Ahad, 1 Jun 2014

AKU DI HATIMU - BAB 2




Kiera memulas tombol pintu kamarnya perlahan-lahan. Dia melangkah longlai menuju ke birai katil sebelum menghempaskan diri ke tilam. Terperangkap dalam kesesakan lalu lintas tadi membuatkan dia tiba agak lewat di rumah. Mujur ketika dia sampai kereta ayahnya tiada di perkarangan. Jika tidak, sudah pasti dia akan menghendap ke dalam rumah macam penjenayah bersiri.

Sikap ayah dengan tunangnya Badri hampir dua kali lima saja. Kalau hitam kata Badri, ayahnya juga akan ikut kata hitam. Kalau putih pilihan Badri, ayahnya seribu kali ganda mahukan putih. Pendek kata, hanya si Badri sajalah yang betul dalam setiap perkara. Cuba kalau si Badri melapor tentang kedinginan sikapnya sejak akhir-akhir ini, pasti Datuk Rashidi akan mengadakan persidangan tergempar. Suasananya seperti dalam mahkamah. Kakaknya, Hana pasti akan jadi peguam bela. Namun, Datuk Rashidi sentiasa bertindak sebagai ketua hakim yang berat sebelah. Si Badri juga yang selalu dimenangkan.
          
Kiera mendengus. Siapa sebenarnya anak Datuk Rashidi ni? Ayah pula berlebih-lebih manjakan Badri. Lebih baik si Badri tu pergi Jabatan Pendaftaran Negara, terus tukar nama jadi Badri Hazmi bin Rashidi. Sempat juga fikiran Kiera melayang ke situ.
            
“Kau merayau ke mana seharian ni?” Sapaan Hana mematikan lamunan Kiera. Pintu bilik yang terbuka luas membuatkan Hana tahu bahawa adik kesayangannya itu sudah pulang selepas sepanjang hari tidak menunjukkan muka di rumah itu.
            
Seawal 8.00 pagi tadi Kiera sudah meninggalkan rumah selepas bersarapan bersama Hana. Katanya hendak bersiar-siar dan mungkin akan singgah ke rumah Fazrin memandangkan kawannya itu baru pulang dari bercuti di luar negara. Kiera hanya akan meminta izin Hana sekiranya Rashidi tiada di rumah. Maklum juga yang Rashidi pantang sekali melihat Kiera merayau-rayau tanpa kehadiran Badri.
            
Kiera bingkas dari perbaringan lalu duduk di birai katil ketika kakaknya duduk di sisi. “Ira jalan-jalan cari makan. Bosanlah duduk rumah.” Wajah Hana direnung dengan muka bersahaja.
            
“Dengan encik tunang?” Hana menyoal. Pandangannya direbahkan ke wajah suram itu. Dia tahu Kiera sangat pantang apabila Hana cuba membahasakan diri Badri sebagai ‘Encik Tunang’ kepada Kiera.
           
“Hmm, memang taklah. Kalau boleh Ira nak lari jauh-jauh dari Badri. Ira rimas asyik kena kawal dengan remote control tu. Ira tak nak kahwin dengan dia, kak...” Kiera memegang lengan Hana sambil buat muka kesian ala-ala peminta sedekah kaki lima. Dia sedar bahawa permintaannya itu tidak mampu ditunaikan, tetapi sekurang-kurangnya Hana tahu apa yang sedang berlegar-legar di ruang hatinya.
            
“Ish, mulut! Tak pasal-pasal ayah tahu hajat kau ni, mampus kau kena perintah berkurung setahun,” Hana mengingatkan.
            
“Ira tak kisah, kak! Kalau terdesak juga nanti, Ira nak lari jauh-jauh. Tapi...” Kiera mematikan kata. Dia memandang Hana dengan senyuman penuh makna. Dia tahu Hana itu bukan ahli nujum biasa, semua perkara tersirat pasti dapat dibaca dengan imbasan mata sahaja.
            
“Hmm... in that case, akak tak nak bersubahat. Tak pasal-pasal akak pula yang kena ganti tempat kau dan terpaksa nikah dengan remote control tu,” sahut Hana seolah-olah mengerti dengan maksud senyuman Kiera.
            
“Alah, akak ni tak sportinglah. Tak kesian ke tengok adik akak ni?” Sekali lagi Kiera buat muka kesian depan Hana. Mana tahu kali ini Hana akan cair dengan olahannya itu.
            
“Ish, kalau akak kesiankan kau, mana akak nak letak Hairi? Dia aje satu-satunya buah hati pengarang jantung pisang akak tau.”
            
Kiera mencebik. Dia baru teringat yang Hana dan Hairi akan disatukan dalam sedikit waktu lagi. Mungkin dua atau tiga bulan dari sekarang, bergantung kepada persiapan majlis mereka. Menurut ayah, dia mahu majlis Hana diadakan besar-besaran. Maklumlah, perkahwinan anak sulung mestilah diraikan dengan penuh gilang-gemilang ala-ala Anugerah Bintang Popular Berita Harian. Jangan-jangan ayah akan jemput artis-artis popular buat persembahan tak? Kiera berangan-angan sejenak sebelum kembali ke dunia nyata. Muka Hana dipandang.
            
“Untung akak dapat abang Hairi. Dia baik, setia dan yang paling penting bukan jenis remote control!” Kiera menegaskan ayat terakhirnya. Isu utama dalam perbualan mereka jika melibatkan Badri pasti diselitkan dengan perkataan ‘remote control’. Hanya perkataan itu yang sesuai digunakan untuk menggambarkan sikap Badri secara total.
            
“Tak habis-habis dengan remote control kau tu. Sudahlah, akak nak tengok tv kat bawah. Slot Akasia favourite akak dah nak mula,” Hana bangun lalu menapak ke muka pintu. “Kau jangan lupa solat pula. Mohon banyak-banyak pada Allah supaya Badri tu berubah. Tak perlulah kau susah-susah fikir nak lari jauh-jauh,” sempat Hana menitipkan pesan sebelum berlalu bersama senyuman.
            
“Ish, ke situ pula...” bisik Kiera. Matanya sekadar merenung Hana sebelum tubuh itu hilang dari pandangan. Di dalam hati Kiera berharap agar Tuhan membukakan jalan terbaik untuknya menghadapi apa jua kemungkinan yang mendatang.


***


“Mana adik kau, Hana?” Soal Datuk Rashidi sebaik menapak ke ruang tamu itu. Sejak dia pulang tadi, kelibat Kiera langsung tidak kelihatan. Hanya Hana yang duduk bersendirian menonton televisyen di ruang itu.
            
“Ada kat bilik dia, ayah...” Hana menoleh seraya menjawab perlahan. Wajah senja Rashidi direnung sehingga tubuh itu melabuhkan dirinya ke sofa bertentangan Hana. Tiada sebarang jawapan balas kedengaran, sebaliknya Rashidi melepaskan keluhan. Mungkin kepenatan setelah seharian di pejabat.
            
“Pergi panggil dia. Ada perkara ayah nak bincang sekejap,” arah Rashidi tiba-tiba.
            
“Ada apa, ayah?” Kedengaran suara Kiera menyapa. Dia sudah pun tegak di situ sebelum sempat Hana menuruti perintah Rashidi.
            
“Hah, kau pergi mana sepanjang hari ni? Badri telefon, kau langsung tak jawab,” suara Rashidi tiba-tiba kedengaran tegas sebaik melihat kelibat puteri bongusnya itu. Selepas menerima panggilan Badri lewat petang tadi, Rashidi tidak sabar-sabar hendak pulang untuk mendapatkan penjelasan Kiera. Ini bukan kali pertama Badri mengadu masalah yang sama tentang perangai anak bongsunya itu, malah sudah berkali-kali juga Rashidi mengingatkan Kiera supaya menjaga perlakuannya.
            
“Ish, kaki lapor betullah si remote control tu! Tak habis-habis menyusahkan hidup aku,” bebel Kiera separuh berbisik sambil merapati Hana.
            
“Ayah tanya kau ni, kau dengar tak?” Rashidi memandang Kiera dengan kerut seribu di dahinya. Uban yang memutih di kepala menandakan usia Rashidi sudah lebih separuh abad. Namun kudratnya masih dikerah untuk memajukan syarikat hasil perkongsiannya dengan Badrul. Tanpa bantuan Badrul, pasti syarikat itu sudah bungkus beberapa tahun yang lalu. Atas alasan itu juga, hati Rashidi semakin kuat untuk menjodohkan Kiera dengan Badri.
            
“Ira cuma jalan-jalan ajelah, ayah. Bukannya pergi mana-mana pun. Si Badri tu pula tak boleh tengok orang senang sikit, ada je benda yang tak kena...” bebel Kiera lagi bagi menyelar tindakan Badri. Dia tahu, pasti Badri sudah jadi mata-mata yang siap sedia melapor segala pergerakannya dengan bos besar itu. Apa sahaja tindakan Kiera yang dirasakan salah di matanya, pasti akan sampai dengan cepat kepada Rashidi.
            
“Badri tu tunang kau. Dah jadi tanggungjawab dia tengok-tengokkan kau,” sekali lagi Rashidi mengingatkan Kiera tentang status hubungannya dengan Badri.
            
“Tapi, ayah...”
            
“Ayah tak nak dengar alasan kau. Ayah nak kau dengan Badri disatukan selepas majlis Hana dengan Hairi selesai. Ayah dah beritahu Badri tentang perkara ni,” Rashidi bertegas. Dia tidak mahu Kiera memandang remeh perkara-perkara serius. Lebih-lebih lagi tentang urusan majlis perkahwinannya dengan Badri. Pada usia sekarang, Kiera sepatutnya sudah lebih matang dalam berfikir, bukannya merengek seperti bayi kecil yang minta disusukan tiap-tiap hari.
            
“Ayah, Ira tak...”
            
“Tak apa, nanti akak tolong Ira buat persiapan sama-sama, kan kita dah bincang tentang perkara ni tadi...” tiba-tiba Hana memintas perbualan keduanya.

Dari air muka Kiera yang sudah mencuka di sisinya, Hana dapat meneka apa yang Kiera cuba hendak luahkan kepada Rashidi. Hana tidak mahu keadaan bertambah tegang antara dua beranak itu memandangkan Rashidi juga kelihatan penat selepas balik dari pejabat tadi. Kalau bom atom sudah meletus, kesannya pasti sampai ke Hiroshima. Perkara itulah yang cuba Hana elakkan.
            
“Akak...” sapa Kiera separuh berbisik sambil memandang wajah Hana dengan muka geram. Ketika itu kelihatan Hana sedang memberikan isyarat mata kepadanya.
            
“Baguslah tu, Hana. Bantulah apa yang patut. Ayah nak majlis anak-anak ayah ni berjalan seperti yang dirancang. Jangan nanti banyak pula cacat celanya,” kali ini suara Rashidi kedengaran semakin kendur. Matanya ditujukan ke skrin televisyen yang sedang memaparkan siaran berita. Hanya sesekali dia memandang ke wajah dua orang puterinya yang sedang membisu.
            
“Ayah ke bilik dulu,” Rashidi mempamitkan diri memandangkan waktu Isyak akan masuk tidak lama lagi. “Ira, ayah tak nak kau buat hal lagi dengan Badri,” sempat Rashidi mengingatkan sebelum melangkah ke anak tangga.
            
Kiera hanya mendiamkan diri sambil memandang tubuh ayahnya yang menghilang di ruang atas rumah. Kemudian, wajah Hana menjadi tumpuan. Dia mahu mendapatkan penjelasan tentang tindakan Hana tadi.
            
“Kenapa pandang akak semacam aje?” Hana pura-pura tidak tahu.
            
“Jangan jadi kura-kura dalam perahu. Kenapa akak tiba-tiba potong line tadi? Ira dah kumpul berbakul-bakul semangat dan confident seratus peratus nak beritahu ayah yang Ira tak nak kahwin dengan Badri. Akak ni kacaulah,” Kiera merengek. Perbuatan Hana telah mematahkan harapannya untuk berterus terang tentang keadaan sebenar.
           
“Akak nak selamatkan keadaan. Nanti perang meletus, siapa nak menjawabnya? Akak tak sanggup jadi peguam bela kau kalau ayah mengamuk bawa samurai,” Hana memberitahu rasional tindakannya kepada Kiera.
            
Kiera tidak jadi bersikap dingin. Sebaliknya dia tertawa kecil apabila mendengar Hana berkata-kata sambil membuat aksi yang mencuit hati. “Akak ni melampau-lampau pula. Kalau ya pun ayah bawa samurai, Ira kan masih ada perisai...” tangan Kiera lantas melingkari lengan Hana sambil buat muka tersengih, seperti kerang busuk gayanya.
            
“Eh, akak nak letak jawatan jadi perisai dan peguam bela kau!” Hana menegaskan.
            
“Ira tak bagi,” pintas Kiera serta merta.
            
“Alah, apa susah! Akak pecat diri sendiri. Kan tak lama lagi abang Hairi kau nak bagi akak jawatan baru,” Hana bercanda di hujung bicaranya sambil tersengih mengenangkan kata-kata sendiri. Dia tahu Kiera tidak boleh membantah lagi memandangkan jawatan baru yang ditawarkan Hairi lebih lumayan. Siapa tak nak jadi isteri mithali oi? Hana terkekeh.
            
“Yalah! Orang tu dah nak upgrade pangkat. Jawatan tu, tak bergaji pun tak apa kan?” Kiera buat suara seakan-akan merajuk. Dari sisi lain, kata-kata Hana tetap ada logiknya pada fikiran Kiera. Apabila sudah berumah tangga kelak, pasti tanggungjawab kakaknya itu lebih besar terhadap suami dan semestinya Kiera hilang tempat untuk bermanja meskipun tidak seratus peratus.
            
Hana hanya ketawa mendengar nada rajuk Kiera yang sudah lali pada pendengarannya. Semenjak arwah ibu meninggal dunia, kepada dialah Kiera bermanja dan menabur kasih. Keluh-kesah Kiera sudah sebati dan digaul sempurna dalam adunan hatinya. Riang tawa Kieralah yang menjadi penyeri dalam keluarga Datuk Rashidi itu walaupun ia pernah hambar suatu ketika dulu.






0 Curahan Hati: