Rabu, 4 Jun 2014

AKU DI HATIMU - BAB 5






Hana mencapai roti bakar lalu diletakkan ke dalam pinggan di hadapannya. Ketika itu Rashidi baru menapak ke ruang makan sambil membimbit beg kerjanya. Terkedek-kedek Mak Nab keluar dari dapur sebaik mendengar suara Datuk Rashidi menyapa Hana.
            
“Kiera tak bangun lagi, Hana?” soal Datuk Rashidi sambil memerhati Mak Nab menuangkan teh kosong ke dalam cawan yang tersedia.
            
“Entahlah, ayah. Rasanya Kiera masih membuta lagi kat bilik tu,” jawab Hana sambil mencubit roti bakarnya. “Ayah nak Hana kejutkan dia ke?” tawar Hana seraya memasukkan cebisan roti bakar tadi ke dalam mulut.
            
Rashidi sekadar menggeleng lalu menghirup perlahan teh panas yang dihidangkan oleh Mak Nab. Kemudian, dia mencapai surat khabar yang sudah sedia ada di atas meja itu sejak dia tiba tadi. Helaian pertama diteliti sebelum helaian seterusnya diselak. Tiada sebarang berita yang mampu menarik perhatiannya ketika itu.
            
“Bila kau nak mula masuk pejabat?” soal Rashidi tiba-tiba.
            
Hana yang baru hendak menuang jus anggur ke dalam gelasnya tidak jadi berbuat demikian sebaik mendengar pertanyaan Rashidi. Masuk pejabat? Sejujurnya Hana belum bersedia untuk memikul bebanan tugas di Permata Vista.
            
“Dah sebulan ayah bagi kau masa untuk berfikir, takkan tak ada keputusan lagi?” Rashidi bersuara kembali. Wajah Hana direnung untuk mendapatkan jawapan pasti daripada anak sulungnya itu.
            
Tamat saja pengajian Hana dua bulan yang lalu, Rashidi sudah merancang untuk meletakkan Hana pada posisi penting dalam Permata Vista memandangkan anak sulungnya itu mempunyai kelulusan dalam bidang pengurusan. Apa salahnya kalau Hana menyumbang kepakaran kepada Permata? Sedikit sebanyak boleh juga memajukan syarikat.
            
“Hana sebenarnya tak bersedia lagi, ayah. Hana nak uruskan majlis perkahwinan Hana dulu. Nanti apa kata Hairi kalau Hana terus sibuk uruskan syarikat?” Hana berterus terang di samping memikirkan tanggapan Hairi yang juga sudah sedia maklum dengan perangai orang tuanya itu.
            
Pernah juga Hairi meluahkan rasa kurang senang dengan sikap Rashidi yang terlalu mengawal kehidupan Hana dan Kiera. Tetapi mujurlah Hairi bukan jenis lelaki yang terlalu memendam perasaan seumpama itu. Selagi perkara itu dapat dikawal dan tidak menjejaskan hubungan mereka, Hairi masih mampu menerimanya.
            
“Lepas majlis kau selesai nanti, ayah nak kau fikirkan balik. Ayah akan bincang dengan Hairi supaya izinkan kau bekerja dengan ayah,” Rashidi tetap dengan keputusannya. Dia tidak mahu Hana menyimpan ijazahnya gara-gara sudah berumah tangga kelak. Rugi saja hantar belajar tinggi-tinggi, tetapi akhirnya duduk di ceruk dapur.
            
“Terpulang pada ayahlah. Hana ikut aje asalkan Hairi setuju,” suara Hana kedengaran pasrah. Dia tidak mahu bertegang urat dengan Rashidi awal pagi itu gara-gara perkara yang remeh. Lagipun, keputusan Rashidi memang sukar dibantah. Cuma sesekali, Kieralah satu-satunya yang berani melanggar hukum kanun yang ditetapkan oleh Rashidi dan Hana pula akan guna taktik tersendiri.
            
“Hmm, ayah pun dah terfikir nak beri jawatan penting pada Kiera sebaik sahaja dia tamat belajar nanti,” ucap Rashidi bersahaja. Dia tahu keputusan itu pastinya kurang disenangi oleh Hana dan Kiera, namun bagi Rashidi itulah perkara terbaik dan mereka patut akur dan hormat dengan kehendak itu.
            
Hana sekadar memandang ayahnya dengan pandangan bersahaja. Dia tidak menunjukkan sebarang respon sama ada bersetuju mahupun tidak dengan kata-kata Rashidi sebentar tadi. Malah dia terus meneguk jus anggur yang baru dituang bagi mengurangkan rasa kurang enak di hatinya.
            
Good morning!” Tiba-tiba satu suara menyapa. Kelihatan Kiera sudah tersengih-sengih macam kerang busuk sambil menghampiri meja makan. Hari itu Kiera kelihatan santai dengan hanya mengenakan t-shirt dan berseluar slack putih.
            
“Awal pula kau bangun hari ni? Ada plan nak pergi mana-mana ke?” Hana menyoal Kiera. Tidak mahu keadaan kelihatan begitu tegang.

Setahu Hana, kalau Kiera bangun awal-awal pagi begini, pasti adiknya itu mempunyai rencana tertentu. Kalau tidak, memang susahlah nak nampak batang hidung Kiera duduk sarapan bersama-sama. Entah macam manalah agaknya keadaan dia apabila sudah berumah tangga nanti? Mahunya Si Badri tu berleter tiap-tiap pagi kalau Kiera tak ubah perangai.
            
“Kau nak pergi mana?” giliran Rashidi bertanya.
            
Kiera tidak terus menjawab, malah dia mengambil tempat duduk bersebelahan Hana lalu menuang jus anggur ke dalam gelas. Hari itu Kiera kelihatan ceria macam orang baru menang loteri saja lagaknya sehingga dia tidak sedar akan suasana yang begitu tegang antara Hana dan Datuk Rashidi sebentar tadi.
            
“Kiera nak keluar dengan Fazrin boleh tak ayah?” Kiera memberanikan diri meminta keizinan daripada Rashidi sendiri. Kali ini dia harus lebih yakin dengan diri sendiri. Sampai bila dia hendak bergantung kepada bantuan Hana setiap kali berhadapan dengan Rashidi? Dalam usia yang akan mencecah 24 tahun tidak lama lagi, Kiera sudah tahu menilai keputusan yang terbaik untuk diri sendiri.
            
“Kau nak pergi mana?” Rashidi menyoal lagi.
            
“Cuti-cuti macam ni bosanlah duduk rumah, ayah. Kiera nak keluar jalan-jalan dengan Fazrin. Boleh ya?”
            
“Kalau boleh ajak Badri sekali keluar dengan kau,” usul Rashidi.
            
Kiera terkedu. Begitu juga Hana. Keduanya mula berpandangan sesama sendiri setelah mendengar cadangan Rashidi yang dianggap kurang bernas. Kenapa perlu Badri diajak bersama? Macamlah si Badri tu tak ada kerja lain nak dibuat.
            
“Eh, Kiera tak naklah susahkan Badri. Kan dia busy dengan kerja. Semalam pun dia dah ambil cuti semata-mata nak bawa Kiera keluar. Tak apa, Kiera keluar dengan Fazrin aje...” Kiera memujuk. Siapa tahu hati ayahnya boleh cair dengan pujuk rayunya itu.
            
“Biarlah Kiera keluar dengan kawan-kawan dia, ayah. Hana dengar dia orang nak buat reunion dengan kawan-kawan sekolah menengah dulu, betul tak Kiera?” Hana memandang Kiera sambil buat isyarat mata. Ini bukan kali pertama Hana buat kerja begitu. Kiera juga sudah masak dengan taktik Hana.
            
Kiera hanya mengangguk sambil buat muka selamba. Hana biasanya akan selalu datang dengan idea spontan untuk menyelamatkan keadaan. Jika tidak, terpaksalah dia heret Badri ke hulu ke hilir dengan Fazrin. Pasti kawannya itu membebel macam mak nenek lagi. Mana tidaknya, Badri dengan Fazrin sama sekali tidak sebulu selepas peristiwa Fazrin bersubahat menyembunyikan Kiera sebelum majlis pertunangan mereka berlangsung dulu. Gara-gara itu, Badri cukup pantang kalau melihat Fazrin depan mata. Jika terserempak sekali pun, dia akan buat Fazrin macam orang asing walaupun mereka sudah kenal sejak kecil.
            
“Terpulang pada, Kiera. Tapi pastikan Badri tahu Kiera nak pergi mana,” seperti biasa Rashidi akan mengingatkan Kiera tentang kewujudan Badri. Takut anaknya itu akan buat acuh tidak acuh dengan Badri.
            
Yes! Don’t worry, boss...” Kiera mengangkat tangan ke dahi sambil tunjuk tanda hormat kepada ayahnya. Kadang-kadang Rashidi tidaklah terlalu tegas dengan undang-undang ciptaannya, cuma Kiera perlu lebih pandai mancari taktik untuk memikat hati Rashidi. Lain kali, perlu ke dia belikan Rashidi aiskrim Cornetto untuk menyejukan hati ayahnya yang selalu panas dengan sikapnya itu? Satu idea yang baik untuk dicuba. Kiera ketawa dalam hati.


***


Kiera melihat Hana sedang bersantai di ruang tamu sambil menonton televisyen. Pagi-pagi begini siaran apa agaknya yang paling best untuk ditonton? Malaysia Hari Ini? Berita? Kiera menghampiri Hana perlahan-lahan. Dia ingin melakukan serangan hendap tanpa peluru ke atas Hana.
            
“Tak payah nak menghendap sangatlah,” tiba-tiba Hana bersuara sekaligus mematahkan serangan tak menjadi Kiera.
            
“Alah, tak syoklah macam ni!” ucap Kiera tidak puas hati kerana rancangannya gagal. Dia terus mengambil tempat di sebelah Hana.

Selepas ayahnya ke pejabat tadi, Kiera terus ke tingkat atas untuk menukar pakaian dan bersiap-siap untuk keluar. Apabila turun ke ruang tamu, dia melihat Hana berbaring di sofa sambil goyang-goyang kaki macam anak raja. Mentang-mentanglah Mak Nab ada menguruskan kerja-kerja di rumah.

Kerja-kerja dapur sedikit pun tidak diusik lagi. Tetapi bagi Kiera, Hana sebenarnya jaguh memasak. Kalau masuk Masterchef Malaysia, Hana boleh dinobatkan sebagai juara. Setakat ini belum ada yang mampu menandingi masakan Hana selain masakan ibunya. Itupun kalau Hana ada mood hendak memasak dan entah bila mood itu akan sampai Kiera juga tidak pasti.
            
“Seronoklah dapat keluar tanpa encik tunang?” Hana mengambil kesempatan mengusik Kiera.
            
Of courselah. Ingat senang ke nak dapat peluang berharga macam ni? Kiera rasa macam nak tulis diari dan masukkan catatan peristiwa ni dalam Book Of Records aje!”
            
“Melampaulah tu.”
            
Kiera terkekeh.
            
“Ha, kau jangan lupa reward untuk akak pula!”
            
Okay, boss!” Kiera angkat tangan ke dahi lalu buat tabik hormat dengan Hana. Dia tahu Hana telah banyak berbakti dalam usahanya untuk lepas dari cengkaman Badri yang sudah macam lintah menghisap darah itu. Selagi perutnya tidak kembung, selagi itu dia tidak mahu lepas. Memang sahlah Badri ini serupa lintah.
            
“Apa yang lintah?” dahi Hana berkerut seribu, hairan kerana tiba-tiba saja perkataan itu keluar dari mulut Kiera. “Kuat berangan kau ni...” sambung Hana lagi.
            
Kiera tersengih. Dia tidak sedar bila pula dia boleh terlepas cakap tentang apa yang sedang difikirkan. Tanpa banyak cakap, Kiera terus mempamitkan diri. Tidak sabar pula rasanya hendak bertemu Fazrin dan menyatakan betapa seronoknya dia ketika itu. Hari ini, kebebasan milik Kiera sepenuhnya.








0 Curahan Hati: