Ahad, 1 Jun 2014

AKU DI HATIMU - BAB 3





Telinga Kiera tiba-tiba menangkap bunyi getaran telefon bimbit di atas meja bersebelahan katilnya. Matanya terus menilik ke muka skrin. Sekali lagi nama Badri tertera di situ. Kiera mendengus. Tanpa menghiraukan panggilan itu, dia terus menyelak beberapa halaman majalah yang ditatap sedari tadi. Tumpuannya kembali hilang apabila bunyi getaran itu sekali lagi kedengaran.
            
“Ish... remote control ni nak apa pagi-pagi ni?” Kiera mencapai telefon bimbitnya, berfikir sejenak sebelum mengangkat panggilan itu.
            
“Hello, assalamualaikum. Gerai Makan Cik Kiah kat sini, ada apa-apa yang boleh saya bantu encik?” sapa Kiera dengan muka bersahaja.
            
“Main-main pula dia. Jom ikut I keluar,” suara Badri kedengaran jelas di hujung talian.
            
Kiera mengeluh. “Nak keluar pergi mana pagi-pagi ni? Malaslah. I nak duduk rumah aje,” tanpa berfikir sesaat dua, Kiera ternyata menolak pelawaan Badri. Cuti-cuti semester begini memang sangat sesuai untuk merehatkan diri dan melapangkan minda dari sebarang tugas di kampus. Kalau hendak keluar ke mana-mana pun, Kiera sebenarnya tidak kisah asalkan bukan dengan Badri. Nanti macam-macam yang dileternya.
            
You tak payah nak banyak songehlah. I dah tunggu kat depan rumah you ni. Cepat bersiap!” Badri bertegas. Sudah hampir setengah jam menunggu Kiera menjawab panggilan, Badri akhirnya hilang sabar. Kebelakangan ini, Kiera sering mengelak dari mengangkat panggilan telefonnya, apatah lagi hendak bertemu empat mata.
            
“Apasal you nak datang tak beritahu I dulu?”
            
“Kalau I beritahu you, jangan-jangan you terus lesap dari rumah gara-gara tak nak jumpa I. Bukannya I tak tahu perangai you tu semakin dingin,” sahut Badri bagi menyelar sikap Kiera terhadap dirinya.
            
You tak payah nak salahkan I. You pun dua kali lima.”
            
“Maksudnya kita ni seri, perangai lebih kurang sama aje,” Badri menyelar lagi membuatkan Kiera mengetap gigi. “Dah, I malas nak gaduh. You turun sekarang,” pinta Badri kemudiannya sebaik mendapati Kiera membisu di hujung talian.
            
“Kalau I tak nak?”
            
I takkan teragak-agak masuk ke rumah dan heret you keluar,” ugut Badri.
            
Kiera menarik telefon yang melekap di telinganya. Kemudian dia buat muka geram depan skrin telefon yang masih tertera nama Badri di situ. “I turun lepas ni, I nak sekeh-sekeh kepala you. You faham tak? Remote control!” Jerit Kiera geram dengan suara tersekat di rongga tekak.
            
“Hello! Kiera!” Suara itu kedengaran memanggil.
            
Kiera kembali melekapkan telefon ke telinga. “Apa dia?”
            
You jangan pura-pura tak dengar pula. Cepat bersiap! I bagi you masa sepuluh minit. Jangan lari ikut tingkap pula,” arahan dan peringatan Badri kedengaran jelas.
            
“Yalah! Yalah!”
            
Dengan serta-merta Kiera memutuskan talian. “Betul-betul aku lompat tingkap lepas ni, baru padan dengan muka kau,” getus Kiera separuh berbisik. Dia bingkas dari katil menuju ke jendela yang berhadapan dengan kawasan perkarangan rumah. Kelihatan Badri sedang berdiri di luar pagar sambil mendongak ke tingkat atas rumah sebelum masuk ke perut kereta.
            
“Dia tak pergi kerja ke hari ni? Ada je masa dia nak menyusahkan hidup aku,” ucap Kiera selepas melihat Badri berpakaian santai dan bercermin mata hitam. ‘Macam orang nak pergi bercuti aje. Ke dia nak bawa aku kahwin lari? Eee... tak nak aku!’ Kali ini Kiera membuat andaian yang bukan-bukan. Namun dia segera mematahkan andaian itu daripada meleret panjang. ‘Sebelum Badri jadi Mr. Hulk hijau pandan, lebih baik aku pergi bersiap,’ Kiera mengingatkan diri sendiri.


***


You lambat sepuluh minit!” Ucap Badri sebaik melihat Kiera mengambil tempat duduk penumpang di sebelah pemandu.
            
You ni banyak bunyilah. Dah kira bagus I nak ikut you keluar. Dahlah tak bukakan pintu kereta, lepas tu nak membebel pula,” Kiera membalas kata-kata Badri dengan sindiran tajam. Jelingan berapi dihadiahkan kepada Badri walaupun lelaki itu cuma buat muka selamba badak.

Kalau diberi peluang, saat itu juga dia hendak melancarkan serangan hendap ke atas Badri. Tetapi lazimnya rancangan Kiera selalu gagal walaupun sudah dirancang dengan teliti pada awalnya. Walaupun begitu, Kiera memang menyimpan hasrat hendak mencekik Badri sampai terjelir lidah. Cuma dia perlu menunggu waktu yang sesuai untuk menjadikan impian itu satu kenyataan.

You curi tulang ke?” Tanya Kiera sebaik menyaksikan kebisuan Badri.

“Curi tulang apa pula ni?” Badri bersahaja sambil menghidupkan enjin kereta. Kemudian, dia melepaskan clutch perlahan-lahan sebelum menekan pedal minyak.

“Yalah, I tengok you ni macam orang tak pergi pejabat. Dengan baju macam ni, bercermin mata hitam lagi.”

“Memang pun. I ambil cuti...” jawab Badri, ringkas dan padat.

“Hmm, ni you dah minta izin dengan ayah tak nak bawa I keluar? Jangan ikut suka aje main angkut-angkut anak dara orang ke hulu ke hilir,” nasihat Kiera.

Sedari tadi, dia hanya menjadi pemerhati setiap tindakan Badri. Lelaki itu pula terus fokus dengan pemanduannya. Tiba-tiba, mata Kiera tertumpu ke wajah Badri. Lelaki ini secara fizikalnya memang nampak sempurna, tampan dan bergaya. Tetapi, apabila Badri tunjuk belang dengan perangainya yang kurang senonoh itu, Kiera jadi tidak berkenan langsung walaupun muka dia macam Aaron Aziz. Muka kacak tapi perangai ke laut, hampehlah jawabnya.

“Ayah you dah izinkan...” jawab Badri kemudian.

So, kita nak pergi mana ni?”

I nak ajak you tengok cincin kahwin kita. Hari tu, I dah survey kat beberapa buah kedai ni, tapi takut tak muat kat jari you. Kalau ajak you sekali, lebih senang urusan jual beli nanti. Lepas tu, kita pergi tengok busana pengantin, I dah bincang dengan owner butik tu tentang konsep yang I nak,” Badri akhirnya menyuarakan hasrat hati. Sesekali dia memandang Kiera di sisi. Tiba-tiba saja gadis itu diam seribu bahasa.

‘Amboi, amboi... macam dia seorang aje yang nak kahwin! Dia tak tanya aku ke tentang konsep yang aku nak? Selfish betul! Sampai masa majlis tu berlangsung nanti, you bersandinglah sorang-sorang atas pelamin ya, Mr. Badri Hazmi...’ Kiera berleter dalam hati lalu berpeluk tubuh. Kemudian, dia buat muka tidak peduli dengan berpaling ke sisi lain.

“Kenapa you diam?” Giliran Badri menyoal.

Kiera memandang semula ke muka Badri dengan wajah kelat. Jauh di sudut hati, dia sebenarnya kurang berkenan dengan sikap lelaki itu yang sering membelakanginya dalam setiap perkara yang melibatkan hubungan mereka. “Hmm, kenapa you nak terburu-buru sangat ni?”

“Terburu-buru you kata? Kita ada dua bulan aje lagi. Bulan depan Hana nak kahwin. Lepas tu, ayah nak kita pula langsungkan majlis. Kita tak ada banyak masa lagi,” Badri mengingatkan Kiera tentang waktu yang semakin singkat untuk segala persiapan majlis mereka.

“Badri... I tak suka you buat keputusan sendiri. Boleh tak kalau you bincang dulu dengan I sebelum rancang semua ni?” Kiera sekali lagi menyuarakan rasa tidak puas hati. Dia perlu membiarkan Badri tahu betapa dia tidak menyenangi sikap itu.

“Kalau nak tunggu kita ni berbincang sebelum buat keputusan, alamatnya kempunanlah I nak kahwin dengan you. You tahu sendiri kan sikap you macam mana?” Badri ketawa. Dia tahu dia tidak pernah berjaya menjadi pencuri hati Kiera. 

Sejak kecil mereka langsung tidak sekepala. Apatah lagi hendak menjadi hero utama dalam kisah hidup gadis itu. Namun jauh di sudut hati Badri yang paling dalam, sebenarnya telah lama wujud perasaan cinta yang tidak pernah Kiera sedari.

Sampai ke saat ini, Badri belum pernah menyatakan perasaannya secara terang-terangan. Dia khuatir Kiera akan menolak mentah-mentah. Maklumlah, dia bukan calon pilihan hati Kiera. Hanya gara-gara Rashidi mendesak, Kiera terpaksa menerimanya. Jadi mulai dari detik ini, Badri berusaha merangka strategi untuk mencuri hati gadis itu.

Kiera terus membisu. Sejujurnya dia mati akal untuk membalas kata-kata Badri. Dilihatnya lelaki itu sudah tersenyum kambing di tempat duduk pemandu. Mungkin Badri sedang meraikan kemenangannya dalam berhujah. Kiera sekadar menjuihkan bibir apabila mendapati dirinya telah tewas dalam pertandingan berbalas hujah itu. Kali ini tiada sesi penggulungan daripada Badri mahupun Kiera. Mereka sekadar menyepi di tempat duduk masing-masing.


***


Mata Kiera memandang ke setiap sudut butik yang memperagakan busana pengantin yang cantik-cantik dan halus buatannya. Usai sudah urusan jual beli cincin tadi, Badri terus memandu menuju ke Klang. Butik pengantin kenalannya baru sahaja dibuka di sekitar situ beberapa bulan yang lepas. Tiba saja di butik itu, mereka disambut mesra oleh seorang lelaki berpakaian segak yang diperkenalkan oleh Badri sebagai kenalan rapatnya.
            
You tengok apa?” Badri menyapa.
            
I tengok baju-baju pengantin ni, semuanya cantik...” puji Kiera. Dia terus membelek-belek busana di depan mata.
            
Tanpa banyak soal, Badri terus menarik lengan Kiera. “Jom, kita bincang kat sana!” ucap Badri sambil mengarahkan Kiera ke meja perbincangan mereka. Kenalan Badri sudah menunggu di situ.
            
“Kita nak bincang apa lagi? Kan you kata you dah pilih konsep yang sesuai...” Kiera menarik lengannya daripada genggaman Badri. Langkah mereka terhenti.
            
“Memanglah. Tapi tak adil kalau you tak tahu apa-apa tentang konsep yang I nak. Setidak-tidaknya owner butik ni tahu yang kita dah sepakat pilih konsep tu,” Badri tersenyum kepada Kiera.
            
‘Tahu pula dia ni makna perkataan ‘adil’ tu apa. Tapi, bagi aku dia tetap aje berat sebelah. Bukannya nak bincang dengan aku, malah kena suruh pura-pura dah sepakat pula tu. Eee, nak aje aku sekeh si Badri ni sekarang juga!’ ngomel Kiera geram.
            
“Tak payahlah nak buat muka tertelan cuka kat sini,” tegur Badri bersahaja.
            
“Eee... I geram sangat dengan you tau!” Kiera berterus terang tentang situasi hatinya terhadap Badri detik itu. Tetapi Badri tetap buat muka badak tengah berkubang. Acuh tidak acuh saja dengan luahan Kiera.

You jangan buat muka seposen boleh tak? Yang nak kahwin ni kita berdua, bukannya you sorang aje duduk atas pelamin tu nanti,” sambung Kiera lagi, separuh berbisik. Takut-takut perbalahan kecil mereka mendapat perhatian tuan punya butik. Tak pasal-pasal masuk Melodi, muka yang tak komersial boleh popular gara-gara kontroversi yang remeh.
            
“Habis, you nak salahkan I sebab tak berbincang dulu perkara ni dengan you?” Badri turut berbisik namun nadanya tetap kedengaran marah. Kiera sekadar berpeluk tubuh. Matanya tidak lagi fokus ke muka Badri. Nafasnya yang turun naik dengan pantas cuba dikawal setenang mungkin.

You yang paksa I buat keputusan sendiri tau. I telefon, you liat sangat nak angkat. I ajak jumpa, you beralasan macam-macam. Bila masanya kita nak bincang? Cuba you beritahu I,” sambung Badri. Kali ini kata-katanya lebih pedas memandangkan dia juga sudah hilang sabar dengan sikap Kiera.
            
“Err, Encik Badri! Boleh kita teruskan dengan perbincangan?” tiba-tiba pemilik butik itu bersuara dengan lafaz yang teragak-agak. Mungkin dia perasan sesuatu tentang perubahan sikap pasangan itu.
            
Badri terus menoleh sambil tersenyum tawar. Dia sudah tidak berhati lagi hendak meneruskan rencana hari itu gara-gara suasana tegang antara dia dan Kiera. Bom tiba-tiba meletus! Badri tidak mampu lagi menahan amarahnya.
            
“Tak apalah, Aliff. I datang lain kali. I minta diri dulu,” ucap Badri seraya matanya memandang tajam ke wajah Kiera. Gadis itu masih tegak di hadapannya sambil buat muka bersahaja sedang hatinya tengah meluap-luap. Boleh pula Kiera buat muka sepuluh sen. Bertambah panas hati Badri dibuatnya.

Tanpa banyak cakap, Badri menggenggam lengan Kiera lalu menarik gadis itu keluar dari butik. Kiera tersentak namun langkahnya sekadar menuruti hala tuju Badri. Dia sedar bahawa tindakannya sebentar tadi pasti mengundang malapetaka. Namun, Kiera sudah bersedia untuk berhadapan dengan Rashidi sekiranya berita terkini itu sampai ke pengetahuan ayahnya. 










0 Curahan Hati: