Isnin, 2 Jun 2014

AKU DI HATIMU - BAB 4






“Kau tak faham perasaan aku, Rin...” Kiera mengangkat kaki ke sofa lalu memeluk lutut. Wajah Fazrin dikerling seketika sebelum pandangannya berkalih ke satu sudut. Hatinya bertambah panas bagai dipanggang atas bara api ketika fikirannya ligat memikirkan tindakan Badri pagi tadi.
            
Setibanya Kiera di rumah selepas Badri menghantarnya pulang jam 3.00 petang tadi, dia langsung menghubungi Fazrin dan meminta gadis itu ke rumah semata-mata untuk meluah segala rasa sebal yang terbuku. Dari A hingga Z, tidak sedikit pun cerita tentang Badri terlepas dari pengetahuan Fazrin.
            
“Aku pula yang tak faham? Habis, kau nak aku buat macam mana, Kiera? Bagi ceramah dekat si Badri tu? Eh, tunang kau tu tak makan saman tau? Kepala dia aje yang betul,” Kali ini giliran Fazrin pula mengomel macam mak nenek.
            
“Kalau boleh aku nak saman si Badri tu atas kesalahan memaksa aku berkahwin tanpa rela,” Kiera mula merapu. Dia tahu tindakan itu sangat mustahil. Lebih-lebih lagi apabila ketua hakim, Datuk Rashidi masuk campur. Belum sempat dia saman Badri, Datuk Rashidi terlebih dahulu jatuhkan hukuman. Paling-paling pun perintah berkurung seperti yang pernah terjadi sebelum ini.
            
Dia pernah dikurung tiga hari oleh Rashidi atas kesalahan lari dari rumah selepas keluarga Badri datang merisik. Kiera tidak dapat melupakan kemarahan Rashidi saat itu. Gara-gara Kiera tidak mahu majlis pertunangan itu berlangsung, dia merancang untuk bersembunyi di rumah Fazrin. Kebetulan ketika itu Badri dapat menghidu pergerakannya lalu menjadi ejen perisik membongkar segala tindakan itu kepada Rashidi. Gara-gara Badri, dia dijatuhi hukuman penjara di rumah sendiri.
            
“Kau jangan lupa, Badri tu tunang kau. Terpaksa ke tak terpaksa ke, kau dah setuju terima lamaran dia. Kau kena terima...” nasihat Fazrin seraya mencapai majalah Mingguan Wanita di atas meja. Beberapa helaian muka surat diselak tanpa menghiraukan Kiera di sisi. Matanya terus fokus kepada setiap cetakan perkataan yang tertulis di situ.
            
“Hmm, aku terima dia pun sebab ayah aku yang paksa,” lambat-lambat Kiera berkata sebelum memandang sahabatnya di sebelah.
            
Fikirannya kembali dibawa mengingati hajat Rashidi untuk bermenantukan Badri. Sebelum dia masuk kampus lagi Rashidi pernah menyatakan hasrat itu tetapi tidak secara rasmi. Dia cuma memberikan peringatan kepada Kiera agar fokus dengan pengajian dan yang paling Kiera ingat, Rashidi pernah berpesan agar dia jangan terlalu rapat dengan mana-mana lelaki di kampus. Ayahnya itu mengugut tidak akan menanggung segala kos pengajian sekiranya Kiera ingkar. Satu-satunya perkara yang boleh dilakukan ketika itu hanyalah menuruti segala kemahuan Rashidi.

Tub-tub di akhir-akhir semester ini, Rashidi kembali menyatakan hasratnya untuk menyatukan Badri dan Kiera. Kali ini Rashidi tiada kompromi lagi. Perjanjian keluarga yang termeterai sepuluh tahun yang lepas mesti ditunaikan segera. Ada apa dengan perjanjian keluarga itu? Kiera sendiri tidak pasti.
            
Fazrin menghela nafas. Dia menutup majalah di tangan lalu memandang tepat ke muka Kiera. “Habis? Kau nak salahkan ayah kau pula?”
            
Kiera menghela keluhan sebelum menjawab tanda tanya yang sedang bermain di wajah sahabatnya itu. “Entahlah, Rin. Aku cuma tak suka orang paksa-paksa aku buat keputusan yang aku tak suka. Kau tengoklah ayah aku, dia selalu menangkan si Badri. Jarang sekali dia berpihak pada aku sedangkan aku ni anak kandung dia,” luah Kiera, sedikit kecewa dengan sikap Rashidi.
            
Sejak ibu Badri meninggal dunia kerana menghidap kanser sepuluh tahun yang lalu, kasih sayang Rashidi terhadap Badri seakan tidak berbelah bagi. Badri sudah dianggap seperti anak kandung sendiri sehingga Rashidi dan Badrul berjanji untuk menyatukan Kiera dan Badri. Hanya maklumat itulah yang Kiera dapat korek daripada Hana.
            
“Kau tak pernah tanya ayah kau kenapa dia beria-ria bermenantukan si Badri tu?” Fazrin menyoal. Ini bukan pertama kali Kiera menyuarakan ketidakpuasan hatinya terhadap tindakan ayahnya. Sudah berkali-kali juga Fazrin jadi menteri penasihat kepada puteri bongsu Datuk Rashidi itu. Bagi Fazrin, mungkin terdapat perkara yang tidak Kiera sedari atau terlepas pandang sebelum ini.
            
“Banyak kali aku tanya, jawapan dia tetap sama. Perkahwinan ni atas dasar perjanjian keluarga kami. Yang aku tak faham, kenapa ayah terlalu berpihak kepada Badri?” sahut Kiera. Ketika itu juga, dia seakan-akan sedang memikirkan sesuatu yang lebih penting untuk disuarakan kepada Fazrin.
            
“Eh, kejap! Aku baru terfikir, kenapa mereka nak kenenkan aku dengan Badri? Kenapa bukan Kak Hana? Usia mereka lebih kurang sama aje. Itu yang aku tak faham juga,” sambung Kiera lagi sebaik sahaja perkara itu terlintas di fikirannya.
            
Fazrin memandang Kiera. Kemudian, dia meletakkan semula majalah yang dipegang tadi di atas meja. “Kau jangan nak serabutkan kepala otak kau sangatlah. Nanti orang lain pun terbelit-belit dengar cerita kau ni. Think as simple as you can. Si Badri tu kan kawan rapat kau sejak kecil. Ada dia main pondok-pondok dengan Kak Hana? Main police sentry pun dengan kita berdua aje. Mungkin pasal tulah dia orang lebih suka kenenkan kau dengan Badri, nampak lebih serasi...” Fazrin menjelaskan dengan panjang lebar. Dia ketawa kecil sebaik melihat Kiera buat-buat muka tidak senang dengan hujahnya.
            
Kiera mencubit lengan Fazrin yang tengah sedap-sedap ketawakan dia. “Kenapa dia orang tak kenenkan si Badri dengan kau aje?” luah Kiera sambil menjeling gadis bertubuh genit itu.
            
“Aduh, sakitlah!” Fazrin mencebik sambil mengurut lengannya yang terasa pijar. “Kalau Badri tu dikenenkan dengan aku, dah tentu aku nak. Tapi masalahnya, aku tak termasuk dalam list yang nak dikenenkan dengan Badri,” dalam sekejap saja Fazrin sudah tersengih-sengih.
            
“Eee, kau ni ulat bulu kan?”
            
“Alah, tak salah aku berangan! Badri tu boleh tahan juga. Perangai dia aje yang ke laut sikit,” Fazrin bercanda lagi dengan Kiera. Dia tahu pasti Kiera sedang panas hati kalau ada orang memuji Badri.
            
“Itu kata engkau. Kalau kau di tempat aku, kau akan tahu langit tu tinggi ke rendah. Perangai Badri tu tak boleh nak dibayangkan!” tegas Kiera lalu bingkas dari sofa dan mundar-mandir di ruangan itu.
            
Selama dia bersama Badri, ada kalanya sikap lelaki itu tidak boleh diduga. Kadang-kadang Badri baik, pijak semut pun tak mati. Ada waktunya dia macam singa, mengamuk tidak tentu hala kalau ada perkara yang tidak kena di mata dia. Arahan dia bukannya boleh dibantah. Kalau dibantah, bersedialah terima tempelakannya.
            
“Yalah, aku tahu... Kau tu dah masak sangat dengan perangai si Badri. Aku pun kurang berkenan juga sebenarnya. Kau ingat lagi tak? Gara-gara aku bersubahat dengan kau dulu, dia dah cop muka aku ni penjenayah besar tau. Teruk betullah!” Fazrin mengimbau kembali peristiwa yang berlaku sebelum majlis pertunangan Kiera dengan Badri berlangsung dahulu. Mudah pula dia rasa bengang dengan Badri setiap kali teringatkan kejadian itu.
            
“Mana boleh lupa. Ayah aku kurung aku tiga hari dalam bilik, takut aku lesap lagi sebelum majlis tu,” luah Kiera menyokong kata-kata Fazrin. Jelas mimik mukanya menggambarkan perasaan tidak puas hati.
            
Fazrin menghela nafas perlahan. “Hmm, walau apapun yang terjadi, kau kena banyak bersabar...” Fazrin tersenyum apabila Kiera memandangnya. Fazrin memaut tangan Kiera supaya gadis itu kembali duduk di sisinya.

“Kau jangan risau, aku akan selalu support kau. Kita kan kawan baik...” Fazrin buat muka comel. Tangan Kiera diusapnya dengan lembut agar gadis itu bertenang. Dia tidak berada di posisi Kiera, jadi dia tidak tahu seratus peratus keadaan sebenar yang sedang dilalui oleh sahabatnya itu. Apa yang boleh dilakukan hanyalah menjadi sahabat yang setia pada bila-bila masa.

“Kalaulah masa kecil dulu aku boleh berfikir macam orang dewasa, nak aje aku bantah awal-awal keputusan ayah...” ucap Kiera tiba-tiba sambil menghadapkan mukanya ke arah Fazrin. Topik tentang Badri belum berakhir lagi. Kiera tetap tidak puas hati selagi perasaan geramnya masih berbuku di dasar hati.
            
“Hmm... cuba kau fikir dari sudut positif. Takkanlah ayah kau nak biarkan anak kandung dia kahwin dengan orang yang tak baik. Aku tengok si Badri tu okay aje. Cuma perangai dia aje yang buat kau rimas, kan?”
            
“Memanglah! Kau bukannya tak kenal aku. Aku tak suka orang control life aku. Baru bertunang dia dah tunjuk perangai big boss dia tu. Bila dah berumah tangga nanti? Jangan-jangan aku jadi hamba abdi. Mahu tak merana aku dibuatnya...” Kiera terus-terusan menyuarakan isi hati.
            
“Alah, kau belum cuba mana kau tahu? Jangan-jangan bila dah kahwin nanti, kau nak kahwin dua tiga kali lagi,” Fazrin terkekeh. Pasti berkepul-kepul asap merah keluar dari telinga Kiera setelah mendengar gurauan tidak berasas itu.
            
“Ewah, ewah... kau ingat kahwin ni boleh main cuba-cuba macam kau main pondok-pondok dulu? Nanti tak pasal-pasal Badri kurung aku dalam penjara bawah tanah sebab tak nak bagi aku cuba kahwin dengan lelaki lain pula. Mahu tak merana hidup aku makan lauk dua jenis aje dalam penjara tu,” ngomel Kiera.
            
Fazrin hanya ketawa berdekit-dekit sambil menutup mulut. Kata-kata Kiera kedengaran lucu di cupingnya. “By the way, kau belajarlah terima Badri. Manusia boleh berubah, Kiera...” nasihat Fazrin kemudiannya.
            
“Tengoklah nanti,” jawab Kiera bersahaja sambil mengerling Fazrin. Bukan dia tidak pernah mencuba untuk belajar menerima kehadiran Badri, namun sikap lelaki itu sering menjadi batu penghalang. Belum sempat cair, hati Kiera akan beku semula macam ais ketul apabila Badri mula tunjuk perangai belangnya. Eee... geram!







0 Curahan Hati: