Khamis, 5 Jun 2014

AKU DI HATIMU - BAB 6






Fazrin menyuapkan kek coklat berkrim itu ke dalam mulut. Kemudian, matanya melilau ke sekeliling. Keadaan Cafe House itu kelihatan lengang. Ketika itu, terdapat beberapa orang pelanggan yang baru tiba dan mengambil tempat duduk masing-masing. Fazrin mengeluh. Kek yang dipesan sudah separuh dimakan namun bayangan Kiera masih juga tidak kelihatan.
            
“Mana budak Kiera ni? Janji pukul 9.00 tapi dah dekat setengah jam aku tunggu anak raja ni, tak muncul-muncul juga...” leter Fazrin sambil menilik muka jam yang tersadai di pergelangan kirinya.
            
Fazrin memandang jus lemon yang tinggal separuh di dalam gelas kaca. Dia mencapai gelas itu lalu menghirup minuman dengan straw. Tubuhnya disandarkan pada kerusi. Lama menunggu membuatkan tekaknya terasa kering semula. Kalau satu jam lagi Kiera tidak muncul-muncul, mahunya bergelen-gelen air aku telan ni. Tidak putus-putus Fazrin berleter.

Tiba-tiba cuping Fazrin menangkap bunyi irama A Thousand Years nyanyian Christina Perri dari dalam beg jenama Gucci yang dibawa. “Ni mesti si Kiera yang telefon...” Fazrin yakin seratus peratus seraya meraba-raba ke dalam beg.
            
Dapat sahaja telefon Samsung itu, dia terus menilik ke muka skrin. Ternyata jangkaannya meleset sama sekali. “Kenapa pula si Sophie ni call?” Fazrin kehairanan. Setahu dia, Sophie hanya akan menghubunginya jika diperlukan sahaja. Maklumlah, kawan popular macam Sophie memang tak menang tangan nak melayan peminat. Alih-alih, dia dengan Kiera juga yang dipinggirkan.
            
“Hah, ada apa kau tiba-tiba cari aku ni?” Fazrin menyoal sebaik suara Sophie kedengaran menyapa di hujung talian.
            
“Eh, marah betul nampak!” balas Sophie, sedikit terkejut dengan nada Fazrin yang kedengaran tegang di telinganya.
            
“Tak adalah. Dah memang cara aku tegur orang,” Fazrin mengendurkan suara. Mungkin tadi dia terlalu beremosi apabila memikirkan perangai Sophie yang sering melupakan kawan. Apabila diperlukan, barulah terhegeh-hegeh nak mencari.
            
“Orang yang kau kata ni kawan kau tau, cakaplah lembut-lembut sikit. Lainlah kalau mat bangla yang telefon, bolehlah kau tinggi-tinggi suara...” ujar Sophie sambil buat-buat suara orang merajuk.
            
“Yalah! Sorry...” Mahu tidak mahu, Fazrin terpaksa mengalah. Bukan dia tidak tahu, selama ini Sophie suka berpura-pura demi mendapatkan perhatian orang. Fazrin sendiri sudah naik meluat dengan perangai buruk Sophie. Mujurlah Kiera masih mahu melayan, jika diikutkan kata hati, nak aje Fazrin buat tak kisah dengan si Sophie tu.
            
“Haa, macam tulah...!” kedengaran Sophie sedang ketawa di hujung talian.
            
Fazrin pula malas hendak melayan karenah Sophie yang sedang berbasa-basi. “Kenapa kau tiba-tiba telefon ni?” soal Fazrin, tidak sabar hendak tahu tujuan asal Sophie menelefon pagi-pagi.

‘Jangan-jangan si Sophie ni nak show off  dengan aku yang dia baru pulang dari luar negara juga. Dia bukannya nak mengalah dengan kawan-kawan lain,’ Fazrin cuba meneka sambil fikirannya teringat akan gambar-gambar percutian Sophie di Maldives yang baru dimuat turun dalam akaun Facebook miliknya dua hari lepas.
            
“Aku dengar kau baru balik dari luar negara hari tu. Sampai hati kau pergi tak beritahu aku,” luah Sophie.
            
“Alah, terus terang ajelah. Kau nak beritahu aku yang kau pun baru balik dari luar negara juga kan?” Fazrin tidak mahu berbolak-balik. Kini dia semakin yakin dengan tujuan sebenar Sophie menghubunginya.
            
“Eh, mana kau tahu ni?”
            
Fazrin sekadar mengherotkan bibirnya ke kiri dan ke kanan, tidak menjawab terus pertanyaan Sophie. Bukannya dia tidak kenal perangai Sophie yang suka menunjuk-nunjuk itu. Dia sudah lali. ‘Nasib jugalah kau ni kawan aku, kalau tak dah lama aku biarkan kau bercakap sorang-sorang macam aku buat kat abang-abang yang suka dail nombor aku untuk jual insurans tu,’ Fazrin mengomel dalam hati.

Pada masa yang sama, kelibat Kiera yang kelihatan baru menapak ke dalam kafe memancing pandangan Fazrin. Segera dia mengangkat tangan dan melambai-lambai untuk memberi isyarat kepada Kiera supaya mendekatinya di meja paling hujung.
            
“Eh, Rin! Kenapa kau diam aje ni?” Sophie kembali bersuara setelah mendapati Fazrin membisu.
            
Fazrin terlupa yang dia sedang bercakap dengan Sophie di talian kerana terleka memanggil Kiera. “Ha, hello! sorry... Kiera baru aje sampai, kita orang kat kafe ni,” beritahu Fazrin sambil memandang muka Kiera yang sudah duduk di kerusi bertentangan.

Sebaik mendengar namanya disebut, Kiera melihat Fazrin sambil buat mimik muka ingin tahu. Fazrin hanya membalas isyarat mata sahabatnya itu dengan pergerakan bibir yang memberitahu Sophie sedang berada di talian. Kiera faham dan mengangguk.
            
“Tak apalah kalau macam tu. Eh, aku nak off dulu! Aku tengah buat facial treatment ni. Nanti ada masa kita jumpa, okay?” ujar Sophie di hujung talian. Fazrin tidak membalas kata-kata itu sebaliknya dia hanya buat muka menyampah.
            
Sementara menunggu Fazrin menamatkan perbualan, Kiera menggamit salah seorang pelayan di situ. Seorang lelaki bertubuh lampai dan kurus menghampirinya dengan sekeping kad menu di tangan. Keadaan fizikal lelaki itu mengingatkan dia pada Lee Kwang Soo, artis korea dalam Program TV Running Man kegemarannya. Kiera segera membalas senyuman lelaki itu sebelum membuat pesanan.
            
Fazrin mematikan panggilan setelah yakin bahawa Sophie tidak lagi di hujung talian. Kini anak matanya tertumpu kepada Kiera yang baru selesai membuat pesanan. “Eh, apasal tuan puteri lambat? Naik kematu punggung tuan hamba menunggu kedatangan tuan puteri tau?” Fazrin mula membebel sebaik pelayan lelaki itu berlalu. Belum hilang penatnya melayan ragam si Sophie, sekarang sudah berleter pula dengan anak raja.
            
Sorrylah... aku lewat keluar dari rumah tadi. Sembang-sembang sekejap dengan Kak Hana, terleka pula dibuatnya...” Kiera memberi alasan. Gara-gara terlalu asyik berbual dengan Hana sebelum dia keluar tadi, dia terlewat setengah jam dari waktu sebenar seperti yang telah dijanjikan dengan Fazrin. Memang wajarlah Fazrin jadi singa betina apabila dia lambat tiba.
            
“Kek coklat aku ni pun dah tinggal separuh gara-gara menunggu kau,” Fazrin mencapai sudu lalu memotong bahagian kek yang tinggal di dalam pinggan. Kemudian, dia menyuapkan lagi kek itu ke dalam mulut. “Kau order apa tadi?”
            
“Aku order minuman aje. Dah sarapan kat rumah tadi,” jawab Kiera sambil memperbetulkan duduknya. Kemudian dia memandang Fazrin semula. “Eh, Rin! Kenapa Sophie buat panggilan kecemasan hari ni?” soal Kiera kemudian, tidak mahu terlepas cerita tentang keanehan Sophie. Kalau Sophie tiba-tiba telefon, mereka akan gelar panggilan itu sebagai panggilan kecemasan sebab panggilan seperti itu hanya akan berlaku pada masa-masa tertentu sahaja.
            
“Macam biasalah. Dia nak show off dengan aku,” Fazrin buat muka bersahaja sambil menghabiskan sisa kek coklatnya. Tisu di sisi pinggan dicapai untuk mengelap mulutnya yang terkena krim coklat.
            
Show off apa?” Kiera semakin berminat.
            
“Alah, dia nak tunjuk kat aku yang dia pun bercuti kat luar negara hari tu. Macamlah kau tak tahu perangai si Sophie tu,” balas Fazrin.
            
“Dia telefon kau semata-mata nak beritahu benda tu aje?”
            
Fazrin mengangguk.
            
Kiera ketawa. “Tak fahamlah aku dengan perangai si Sophie tu,” ujar Kiera lagi setelah mendapat respon Fazrin. Rambut depannya yang mengganggu pandangan mata segera diselitkan ke tepi telinga. Wajah Fazrin terus menjadi buruan mata memandangkan sahabatnya itu semakin galak bercerita.
            
“Ada satu aje tips yang boleh mengurangkan perangai aneh si Sophie ni,” Fazrin membalas pandangan Kiera.

“Apa dia?”

“Senang aje, kita buat-buat tak tahu. Pendek cerita jangan dilayan sangat, nanti menjadi-jadi,” ujar Fazrin sambil menekan-nekan telunjuknya di permukaan meja.

Kiera tersenyum. Dia tahu bahawa selama ini Fazrin memang selalu mengamalkan tips seperti itu setiap kali Sophie duduk melepak bersama mereka di kampus. Satu-satunya orang yang akan menjadi mangsa keadaan adalah Kiera. Mana tidaknya, apabila Fazrin buat-buat tidak tahu, Sophie akan lebih rancak bercerita kepada Kiera. Demi menjaga hati kawan, terpaksalah Kiera layan. Jika tidak, Sophie akan makan hati berulam jantung!


***


Kedua sahabat itu beriringan menuju ke kaunter pembayaran. Masing-masing membawa beberapa helai pakaian berjenama yang menjadi pilihan hati. Selepas singgah di kafe berdekatan dengan kawasan pusat beli-belah Sogo, Kiera mengajak Fazrin ke Mid Valley memandangkan mereka juga jarang ke situ untuk membeli-belah. Kebiasaannya, mereka akan memandu sampai ke Putrajaya untuk menghabiskan masa bersama.
            
“Aku tengok hari ni kau happy semacam aje, dapat durian runtuh ke?” soal Fazrin. Sedari tadi dia perasan akan perubahan air muka Kiera yang kelihatan lebih ceria berbanding hari-hari sebelumnya. Semestinya ada sesuatu yang membuatkan sahabatnya itu berhati girang sampai muka pun berseri-seri meski tanpa make up yang tebal. Takkan pula seri pengantin Kiera ni dah sampai? Masih ada dua bulan lagi kut nak menginjak pelamin.
            
“Kalau kau nak tahu, hari ini ayah aku izinkan aku keluar tau,” jawab Kiera penuh bangga. Dia baru teringat yang Fazrin belum dimaklumkan tentang berita yang menggembirakan itu.
            
“Eleh, ni mesti Kak Hana yang tolong cover untuk kau, kan?”
            
“Kalau tak ada Kak Hana aku tak tahulah apa nak jadi. Tapi, apa yang paling membanggakan, tadi aku minta izin dengan ayah guna mulut aku sendiri tau. Kak Hana cuma tolong memurnikan aje plan aku,” Kiera menjelaskan pencapaian terbaiknya hari itu sambil angkat kening memandang Fazrin yang sudah buat muka meluat.
            
“Jadi, Badri tahu tak kau keluar ni?” Fazrin ingin tahu sama ada Badri tahu atau tidak tentang perancangan Kiera hari itu. Dari apa yang Fazrin tahu, jika Rashidi mengizinkan Kiera keluar rumah, pasti Rashidi meminta Kiera memaklumkan perkara itu kepada Badri. Seandainya Kiera ingkar, jangan haraplah ayahnya itu akan tandatangan surat izin keluar.
            
“Ah, malaslah aku nak pedulikan dia! Dah lah buat aku sakit hati. Panas hati aku ni belum sejuk-sejuk lagi tau,”
            
“Kau jangan buat hal, Kiera. Tak pasal-pasal Badri tahu dari mulut ayah kau, mengamuk pula dia nanti...” seperti biasa Fazrin akan jadi penasihat agung.
            
“Biarlah, aku nak buat macam mana kan? Dia kenalah terima hakikat yang tunang dia ni bukan jenis perempuan yang senang dicairkan,” ucap Kiera bagi menjelaskan kekebalan hatinya yang sukar ditewaskan oleh Badri. Serasa Kiera, Badri sendiri juga sudah masak dengan sikapnya itu. Jika tidak, masakan Badri boleh buat laporan berkali-kali kepada Rashidi tentang kesalahan sama yang dilakukan Kiera. Itu menandakan Badri sudah arif, cuma dia belum jenuh membuat aduan.
            
Perbualan Kiera dan Fazrin terhenti sebaik sahaja mereka berdiri betul-betul di hadapan kaunter selepas menunggu giliran di belakang beberapa orang pelanggan sebentar tadi. Sementara menunggu Cashier membuat pengiraan, Kiera mengeluarkan kad kredit dari beg duitnya.
            
Excuse me, miss!” Tiba-tiba satu suara garau menyapa. Sapaan itu membuatkan pandangan Kiera dan Fazrin segera berkalih pada seorang lelaki bercermin mata hitam yang berdiri tegak di sebelah Kiera. Berkerut dahi Kiera tatkala melihat wajah itu. Dia kelihatan tidak asing di mata Kiera.
            
“Kenapa encik?” gadis muda yang menjaga kaunter itu bertanya.
            
“Saya tak jadi beli kemeja tadi. Sorry, ya?” balas lelaki itu bersama senyuman.
            
Kiera terus memerhati tingkah lelaki itu. Hatinya berkira-kira untuk mengambil tindakan sama ada hendak menyapa ataupun tidak, khuatir sekiranya dia tersalah perkiraan. Tanpa diduga lelaki itu menoleh memandang Kiera. Serta-merta air muka lelaki itu berubah.
            
“Kiera?” lelaki itu menanggalkan cermin mata hitamnya. Satu senyuman manis dihadiahkan kepada Kiera. Gadis itu kelihatan tersentak sambil memandang wajahnya. Sejujurnya, dia sendiri tidak pernah menduga akan bertemu kembali dengan Kiera Kamellya setelah sekian lama mereka terpisah jarak.
            
“Zaff, kan? Zaff Hazril?” Kiera bertanya kembali untuk kepastian.
            
Lelaki itu ketawa. “Tak sangka jumpa kau kat sini,” ucap Zaff lalu memasukkan cermin mata hitamnya ke dalam poket baju kemeja yang dipakai.
            
Zaff memandang Kiera. Mata mereka bertemu. Betapa dia merindukan gadis itu dan hari ini dia baru diberi kesempatan untuk menatap kembali wajah itu. Walaupun sudah lebih lima tahun menetap di London dan bertemu dengan aneka gadis pelbagai ragam di sana, tiada seorang pun yang dapat menandingi kecantikan gadis kacukan Melayu-Pakistan di hadapan matanya kini.
            
“Ehem... ehem... mentang-mentang aku ni genit tapi comel, boleh pula korang buat-buat tak nampak ya?” Fazrin bersuara. Sempat dia memuji diri sendiri di samping menyelar perbuatan dua manusia di hadapannya itu. Wajah Kiera dan Zaff dipandang silih berganti. Sesungguhnya Fazrin juga terkejut dengan kemunculan Zaff, mamat jiwang yang menjadi kegilaan kawan-kawan sekolah mereka suatu ketika dulu.
            
Hey! Hani kan?” Zaff cuba buat-buat tidak kenal.
            
Fazrin ketawa. Rupa-rupanya Zaff masih ingat nama panggilan itu meski hampir enam tahun mereka tidak bersua muka. Tamat saja sekolah menengah, Zaff mengikut keluarga ke luar negara sekaligus melanjutkan pelajarannya di sana. Sejak itu, mereka terputus hubungan dan pertemuan hari ini merupakan pertemuan pertama mereka setelah hampir enam tahun berlalu.
            
“Kau ingat lagi ya nama panggilan tu?”
            
Zaff ketawa. “Mana boleh lupa kawan tempat aku selalu menyakat,” ujar Zaff sambil senyuman paling manis diberikan kepada Fazrin. Zaman persekolahan mereka dulu merupakan zaman yang paling menyeronokan dengan syarat Kiera dan Fazrin ada bersama.

Zaff akui sewaktu di Tingkatan 4 dulu, dia cukup terkenal di kalangan guru-guru sekolah. Mana tidaknya, hari-hari pasti ada saja kes disiplin yang dilakukannya. Kiera juga pernah menjadi mangsa kenakalannya sehingga gadis itu pernah dirotan gara-gara Zaff meletakkan kotak rokok dalam beg Kiera demi menyelamatkan dirinya dan rakan-rakan seangkatan. Seminggu mereka tidak bertegur sapa gara-gara kejadian itu. Tetapi, kisah itu sudah lama berlalu. Zaff juga telah berubah atas pertolongan Kiera dan Fazrin.
            
“Eh, kau free tak lepas ni?” soal Kiera kepada Zaff. Dia baru selesai membuat pembayaran di kaunter ketika Fazrin dan Zaff sibuk berjejak kasih. Zaff sekadar membalas pertanyaan Kiera dengan anggukan. Kiera mula mengira langkah bersama Fazrin. Zaff menuruti keduanya dari belakang.
            
“Nah, baju kau! Aku tolong bayarkan tadi...” Kiera menghulurkan beg plastik warna merah jambu cerah itu kepada Fazrin.
            
“Eh, nasib baik kau ingat!” Fazrin tersenyum sambil menampakkan sebaris gigi putih miliknya kepada Kiera. Beg plastik di tangan Kiera disambut dengan ucapan terima kasih.
            
“Hari ini aku belanja korang lunch!” tawar Zaff. Dia cukup berbesar hati sekiranya Kiera dan Fazrin mahu menerima pelawaan itu. Memandangkan pertemuan mereka merupakan pertemuan pertama selepas hampir enam tahun, Zaff ingin meraikan saat-saat itu bersama.







0 Curahan Hati: