi baru dengan tidak melibatkan Rashidi.
            
Badri melekapkan telefon bimbit ke telinga. Talian telefon Kiera berjaya ditembusi namun seperti biasa cubaan kali pertama dan kedua pasti gagal. Badri menghubungi lagi buat kali ketiga. Panggilan itu juga dialihkan ke peti pesanan suara.
            
Badri mengeluh. “Payah benar si Kiera ni nak angkat panggilan,” getus Badri geram. Samsung Galaxy S5 miliknya diletakkan semula di sisi meja. Dia kemudiannya melentokkan kepala ke kerusi sambil memicit-micit dahinya yang terasa kurang enak. Hari itu dia terlalu banyak berfikir membuatkan kotak fikirannya jadi sesak macam sesaknya pasar malam Downtown.
            
Pada masa yang sama, Rashidi sedang memerhatikan tingkah Badri dari luar dinding kaca pejabat. Beberapa minit tadi, dia dan Badrul baru tiba di pejabat sewaktu Rashidi meminta diri untuk ke tingkat empat. Badrul pula terus membuka haluan ke pejabatnya di tingkat lima.
            
Rashidi tersenyum memandang Badri. Jejaka berusia 27 tahun itu telah banyak mencurahkan bakti kepada Permata Vista demi membangunkan syarikat itu. Jika Rashidi bergantung harap sepenuhnya kepada Hana dan Kiera, gamaknya lambat lagilah Permata akan mengaut keuntungan besar. Oleh itu, Rashidi berasa terhutang budi atas segala pengorbanan Badri terhadap syarikat hasil perkongsian keluarga itu.
            
“Jauh kau termenung, Badri?”
            
Pandangan Badri segera berkalih ke wajah Rashidi yang sudah tegak dihadapannya bersama senyuman. “Eh, ayah! Bila ayah sampai?” Badri menegakkan postur tubuh lalu menghadap Rashidi. “Duduklah, ayah...” pinta Badri kemudian. Wajah senja itu kelihatan tenang menuruti permintaannya.
             
“Kau sihat ke tak ni, Badri? Ayah tengok pucat aje muka kau tu,” soal Rashidi sambil menyandarkan tubuhnya. Wajah Badri direnung untuk memastikan sama ada sangkaannya tepat atau tidak.
            
“Badri sihat aje, ayah...” jawab Badri bersahaja. Sikap ambil berat Rashidi terhadap dirinya sama seperti sikap Badrul sebagai ayah kandung Badri.
            
Selama bersama keluarga Datuk Rashidi sejak berusia 10 tahun lagi, dia sudah terbiasa membahasakan Rashidi sebagai ayah. Lebih-lebih lagi setelah arwah ibunya meninggal dunia ketika usianya mencecah 17 tahun, dia semakin akrab dengan keluarga itu. Tambahan pula, ketika itu Rashidi berjanji akan menyatukannya dengan Kiera. Maka, hubungan kekeluargaan itu tidak pernah goyah sehingga ke saat ini.
            
“Hmm... ayah nak tanya kau,” Rashidi memandang dengan mimik serius.
            
“Tanya apa?”
            
“Ada Kiera beritahu kau dia nak ke mana hari ni?” Rashidi memulakan topik berkenaan Kiera. Dalam perjalanan ke pejabat awal pagi tadi dia sudah memikirkan perkara itu. Dia ingin memastikan sama ada Kiera benar-benar berpegang pada kata-katanya ataupun tidak. Sesekali, Rashidi harus menyiasat sendiri tentang sikap anak bongsunya itu selain hanya menerima laporan daripada Badri hampir setiap hari. Ada waktunya, dia perlu bersikap adil terhadap anak kandung sendiri.
            
“Tak ada pula. Dia ke mana?” Badri mula memberikan perhatiannya terhadap pertanyaan Rashidi. Sehingga ke detik ini, Kiera sama sekali tidak menghubunginya untuk memaklumkan perkara itu. Malah, Badri sendiri tidak berhasil menghubungi gadis itu lewat telefon bimbitnya.
            
Rashidi mengeluh geram. “Kiera ni memang degil. Ayah dah pesan pada dia supaya maklumkan pada kau kalau dia nak ke mana-mana,” jelas Rashidi, agak kecewa dengan sikap Kiera yang sekadar memandang remeh terhadap arahannya awal pagi tadi.
            
“Tak apalah, ayah. Badri boleh uruskan sendiri perkara ni. Nanti Badri call dia,” pujuk Badri selepas melihat air muka Rashidi yang tiba-tiba bertukar tegang. Memang begitulah respon Rashidi setiap kali mendapati ada suspek yang berani melanggar peraturannya.
            
“Dah banyak kali ayah ingatkan Kiera yang dia tu dah jadi tunangan orang. Tapi masih lagi nak buat perangai,” omel Rashidi. Dia dapat merasakan bahawa sikap Kiera saban hari kian sukar dikawal. Itu bermakna Kiera sudah berani melancarkan perang besar-besaran terhadap dirinya.
            
“Tak apalah, ayah. Badri rasa kita ni terlalu berkeras dengan Kiera, sebab tu dia memberontak. Jangan nanti dia buat demonstrasi tunjuk perasaan pula semata-mata untuk protes kita,” Badri cuba menjadikan keadaan lebih santai antara dia dan Rashidi. Ayah tunangnya itu kelihatan agak beremosi. Tetapi, kadang-kadang dia juga akan ikut emosi kalau tidak mampu menahan diri dari gelojak kemarahan.
            
Rashidi tidak membalas kata-kata Badri. Sebaliknya dia hanya mendiamkan diri sambil mengurut-urut dagu seakan-akan sedang memikirkan sesuatu. “Hmm, kau jangan manjakan sangat si Kiera tu, Badri...” nasihat Rashidi kepada Badri. Dia khuatir Kiera akan bertindak di luar dugaan.
            
“Badri tahu apa Badri buat, ayah...” ucap Badri demi menenangkan hati Rashidi.


***


Kiera dan Fazrin menyaingi langkah Zaff sebaik sahaja mereka tiba di sebuah restoran makanan barat yang terletak di dalam bangunan Pusat Beli Belah Mid Valley itu. Mereka memilih tempat paling hujung dalam restoran memandangkan kawasan itu sedikit terlindung dan tidak terlalu hingar.
            
Zaff mengangkat tangan, menggamit salah seorang pelayan yang ada di situ. “You all nak makan apa, order aje. Jangan segan-segan pula dengan aku ni,” pinta Zaff dengan sopan. Setelah sekian lama tidak berjumpa, ternyata Zaff kelihatan sedikit kekok meladeni keduanya.
            
“Siapa yang segan sebenarnya ni?” Fazrin mengusik.
            
Zaff hanya ketawa. Begitu juga Kiera. Pelawaan Zaff untuk makan tengah hari bersama diterima baik tanpa perlu menandatangani sebarang surat perjanjian. Lebih-lebih lagi si Fazrin yang sememangnya terkenal dengan sikapnya yang kuat melantak. Badan nampak kecil, tapi selera macam sepuluh orang berbadan besar. Pantang sekali kalau ada orang kata nak belanja makan, pasti disambut dengan hati terbuka.
            
“Eh, aku nak ke toilet dulu! Kau orang order aje apa-apa untuk aku, ya? Yang penting bukan makanan berasaskan ikan,” pesan Fazrin sebelum terburu-buru berlalu meninggalkan Kiera dan Zaff.
            
“Hani tu tak pernah berubah kan?” Zaff ketawa seraya memandang tubuh Fazrin yang berlalu semakin jauh. Kiera tersenyum tanda setuju dengan kenyataan Zaff. Namun, perbualan mereka terhenti apabila seorang pelayan lelaki menghampiri mereka.
            
“Kekok pula aku dengar kau panggil dia Hani. Yalah, dah lama tak dengar orang panggil dia macam tu. Kaulah satu-satunya,” ucap Kiera setelah pelayan itu berlalu sesaat dua kemudian.
            
“Dulu, dia marah betul bila aku panggil dia dengan nama tu. Katanya tak sesuai dengan penampilan dia yang brutal tu. Aku ni dulu kan kaki sakat, tahu aje dia tak suka nama tu, aku terus guna untuk sakat dia. Sampai sekarang nama tu melekat,” cerita Zaff dengan gelak tawa. Dia masih dapat membayangkan wajah Fazrin sewaktu marah gara-gara tidak suka disakat dengan nama panggilan itu.
            
“Brutal ke? Dengan cicak pun dia takut sampai terlompat-lompat...” sahut Kiera. Kelemahan Fazrin yang satu itu yang paling dia ingat. Mana tidaknya, nampak saja cicak ciptaan Tuhan itu merayau-rayau di siling bilik, mulalah dia angkat kaki melompat macam Spiderman atas katil. Cicak betina nak dating dengan cicak jantan pun tak senang dibuatnya. Langsung tak ada privasi apabila Fazrin asyik terjerit-jerit tengok mereka bercengkerama.
            
Zaff ketawa lagi. Dia juga tahu tentang kelemahan Fazrin yang satu itu sejak zaman persekolahan lagi. Zaff pernah buat Fazrin menangis bagai nak rak gara-gara terjumpa bangkai cicak dalam bekas penselnya. Fazrin mengesyaki Zaff sebagai dalang kejadian itu, namun Zaff tidak mahu mengaku dan sehingga ke saat ini perbuatan nakalnya itu masih menjadi rahsia turun temurun.

“Bila kau balik Malaysia?” Kiera bertanya, mematikan kebisuan yang tiba-tiba membelenggu. Tidak semena-mena Kiera jadi tidak selesa apabila ditinggalkan berdua dengan Zaff dalam keadaan membisu begitu. Sekurang-kurangnya jika mereka berbual tentang sesuatu isu, tidaklah Kiera nampak janggal.
            
“Dua bulan lepas...” Zaff tersenyum.
            
“Oh, ya ke?”
            
Zaff mengangguk.
            
“Dah dua bulan kau kat sini, baru hari ni kita dipertemukan. Aku ingatkan kau baru aje sampai,” balas Kiera seraya tersenyum manis. Sepatah dia tanya, sepatah juga jawapan Zaff.
            
Zaff berlagak tenang sedang hatinya runtun melihat wajah manis itu di depan mata. Suatu ketika dulu, dia pernah menyimpan perasaan terhadap gadis itu namun ia tidak terluah sama sekali. Hari ini dia dapat merasakan perasaan yang sama hadir seperti tujuh tahun yang lalu, sewaktu mereka masih di Tingkatan 5. Tetapi sayang, Kiera tidak pernah menyedarinya.
            
“Setidak-tidaknya kita masih dipertemukan...” ucap Zaff dengan tenang.
            
Kiera terus tersenyum. Tiba-tiba pula dia tiada modal untuk bercerita. Keadaan menjadi sunyi sepi lagi. Namun beberapa ketika kemudian, Fazrin muncul sekali gus menjadi heroin sejati untuk menyelamatkan keadaan antara Kiera dan Zaff yang mulai membisu.
            
“Lama betul kau ke toilet? Kau melepas ke?” Kiera menjeling Fazrin di sisi. Kawannya itu sedang sibuk menilik baju yang dipakai sambil mengelap kesan air yang terpercik ke situ.
            
Of courselah kena buang semua sisa dalam perut ni dulu sebelum masukkan yang baru. Rugi tau tak makan banyak. Lebih-lebih lagi bila ada abang handsome dari London nak belanja...” seloroh Fazrin sambil mengerling Zaff yang sudah tersengih di tempat duduk sebelah.


***


Badri melangkah keluar dari sebuah restoran setelah selesai mengisi perut awal tengah hari itu. Ketika itu juga Samsung Galaxy S5 miliknya tiba-tiba berbunyi. Badri menyeluk ke dalam saku seluar slack hitam yang dipakai untuk mendapatkan telefon bimbitnya.
            
“Hello, Khairul! Ada apa?” soalnya selepas menjawab panggilan itu. Dia terfikir-fikir, kenapa tiba-tiba saja kawan merangkap staf sepejabatnya itu menghubunginya pada waktu-waktu begini?
            
“Kau kat mana? Aku nak jumpa kau, ada benda nak bincang,” jawab Khairul di hujung talian.
            
“Pasal apa?”
            
“Pasal tender kita...”
            
“Lepas ni kita jumpa di pejabat. Lagi setengah jam aku sampai,” balas Badri sambil mengerling muka jam di tangan. Dia menamatkan panggilan sebaik suara Khairul tidak lagi kedengaran.

Badri meneruskan langkah menuju eskalator untuk ke tingkat bawah. Sempat matanya melilau ke sekeliling. Ketika itu, tanpa disengajakan mata Badri seperti terlihat akan sesusuk tubuh yang cukup dikenali sedang beriringan dengan seorang lelaki asing. Langkah Badri terhenti sambil matanya terus memerhati ke tubuh itu.

“Kiera?” bisik Badri.

Tanpa berfikir panjang, Badri lantas membawa haluan menuju ke arah pasangan yang kelihatan mesra di pandangannya itu. Hatinya tiba-tiba panas bagai sedang dibakar dengan api yang marak.

“Kiera!” panggilnya geram.

Gadis itu menoleh. Jelas dan tepat, sangkaan Badri tidak salah. Gadis yang dilihat bersama seorang lelaki itu memang betul Kiera Kamellya, tunangannya. Lelaki di sisi Kiera turut memandang ke arahnya. Wajah bersahaja itu direnung dengan air muka yang tegang. Badri sama sekali tidak mengenali lelaki itu.

“Badri, you buat apa kat sini?” Kiera berkira-kira untuk bertanya. Dia benar-benar tersentak dengan kehadiran Badri. Pasti tunangnya itu mahu mengamuk. Mana tidaknya, panggilan dari Badri tadi langsung tidak diendahkan. Sekarang, dia tertangkap sedang berjalan berdua dengan Zaff pula. Semakin panaslah hati Badri dibuatnya.

“Sepatutnya I yang tanya you. You buat apa kat sini dengan mamat ni?” tempik Badri tidak semena-mena.

Sorry, encik. Saya tak kenal siapa encik, tapi boleh tak encik cakap elok-elok. Kita ni di kawasan public...” Zaff bersuara, cuba membuka mata lelaki itu bahawa tingkah laku mereka sedang diperhatikan orang sekeliling. Takut nanti kejadian itu menjadi bahan bualan dan tidak pasal-pasal masuk newspaper. Imej mereka juga yang akan turun saham gara-gara berita buruk tersebar.

“Kau tak payah nak tunjuk baik. Kau ingat aku tak tahu apa niat lelaki macam kau ni?” Badri menuding jari ke muka lelaki itu.

“Eh, kau jangan kurang ajar sangat! Aku dah cakap elok-elok dengan kau,” Zaff tiba-tiba hilang sabar. Dari zaman sekolah lagi dia memang pantang kalau ada orang berani tinggikan suara pada dia. Kalau diikutkan hati, memang lunyai lelaki itu dia kerjakan. Tetapi, Kiera menghalang.

“Sabar, Zaff...” pinta Kiera kepada Zaff.

Zaff merenung Badri. Sesaat dua kemudian dia mengalihkan pandangan demi meredakan kemarahan yang tiba-tiba datang pada saat lelaki itu tidak menunjukkan respon yang baik terhadap nasihatnya sebentar tadi.

Kiera memandang Badri. Dia cuba bernafas dengan selesa meskipun ketika itu dadanya penuh sesak. Mujur Zaff masih boleh bersabar ketika Kiera memintanya untuk bertindak begitu.

“Jadi, sebab inilah you tak jawab panggilan I? Sebab you nak berfoya-foya dengan lelaki lain?” Badri terus menempik.

“Badri, you jangan salah faham. You dengar dulu apa I nak cakap,” ucap Kiera dengan tenang. Dia khuatir Badri akan bertindak mengikut hati panasnya detik itu. Bukan dia tidak kenal sikap Badri sewaktu tengah baran. Anek hasutan boleh merasuk fikiran lelaki itu.

You nak cakap apa? Sudah terang-terang depan mata I, you keluar berdua-duaan dengan lelaki ni. You tak sedar diri lagi? You tu tunangan orang,” Badri menempik lagi. Dia sudah tidak peduli dengan pasang-pasang mata yang sedang memerhatikan mereka.

Zaff tersentak mendengar kata-kata lelaki itu. Benarkah kenyataan bahawa Kiera sudah menjadi tunangan orang? Zaff membisu sedang dirinya meladeni hati yang tidak semena-mena sakit sewaktu kenyataan tentang status Kiera terbongkar. Air mukanya tiba-tiba berubah.

“Badri! You ni kenapa? Nak mengamuk tak tentu pasal. You dengar dulu apa yang I nak cakap. Tak payah nak berdrama sangatlah kat sini,” Kiera naik geram. Kadang-kadang perangai Badri macam budak-budak, degil dan keras kepala macam kerikil. Bukannya mahu mendengar dan duduk berbincang baik-baik. Apa yang Badri tahu hanyalah mengamuk macam orang gila.

Fazrin yang baru keluar dari kedai cenderahati terus meluru mendapatkan Kiera, Zaff dan Badri yang sedang bertegang urat di khalayak selepas anak matanya menangkap susuk tiga manusia itu yang sedang menjadi perhatian. Sudah macam talk show Fazrin tengok.

“Kiera, kenapa ni?” Fazrin mencelah. Wajah Badri yang memerah dipandang sejenak sebelum berkalih ke wajah Zaff yang kelihatan resah di sisi Kiera. Zaff seperti sedang buntu dengan keadaan itu.

“Kau tanyalah Badri sendiri. Tiba-tiba nak mengamuk depan orang ramai,” ucap Kiera, menyelar perbuatan Badri yang kurang menyenangkan.

Fazrin sekali lagi memandang Badri. Walaupun tidak mengalami perkara itu dari pangkal hingga ke hujung kejadian, Fazrin sudah dapat meneka kenapa Badri tidak semena-mena jadi singa jantan. Pastinya lelaki itu cemburu dengan Zaff. Fazrin juga tidak menyangka yang tindakannya meninggalkan Kiera berdua dengan Zaff akan menimbulkan kekecohan. Entah dari mana si Badri ni muncul? Suka sangat datang pada waktu yang salah.

“Badri, kau jangan salah faham. Kiera keluar dengan aku tadi. Lepas tu, kita orang terserempak dengan si Zaff ni,” Fazrin mengunjuk ke arah Zaff. Kemudian, pandangannya kembali rebah ke muka Badri sambil tersenyum sinis. “Kalau Encik Badri nak tahu, Zaff ni kawan sekolah menengah kita orang. Jadi tak payahlah nak cemburu bagai. Tak baik untuk kesihatan, Encik Badri...” ulas Fazrin lagi demi menutup mulut Badri yang hanya tahu mempertahankan diri sendiri.

Badri merenung Fazrin. Dia tahu gadis itu memang petah berkata-kata untuk menutup kesalahan Kiera. Kes subahat Kiera dengan Fazrin suatu ketika dulu masih segar dalam ingatan Badri. Dek kerana sejarah hitam itu, Badri ternyata sukar untuk menaruh kepercayaan kepada Fazrin.

“Kau tak payah nak mempertahankan si Kiera ni,” ucap Badri lalu menarik lengan Kiera.

“Eh, you ni kenapa?” Kiera menepis genggaman Badri.

You ikut I balik sekarang,” arah Badri lalu merenggut kasar lengan Kiera sekali lagi. Kiera tidak akan menurut kehendaknya andai dia tidak berkeras.

“Eh, Badri! Aku nak balik macam mana? Aku datang tadi naik teksi aje tau?” Fazrin cuba menghalang. Harapannya, Badri mahu melepaskan Kiera balik bersamanya memandangkan Kiera juga sudah berjanji untuk menghantarnya pulang. Namun, kata-kata itu sekadar masuk ke telinga kanan Badri dan terus keluar ikut telinga kiri.

Pada saat Kiera terpaksa menuruti langkah Badri, sempat dia menghantar isyarat tangan kepada Fazrin supaya menunggu panggilannya. Fazrin mengangguk dan memahami situasi sukar yang melanda sahabatnya detik itu. Dia tidak tahu apalah nasib Kiera sewaktu bersama Mr. Hulk itu nanti. Fazrin sudah mencuba yang terbaik untuk meleraikan kekusutan dan berharap yang Badri tidak akan meletakkan sebarang hukuman berat kepada Kiera selepas kejadian yang tidak disengajakan itu.

Fazrin memandang Zaff di sisi. Dari air wajah itu, Fazrin dapat merasakan bahawa fikiran Zaff sedang dipenuhi dengan tanda tanya. “Kau okay, Zaff?” Fazrin menyoal untuk kepastian.

“Hmm, entahlah...” Zaff menjawab tenang. Dia sebenarnya sedang keliru dengan keadaan. Dia tidak tahu hendak memberikan jawapan apa atas pertanyaan Fazrin sebentar tadi. Dia tiba-tiba buntu!

“Kau jangan ambil hati sangat dengan si Badri tu. Dia memang sewel sikit,” Fazrin tersenyum. Dia cuba mengambil hati Zaff yang mungkin terguris dengan perangai tunang Kiera yang kurang wajar.

Zaff membalas kata-kata Fazrin dengan senyuman nipis. “Jomlah, aku hantar kau balik!” tawar Zaff kemudian.

“Tak menyusahkan kau ke ni?”

“Tak adalah!”

Fazrin tersenyum. Kemudian, mereka beriringan menuju ke tingkat bawah bangunan. Perancangan hari itu tidak berjalan dengan lancar dek kerana Badri tiba-tiba muncul lalu melancarkan perang dunia. Alamatnya, Kiera akan mengisytiharkan darurat dalam sedikit waktu saja lagi.








1 Curahan Hati:

Nor berkata...[Reply to comment]

Kak, next! hehe. best!