Khamis, 20 Disember 2012

HANYA SELAFAZ RINDU - 1




DERUAN ombak yang melanda pantai, memecah keheningan senja. Hempasan ombak yang silih berganti mengimbau kembali kenangan lama. Nostalgia silam itu acapkali memanggil ingatannya untuk kembali mengenang peristiwa lampau. Malah seringkali juga dia berusaha sedaya upaya demi menangkis ingatan itu dari terus menceroboh masuk ke segenap benak. 

Namun kali ini, biar sekerap mana pun dia cuba menepis, dia tetap kecundang dalam pelukan memori yang kian gagah mencengkam kotak fikirannya. Dia tersungkur dipukul dek memori yang perkasa lantas meroboh dinding keegoannya selama ini. Semakin dipaksa dirinya melontar jauh kisah silam itu, semakin kerap ia menghimpit jiwa bagai tidak ingin membiarkan ketenangan menyaluti hati sucinya. 

Mindanya mula karam dalam kerakusan nostalgia silam yang menerobos ke setiap inci nubari dan akhirnya dia terpaksa akur dengan kehadiran ingatan itu. 

“Perlukan pertolongan?” Lelaki berkemeja putih itu menawarkan diri menghulurkan bantuan. 

Nia Arisya memandang tepat ke wajah polos itu. Anak matanya yang bundar berwarna coklat hazel tampak bersinar. Cantik. Senyuman manis yang mekar melebar di bibir mungilnya pula mempamerkan keikhlasan yang jelas terpancar pada setiap inci urat wajah. Ketenangan di wajah lelaki itu menyenangkan Nia. Bagai ada angin kedamaian yang bertiup lantas membelai lembut hatinya pada saat itu. 

“Err…terima kasih.” Sapu tangan yang dihulurkan oleh lelaki berlesung pipit itu dicapainya perlahan-lahan lalu mengesat mukanya yang terkena tempias hujan yang turun renyai ketika dia terjengah-jengah mencari perteduhan tadi. Dierall Qalfee…begitulah nama yang diperkenalkan. 

“Cantik nama tu…” 

Lelaki itu lantas menghamburkan tawa sebaik sahaja Nia mengungkapkan pujian. Ketika itu juga Nia menarik muka lalu tertunduk memandang lantai simen yang rata, bibirnya diketap demi menutup kekalutan diri. Mukanya sudah merah padam menahan perasaan. Gelojak perasaan malu dengan ungkapan spontannya tadi mula bergayutan di dahan hati, segan apabila ditertawakan oleh lelaki bertubuh lampai itu. 

Sejenak kemudian, lelaki itu beransur-ansur meneduhkan tawanya yang memuncak sebelum memalingkan pandangan ke arah Nia. “Terima kasih…” Ucapnya ringkas. Masih ada sisa tawa yang kedengaran di hujung katanya lantas menghadirkan kerutan di dahi Nia. 

Suasana menjadi hening. Tiada sepatah kata pun yang keluar dari mulut kedua-duanya, seakan telah ketandusan bait kata untuk menyambung bicara. Nia tidak lagi memalingkan wajahnya ke raut yang sudah menyepi itu. Kerutan di dahinya dileraikan satu persatu, meneutralkan kembali kehairanan yang telah menapak sebentar tadi. ‘Pelik betul mamat ni,’ getus Nia bersama cemikan. 

Beberapa minit kemudian, perlahan-lahan hujan renyai beransur reda. Namun mereka masih berdiri kaku di situ, bersebelahan antara satu sama lain. Masing-masing tetap setia mencanai kebisuan dan keadaan terus menyepi. Dengan segenap rasa yang berbaur, Nia mengalihkan wajahnya perlahan-lahan ke raut Dierall. Lelaki itu masih berpeluk tubuh bersama pandangan mata yang dilemparkan jauh ke hadapan. Entah apalah yang dimenungkan. Nia berhenti dari perbuatannya lalu dibiarkan saja lelaki itu bersama khayalannya. Kini anak mata Nia tertumpu pada debu-debu jalan yang hinggap di seluar slack hitam yang dipakainya. Laju tangannya memainkan peranan menepis debu-debu yang melekat. 

Untuk beberapa ketika, lelaki itu mula berbicara memecah keheningan suasana. “Err, saya minta diri dulu.” Laju saja kata-kata itu terpacul. Tanpa berkira, lelaki itu lantas melangkah pergi dengan senyuman bersisa di bibir mungilnya yang merah cair. Nia pula sekadar menjadi pemerhati bagi setiap langkah Dierall yang kian menjauh dari pandangan mata. 

“Kenapa dengan aku ni?” Bisik Nia. 

Matanya terkebil-kebil memikirkan sesuatu. Namun tidak semena-mena bibirnya mendandan senyum sebaik sahaja ingatannya mengenang peristiwa yang baru berlaku. Buat pertama kalinya dia dijamah kekalutan sedemikian. Nia mengeluh panjang seraya menggeleng-gelengkan kepala. Dalam senyum yang kian melebar, tiba-tiba ingatannya terarah kepada sesuatu. 

“Sapu tangan ni?” 

Sepantas kilat Nia berpaling ke arah tadi lalu memanjangkan leher demi menjenguk di kejauhan, terjengah-jengah mencari bayangan lelaki itu jika masih kelihatan. Namun hampa, bayangan itu telah tiada, hilang dari pandangan mata. 

***

“ENCIK, novel Damya Hanna ada lagi tak?” Soalnya seraya jemarinya membelek-belek buku di atas rak. Sedari tadi anak matanya meneliti setiap tajuk novel diikuti dengan nama penulisnya di rak yang tersedia. Lugu mencari, dia lantas mengaju pertanyaan kepada pekerja yang sibuk memerhati gelagatnya ketika itu. 

“Cik nak novel yang mana?” Pekerja lelaki itu menyoal kembali. 

“Novel Bicara Hati.” Jawabnya ringkas. 

Anak matanya masih ligat meneliti setiap novel yang tersusun rapi di hadapan mata. Hasratnya mencari novel Damya Hanna yang menjadi kegemarannya sejak azali belum luntur lagi. Malah hampir separuh dari koleksi novelnya merupakan karya Damya Hanna, penulis yang tidak asing lagi dalam dunia penulisan Alaf 21. 

“Biar saya cari dulu ya?” Lembut saja pertuturan lelaki itu sebelum dia berlalu bersama langkah yang pantas. 

Nia Arisya yang melihat tindakan pekerja itu turut mengekorinya dari belakang lalu memakirkan kaki di kaunter pembayaran. Ketika itu kelihatan seorang lelaki muda sedang berdiri di belakang kaunter sambil menguntumkan senyuman kepadanya. Nia membalas senyuman itu lalu berpeluk tubuh dengan hasrat menunggu kehadiran pekerja tadi. Sempat pandangannya dihumbankan jauh ke luar dinding kaca Kedai Buku Bestari yang baru pertama kali dikunjunginya itu. Sebelum ini, pernah dia terfikir untuk singgah ke Bestari namun kerana kesibukkan memanjang dia sering melupakan keinginan itu. 

“Maaf cik, novel tu dah tak ada stok.” 

Segera Nia berpaling sebaik sahaja teguran itu hinggap di cuping telinga. Dia tergamam seketika. Bibirnya terkunci rapat, tidak terkata apa-apa. Lelaki di hadapan mata menguntum senyum sebelum menampakkan wajah bersahaja. 

“Cik yang saya jumpa tempoh hari tu kan?” Lelaki itu memulakan pertanyaan. 

“Awak Dierall Qalfee?” Lama berdiam, akhirnya satu persatu patah kata itu meniti di bibir Nia yang terketar-ketar. Jiwanya diserbu perasaan yang berbaur. Entah mengapa sewaktu matanya dapat menangkap urat-urat wajah yang menyenangkan itu, dadanya berdebar-debar. 

Nama itu juga tidak pernah luput dari ingatan semenjak pertemuan mereka beberapa hari lalu. Dia semakin keliru dengan perasaan yang sedang membelenggu hatinya pada saat lelaki itu berdiri tegak di hadapannya bersama senyuman. Hanya debaran di dada yang kian memuncak. 

Dierall mengangguk perlahan sementara Nia pula cuba menyusun kata untuk percakapan selanjutnya. Kelopak matanya tidak terkebil sedikitpun ketika menatap wajah tampan itu. Sesekali dia menelan liur demi membasahkan tekak yang terasa kering. 

“Kenapa nak cari novel tu? Novel lain kan banyak. Saya boleh syorkan satu novel terbaik keluaran bulan ni pada awak, itupun kalau awak nak.” Ujar Dierall bersahaja. 

Setiap bait kata yang beralun dari mulut lelaki itu membangunkan Nia dari lamunan. Namun dia seakan masih tidak dapat menangkap apa yang cuba disampaikan. Kelopak matanya tetap tidak berkelip seolah-olah detik itu dia tidak lagi berpijak di bumi nyata. 

“Awak tak nak novel lain ke?” Dierall menyoal lagi. 

Kali ini dia membuka langkah menuju ke rak buku berdekatan. Jemarinya kini menggenggam sebuah buku ilmiah yang dicapai dari rak tersebut lalu dibelek-belek. Sesekali dia berpaling menghadap Nia yang masih terpaku di depan kaunter sebelum anak matanya beralih ke arah rakannya yang sedang sibuk membuat kira-kira. Sesaat dua, Dierall kembali membuang pandang ke laman muka Nia. Gadis itu masih berdiam diri. Persoalan yang diaju Dierall sedari tadi dibiarkan tidak berjawab. 

“Ada apa-apa lagi yang boleh saya tolong?” Dia kembali menyoal seraya merapati gadis itu. Perlahan-lahan nafas dihela keluar dari rongga hidungnya bagi melepaskan keluhan. 

Nia Arisya sekali lagi tersentak dengan kehadiran pemuda itu. Kali ini, mereka bertembung mata. Hampir luruh jantungnya melihat tindakan Dierall yang merenungnya tanpa kata. Degupan yang dirasa semakin kencang menggoncang dada yang sedia kalut. 

“Err...tak! Terima kasih.” Nia melarikan pandangan, meleraikan panahan mata yang terasa menyesakkan dada. Dia buru-buru membuka langkah menuju ke muka pintu, tidak ingin menapak terlalu lama dalam situasi yang meresahkan itu. 

Sebaik sahaja gadis itu berlalu pergi, Dierall terus menghamburkan seluruh tawa yang ditahan-tahan sebentar tadi sambil disaksikan oleh Adi yang terpinga-pinga. Geli hatinya tidak terbendung lagi apabila melihat riak gementar gadis itu. 

“Dierall…Dierall…” Bisiknya sendiri sambil menggeleng-gelengkan kepala. Dia menghabiskan sisa tawa yang berbaki, masih melayang-layang air muka gadis itu dalam ingatannya. Entah mengapa dia senang melihat gadis itu gusar dengan setiap tingkahnya. 

***

NIA ARISYA melangkah perlahan di celah-celah keramaian orang yang lalu-lalang. Sesak. Seperti sesaknya kotak fikirannya ketika itu. Pelbagai persoalan menerjah benaknya yang tidak henti-henti mengenang peristiwa yang baru berlaku. Perasaan bodoh apa yang sedang membelenggunya kini? 

“Kenapa dengan aku ni?” Bicaranya separuh berbisik dengan nada yang membentak. 

‘Lelaki tu bukan siapa-siapa pun bagi aku, dia hanya bayangan bodoh yang hadir untuk seketika cuma!’ Nia menyumpah-nyumpah di dalam hati. Sarat perasaan yang berbuku itu tidak tertanggung lagi. Tiba-tiba, tanpa diduga sesuatu berlaku dalam sekelip mata. 

“Aduh!” Nia mengerang. Segera tangannya memegang bahu yang terasa sedikit pijar. Matanya mencerlung memandang tubuh tinggi lampai di hadapan mata. 

“Maaf.” Ucap lelaki itu tenang. 

Nia mencongak merenung wajah lelaki yang tampil bersahaja itu. Mukanya sudah kelat. Tidak pasal-pasal tubuhnya tertolak ke belakang akibat rempuhan yang tidak semena-mena datang dari lelaki yang tidak dikenali. 

“Buta ke?” Soalnya bergaul amarah. Sudahlah hatinya sedang panas ketika itu, ditambah lagi dengan masalah yang mengundang tanpa mahunya. 

“Kan aku dah minta maaf. Aku tahulah salah aku!” Lelaki itu tiba-tiba membentak. Riak kurang senang dengan percakapan Nia jelas terpancar pada urat-urat wajahnya. Kali ini lelaki itu pula menghumban pandangan tajam ke dalam anak mata Nia. 

“Huh!” Dengus Nia, namun dia tidak berani berlawan kata. Kerongkongnya juga terasa perit untuk menelan liur. Sudah beraneka sangkaan memenuhi ruang legar fikirannya pada saat lelaki itu menjegilkan mata. 

Tanpa banyak berfikir, Nia terus angkat kaki meninggalkan lelaki itu dalam keadaan tergesa-gesa, takut kiranya lelaki itu bertindak lebih keras dari apa yang sedang berlegar di benaknya. Beberapa langkah menapak, Nia menoleh kembali. Ternyata lelaki itu masih membuang renungan ke arahnya. Dengan pantas Nia menghayun langkah, menjarakkan diri sejauh mungkin. Semakin lama, perasaan gusarnya kian lenyap bersama bunyi derapan kasut tumit tinggi yang melekat di kakinya.




0 Curahan Hati: