Sabtu, 31 Mei 2014

AKU DI HATIMU - BAB 1




Kiera Kamellya mengerling telefon bimbitnya yang diletakkan di sisi meja. Ketika itu, nama Badri jelas tertera pada skrin. Masuk kali ini sudah tujuh kali panggilan Badri dibiarkan tidak berjawab. Kiera rimas. Sikap Badri semakin hari semakin sukar difahami. Kalau Kiera kata dia mahukan kebebasan, Badri akan cepat-cepat ikat dia dengan perjanjian orang tua mereka yang langsung tidak masuk akal pada fikiran Kiera.
           
Sejak kecil Kiera dan Badri tidak sebulu tetapi orang tua mereka tetap mahu mereka disatukan atas alasan kedua-dua belah keluarga akan kekal berhubungan seperti mana kukuhnya persahabatan antara Datuk Rashidi dan Tuan Badrul, ayah mereka.

Kiera merasakan bahawa kisah cintanya dengan Badri boleh diibaratkan seperti kisah cinta dalam novel, segalanya telah dirancang dengan teliti hingga akhirnya dia terpaksa akur dengan desakan Datuk Rashidi untuk menerima lamaran Badri. Eh, boleh ke kisah antara aku dengan Badri ni dianggap sebagai kisah cinta? Kiera menggeleng laju. Mana boleh! Aku tak cintakan dia sama sekali. Dia aje yang terkejar-kejarkan aku. Wajah Kiera mencuka.

Dia sedar bahawa selama ini dia tidak pernah merasakan perasaan indah itu melekat dalam hatinya. Apabila bersama Badri, tidak pula dia senyum sampai ke telinga walaupun mereka pernah duduk makan Cornetto sama-sama. Apatah lagi hendak merasa rambut berurai ditiup angin sambil dada berdegup kencang macam heroin filem Hindustan setiap kali mereka dilamun cinta.

Kiera terus melayan perasaan. Jus Lemon yang berbaki separuh di atas meja hanya dipandang kosong. Deringan telefon untuk kesekian kalinya membuatkan anak mata Kiera tertumpu ke muka skrin. Kali ini panggilan itu bukan daripada Badri. Kiera mengerutkan dahi sambil tangannya mencapai telefon bimbit di sisi meja. Dia hairan melihat satu nombor asing tertera di situ.

“Hello,” ucap Kiera selepas panggilan itu dijawab.

“Eh, nak pula you jawab panggilan dari nombor yang you tak kenal ya?” Tanpa menjawab sapaan Kiera, suara garau itu terus menerjah ke gegendang telinga dengan sindiran sinis.

Kiera terdiam. Suara lelaki itu kedengaran tidak asing lagi di telinganya. Namun dia tidak berani menduga sebelum benar-benar pasti dengan apa yang sedang bermain di benaknya saat itu.

“Hello, Ira! Kenapa you diam aje?”

Suara itu kedengaran lagi. Kali ini Kiera semakin yakin bahawa terkaannya tidak mungkin salah. Dari caranya memanggil Kiera dan juga caranya membahasakan diri membuatkan darjah keraguan Kiera mendadak turun.

“You nak apa cari I ni, Badri?”

“Eh, takkan I tak boleh cari tunang sendiri?”

Kiera terdiam lagi. Dia sedar akan hakikat statusnya kini sebagai tunangan orang sudah tidak boleh diragui. Tiga bulan yang lepas, dia telah menggugurkan status ‘single’ miliknya selepas menerima lamaran dari keluarga Tuan Badrul. Itupun atas desakan Datuk Rashidi, ayahnya yang keras kepala dan sukar diprotes. Sampai ke saat ini, hati Kiera tetap tidak rela. Lebih-lebih lagi apabila Badri mula tunjuk belang dengan perangainya yang suka mengongkong kehidupan Kiera.

“Hmm, nombor siapa pula you guna ni?”

You tak payah tahu. Sekarang I cuma nak tahu you dekat mana? I call langsung you tak angkat. You ingat I ni tunggul?”

“Kalau sehari you biarkan I bersendirian tak boleh ke? You ingat I ni robot? Boleh you control sana sini?” Bebel Kiera. Panas sungguh hatinya dengan kata-kata Badri. Lelaki itu cuma tahu mencari kesalahannya saja. Kesalahan sendiri dibuang ke laut.

You tu tunang I, Ira. Jangan pura-pura tak tahu pula. Kalau you nak pergi mana-mana you kena beritahu I. Jangan anggap I ni tak pernah wujud,” omelan Badri semakin pedas menusuk ke gegendang telinga Kiera.

“Lagi bagus kalau you tak pernah wujud,” bisik Kiera berbaur perasaan geram.

“Apa you cakap?”

“Tak ada apa-apalah. I nak balik ni. You tak payah risaulah,” Kiera beralasan. Dia sudah malas hendak melayan omelan Badri. Dia cukup yakin yang Badri akan terus menggali maklumat tentang keberadaannya. Bukan dia tidak tahu, semenjak dua menjak ini sikap Badri semakin menjengkelkan. Mungkin lelaki itu telah melapor diri sebagai Inspektor Polis sehingga aneka soalan dirangka setiap kali Kiera hilang dari radar kawalannya.

“Pastikan you betul-betul balik. Sampai aje kat rumah nanti, I nak you call I dan bagi I cakap dengan ayah you, faham?” Arah Badri tegas tanpa menghiraukan keluhan Kiera di hujung talian.

‘Kalau si Badri ni ada depan mata, dah lama aku cekik-cekik sampai biru,” Kiera mengomel sendiri. Ketika itu juga, dia sedang menahan perasaan yang sedang membuak-buak. Nasib baik aku ni manusia, masih boleh berfikiran waras. Kalau aku ni gunung berapi, dah lama lava ni aku muntahkan. Biar si Badri tu hangus rentung dan tak lagi mengganggu ketenangan aku.

You faham ke tak ni?” Badri bertanya untuk memastikan arahannya jelas di pendengaran Kiera.

“Baiklah big boss. Nanti I call you balik, bagi ayah I bergayut dengan you puas-puas biar sampai patah semua dahan.”

“Perli ke apa?”

“Eh, tadi tu nasihat aje... Okay, roger and out!” Kiera segera mematikan talian sebelum Badri membebel lebih panjang. Dia mengeluh untuk kesekian kali. ‘Macam manalah aku boleh dapat tunang ‘remote control’ macam tu? Takkan hari-hari nak kena buat laporan dengan dia. Eh, tak ada privacy langsunglah!’

Kiera bingkas dari tempat duduk dan berlalu ke kaunter pembayaran. Niat hendak ke rumah Fazrin selepas minum petang itu terpaksa dilupakan dek kerana perintah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Badri Hazmi yang harus dituruti dengan kadar segera. Jika tidak, seluruh buana ini akan mendapat musibah terutamanya Kiera. Bukan setakat Badri, Datuk Rashidi juga akan menjatuhkan hukuman berat ke atas pundaknya. Seram pula rasanya apabila Kiera membayangkan kata-kata sendiri.