Irhan Haziqi...nama yang sering meniti di segenap bibirnya suatu masa lalu. Nama yang menjadi peneman hari-hari sepinya. Nama yang menghadirkan berjuta makna yang tidak terkira. Satu nama yang kerap kali mengukir senyuman di bibirnya tatkala dia menyebut nama itu. Acap kali kebahagiaan datang menerpa tatkala lelaki itu mencurahkan kasih di setiap sudut hatinya. Sungguh, kasih yang dicurahkan itu membawa erti yang mendalam. Sehingga hatinya tidak tega untuk mengkhianati kasih itu.
Tiada penyesalan yang membaluti jiwanya. Meskipun kebahagiaan yang dirasai cuma sebentar saja. Namun itulah kebahagiaan yang cukup bermakna. Biarpun kini tangisan menjadi igauan setia, tetap di hatinya mengenang nama itu dalam setiap doanya. Tetap jua benaknya membangkitkan setiap kenangan yang tercipta.
"Tak lah.. Han cuma suka bila Za cakap Za sayangkan Han.... Irhan pun sayangkan Za jugak." Zara terdiam sejenak. Ada sesuatu yang cuba disembunyikan Irhan dari pengetahuannya, namun dia masih tidak dapat membaca apa yang sedang bermain di benak lelaki itu.
Walaupun baru sebulan mengenali Irhan Haziqi, namun kasih sayang yang menyelimuti hatinya kian menghangatkan kedinginan diri. Mungkin kerana Irhan sering mengambil berat tentang dirinya. Mungkin juga kerana Irhan, lelaki yang memahaminya serta tahu menghargainya. Irhan malah tidak pernah mengasarinya. Sifat sederhana Irhan dalam setiap perkara cukup memikat hatinya. Ya, Irhan berbeza dengan lelaki lain. Tidak hairanlah kasih itu begitu cepat bertaut. Sememangnya dia bahagia mendengar ungkapan sayang yang sering dilafazkan Irhan untuk dirinya. Terasa dia sentiasa dekat di hati Irhan.
Zara tersentak. Bening-bening jernih yang cuba ditahan akhirnya tidak terbendung lagi dek tubir mata yang terbeban dengan kesedihan yang sarat menebal. Air mata itu terhambur jua, membanjiri pipinya yang sering basah dengan linangan air jernih yang suci itu. Perpisahan yang telah terjadi bukan atas kehendak serta kerelaan masing-masing. Namun apa dayanya hendak melawan kehendak takdir. Jika perpisahan itu yang terjadi, maka dia harus menerima ia seadanya. Dia masih ingat kata-kata Irhan...
"Han tak nak tinggalkan Za...Han sayangkan Za...Han nak hidup Za, betul Han nak hidup...nak terus jalani semuanya bersama Za, wanita yang Han sayang..." Tersingkap kepiluan pada kata-kata itu. Sukar tergambar kepahitan yang terpaksa ditelan. Zara hanya menangis. Wajah Irhan tidak sanggup ditatap lagi. Namun Irhan, semahu-mahunya ingin mengungkap kata-kata. Menatap wajah Zara dan meluahkan segala rasa yang terpendam. Dia benar-benar khuatir andai tiada lagi kesempatan untuk dia melafazkan itu semua.
"Han jangan cakap macam ni sayang... Za sayangkan Han tau. Han kena kuat, Za tak benarkan Han tinggalkan Za...janji dengan Za sayang..." Kepedihan di hati Zara tergambar dengan iringan esakan pilu yang kian meronta-ronta. Wajah Irhan ditatap sayu. Walaupun pedih jemarinya yang digenggam kuat dek jemari kasar itu, namun dia tetap merelakan kesakitan itu. Apalah sangat sakit yang dialaminya berbanding dengan kesakitan yang terpaksa Irhan rasai. Irhan lebih parah! Itulah kenyataannya.
Irhan meronta bersama penderitaan itu. Kemoterapi yang dijalani memang cukup menyiksakan. Zara yang tidak tahan melihat penderitaan itu lantas memeluk erat tubuh Irhan. Seerat yang mampu. Dia tidak ingin Irhan merasai penderitaan itu sendirian. Biarlah Irhan tahu, dia juga turut merasainya dan akan sentiasa bersama Irhan walau dalam keadaan apapun. Tangisan Zara tidak terbendung lagi. Melihatkan keadaan Irhan itu sudah cukup menguji perasaannya. Dalam masa yang sama, ingatan-ingatan bersama Irhan menerjah ke ruang mindanya."Za suka gambar ni Han, Za nak simpan boleh?""Za simpan baik-baik ye..." Hanya kata-kata itu yang terpacul keluar dari mulut Irhan. Zara memandang wajah itu seraya tersenyum manja.
"Faham sangat Za macam mana." Irhan tersenyum lagi. Zara turut tersenyum mendengar kata-katanya. Kebahagiaan itu bertandang tanpa pernah diduga. Dulu, dia pernah menolak Irhan, namun kini hatinya hanya tertaut pada Irhan. Ke mana pun dia pergi, Irhanlah yang sering menemani. Irhan Haziqi mengisi kekosongan hari yang dijalani.
Setelah beberapa detik, keadaan Irhan kembali tenang dan dia mula tidak sedarkan diri. Tangisan tadi masih menemani Zara seraya pelukan di tubuh Irhan dileraikan perlahan-lahan. Dan ingatan tadi turut lenyap dari pandangan lamunan. Begitulah rutin derita yang harus ditanggungnya saban hari, menemani Irhan yang bertarung dengan kesakitan yang dialami. Dulu Irhan yang sering menemaninya dalam hari-hari bahagia dan kini dia menemani Irhan dalam hari-hari derita yang entah bila akan menemui penghujungnya. Terkadang dia lemah, menyaksikan penderitaan Irhan ibarat menyayat jiwanya sendiri. Ibarat menusuk duri berbisa di tangkai hati.
"Za tak kisah. Za akan tetap dengan Han. Memang Za degil, tapi Za degil sebab Za sayangkan Han. Za nakkan Han. Za tak kisah tu semua, Za nak jaga Han...Za takkan pergi mana-mana, Za ade je untuk Han.." Irhan membisu tidak terkata. Kedegilan Zara mematikan keegoannya. Hatinya juga terkadang tidak sanggup melepaskan Zara pergi. Namun apa dayanya lagi. Dia memerlukan Zara untuk terus di sisi menemani sisa-sisa harinya yang tinggal. Ada kalanya dia terlalu khuatirkan Zara.
"Ya Allah...Kau lindungilah dia untukku..." Irhan merintih dalam hati. Sungguh terasa berat hatinya melepaskan Zara. Malah tiada niatnya untuk meninggalkan Zara, namun andai ajal telah memanggil, dia terpaksa akur. Dan apabila ketika itu datang kelak, dia akan sangat merisaukan Zara.
"Jangan suruh Za pergi ye sayang...Za nak jaga Han..." Kali ini lembut saja Zara menuturkan kata mematikan keheningan yang menyelimuti hati masing-masing. Wajah Irhan sekali lagi direnung. Tangisannya juga sudah kebah, air mata yang masih bersisa di pipi, diseka perlahan-lahan dek jemarinya yang mulus.
Irhan turut menatap wajah Zara. Kali ini tiada senyuman terukir di bibir Irhan. Mungkin masih terkilan dengan setiap tutur bicara Zara yang mampu membunuh keegoannya. Sungguh, dia bukan lelaki yang tinggi sifat egonya, terkadang dia akan mengalah jua.
"Han...Za tak nak tinggalkan Han...tolonglah faham Han..." Nada suara Zara semakin longlai. Tanpa disedari, Irhan memaut tubuh Zara ke dalam dakapannya. Dakapan yang lembut namun erat. Tergambar segala kasih dan sayang yang tersimpul padu dalam pelukan bermakna itu. Berat untuk dilepaskan.
Zara membalas pelukan itu. Sungguh, dia merasa dilindungi apabila berada dalam pelukan erat itu. Pelukan yang menzahirkan segala perasaan yang sukar untuk disingkap. "Han jangan suruh Za pergi lagi ye... Za tak sanggup sayang... Za sayangkan Han.. Sayang sangat-sangat. " Dakapan keduanya kian erat.
"Han sayang Za..." Ungkapan yang lahir itu sudah cukup membuktikan kasih sayang Irhan yang begitu mendalam pada gadis itu. Tidak kira apapun yang terjadi, Irhan menanam tekad dalam hati, Zara takkan dia biarkan pergi. Namun rasa khuatir itu tetap menyelubungi hatinya. Apa dayanya, dia hanya mampu mendoakan kebahagiaan Zara andai sesuatu terjadi kepadanya kelak.
Namun, hanya lirikan senyuman yang menjadi jawapan kepada kata-katanya tadi. Irhan tidak berbicara walau sepatah pun. Seboleh-boleh, dia hanya ingin terus menatap wajah Zara. Wajah yang sering menemaninya meski keadaannya kini menyulitkan suasana.
"Han sayang Za..." Dia masih mampu mengungkapkan kata-kata bermakna itu. Biarpun lemah suaranya, namun Zara masih dapat menangkap bait bicara yang dirinduinya itu. Benar, betapa dia merindui ungkapan istimewa itu keluar dari mulut Irhan."Za pun sayangkan Han...Han mesti kuat ye sayang...jangan tinggalkan Za...janji tau.." Irhan sekadar tersenyum.
"Han akan berikan semua cinta Han pada Za kalau Han sembuh nanti. Han janji...kalau Han sembuh, Han nak jaga Za...nak bahagiakan Za..Han akan jadi suami yang baik untuk Za..takkan sia-siakan Za.." Senyuman manis masih setia menemani meskipun derita membaluti diri. Kegelisahan yang dilaluinya saat itu cuba ditutupi dengan impian dan angan-angan yang diciptakan. Meskipun dia cukup mengerti bahawa, untuk menunaikan impian-impian itu, kesempatannya begitu tipis. Dalam hati, Irhan merintih, "..maafkan Han, Za..."
"Zara..." Tiba-tiba Irhan meronta kesakitan. Zara panik. Namun dia cuba untuk menenangkan diri dalam keadaan yang kalut ketika itu.
"Zara..." Nama Zara disebut untuk kesekian kalinya.
"Ye, Za kat sini je Han. Ada je dengan Han..." Jemari Irhan digenggam erat seperti bertautnya kasih dan cinta yang tidak dapat dileraikan lagi.
"Han...Han....Han cintakan Za...." Tersekat-sekat bicaranya namun Zara cukup mengerti betapa dalamnya erti ungkapan cinta yang ditunggu-tunggunya selama ini. Akhirnya, Irhan mengungkapkan juga perasaan itu.
"Za pun cintakan Han..." Tanpa berlengah, Zara turut menzahirkan rasa cinta di hatinya pada Irhan. Cintanya hanya untuk Irhan. Irhan menggenggam erat jemari Zara. Ada sisa-sisa tangisan di kelopak matanya, cuba untuk menahan kesakitan yang dialami detik itu.
"Maaf Cik Zara, kami terpaksa lakukan pembedahan sekarang, keadaan pesakit dah bertambah teruk. Jadi kami minta Cik Zara untuk keluar dari wad ni sekarang." Doktor dan beberapa orang jururawat yang baru tiba memeriksa keadaan Irhan yang sudah nazak.
"Tapi dia perlukan saya doktor..." Suara Zara terketar-ketar menuturkan bicara. Tangisan pilu mengiringi bait-bait katanya.
"Sabarlah kak, along akan baik-baik aje...kita keluar sekarang ye..." Ezar, adik perempuan Irhan mula bersuara, setiap butir bicaranya menampakkan Ezar cuba untuk keluar dari kemelut kesedihan yang sedang rakus membaluti dirinya kini. Wajah kesakitan Irhan tidak sanggup ditatap lagi. Seluruh isi keluarga juga sudah beredar dari wad, mungkin tidak memiliki kekuatan lagi untuk melihat penderitaan Irhan. Hanya Zara yang setia menanti di situ, namun dia terpaksa akur juga.
Dia melangkah keluar dari wad pembedahan itu dengan harapan akan bertemu kembali dengan senyuman ketenangan yang terpancar di wajah Irhan setelah selesai pembedahan nanti.
Kali terakhirnya Zara mendengar suara Irhan meraung kesakitan menyebut namanya sebelum kakinya melangkah keluar. Dan setelah itu, suasana wad pembedahan menjadi tenang, tiada lagi kedengaran suara itu mengerang.
"Irhan akan baik-baik je...Za tunggu Han..." Zara bermonolog sendirian, memujuk hatinya yang gelisah saat itu. Sekali lagi air matanya mengalir.
"Akak banyakkan bersabar..." Suara lembut Ezar menyapa hati sayunya. Tubuh Ezar dipeluk seerat mungkin dan sedikit demi sedikit esakan tangisan dilepaskan dalam pelukan itu.
Zara mengagumi cinta Irhan. Cinta yang tersimpan hingga ke hujung nafasnya. Dia bersyukur kerana cinta yang bertaut hanya milik dia dan Irhan selamanya, walau kini dia menjalani cinta itu sendiri. Namun, jauh di lubuk hatinya, dia cukup mengerti, Irhan telah menyerahkan seluruh cinta hanya untuknya meskipun cinta itu tidak sempat dijalani sepanjang hidup, namun cukuplah sekadar dia melalui cinta itu bersama impian yang telah terbina antara dia dan Irhan. Kini, Zara tahu...Irhan mencintainya sepanjang hayat. Irhanlah perkara terbaik yang hadir dalam hidupnya.