Teman Bicara




Beginilah aku selalu. Berbicara tanpa suara, meluahkan perasaan cuma dengan helai-helaian kertas bergaris yang kuanggap sebagai diari…diari hati setulus halusnya suci yang memuatkan pelbagai aneka memori, rutin harianku.

Sejenak kemudian, aku merenung barisan anak tangga di laman rumah. Sedang leka menghayati, tiba-tiba pandangan mataku dikejutkan oleh sepasang merpati putih yang hadir bagaikan sepasang kekasih. Sedang asyik memerhati gelagat merpati itu, mataku tersentak apabila kedua-dua merpati itu menerpa lalu terbang bagaikan ada sesuatu yang menyergah akan kehadiran mereka.

Namun seekor daripadanya tidak mampu menerbangkan dirinya lalu jatuh dan rebah ke bumi. Aku segera mendapatkan merpati itu. Sayapnya berdarah merah bagai dipanah oleh seseorang. Aku kaku dan bisu seketika. Malah sempat juga aku menakung air jernih di kelopak mata. Lalu jiwaku tersentak akan panggilan namaku dari arah dapur. Namun tidak kupedulikan. Sebaliknya aku mengelamun pula.

Aku terus melayan perasaan bagaikan terjerumus ke alam fantasi nan sengaja tidak mahu membiarkan lamunanku tergantung tanpa tali. Kotak fikiranku menerawang mencari kepastian. Adakah begini rentak tari hidup sesetengah remaja? Andainya terlalu mengharap dengan harapan yang menggunung tinggi pada insan yang entah sudi entah tidak, akan menciptakan luka di hati. Ibarat burung yang terbang tinggi, kalau jatuh lukanya parah. Aku segera beralih ke alam realiti sebaik sahaja lamunanku dikejutkan oleh ayah. Tanpa kusedari, merpati yang kurenung tadi tidak berdaya lagi, hilang dari pandangan.

“Apa yang kau renung tu Ika?” soal ayah yang tiba-tiba saja terjengul di depan pintu.

“Oh, ayah! Tak ada apa-apa lah,” jawabku selamba.

“Dari tadi ayah tengok kau ni asyik berkhayal. Emak kau panggil pun kau tak dengar,” sindir ayah sambil menggelengkan kepalanya.

Aku terus menyambar daun pintu dan menyambung semula coretanku daripada mati di situ. Aku terus cuba menyusun baris-baris kata untuk dicoretkan ke dalam diari ini. Namun gerak jemariku tersekat seolah disekat, membuatkan coretanku terhenti seketika. Panggilan namaku sekali lagi kedengaran menerjah gegendang telinga, namun kubiarkan saja. Kemudian, namaku terus dipanggil untuk kesekian kalinya.

“Oo...Ika! Tak dengar ke emak panggil ni?” sergah emak yang tiba-tiba saja muncul di depan mata.

“Ada apa mak? Tak dengarlah.”

“Nah, tolong hantarkan pisang goreng ni pada jiran belakang,” arah emak dengan sopan.

Emak menghulurkan sepinggan pisang goreng itu kepadaku. Aku terus meletakkannya di atas meja tulisku dengan alasan aku mahu ke bilik air sekejap. Sebaik sahaja emak beredar ke dapur, aku terus menyambung semula coretan yang tergendala tadi.

“Argh!! Nantilah aku hantar!” Bisik hati kecilku.

Sengaja kulengahkan arahan emak. Bila teringatkan jiran belakang rumah, terlintas di kotak fikiranku terkenangkan seorang insan pada suatu ketika dulu pernah hadir dalam kamus hidupku. Apabila digambarkan balik segala memori itu, betapa sucinya hati ini tatkala kehadirannya dulu benar-benar memberi tamparan hebat bagiku. Apabila kuimbas pula, betapa indahnya perkenalan kami.

Tetapi sekarang, segala memori itu telah berlalu begitu saja. Namun, aku masih seperti dulu...menagih secebis kasih yang tidak pernah kesampaian. Tiba-tiba kepalaku terangguk-angguk mengikut rentak tangan menulis.

Rupa-rupanya aku mengelamun lagi. Aku kembali membelek helaian kertas yang bertaburan di atas meja dan terus menyambung semula coretanku tadi. 28 Februari 2007, tarikh yang amat bermakna dalam hidupku. Waktu itu usiaku telah menjangkau 16 tahun. Pada hari itu juga adalah hari pertama aku bertemu dengannya.

Dia...Afie, bertandang ke rumahku atas jemputan ke majlis hari jadiku pada malam itu. Waktu itu, aku memberanikan diri memulakan bicara sebagai permulaan berjinak-jinak untuk menegurnya.

“Awak Afie kan? Adik lelaki bongsu Kak Raihan,” soalan itu kuajukan padanya. Setelah membisu sejenak, dia mula bersuara mengatur bicara.

“Kakak kirim salam, dia tak dapat datang,” ringkas saja jawapannya namun sudah cukup untuk menjawab persoalanku tadi. Aku terus membisu. “Nah, ini dari saya...” Dia menghulurkan satu bungkusan hadiah yang berbalut kemas kepadaku. Aku tanpa berkata menerima hadiah itu. Setelah itu dia lantas berlalu...

Bicara kami mati di situ. Begitulah bermulanya detik perkenalan di antara kami. Tiada yang seindah bagaikan pertemuan antara Romeo dan Juliet. Aku...aku terus menganyam coretan ini. Namun ada saja penghalang yang menyekat seolah-olah sengaja tidak mahu membiarkan aku terlempar ke alam fantasi. Tiba-tiba bahuku diterpa.

“Berkhayal lagi kau ni...”

“Oh, ayah rupanya. Ingatkan siapa tadi.”

“Ha..dah kau hantarkan pisang goreng yang emak kau suruh tadi?” tanya ayah.

“Dah.”

“Hah?”

“Tak. Beb...belum, ayah.”

“Pergi cepat! Nanti marah pula mak kau bila tengok pisang goreng belum dihantar ni.”

“Baik, ayah...”

Aku langsung melangkah keluar rumah sambil memegang erat sepinggan pisang goreng yang tertutup plastik putih. Kutebarkan pandanganku ke sekeliling kawasan rumahnya. Sedikit pun tiada perubahan walaupun putaran zaman silam telah lama berlalu. Dengan langkah longlai, aku terus menuju ke jendela daun pintu serta memberi salam.

“Assalamualaikum...”

“Waalaikumussalam...oh, Ika rupanya..”

“Ni, emak sedekahkan pisang goreng,” hulurku kepada Kak Raihan.

“Jemputlah masuk dulu, Ika...” pelawa kakaknya dengan mesra.

“Tapi tak apalah, kak...saya nak cepat ni.”

“Baiklah, kirim salam kat mak kau ya...”

“InsyaAllah...”

Aku terus berlalu dengan entah tiba-tiba saja hatiku berkocak. Malah sempat juga mataku menoleh sekilas pandang ke tingkap kamar Afie yang sentiasa tertutup sejak dia pergi belajar ke luar negara.

Ketegangan hatiku tadi baru saja reda. Terfikir sejenak aku...bila Afie akan balik? Sudah dua tahun kami tidak berjumpa. Aku terus berlalu tanpa menunding sesiapa. Sedikit demi sedikit petang mula meremang merangkak senja. Cahaya merah langit mula pudar dan bertaut dengan kegelapan sambil diiringi kesegaran angin yang mengamuk sepoi-sepoi bahasa, menyisar-nyisar hingga menyeret daun-daun kering ke serata halaman...gugur, seakan tidak rela dipisahkan dari ranting atau dahan pokok yang sudah sebati dengannya.

Ingatan yang datang tiba-tiba segera menangkap lantas membawa lamunanku tenggelam jauh, menimbulkan kenangan lama yang tidak pernah kering dan usang, malah tidak pudar dari ingatan. Diriku mula diselimuti rasa pesimis dan mengalah. Entahlah, hendak terbang tidak bersayap, hendak hinggap tidak berkaki. Begitulah keadaan aku. Tidak mampu menepis semua ini dengan rasa kesabaran yang sepatutnya mempunyai pengorbanan yang jitu.

Aku mula sedar apabila lamunanku disentak oleh dentuman azan yang berkumandang ke udara. Rupa-rupanya senja mula bertaut malam. Aku lantas membersihkan diri sebelum mengerjakan solat. Sebelum itu, aku kembali mengemas helaian kertas dan buku-buku yang bersepah di atas meja tulisku tadi. Di dalam sedar aku berfikir, tarikh yang bermakna itu kembali lagi. Di luar sedar pula, usiaku sudah pun menjangkau 18 tahun.

Seusai mengerjakan solat Isyak, aku terus mengalas perut. Selepas itu, perkara yang biasa aku lakukan ialah menolong emak mengemas ruang makan serta mencuci pinggan di dapur. Setelah itu, rutin harianku menonton televisyen di ruang tamu. Dalam menghayati keheningan malam, tiba-tiba kelopak mataku mengeluarkan air mata egoku selama ini.

“Kenapa kau menangis, Ika?”

“Tak adalah! Mata Ika ni tiba-tiba termasuk habuk pula.”

“Eh, jangan nak sorok dari ayahlah...”

“Tak apalah ayah, Ika ke tandas sekejap.”

“Aaaa...baiklah.”

Aku lantas angkat kaki meninggalkan ruang tamu lalu menuju ke tandas. Sebenarnya aku menangis bukan kerana mataku termasuk habuk, tetapi yang sebenarnya aku sedih dan terharu sewaktu menonton drama di kaca televisyen tadi.

Begitulah perasaanku yang mudah tersentuh dan emosional. Aku terus menuju ke arah ayah. Sengaja aku beritahu ayah yang aku terasa penat dan ingin masuk ke kamar untuk tidur. Aku masuk ke kamar. Aku pejam celik mataku berulang-ulang kali bagi menghilangkan rasa mengantuk sebaik sahaja melabuhkan punggungku ke atas katil sambil melayan perasaan yang bertubi-tubi datang menerjah ke kotak fikiranku.

Aku mencari kepastiannya. Itulah perkara yang sering aku lakukan sebelum melelapkan mata. Sedang asyik melayan persoalan yang hanya membuntukan fikiran, aku bangun seketika lalu duduk di sisi tingkap yang tertutup rapat sambil berpeluk tubuh. Segugus nafas ringan dilepaskan dari dada, menyentak khayalan bagai terasa urat-urat keletihan yang tersulam bosan di wajahku.

Hari-hari yang berlalu terasa bagai tenggelam dalam wajah senja yang semakin berat. Namun senyuman yang terukir tidak pernah lekang di bibir. Itulah azimat yang paling berharga buatku. Kesegaran angin malam yang menerobos masuk melalui celah-celah tingkap menampar wajahku dan pada akhirnya aku terlena jua dibuai mimpi indah.

Malam itu aku bermimpi...kembalinya Afie di sisi dan yang paling bermakna buatku adalah lirikan senyuman di bibir mugilnya. Terlerai rasa rindu yang mencengkam hati. Namun ada satu yang sukar ditafsir...redup matanya seolah-olah menyembunyikan sesuatu. Aku ingin bertanya namun Afie lenyap dari mata.

“Afie...Afie...” Nama itu terus aku panggil tanpa berjawab.

Aku lantas tersedar dari mimpi itu. Aku termanggu seorang diri di sisi katil. Teringin rasanya aku menyambung semula mimpi indah sebentar tadi. Tanpa berfikir banyak lagi, aku sepantas kilat menyambar tuala yang tersidai dan masuk ke dalam bilik air. Aku harus membersihkan diri dahulu sebelum menunaikan solat Subuh.

Pagi itu, seperti kebiasaannya aku akan membantu emak menyapu sampah di halaman rumah. Seusai menyapu, belum sempat aku melangkahkan kaki masuk ke dalam rumah, tiba-tiba....

“Ika...Ika...”

Panggil satu suara yang pernah kudengari dan kukenali suatu masa dulu. Suara yang kurindui. Dengan pantas aku menoleh. Afie...dia berdiri tegak di hadapanku, dan aku terpaku di situ. Lidahku serta-merta menjadi kelu.

“Apa khabar?” Aku masih terdiam membisu, mataku dan matanya bertemu. Lama-kelamaan, terkial-kial aku menyusun kata dan akhirnya aku berhasil juga.

“Baik...” Ringkas saja jawapanku.

“Baik aje? Tak rindu ke?”

Pandai Afie bergurau. Afie seakan-akan menduga...inikah realitinya? Sejak bila Afie jadi kura-kura dalam perahu? Jawapanku mestilah rindu!!

“Rindu...rindu serindu-rindunya....” jawabku ikhlas. Cuma aku saja yang ragu-ragu, adakah Afie bertanya itu ikhlas?

“Emm...Afie pun macam tu juga.” Sekurang-kurangnya lega hatiku apabila Afie berkata begitu. Tetapi adakah rindunya sama seperti rinduku padanya? Atau rindu setelah lama tidak berjumpa?

“Afie...”

“Ya, apa dia?”

“Err...tak ada apa-apa.”

“Emm...Ika ni tak berubah-ubah. Masih macam dulu juga. Bila Afie tanya, selalu jawab ‘tak ada’. Habis, apa yang ‘ada’ sebenarnya ni?” Dia tersenyum manis. Dan aku juga ikut tersenyum mendengar sindirannya yang tajam.

“Malu nak cakap la...” Jawabku spontan. Alangkah bagus jika Afie tahu cintaku di sebalik perasaan malu ini.

“Ooo...shy shy cat lah ni ya?”

Aku tertunduk malu, tidak ubah seperti anak dara yang malu apabila diusik oleh siulan lelaki-lelaki nakal. Tetapi aku seboleh-bolehnya ingin mengawal perasaanku ketika berhadapan dengan Afie.

Kali ini aku dapat merasakan peluangku untuk mendampingi Afie masih ada. Tambahan pula, mimpi semalam telah memberi semangat baru padaku.

“Eh, takkan berbual di luar saja. Jemputlah masuk ke rumah.” Aku mempelawa Afie masuk ke dalam rumah dengan sopan. Aku menghidangkan segelas air untuknya. Dia nampak lebih berdikari dan matang sejak dia sudah biasa berjauhan dengan keluarga. Namun, dia tidak pernah tahu bahawa timbunan kasih yang tidak terpikul ini adalah untuknya. Dan layanannya terhadapku pula tetap sama seperti dulu, tidak kekok sepertiku.

“Ini ada kuih, jemputlah makan Afie...” Dia tersenyum lalu meneguk minuman yang kuhidangkan tadi. Tidak lama kemudian, dia bersuara memecah keheningan suasana pada ketika itu.

“Nah, ini untuk Ika...” Bicaranya sambil menghulurkan hadiah yang digenggamnya sejak tadi.

“Ambillah. Itu saja yang Afie mampu beli dari sana,” katanya merendah diri. “Happy birthday, Ika...” Sambungnya lagi.

“Terima kasih. Buat susah-susah aje.”

“Tak adalah. Afie ikhlas ni...”

Aku menghargai pemberian Afie. Terharu pula rasanya apabila mendapat hadiah pada hari jadiku kali ini. Kepulangan Afie kali ini kurasakan amat bermakna. Tanpa dia di sisi, saban malam sepiku diisi. Petang itu menyaksikan pertemuan kembaliku dengan Afie.

“Ika...esok Afie dah nak balik. Mungkin ini adalah pertemuan kita yang terakhir...”

Wajahku bertukar muram. Apakah maksud di sebalik perkataan ‘terakhir’ itu? Aku jadi tidak menentu.

“Afie takkan lupakan Ika. Afie sayangkan Ika...” Aku agak terkedu mendengar perkataan ‘sayang’ itu. Afie seakan-akan sudah dapat menangkap maksud hatiku. Wajah Afie kurenung tajam. Aku mengambil kesempatan itu untuk menatap wajahnya sepuas hatiku. Dia masih juga tersenyum...menanti kata-kata yang bakal keluar dari bibir gadis pendiam sepertiku.

“I’ll be miss you...” Cukuplah kata-kata itu menzahirkan perasaanku kepadanya. Selebihnya akan kuluahkan kemudian. Tetapi, Afie...semakin kukejar cintanya, semakin jauh dia berlalu pergi. Mengapa? Mengapa cintaku yang baru berputik ini dibiarkan terlerai layu sendiri?

Aku memandang hadiah yang diberikan Afie tempoh hari dengan hati sayu. Hanya diari pemberian Afie itu menjadi tempat untuk aku meluahkan rasa sendu di hati. Keesokan harinya.....

“Afie...just for you....” Aku menghulurkan sebungkus hadiah yang di dalamnya terkandung isi hatiku.

“Terima kasih, Ika...”

Kami bersalaman dan kemudiannya dia berlalu pergi sambil melambaikan tangan ke arahku. Hari demi hari berlalu pergi. Sudah berpuluh-puluh surat yang kukirimkan sebagai pengganti diri kepada Afie...tetapi hampa. Afie langsung tidak membalasnya. Mungkin dia sibuk dengan pelajaran agaknya, kataku memujuk hati. Bagaimana agaknya penerimaan dia terhadapku? Yang pasti, sudah hilang rasa beban yang kupikul selama ini kerana segala kasihku yang terpendam telah kucurahkan padanya. Kini, terpulanglah kepada Iryan sama ada menerima atau menolak cintaku.

Aku menaruh harapan yang menggunung tinggi. Kukira Afie menghargai kasihku. Rupa-rupanya aku tersilap tafsir akan perasaannya terhadapku selama ini. Afie...mengapa? mengapa kau lukakan hatiku yang mengharapkan cinta yang suci darimu?

“Maafkan Afie...”

Di pandangan pendengaranku kini, perkataan ‘maaf’ itu sudah tidak bermakna lagi. Jika benar Afie sayangkan aku, maka mengapa harus berkata maaf? Arghh...lelaki memang suka mempermainkan perasaan gadis seperti aku. Dan aku pula benar-benar telah dipermainkan!! Adilkah begitu?

“Maaf untuk apa Afie? Inikah balasan cintaku?” Aku memberanikan diri untuk bersuara.

“Memberi tak semestinya menerima, Ika... Afie akan menjadi milik orang. Afie dah serahkan semua cinta Afie pada dia.”

Bagai hendak luruh jantungku. Hampir menitis air mataku ini. Tetapi keegoanku menghalang air mataku daripada terus menitis dan mengalir di hadapannya. Mana mungkin aku menunjukkan kelemahanku. Hati kena tabahlah!!! Aku cuba mengembalikan kekuatan diri walaupun terasa lemah kaki untuk berdiri.

“Ambillah...Afie tak boleh menyimpannya. Afie harap Ika faham... Pemberian ini hanya akan mengingatkan Afie pada Ika.”

Akhirnya hadiah itu kuambil jua. Kalau hendak diikutkan hati pedihku, ingin saja aku membuang hadiah itu ke dalam tong sampah. Tetapi aku tidak berdaya. Kata-kata Afie tadi membuatkan aku tidak bermaya. Apa dayaku untuk menolak suratan takdir. Sudah ditakdirkan Afie bukan untukku.

Ada satu permintaan Afie yang tidak dapat aku tunaikan. Mampukah aku melupakannya dalam tempoh sesingkat ini? Aku memandang hamparan rumput yang menghijau. Pemergian Afie benar-benar meninggalkan parut yang amat mendalam pada cinta pertamaku. Aku memandang sayu pada hadiah yang pernah kuberikan kepadanya dulu. Perlahan-lahan aku membuka kotak itu semula. Isinya tidak terusik walau sedikit pun dan terdapat sepucuk surat di dalamnya. Aku membuka lipatan surat itu......


Sesungguhnya aku tidak menduga
Bahawa diriku yang kau cinta
Usahlah hanya memendam rasa
Gerak-gerimu sudah cukup menzahirkan cinta
Kini aku sudah dapat meneka
Sayangnya...
Aku telah berpunya
Hati ini telah kuserahkan kepadanya
Ika...
Maafkan aku...
Mustahil untuk kita bersatu
Doakanlah kebahagiaanku
Dan kupohon kemaafan sekali lagi kerana telah memusnahkan harapanmu...


Teman bicaramu...
Afie Rashidi


Surat itu kulipat kembali. Menitis air mataku. Kini musnahlah mahligai cinta yang telah kubina dengan keteguhan rindu yang bertunggakkan kesetiaan. Kini yang tinggal hanya serpihan hatiku dengan bersemadinya kenanganku bersama Afie. Aku hanya mampu mendoakan kebahagiaannya. Semoga sinar bahagia itu akan terus menerangi hidupnya bersama gadis yang dicintainya. Dan hakikatnya kini...Afie Rashidi hanyalah ‘teman bicaraku’....akan tetap kukenang sampai bila-bila...