Khamis, 20 Disember 2012

HANYA SELAFAZ RINDU - 4





KAKINYA menghayunkan langkah dengan pantas. Cuaca yang tadinya panas terik kini berubah suram dengan awan mendung yang berarak laju. Hujan yang turun tiba-tiba, semakin lebat mencurah ke bumi. Ada kalanya, begitulah lumrah alam yang tidak dapat diduga dek akal. 

Dierall menggenggam erat beg plastik hitam yang ada di tangan, takut-takut kalau novel yang terselindung di dalam beg plastik itu akan terkena hujan yang kian mengganas lebatnya. Baju kemeja biru yang melekap di tubuh sasanya juga sudah separuh basah disiram hujan. 

Lopak air di permukaan jalan yang tidak diselenggara diredah tanpa mempedulikan kasut kulit hitam miliknya berendam dalam takungan air tersebut. Dia berlari-lari anak malah sempat juga matanya memerhati ke sekeliling kawasan, mungkin ada tempat yang boleh dijadikan sebagai perteduhan sementara menunggu hujan lebat itu reda. 

Kekesalan mula menyelinap ke dalam jiwa kerana memarkir kereta jauh dari kedai bukunya pagi tadi. Perkara itu sudah menjadi kebiasaan bagi Dierall setiap kali berlaku kesesakan pada waktu pagi. Banyak kenderaan yang berjejeran di jalan raya dan masing-masing ingin ke tempat kerja. Jadi, dia mengambil keputusan untuk berjalan kaki sahaja dari tempat parkir kereta yang mujur jauhnya cuma setengah kilometer dari kedai bukunya. 

Dierall melangkah dan terus melangkah. Akhirnya kornea matanya terpancang pada sebuah kedai bunga yang menyediakan satu ruangan terbuka di kawasan luarnya. Dia mempercepatkan langkah menuju ke ruang legar itu. Namun, tidak semena-mena sesuatu terjadi di luar dugaannya. 

“Aduh!” Kedua-duanya mengerang kesakitan. Pantas jemari Dierall mengurut bahunya yang terasa berpijar akibat rempuhan kuat itu. Ketika itu juga dia segera menoleh dengan kekalutan yang berbongkah. Gadis muda yang berusia dalam lingkungan 20-an itu sudah tersungkur ke lantai. 

“Maaf! Maaf!” Dierall panik seraya merebahkan lutut kanannya ke lantai bagi mendapatkan gadis yang tersedu-sedu menahan kesakitan itu. 

“Cik tak apa-apa ke?” Soal Dierall cemas. Dia berkira-kira untuk memaut lengan gadis itu kerana hatinya sudah dipagut rasa bersalah yang kian merebak dan meresap ke dalam lipatan hatinya. 

Sementara gadis itu masih menunduk memandang hamparan lantai marmar hijau yang separuh basah dek tempias hujan lebat ketika itu. Di hujung helaan nafasnya masih ada sisa-sisa suara halus yang mengerang kesakitan. Kalungan bunga yang baru dibelinya tadi sudah terhempas ke lantai dan tercalit kotoran yang kelihatan jelas pada warna putih bersihnya. 

“Awak buta ke? Awak dah kotorkan kalungan bunga saya.” Butir katanya semakin tenggelam bersama sebak di dada. 

Hendak marah-marah Nia tidak berdaya lagi. Dia cukup terpukul dengan apa yang telah berlaku. Harapannya, kalungan itu sempat diberikan kepada ibunya hanya tinggal menjadi debu angan-angan yang terbakar halus dan lenyap diterbangkan angin kedinginan ketika itu. 

“Maafkan saya ya? Nanti saya gantikan dengan yang baru.” Pujuk Dierall berbaur nada kesal. Rasa bersalah terus berkubu dan meratah benaknya. 

“Tapi awak tak apa-apa ke ni?” Soalnya lagi bersama riak kebimbangan. 

Gadis itu masih menunduk bersama esakan yang beransur kebah. Sesekali tangannya menyeka dua butir air jernih yang sudah tumpah dari tubir mata. Dierall pula mengetap bibir, masih teragak-agak untuk memaut lengan gadis tersebut. 

Nia memerah kudrat sedaya upaya untuk bangkit sendiri. Ketika dia cuba berdiri tegak, urat kakinya tiba-tiba terasa menegang, terus dia gagal menggerakkan tubuh. Nia Arisya mengerang kecil sambil mukanya berkerut menahan kesakitan. Hampir-hampir tubuhnya melayang tetapi sempat dipaut oleh Dierall. 

“Awak okay?” Tanya Dierall. 

Ketika itu Nia tidak terus menjawab. Malah matanya membuntang memandang Dierall di depan mata. Fokusnya hanya pada wajah itu. Tak mungkin! Protes hatinya dengan kenyataan yang sedang menyerbu ke dasar diri. 

Dierall turut mencerlung. Bibirnya sudah kaku tidak bergetar, tergamam Dierall dibuatnya. Hatinya bagai tidak percaya dengan apa yang sedang dilihat dengan sepasang matanya ketika itu. Dia benar-benar yakin, dia tidak rabun mahupun buta! Memang gadis inilah yang dicarinya sejak sebulan yang lalu. 

Nia sendiri bagai tidak sedar dari alam khayalan yang diladeninya ketika menatap wajah itu sebentar tadi. Dia hanya tersedar apabila Dierall tiba-tiba memegang erat bahunya selepas beberapa minit berlalu. 

“Lepaskan saya.” Bentak Nia bersama jegilan mata. 

Dierall yang menyedari pandangan tajam Nia segera melonggarkan pegangan. “Maaf, saya...” 

Nia tidak berkata apa-apa, sebaliknya dia terus mencangkung dan memicit buku lalinya yang terasa perit sekali. Namun, sebelah hatinya cuba menahan getar yang berkalut. Sungguh, dia benar-benar gelisah ketika itu! Segala perbuatannya hanya dijadikan sebagai alasan bagi menutup perasaan resah yang melimpah. 

”Err, ni awak kan?” Soal Dierall dalam keadaan serba salah. Dia sama-sama mencangkung. 

“Siapa?” Nia cuba mengelak dengan mengalihkan pandangan. Fokusnya kini hanya pada buku lalinya yang masih terasa berdenyut-denyut. 

“Maaf, saya tak pernah tahu nama awak, tapi saya tahu yang ni awak kan?” Pertanyaan Dierall terdorong atas rasa optimis yang tidak pernah lupus. Kelopak matanya tidak terkebil ketika pandangannya merayap-rayap pada seraut wajah ayu yang mengusik tenang di kalbunya waktu itu. 

Nia terkesima. Tiba-tiba terjentik sesuatu di hatinya apabila mendengar ujaran Dierall. Sempat bibirnya menguntum senyum nipis di saat dia teringat kembali pada detik perkenalan mereka suatu ketika dulu. Seingat Nia, dia tidak pernah memperkenalkan dirinya kepada jejaka itu, jadi memang wajarlah sehingga ke hari ini Dierall tidak pernah tahu siapa dia. Sempat Nia tergelak dalam hati. 

“Betul kan?” Dierall mencelah di tengah-tengah lamunan Nia. Dia melihat ada senyuman terdandan di bibir gadis itu membuatkan rasa kurang yakin Dierall akhirnya terbang jauh. 

“Awak nak apa lagi? Nak sakitkan hati saya lagi? Nak permainkan saya lagi? Lakonan apa lagi lepas ni?” Bertubi-tubi persoalan itu termuntah dari mulut Nia. Dia sudah menuding jari ke muka Dierall yang terpinga-pinga. 

Dengan amarah yang tiba-tiba berbuku, Nia bingkas bagai ada sesuatu yang menerbangkan dirinya untuk berdiri semula. Kesakitan pada buku lalinya tadi beransur surut membuatkan Nia berjaya menyeimbangkan tubuhnya untuk berdiri tegak. Dierall ikut bangkit sambil matanya tidak berkalih dari wajah itu. 

“Awak fikir awak tu siapa? Sesuka hati aje nak marah-marahkan orang, lepas tu buat tuduhan yang bukan-bukan. Tak fikir ke hati dan perasaan orang?” Sambung Nia lagi, menyelar perbuatan Dierall yang lepas-lepas. 

Akhirnya, Nia dapat menzahirkan juga amarah yang terpendam selama ini. Dia sendiri tidak pernah menduga bahawa kata-kata seperti itu berani dimuntahkan dan berkemungkinan boleh menimbulkan amarah lelaki itu. Ah! Aku peduli apa! Bentak hatinya lagi, memprotes segala kemungkinan yang bakal terjadi. 

Dierall menjatuhkan pandangan, menyepi seketika. Dia sekadar mengetap bibir sambil jiwanya terus dipeluk rasa bersalah. Beg plastik di tangan terus digenggam seerat mungkin. Perlahan-lahan kekesalan menapak lalu menghuni hatinya. Nia juga tidak berkata apa-apa. Dalam keheningan suasana, hanya bunyi rintik hujan yang menerpa ke cuping telinga masing-masing. 

“Saya memang salah, saya minta maaf.” Cuma kata-kata itu yang mampu meniti di bibir Dierall setelah menyepi untuk beberapa ketika. Dia menanam harap agar kata ‘maaf’ yang terucap dari dalam hatinya yang paling luhur itu akan dapat membasuh luka di hati Nia. 

Sekali lagi terjentik sesuatu di hati Nia. ‘Salah lelaki ni tidaklah sebesar mana pun. Tapi, perlukah aku mempercayai setiap gerak gerinya lagi? Sudah puas dulu aku dipermainkan dek perlakuannya yang sukar diduga. Hanya lakonan semata-mata.’ Nia membuang keluhan lalu melarikan pandangan. 

“It's okay.” Nia sendiri tidak sedar bila masanya kata-kata itu terlepas dari mulutnya. ‘Ah, mulut ni pun! Tak menyempat betul aku nak kenakan dia, kau dah ucap ‘tak apa’!’ 

“Thanks!” 

Nia terpinga-pinga. Dilihatnya ada garis kegembiraan terlakar pada urat wajah lelaki itu. 

“By the way, nama awak apa?” Dierall tersipu-sipu mengajukan pertanyaan. 

“Saya...” Nia Arisya hampir menghabiskan bicara, namun kata-kata itu dimatikan separuh jalan. Perkara yang terlintas di fikirannya membuatkan Nia berfikir. 

“Err, awak cari sendiri, okay?” Seloroh Nia seraya tertawa kecil. Mungkin sudah sampai gilirannya untuk mempersendakan lelaki itu pula. 

“Tapi...” 

“Jangan lupa gantikan kalung bunga saya tadi.” Nia memintas bicara Dierall. Lelaki itu tersenyum lagi, tidak jadi meneruskan kata-kata. 

Gadis ini benar-benar sedang menguji dirinya. Keperibadian gadis itu mampu menarik tumpuan Dierall. Lirikan senyuman yang baru pertama kalinya menyentuh bibir gadis cantik itu meninggalkan kesan yang sangat mendalam pada jiwa, membuatkan hatinya terdetik untuk mengenali gadis itu. 

***

DIERALL QALFEE merebahkan diri di atas tilam empuk berjalur biru putih. Suasana bilik yang agak suram ketika itu dengan hanya bersuluhkan cahaya lampu meja serta lampu dinding membuatkan mindanya kembali menjengah ke ruang kenangan. Sudah menjadi rutin hariannya di kala sepi. 

“Nak saya hantarkan awak balik?” Setelah lama mendiamkan diri, Dierall kembali bersuara. Wajah gadis itu ditatapnya dengan penuh harapan agar perlawaan tulusnya diterima baik. 

“Saya drive sendirilah. Kereta saya ada kat parking sebelah sana.” Jelas Nia sambil mengangkat telunjuk. 

Dierall terdiam lagi. Ketika itu, Kuala Lumpur sudah kembali bernafas setelah hampir satu jam disirami hujan lebat. Tiada lagi kedengaran bunyi rintik hujan yang menusuk ke gegendang telinga, yang tinggal hanyalah gerimis. 

“Saya minta diri dulu ya?” Pinta Nia mempamitkan diri. 

“Awak boleh jalan ke? Nak saya temankan awak sampai ke tempat parking?” Dierall menyarankan. 

“Saya okay aje!” Nia mendandan senyuman sambil disaksikan oleh Dierall. Lelaki itu sudah tidak terkata apa-apa lagi selain menghantar tubuh Nia pergi dengan pandangan yang tidak kebah. 

“Jangan lupa janji awak nak gantikan kalung bunga tu.” Nia menjerit kecil sambil menghantar isyarat tangan bagi memperingatkan lelaki itu sekali lagi. Dia sudah menjarakkan diri dari Dierall yang tidak putus-putus memahat senyuman sehingga menampakkan sepasang lesung pipit miliknya. 

“Abang!” Sergah Diera yang tiba-tiba terpacul. Terkejut beruk Dierall dibuatnya apabila terdengar sergahan yang tiba-tiba membingitkan telinga. 

Adiknya itu sudah pun berdiri di tepi katil bersama sengihan. Dia tidak sedar bila pula pintu kamarnya dikuak. Bunyi tombol dipulas juga tidak kedengaran jelas. Betapa lamunan tadi mengaburkan semua dunia realitinya. Dierall bangun lalu menyandarkan tubuhnya pada kepala katil sambil mengerling Diera. 

Ketika itu gelak tawa sudah meniti di bibir Diera. Jelingan Dierall langsung tidak mendatangkan gentar di hatinya. 

“Novelnya?” Diera menyoal walau tawanya masih bersisa di hujung kata. Dierall meraup muka dengan kedua tapak tangan bagi meredakan perasaan kagetnya tadi. Keluhan dilepaskan perlahan sebelum meneruskan kata. 

“Ada kat atas meja tu. Ira ambil sendiri.” 

Diera masih setia memburai tawa tatkala melihat tingkah abangnya. ‘Entah apa yang dimenungkan Abang Rall tadi ya?’ Soalnya dalam hati seraya menggelengkan kepala. Setelah mencapai novel tersebut, Diera pantas mengangkat kaki, bersedia untuk keluar dari bilik itu. Rasa tidak sabar untuk memulakan pembacaannya sudah datang bertimba-timba. Novel Terus Cintai Aku karya Aleeya Aneesa itu telah sekian lama ditunggu-tunggu. Lebar senyuman di bibirnya pula hampir mencecah ke telinga. 

Belum sempat Diera memulas tombol pintu kamar, namanya dipanggil membuatkan pandangan Diera terpancing ke arah Dierall yang mencerlung. 

“Lain kali jangan sergah abang macam tu lagi.” Dierall memberi peringatan. Diera membalas kata-kata abangnya itu dengan anggukan seraya ketawa berdekah-dekah. 

“Tak baik perempuan ketawa macam tu.” Teguran Dierall beransur-ansur mematikan gelak tawa adiknya. Bibir Diera sudah memuncung bagi menyelar teguran Dierall. Dia sudah malas hendak bertekak lidah, melayan leteran Dierall yang hanya akan mencipta sakit di hatinya. Diera pantas berlalu dengan cemikan. 

Dierall menggelengkan kepala. Longlai. Badannya direbahkan semula ke katil. Dalam sekejap, bayangan gadis itu tiba-tiba menjelma masuk ke minda. Kini, hanya senyuman yang menemani di setiap inci bibirnya. 

“Kenapa dia yang aku fikirkan?” Dierall menyoal hati.



0 Curahan Hati: