Khamis, 20 Disember 2012

HANYA SELAFAZ RINDU - 2





“ADA apa-apa yang boleh saya bantu, cik?” Senyuman diberikan sebaik sahaja melihat salah seorang pekerja Kedai Buku Bestari menyapanya di muka pintu. 

Sedari tadi dia hanya memaku langkah di situ sambil matanya melilau ke segenap ruang. Lagaknya seperti orang kehilangan sesuatu, terjengah-jengah di muka pintu. Gadis yang menegurnya tadi masih setia menonton setiap perbuatannya lalu membawa pandangan Nia ke wajah manis itu. 

“Mana pekerja lelaki tu?” Spontan Nia mengajukan pertanyaan. 

“Pekerja yang mana cik?” Giliran gadis itu pula bertanya. Dia sudah menghampar kehairanan pada lapis-lapis kerutan di wajahnya. 

“Pekerja lelaki yang namanya Dierall?” 

“Oh, Abang Dierall rupanya! Dia bukan pekerja sini cik...” Gadis itu sempat tertawa kecil sebelum menyambung kembali butir bicaranya, “Abang Dierall tu tuan punya kedai ni.” 

“Kenapa ni Ayu?” Sesusuk tubuh tinggi lampai muncul tiba-tiba lalu memintas percakapan keduanya. Pandangan mata Dierall direbahkan tepat ke wajah Ayu sebelum perlahan menoleh ke arah Nia Arisya yang sudah menampakkan kebingungan. 

“Cik ni cari abang.” Ayu menuding telunjuk ke tubuh Nia. 

“Oh, okay! Awak pergi sambung kerja.” Arah Dierall sambil bercekak pinggang. Gadis yang dipanggil dengan nama Ayu itu tersipu-sipu sebelum mengangguk perlahan. 

Setelah gadis itu berlalu, tinggal Nia dan Dierall yang masih tenggelam dalam kesepian masing-masing. Pandangan Dierall tetap tidak berkalih, terus menghadiahkan renungan. Nia pula hanya menekur menahan malu akibat panahan mata yang meresahkan. 

Kegelisahan Nia semakin mengocak jiwa pada saat lelaki itu membawa haluan menghampirinya perlahan-lahan. Tiada lirikan senyuman yang terbit di bibir mungil itu, hanya suram yang mengisi urat-urat muka. 

“Awak cari saya kenapa?” Soal Dierall sambil menjongketkan kening. Wajahnya menghamparkan urat-urat tegang, namun jauh di sudut hati dia sedaya upaya menahan ketawa. Mujur masih dapat dibendungnya perasaan geli hati itu. Jika tidak, pasti sudah meletus tawanya di hujung pertanyaan tadi. 

“Sa... sa... saya...” Terketar-ketar Nia menyusun bicara. Antara mahu atau tidak, dia berkira-kira untuk menatap wajah tegang Dierall. Dia sudah diulit gerun berbaur benci. 

‘Kenapa ni? Kenapa lidah aku kelu?’ Nia tertanya-tanya sendiri. Dia cuba mencari semula kekuatan yang mungkin telah lari bersama susunan katanya tadi. 

“Saya apa?” Lantang suara Dierall mencelah di antara getar suara Nia yang beralun. 

“Saya nak pulangkan sapu tangan ni.” Dengan sekali nafas, kata-kata itu terus meluncur keluar dari mulut Nia. Di tangannya sudah tersadai sehelai sapu tangan berwarna biru cair. Dierall mengerling sapu tangan itu. 

“Ni sapu tangan awak!” Nia bertempik kecil seraya mengunjukkan sapu tangan itu ke muka Dierall. Matanya yang terpejam sudah tertoleh ke sudut lain. 

“Mana awak dapat? Curi ya?” Dierall mencipta andaian. Hampir pecah perutnya menahan tawa. Mujurlah suasana tegang ketika itu menghalang gelak tawanya terburai dari perut yang menunggu waktu untuk meletup. Dia cuba menduga sejauh mana tindakan gadis pemalu itu terhadap andaiannya sebentar tadi. Bukan disebabkan dia lupa akan peristiwa pertemuan mereka beberapa hari lepas, tetapi entah kenapa sejak bertemu gadis itu, dia acapkali mempermainkannya. 

“Mulut tu jaga sikit! Awak sendiri yang bagi pinjam sapu tangan ni kat saya tempoh hari. Awak ni betul-betul tak ingat ke atau memang sengaja buat-buat tak ingat?” Tujahan omelan dari gadis yang dilabel pemalu itu sedikit menyentak sanubari Dierall. ‘Garang juga dia ni!’ Desis hati kecilnya. 

Tanpa diduga, Dierall menekan perut meletuskan segala tawa. Beberapa pasang mata memerhati gelagatnya yang mengejutkan hampir seluruh isi kedai. Nia terpinga-pinga. Ketika itu, pelbagai persoalan menyerbu masuk ke ruang mindanya. 

“Kenapa dengan awak ni?” Nia mengerutkan dahi sambil mencongak memandang wajah yang tidak kebas mengeluarkan gelak tawa. Sudah dimarah-marah sedemikian rupa, lelaki itu masih mampu mencanai rasa senang pada riak mukanya. Nia mendengus tidak puas hati. 

Sejenak kemudian, Dierall menekup mulut bagi mengawal perlakuannya. Ketawa tadi dileraikan beransur-ansur memandangkan Nia juga sedang berpeluk tubuh sambil menghumban pandang ke arahnya dengan air muka yang kelat. Namun, tidak sedikitpun Dierall gentar menerima renungan itu. 

“Bagi sini sapu tangan saya.” Dierall tersenyum sambil menghulurkan tangan meminta sapu tangan itu diberikan kepadanya. Nia mendengus lagi seraya menurut kemahuan lelaki itu. Bibirnya diketap utuh bagi menahan amarah yang tercipta. Di dalam hati, Nia tidak henti-henti mengherdik menyelar perbuatan menjengkelkan itu. 

“By the way, thanks!” Ucap Dierall bersahaja seraya memasukkan sapu tangan itu ke dalam kocek belakang seluar slack miliknya. Nia hanya membisu dengan garis wajah yang masih mencuka. 

“Ada apa-apa lagi?” Dierall menyoal kembali. 

“Tak.” Jawab Nia ringkas. 

Beberapa pasang mata yang kekal setia menonton adegan antara mereka membuatkan hati wanita Nia diselubungi perasaan malu yang kian menebal. Tindakan yang tidak semena-mena itu membuatkan Nia dilumuri kekesalan. ‘Dia ingat dia tu siapa? Tuduh-tuduh aku, permainkan aku ikut suka dia. Menyampah!’ Herdiknya dalam hati. 

Nia Arisya membuang pandang ke sekeliling. Perasaan segan di dasar hati semakin naik sampai ke kemuncak. ‘Menyesal aku!’ Bentaknya lagi. Nia berkalih pandang ke arah Dierall, lelaki itu semakin mewah menguntum senyuman seolah tiada apa yang menggusarkannya. 

‘Kau ingat kau handsome sangat ke senyum macam tu? Huh, memang kau handsome pun! Err, cuma sayang perangai kau teruk!’ Nia menarik muka sebelum menekur sesaat dua. 

Tanpa banyak bicara lagi, Nia Arisya bersedia untuk angkat kaki. Jika dia terus berlama di situ, mungkin hanya akan menambah luka di hati sakit di mata. Dia mula menyusun langkah, berpaling dari melihat wajah tampan yang menyebalkan itu. Dalam diam Nia menanam tekad untuk melupakan bayangan lelaki itu setelah dia melangkah keluar dari Bestari. 

***

NIA tersedar dari imbauan kisah lamanya. Dia kembali ke alam nyata dan kali ini anak matanya mula memberi tumpuan ke arah ombak laut yang beransur tenang dari menghempas sang pantai. Dia melepaskan segugus nafas ringan bersama lirih suara keluhan dari dadanya. 

‘Kenapa kenangan itu masih hidup dalam kamus hidupku? Sedangkan telah lama waktu itu berputar meninggalkan segalanya di belakang. Atau mungkinkah kerana hati ini yang terlalu degil?’ Detak hatinya merintih. 

Keegoan itu juga yang memakan dirinya sendiri. Ketenangan yang dicari menghilang entah ke mana. Hanya memori nakal yang berlegar-legar di ruang minda walaupun sarat dengan beban lain yang tidak terpikul oleh insan lemah sepertinya. Segala yang dirasakan indah turut berlalu pergi meninggalkannya terkapai-kapai. 

Hampir sebulan lamanya bayangan lelaki itu tidak muncul lagi di hadapan mata. Memang itu yang menjadi harapan Nia pada kali terakhir dia melihat wajah sebal itu suatu ketika dulu. Biarpun kini lelaki itu tidak muncul di dunia nyata namun di ruangan mimpi dan igauannya, wajah itu tetap bermaharajalela. Malah nama itu masih subur dalam ingatannya sehingga ke detik ini. Dierall Qalfee! Dia meraung dalam hati melepaskan geram yang bersemadi. 

Kicauan camar yang bergegas pulang ke sarang menandakan senja mula berlabuh dan bertautnya malam. Cahaya kemerahan di langit senja mula pudar dilitupi awan malam yang kelam. Nia mengerling muka jam Rollex yang tersidai di pergelangan tangan, jarumnya hampir menunjukkan ke angka tujuh. 

Dia mula meninggalkan keindahan ciptaan Tuhan itu dengan langkah longlai menuju ke kawasan parkir kereta yang tidak jauh dari tempatnya berdiri. Tiupan bayu pantai masih terasa memukul-mukul tubuh rampingnya. Kedinginan yang terasa menggigit kulit mulusnya membuatkan Nia bergegas masuk ke perut kereta. 

Sejenak kemudian, enjin kereta dihidupkan. Perlahan-lahan stereng kereta itu diputarkan sambil tapak kakinya menekan pedal minyak. Lampu kereta yang menyuluh jalan memudahkan lagi perjalanan. Kereta Honda Civic berwarna biru metallic itu dipandu cermat keluar dari kawasan pantai dan menuju ke jalan besar. 

Kawasan Pantai Cherating yang menjadi destinasi percutiannya selama seminggu itu kini ditinggal sepi. Di dalam hati Nia berharap, agar ketenangan yang dicari itu akan bertandang juga mengetuk pintu sukmanya lalu membunuh segala keresahan yang sedang menari-nari di pentas hatinya saat ini. ‘Pergilah wahai resahku...’ 

***

HEMBUSAN angin malam yang mengamuk sepoi-sepoi bahasa menampar lemah tubuhnya yang hanya mengenakan t-shirt Adidas putih dan seluar panjang berwarna hitam. Seluruh pandangannya dilemparkan ke awan mega di langit malam yang kian memekat warna kegelapannya. 

Jutaan kejora yang tidak terhitung bilangannya tetap setia memberi sinar menghiasi mega malam. Hanya purnama yang tidak kelihatan bersama cahayanya yang megah. Malam itu tidak seperti malam-malam yang lainnya. Sepi. Seolah-olah purnama ingin mengasingkan diri dari seluruh cakerawala. Masing-masing membawa haluan sendiri. 

Begitulah percaturan hidup, gambaran yang cukup menzahirkan betapa agungnya kuasa Tuhan yang memerintah sekalian alam. Bukan hanya kejora dan purnama memiliki takdir tersendiri malah setiap insan juga tidak terlepas dari suratan takdir itu. Apatah lagi insan kerdil sepertinya yang seringkali teruji dengan pelbagai pancaroba kehidupan yang tidak akan pernah surut mengiringi sepanjang perjalanan. 

Sekali dia tersilap memilih jalan, sukar untuk dia berpatah semula. Jikapun dia mampu untuk berpatah, bekasnya tetap ada dan akan meninggalkan parut yang mendalam buat dirinya. Mungkin juga akan berdarah kembali andai hati degil untuk melepaskannya. 

Dia melabuhkan punggung di kerusi ukiran kayu yang baru saja dibeli oleh uminya beberapa hari lepas di Klang Valley, sebuah kedai perabot terkemuka di Kuala Lumpur. Uminya, Datin Zahirah sememangnya suka mengumpul aneka koleksi perabot sebagai perhiasan rumah termasuklah perabot-perabot yang ada di kedai bukunya. 

Suasana malam yang hening ketika itu memberikan sedikit ketenangan untuk meredakan kepenatan yang menusuk-nusuk tulang empat keratnya. Sesaat dua, anak matanya terpaku pada secawan Milo panas yang tinggal separuh di atas meja. Berhati-hati jemarinya mencapai cawan putih itu lalu menghirupnya perlahan-lahan masuk ke rongga mulut. 

Dia kembali menyandar tubuh pada kerusi, meleraikan segala keletihan yang berbekas. Di kala itu, benaknya mula dilumuri perasaan hambar bersama sejumlah kenangan yang memintas. Seketika dia tersenyum mengenang peristiwa itu, namun ada ketikanya juga dia digomoli perasaan hampa. Rasa bersalah terus menghimpit jiwa tatkala gadis itu tidak pernah lagi menampakkan diri semenjak peristiwa sebulan yang lalu. Mungkin ada silapnya pada tindakan aku masa tu, detak hatinya. 

Semenjak bayangan gadis itu menghilang, fikirannya asyik mengenang dan meladeni peristiwa-peristiwa yang terjadi. Dia sendiri tidak pernah mengerti hati dan pemikirannya. Ada apa pada gadis itu? Sehingga benaknya tidak lekang dari mempersoalkan tentang kehadiran gadis tersebut. 

“Abang kat sini rupanya...” Sapaan itu menerbangkan jauh lamunan Dierall. 

“Kenapa Ira?” Spontan Dierall menyoal seraya menyapu muka dengan tapak tangan, membuang khayal yang masih melekat di benaknya. 

Diera Ayuni hanya memaniskan muka tatkala Dierall mengajukan persoalan. Gigi putihnya sudah ditayang-tayang di depan Dierall dengan harapan abangnya itu akan dapat menangkap maksud perbuatannya, namun Dierall sekadar mengukir lekuk-lekuk garisan di dahi. 

Lama menunggu tindak balas Dierall, gadis kecil molek itu mula muak. “Abang, macam biasalah.” Rengek Diera bagai meminta sesuatu. Dierall pula semakin galak mengerutkan dahi lalu menggaru-garu kepala yang tidak gatal, masih tidak dapat menangkap maksud yang cuba disampaikan oleh Diera. Terlalu banyak perkara yang terlintas di mindanya sehingga tidak dapat menampung ingatan-ingatan lain yang ingin menerjah masuk. 

“Takkan tak ingat janji sendiri?” Diera merungut lalu membawa muka berpaling menghadap sudut bertentangan. Dia sudah menarik kaki ke kerusi lalu memeluk lutut bersama muka yang kelat. Bibirnya dijebehkan ketika Dierall menghadapnya. Kali ini, dia ingin melancarkan mogok besar-besaran ke atas tauke besar Kedai Buku Bestari itu. 

Secangkir Milo yang ada di tangan Dierall diletakkan perlahan-lahan ke atas meja. Tangannya terdorong untuk menggaru kepala sekali lagi. Dia sudah mati akal ketika Diera menarik muka melancarkan rajuk terhadapnya. Janji apa ya? Jari telunjuknya menekan-nekan bibir bawah sambil otaknya ligat memerah jawapan pasti. Untuk beberapa ketika, dia menyepi. Setelah tidak berupaya untuk berfikir lagi, Dierall akur lalu merelakan diri memujuk rajuk Diera. 

“Abang minta maaf ya? Abang betul-betul tak ingat. Ira tinggal cakap je, abang tunaikan janji tu.” Lirih suaranya mengujarkan kata. Sikap dingin adiknya itu tidak dapat dilawan dengan kekerasan. Jika dimarah-marah, rajuk Diera semakin menjadi-jadi. Hanya dengan kelembutan saja hati Diera mudah dilentur andai kena pada gayanya. 

“Abang kan dah janji, nak bagi novel pada Ira. Jadi, novel tu mana?” Sahut Diera, mengungkit janji yang pernah dilafazkan Dierall kepadanya. Walaupun tidak ada surat bertulis hitam putih yang boleh membuktikan kata-kata Dierall, tetapi Diera tetap menyimpan janji itu di dalam benak. 

“Oh, novel tu!” Dierall tertawa kecil, mula mengerti kemahuan Diera. 

“Abang terlupa nak bawa balik, tertinggal kat kedai. Besok-besok aje ya?” Sambung Dierall lagi. Pandangannya terus direbahkan ke muka Diera yang sudah memuncungkan bibir. 

“Abang janji kali ni tau?” Soal Diera mahukan kepastian. 

Dierall hanya menganggukkan kepala sebelum menghantar tubuh Diera menghilang di balik pintu rumah dengan pandangan mata bersama senyuman. Setelah itu, dia hanya menggelengkan kepala tatkala mengenang telatah adik bongsunya itu yang ada waktunya sangat mencuit hati.



0 Curahan Hati: