Kepergian



Kerdipan bintang-bintang di langit menghias indah sang mega malam yang kian kelam ditelan kegelapan. Angin malam yang bertiup sepoi-sepoi bahasa menampar lembut pipi gebunya. Seakan ingin membelai lembut wajah itu. Namun, kelopak matanya masih tertunduk menyembah lantai bumi, menutup anak matanya yang bundar itu dari terus memandang ke hadapan. Benaknya tidak kosong. Ligat berputar segala persoalan yang menendang dinding ketenangannya.

“Mulai sekarang, kita bukan kawan lagi..” kata-kata yang terhambur itu lantas mematikan langkah Aliya Amani. Dia terpaku serta terkelu. Ungkapan itu keluar dari bibir seorang insan yang dipercayainya selama ini. Tidak pernah diduga akal. Anak matanya membuntang memandang tepat ke wajah itu. Tiada belas kasihan yang terpampang.
                        
“Kita putus!” Tengkingnya lagi. Aliya Amani tersentak. Hampir luruh jantungnya mendengar tengkingan itu.  Anak matanya mula berkaca jernih. Bening-bening yang bertakung di kolam mata tidak tertahan lagi lantas ia mengalir perlahan. Hendak dihamburkan semuanya, namun egonya sebagai wanita menghalang air mata itu. Dia menyeka bening-bening jernih yang belum sempat membasahi pipi gebunya.
                       
“Tapi kenapa?” Suaranya terketar-ketar menyusun persoalan. Hanya dua patah kata itu yang mampu diucapkan. Dirza Aiqa mula menyusun langkah tanpa mempedulikan persoalan Aliya. Namun, ada garis kehambaran di wajahnya. Dia juga tidak pernah menduga persahabatan yang dibina selama ini mulai retak. Entah syaitan mana yang merasuknya sehingga sanggup menengking sahabatnya sendiri.
                        
Aliya tersentak dari lamunan hitam yang menyelubungi medan ingatannya. Anak matanya melilau ke sekeliling kawasan. Mencari-cari satu suara yang telah mematahkan perjalanan lamunannya tadi. Tiba-tiba…
                        
“Liya...Liya…” Suara itu memanggil lagi. Kali ini Aliya seakan dapat menangkap kelunakan suara yang cukup dikenalinya itu. “Zahran?” Dia cuba meneka dalam keraguan. “Tak mungkinlah dia ke sini,” monolognya sendirian cuba menafikan kehadiran Zahran Alfee, lelaki yang menjadi kegilaan ramai gadis di kampusnya. Lelaki itu juga pernah menyatakan hasratnya melamar  Aliya sebagai kekasihnya namun dengan spontan Aliya menolak permintaan lelaki itu.
                       
Suara itu terus memanggil untuk kesekian kalinya dan kali ini anak mata Aliya terpaku pada sesusuk tubuh yang berdiri di celah-celah pagar rumahnya. Namun, kerana kegelapan malam yang semakin pekat menyebabkan pandangan matanya agak kabur untuk mengenali susuk tubuh yang datang menjengah itu.

Tanpa berlengah, Aliya mengatur langkahnya. Satu persatu anak tangga dituruni. Dia merapati pintu pagar yang tertutup rapi. Mujur saja umi dan abahnya tiada di rumah ketika itu. Mereka keluar sebentar untuk menghadiri kenduri tepung tawar anak Mak Su nya yang baru lahir 4 bulan lalu.
                        
“Zahran, apa awak buat kat sini?” Aliya terkesima dengan kehadiran Zahran secara tiba-tiba.
                       
“I’m sorry Liya…” Dahi Aliya berkerut. Kenapa Zahran mengungkapkan kata-kata itu? Getus hati kecilnya. Belum sempat Aliya menyusun kata, Zahran mencelah bicaranya. “This is about Aiqa…”
                        
“Aiqa? Kenapa dengan dia?” Hati Aliya berdegup kencang sebaik sahaja mendengar nama itu disebut. Perasaan ingin tahu itu menampar-nampar dinding fikirannya yang sarat dengan persoalan yang masih bersisa di ingatannya sebentar tadi.
                        
Setelah terjadinya peristiwa hitam antara mereka dulu. Aiqa tidak pernah muncul lagi di hadapannya. Sungguh berat hukuman itu baginya. Seorang sahabat yang disayangi sanggup melakukan perkara itu ke atas dirinya. Betapa payahnya persahabatan itu dipelihara selama ini dan akhirnya menemui keretakkan juga.
                       
Pernah juga dia berusaha mencari Aiqa untuk memohon keampunan kiranya ada kesalahan tersembunyi yang dilakukannya. Namun, layak Aiqa tidak pernah muncul lagi sebulan yang lalu. Dan semenjak hari itu juga, sahabatnya itu tidak mengirimkan sebarang berita. Terlalu mendalamkah kebenciannya terhadapku? Aliya bermonolog dalam hati. Hingga kini, jawapan bagi persoalan itu tidak ditemui lagi.
                        
Kehadiran Zahran pada malam itu membawa perkhabaran tentang Aiqa. Aliya tidaklah sebegitu kejam sehingga membuang terus persahabatan yang telah dianggap retak itu dari kamar hidupnya. Dia masih begitu menyayangi persahabatan yang terjalin sekian lama antara dia dan Aiqa. Dan juga masih belum menemui kepastian alasan atas keretakkan perhubungan mereka.
                        
“Apa benar yang awak katakan ni?” Suara Aliya terketar-ketar. Anak matanya kembali berkaca jernih. Seusai Zahran menjelaskan perkara itu, dia seolah-olah tidak percaya dengan apa yang telah terjadi. Zahran juga baru mendengar berita itu dari kawan-kawan lain. Kenapa aku tidak pernah tahu? Aliya menyumpah-nyumpah dalam hati. Dia memaki-maki dirinya sendiri.
                        
“Awak sabar ya…” kata-kata yang keluar dari mulut Zahran langsung tidak menjawab persoalannya sebentar tadi namun ungkapan itu sudah cukup menzahirkan setiap maksud yang tersirat. Aliya tertunduk hampa memandang hamparan rumput di laman rumahnya.
                        
“Aiqa…” Hanya nama itu yang bermain-main di tebing bibirnya dan hatinya terus dipeluk kesedihan yang begitu tegar. Betapa pedihnya kenyataan yang harus diterima hati. Sanubarinya benar-benar rapuh untuk menelan kepahitan hakikat itu. Dia tiada daya lagi untuk berdiri dengan kedua-dua belah kakinya. Aliya tersungkur ke bumi dengan esakan tangisan yang memilukan. Kekuatannya seolah-olah dibawa pergi bersama kenyataan yang sarat dengan beban keperitan.
                        
“Esok, Cik Aiqa harus menjalani rawatan kemoterapi kedua.” Doktor Izana yang sering menjadi peneman setianya dalam setiap rawatan memberikan arahan untuk melakukan rawatan kemoterapi kedua buatnya. Aiqa memandang tepat ke wajah Doktor Izana yang sibuk menyemak laporan kesihatannya dengan wajah lesu. Terkumat-kamit bibirnya cuba menyuarakan sesuatu. Suaranya samar-samar kedengaran. Namun pada penghujungnya diakhiri juga dengan tangisan pilu.
                        
“Cik Aiqa harus banyak bersabar. Hanya dengan rawatan ini dapat mengurangkan kesakitan yang Cik Aiqa rasa sekarang.” Mendengarkan kata-kata itu, air mata Aiqa tidak terbendung lagi. Esakannya semakin kuat. Dia teringat akan kebohongan yang dilakukannya sebulan yang lalu. Dia berdosa pada ibunya dan juga Aliya.
                        
“Mak, Aiqa harus ke luar negara untuk program jurusan Aiqa. Mungkin akan ambil masa yang lama. Nanti kalau Aiqa ada masa, Aiqa akan hubungi mak. Mak jaga diri baik-baik kat sini ya.. Aiqa pergi dulu, mak…” Dia memeluk erat tubuh ibunya dan wajah yang kian senja itu ditatapnya sepenuh hati. Hanya dengan satu kucupan yang singgah di dahi si ibu sudah cukup menzahirkan kasih sayangnya ketika itu. Dia seakan tidak sanggup untuk menapak terlalu lama di hadapan ibunya. Khuatir air mata yang cuba dibendung akan terhambur juga.
                        
“Jaga diri Aiqa baik-baik pabila di negara orang, jangan lupa kirim khabar ya, nak…” Ibunya tidak terlalu banyak menyoal. Hanya dengan bekalan pesanan itu, dia berharap Aiqa tidak akan pernah lupa. Aiqa satu-satunya anak yang dimiliki bersama arwah suaminya. Memang wajarlah ada garis kesedihan di mata si ibu tatkala dia akan ditinggalkan anak yang disayangi. Namun wajah tua itu tidak mengetahui rahsia yang terpendam di hati anak gadisnya.
                        
“Argh…” Aiqa meraung. Suntikan yang tertusuk di pembuluh darahnya terasa begitu pedih. Sudah berkali-kali kesakitan itu dirasainya, tidak kira malam atau siang. Suntikan jarum itu seolah-olah tidak asing lagi bagi anggota tubuhnya. Sudah sebati dengan pembuluh darahnya. Cuma dia sebagai wanita lemah, kesakitan itu tetap terasa juga. Tiba-tiba….
                        
“Aliya…” Nama itu keluar dari mulutnya.
                        
“Cik Aiqa perlu banyak berehat. Kalau perlukan apa-apa, Cik Aiqa tahu kan bagaimana nak panggil saya?” Senyuman yang dilemparkan Doktor Izana menghadirkan sedikit ketenangan dalam diri Aiqa tatkala kesakitan itu membaluti setiap organ tubuhnya. Dia hanya mengangguk. Setelah itu Doktor Izana berlalu pergi untuk membuat pemeriksaan terhadap pesakit lain.
                        
“Aliya…” Wajah sahabatnya itu sering muncul dalam ingatannya. Betapa dia merindui Aliya. Betapa Aliya amat diperlukannya saat itu. Namun, tidak mungkin Aliya akan datang mencarinya setelah apa yang dilakukannya dulu. Mungkin sungguh kejam bagi Aliya. Namun alasannya hanya satu, agar Aliya tidak pernah tahu tentang penderitaannya kini. Aliya sudah terlalu banyak berkorban.

Tetapi pengharapannya kini, Aliya ada bersamanya. Dia sudah terbiasa apabila dirundung lara, Aliya tetap menemaninya. Hatinya berbelah bagi. Maut yang semakin mendekat itu menghadirkan kekesalan buatnya kerana Aliya tiada di sisi pada saat-saat akhirnya nanti. Aliya di mana? Soal hati kecilnya seraya air matanya jatuh berlinangan.
                        
“Maafkan Aiqa, Liya…” Dia menangis lagi. Kali ini dengan esakan yang kuat. Tangisan itu ingin diluahkan dengan sepuas-puas hati seraya ungkapan maaf tadi dituturkannya dengan penuh penyesalan. Akhirnya dia terlelap juga akibat ubat pelali yang telah bertindak di dalam pembuluh darahnya.
                        
Aliya bergegas ke kaunter pertanyaan. Zahran ikut bersamanya. Kakinya melangkah tidak tentu arah. Zahran hanya mengejarnya dari belakang dan tidak ingin menghalang segala perlakuan Aliya ketika itu.
                        
“Nurse…mana wad pesakit bernama Dirza  Aiqa binti Kamaru Ariffin?”
                        
“Boleh saya tahu cik ni siapa?” Lembut saja cara percakapan jururawat yang bertugas ketika itu. Dia memandang wajah Aliya dengan senyuman. Namun Aliya tidak menunjukkan sedikit respon pun pada lirikan senyumannya.
                        
“Saya kawan dia…boleh tolong cepat tak nurse?” Aliya seperti telah hilang kesabaran. Dari semalam di benaknya bermain beribu kemungkinan dan persoalan yang tidak dijangka oleh akal. Kerisauan itu membutakan mindanya pada persoalan lain. Dia hanya ingin menemui sahabatnya. Entah bagaimana keadaan Aiqa sekarang? Dasar hatinya mendengus hampa kerana tidak pernah mengetahui rahsia yang disembunyikan Aiqa tentang penyakit barahnya. Detik dan ketika itu, dia hanya ingin berada di sisi Aiqa.
                        
“Wad 24…” Jururawat itu masih bertindak sopan. Sudah menjadi tugasnya melayan setiap pelawat dengan penuh tatasusila.

Tanpa banyak bicara, Aliya lantas melangkah pantas bersama esakan tangisannya. Zahran seolah-olah tidak hadir buatnya ketika itu. Zahran hanya menurut saja dari belakang tanpa banyak menyoal.
                        
“Aiqa…”  Perlahan-lahan kaki Aliya melangkah medekati katil wad Aiqa. Air matanya mengalir lagi, kali ini dengan perlahan. Dia menarik dan menghembus nafas perlahan-lahan keluar dari dadanya yang sesak. Tubuh Aiqa yang agak kurus dan rambutnya yang telah banyak gugur itu menampakkan kepayahan yang dihadapinya bersendirian. Wajah lesu Aiqa diusapnya lembut.
                        
“Maafkan Liya…sepatutnya Liya ada bersama Aiqa. Liya dah janji akan susah dan senang bersama Aiqa tapi…tapi…” kata-katanya tersekat. Ingin diteruskan namun linangan air mata yang berguguran sayu itu tidak tertahan lagi. Dia menunduk hampa diiringi esakan yang bertubi-tubi. Dia mengetap bibir sepenuh hati. Wajah Aiqa tidak sanggup ditatap lagi. Bening-bening yang jatuh itu membanjiri pipi. Tangan Aiqa digenggam erat, terasa tidak ingin dilepaskan walaupun jemari Aiqa tidak membalas genggamannya.
                        
“Bersabarlah Liya…” Tiba giliran Zahran bersuara lantas tangannya menggenggam bahu Aliya dengan lembut. Inilah buat pertama kalinya dia melihat kasih sayang yang begitu erat antara dua orang sahabat. Aliya masih tertunduk menangis pilu. Pujukan Zahran tidak dipedulikan.
                        
Aiqa tergamam melihat kehadiran Aliya di sisi katilnya sebaik sahaja tersedar dari lenanya yang begitu panjang. Keajaiban apakah ini? Soal hatinya seakan tidak percaya. Anak matanya sedikitpun tidak terkebil melihat seraut wajah yang begitu dirinduinya selama ini. Hampir sebulan perpisahan mereka. Ketika itu dia seolah-olah telah lupa tentang penyakit yang dihidapinya. Kegembiraan yang datang menjengah pintu hatinya menghadirkan asa walau sekelumit cuma.
                        
“Aliya…Aliya…” Air mata bergenangan di kelopak matanya. Sesungguhnya dia begitu mengharapkan kehadiran Aliya. Kedua sahabat itu mula berpelukan erat sambil diiringi esakan tangisan yang tidak pernah berpenghujung. Zahran hanya menjadi pemerhati kisah sedih yang berlaku di hadapannya ketika itu.
                        
“Aiqa tak nak jalani kemoterapi Liya. Aiqa rasa sakit…” bicaranya bersama tangisan yang tidak henti-henti. Aliya yang duduk di sisi katilnya hanya mampu menatap dan mendengar luahannya. Jauh di sudut hati Aliya, dia tidak ingin sahabatnya itu merasa semua kesakitan itu, biarlah dia yang menjadi pengganti dan merasainya sendiri. Air mata itu tetap mengalir pabila menyaksikan kepedihan yang dialami Aiqa. Sedangkan Aliya tidak mampu berbuat apa-apa untuk mengurangkan beban kesakitan itu.
            
Dulu…ketika Aiqa bersedih, Aliyalah yang menjadi penghibur, memujuk segala kesedihan dan penderitaan Aiqa. Demam mahupun sakitnya Aiqa, Aliyalah yang menjadi penyembuhnya. Tangisan yang terukir di kelopak mata Aiqa, Aliyalah yang menghapuskan air mata itu. Walau sebesar mana pun kesilapan yang pernah dilakukan Aiqa, Aliya tetap memaafkan sahabatnya itu. Betapa dalamnya kasih Aliya pada Aiqa.
                        
“Aiqa bertahanlah ya…Liya ada kat sini. Liya janji akan temankan Aiqa. Liya takkan biarkan Aiqa sendiri lagi…” dalam esakan tangisan, Aliya mengungkapkan kata-kata itu untuk menenangkan keadaan sahabatnya. Apa lagi yang mampu Aliya lakukan, hanya dengan kata-kata semangat itu Aliya berharap agar Aiqa terus bertahan. Pelukkan dua sahabat itu langsung tidak terlerai.
                        
Seminggu kemudian, setelah menjalani kemoterapi, keadaan Aiqa masih tetap sama. Doktor Izana juga mengesahkan bahawa penyakit barah Aiqa sudah merebak dan keadaannya mulai kritikal. Satu-satunya jalan adalah dengan menjalani pembedahan.
                        
“Operation?” Aiqa terkejut dengan kata-kata Doktor Izana. “Tak cukup lagi ke penderitaan saya selama ni doktor? Saya dah cukup terseksa selama ni. Saya tak boleh tahan dengan sakit ni…saya tak boleh!” Aiqa tiba-tiba meracau tidak tentu arah. Aliya cuba menenangkan keadaannya. Doktor Izana dan beberapa orang jururawat lain bertindak pantas dengan menyuntikkan ubat pelali pada anggota tubuh Aiqa.
                        
Tangan Aliya digenggamnya erat. Dari genggaman itu Aliya dapat merasakan betapa pedihnya kesakitan yang dirasakan Aiqa. Dia menangis lagi. “ Aiqa sakit Liya…” itulah kata-katanya sebelum kelopak matanya tertutup dengan perlahan. Mukanya pucat lesu, tidak bermaya lagi. Sisa air mata di kelopak mata Aiqa mengalir juga walaupun matanya tertutup rapat.
                        
“Doktor pasti ke dengan pembedahan ni Aiqa akan sembuh?” Soal Aliya pada Doktor Izana. Jelas terpampang keraguan pada wajah doktor tersebut. “Kenapa doktor diam?”
                        
“Peluangnya tipis Cik Aliya, maaf. Tapi, kita perlu ikhtiarkan sesuatu. Kami telah cuba yang terbaik dan hanya ini jalan penyelesaiannya. Segalanya di tangan Tuhan, Cik Aliya. Kita hanya mampu berdoa dan berserah.” Penjelasan Doktor Izana mematikan bicara Aliya. Dia mulai buntu. Harus bagaimana lagi, dia tidak habis berfikir, noktah di penghujung jalan itu sudah menampakkan dirinya.             

“Ya Allah…aku tahu Engkau begitu menyayanginya. Engkau peliharalah dia di sisiMu ya Allah. Tempatkanlah dia bersama kekasih-kekasihMu ya Allah.” Air matanya bergenangan di kelopak mata. Kolam mata itu sudah sarat dibanjiri bening-bening putih jernih, menunggu waktu untuk dijatuhkan ke pipi.

Kepergian itu benar-benar tidak diduga. Pengorbanan yang begitu mendalam jelas terasa saat kepergianya. Cukup memberi tamparan hebat buat dirinya tatkala kepergian itu meninggalkan parut yang masih berdarah merah di hatinya yang paling dalam.
                        
Zahran tetap duduk melutut di pinggir pusara Aliya. Hujan yang mencurah lebat ketika itu tidak dipedulikan. Di benaknya kini, penyesalan itu bermaharajalela. Menghempas punah harapan bersama cintanya yang tidak sempat dibuktikan pada arwah Aliya. Hampir setiap detik masa diluangkannya di pusara Aliya.
                        
Aiqa pula kini bagai telah pergi semangatnya. Biarpun operasinya berjaya tempoh hari, namun pemergian Aliya membawa seluruh jiwanya pergi. “Kenapa Liya tinggalkan Aiqa? Kenapa Liya sanggup buat macam ni?” Tangisan yang mengiringi kata-katanya dari semalam masih bersisa lagi. Esakkan yang pada awalnya perlahan, tiba-tiba menjadi esakkan yang bertubi-tubi, tidak mampu dibendung lagi.
                        
“Liya sayang Aiqa tau…Liya takkan biarkan Aiqa menderita macam ni lagi, Liya janji…” Ada sekelumit senyuman terukir di bibirnya. Dan wajah Aiqa pula seolah-olah mengharap penuh pada kata-kata Aliya, dari dulu dia sering mempercayai setiap bicara Aliya. Aliya tidak pernah mengecewakannya.
                        
Namun, kini dia kesal kerana mempercayai kata-kata Aliya tempoh hari. Kalaulah Aiqa tahu ini penghujungnya, Aiqa lebih rela menderita, getus hati Aiqa yang memberontak ketika itu. Dia tidak menyangka bahawa Aliya sanggup bertindak sedemikian rupa.                 
                        
“Kalau Aiqa dah sembuh, Aiqa mesti hidup seperti sedia kala ya… Janji dengan Liya…” Raut wajah Aliya jelas ikhlas menuturkan ungkapan itu. Dia tersenyum dengan berjuta pengharapan.
                        
“Aiqa janji…”
                        
Tersentak sejenak Aiqa. “Janji?”