Khamis, 20 Disember 2012

HANYA SELAFAZ RINDU - 3





KERETA Honda Civic itu dipandu perlahan memasuki kawasan parkir yang kosong. Sempat pandangannya ditebarkan ke segenap kawasan sewaktu kakinya melangkah keluar dari perut kereta. Panas terik yang memancar menyebabkan seluruh anggota badannya dibasahi keringat. Tengah hari itu, keadaan agak sesak dengan orang ramai yang berpusu-pusu memenuhi ruang di kedai makan yang menjadi destinasi kegemarannya seperti selalu. 

Nia Arisya menapak ke dalam restoran sambil memerhati ke setiap sudut, mungkin ada tempat kosong yang tinggal. Huh, nasib! Anak matanya terpancang pada satu meja kosong yang dicari di celah-celah keramaian orang. Dia pantas menolak langkah. Sampai saja di meja itu, tiba-tiba seorang lelaki mematikan niatnya. Belum sempat tangan Nia menerkam kerusi pada meja, lelaki itu sudah merebahkan punggungnya di kerusi yang sama. 

“Hey, that's mine!” Bentaknya. Lelaki itu lantas menoleh untuk sesaat dua. 

“Aku dah duduk dulu.” Selamba saja riak yang dipamerkan oleh lelaki itu ketika menjawab kata-kata Nia. 

“Tapi saya nampak dulu tempat ni.” Bentak Nia lagi, tidak mahu mengalah. 

“Siapa cepat dia dapat. Tapi kalau kau nak duduk sama-sama kat sini pun tak apa. No offence.” Percakapan sinis lelaki itu menaikkan amarah di hati Nia. Jiwanya sudah dicarik-carik dengan rasa sebal. 

“Awak fikir saya ni apa?” Nia meninggi suara lalu menjegilkan mata meskipun sedari tadi lelaki itu bersikap acuh tidak acuh dengan setiap ungkapan katanya. 

Lelaki itu bingkas dari tempat duduk. Dia berpaling dan merenung tajam ke dalam anak mata Nia seraya menghamburkan kata. “Kau ni mengganggu aku nak makanlah! Kan aku dah cakap baik-baik tadi. Kalau nak, duduk aje. Tak nak, sudah!” Omel lelaki itu dengan pandangan yang mampu menggetarkan seluruh urat tubuh Nia. Kelopak mata Nia terkebil-kebil. Kepalanya masih mendongak memandang wajah yang menegang. 

Renungan mata itu pula mengingatkan Nia pada satu peristiwa yang pernah mengisi kamus hidupnya suatu ketika dulu. Lelaki ni? Dia alpa seketika. Kakinya sudah tidak berpijak di bumi nyata ketika dia dapat menangkap renungan mata itu sebentar tadi. 

“Hello!” 

Nia terkejut. Fikirannya yang menerawang dibawa kembali ke alam realiti. Lelaki yang ada di hadapan mata tadi sudah kembali mengambil posisi tempat duduknya. ‘Aku cari tempat makan lain ajelah!’ Usul Nia dalam hati. Bibirnya sudah memuncung demi menahan rasa. Dia tidak sanggup bertelagah lagi, takut pula akan mencipta suasana yang kurang menyenangkan. Lebih-lebih lagi di tempat awam seperti itu. Malah tadi, sempat juga beberapa pasang mata memerhati gelagat mereka berbalah sesama sendiri. 

“Kau nak duduk ke nak ganggu aku?” Lelaki itu mengungkit lagi seraya menoleh buat kali keduanya. Dia jadi tidak senang duduk apabila melihat gadis itu masih tercegat di sisinya. 

“Tak apalah.” 

Wajah lelaki itu dikerling beberapa kali sebelum Nia berkira-kira untuk beredar. Jiwanya sudah berendam geram apabila harus berhadapan dengan lelaki aneh dalam keadaan yang menyesakkan itu. 

***

“APASAL dengan mamat tu? Tak nak mengalah langsung dengan perempuan. Ini bukan kali pertama dia buat masalah dengan aku. Dulu, dia langgar aku. Sekarang, nak berebut tempat dengan aku pulak.” Omel Nia diiringi keluhan. Kakinya menghentak-hentak lantai jalan bagi membuang perasaan tidak puas hati yang sedang bertakung dalam kolam hatinya. 

Dia melepaskan segugus nafas berat dari dada. Seketika kemudian, dia mendengus. “Memang bawa balalah mamat tu!” Marahnya lagi. Mukanya kelat. 

Nia meneruskan langkah tanpa menuding sesiapapun yang lalu-lalang di kiri dan kanannya. Dia masih meladeni perasaan marah berbaur geram yang membuak-buak. Tidak luak walau sedikitpun. Sesekali dia mengerling muka jam di tangan, hampir pukul 2.30 petang. 

Hari ini, dia telah memohon keizinan daripada Tuan Mukhris untuk balik awal dari pejabat kerana diserang rasa tidak enak badan. Tetapi tidak disangka-sangka pula dia akan terperangkap dalam kesesakan dan terjerat dengan situasi sebal tadi. Pada masa yang sama, dia terjengah-jengah mencari tempat makan untuk mengisi perut. Bukan tidak ingin makan di rumah, cuma hari ini dia terasa mahu mencuba selera di luar pula. Tukar angin kata orang. 

Seusai menjamu selera di sebuah kafe, Nia meronda-ronda di segenap ibu kota dengan berjalan kaki. Kalau memandu kereta, pasti akan terperangkap dalam kesesakan lalu lintas yang sudah sebati dengan bandar metropolitan itu. 

Destinasi yang bermain-main di fikirannya kini ialah Amber Flower, kedai bunga yang sememangnya menjanjikan sesuatu yang menarik untuk mencuci mata. Setibanya di sana, anak mata Nia melilau ke setiap rak yang sedia ada. Di atas rak-rak itu tersusun rapi pelbagai jenis bunga yang dikarang indah dan cantik-cantik buatannya. Mata Nia Arisya tertancap pada sekalung dahlia putih yang dihias indah bersama aksesori lainnya. Sungguh memikat hati! 

“Auntie Syira...” Nia menjerit kecil. Nama pemilik kedai itu dipanggil sambil memanjangkan lehernya menjenguk ke ruang dalam. Terkedek-kedek Puan Syira tampil dari dalam kedai lalu menghampirinya yang sedang membelek-belek kalungan di tangan. 

Dia sememangnya sudah lama mengenali Puan Syira yang tinggal tidak jauh dari kawasan perumahannya. Justeru kerana itu juga, dia dan Puan Mazni sering ke Amber Flower yang sering menawarkan diskaun berpatutan untuk pelanggan setia. 

“Nia nak kalungan ni?” Soal Puan Syira ramah. Kalungan dahlia di tangan Nia dikerlingnya bersama senyuman. “Kalungan ni baru aje siap tadi.” Tambah Puan Syira lagi seraya anak matanya memerhati ke sekeliling. 

“Auntie tengok apa?” Nia menyedari tingkah Puan Syira yang mendatangkan kehairanan di benaknya. Dia berhenti dari perbuatannya tadi dan turut memandang ke sekeliling. 

“Mama Nia tak ikut sekali ke? Selalu dia ada. Hairan pula tengok dia tak ada hari ni.” Seloroh Puan Syira apabila melihat tingkah Nia yang turut meniru perbuatannya. Dia juga sudah menggaru-garu kepala mengenang perlakuannya tadi. 

“Oh, mama...” Nia ketawa kecil sebelum menyambung bicara. “Aunty cari mama rupanya. Mama kat rumah, Nia ni tadi dari office. Alang-alang nak balik rumah lepas makan, Nia singgah sini dulu, teringat kat pesan mama suruh Nia beli kalungan bunga.” Puan Syira terangguk-angguk, khusyuk mendengar penjelasan yang diberikan oleh gadis ayu berkulit cerah itu. 

“Patutlah.” Puan Syira tersenyum. “Eh, jadi ke beli kalungan ni? Auntie bagi diskaun macam biasa.” Tawarnya pula. Nia Arisya mengangguk mengiakan kata-kata wanita berusia itu. 

“Kalau mama tengok mesti dia suka.” Ujar Nia separuh berbisik seraya membuntuti langkah Puan Syira menuju ke kaunter pembayaran di ruang dalam.



0 Curahan Hati: