Khamis, 20 Disember 2012

HANYA SELAFAZ RINDU - 9





“AYAH awak ada syarikat sendiri?” Nia merenung lelaki di sebelahnya dengan perasaan tidak percaya. Dalam rasa senang mendengar pengakuan Dierall, sebelah lagi hati Nia ingin bertanya lanjut tetapi dibiarkan dahulu Dierall menyusun kata. 

Sewaktu kebisuan sedang mengulit keduanya, anak mata Nia mula menjalar memandang setiap perlakuan Dierall yang kini kelihatan asing di pandangannya. Melihatkan kepada status keluarga dan penampilan diri Dierall, memang jauh berbeza. Masakan anak orang berada kelihatan seperti orang-orang biasa? 

Pandangan mata Nia diletakkan semula ke wajah bersih Dierall. Dia kembali membayangkan bagaimana layanan Dierall sewaktu pertama kali mereka berjumpa dulu. Lelaki itu tidak mempamerkan kesombongan malah senang sekali menghulurkan bantuan. Cuma ada tikanya perlakuan Dierall menyakitkan hati. Namun, perkara itu sudah lama dilupakan semenjak mereka berjinak-jinak untuk bergelar kawan. Tambahan pula, Nia mula senang mendampingi lelaki itu. 

Dierall mendandan senyuman sesudah menyedari pandangan asing Nia. Walaupun ramai yang kurang percaya dengan status keluarga yang dimilikinya, Dierall sekadar memandang remeh terhadap tanggapan itu. Bukan jenisnya yang suka menunjuk-nunjukkan kemewahan tambahan dia kini sedang berusaha mencari nafkah hidup sendiri. Namun tidak pula dia mengharapkan harta Kamaruddin berpindah ke tangannya. 

“Habis tu, kenapa tak tolong ayah awak majukan syarikat?” Soal Nia lanjut, seakan telah mengerti maksud senyuman di wajah Dierall yang mengiakan pertanyaannya. 

“Saya tak berminat sangat nak menceburkan diri dalam dunia korporat. Lagipun, saya dah lama nak buka kedai buku tu dan saya selesa uruskannya sendiri.” Ulas Dierall lanjut bagi mematikan kekeliruan yang bermukim di hati Nia Arisya. Jelas dan terang wajah itu masih kurang percaya dengan pengakuannya. Dierall membuang keluhan. Sesekali kakinya melonggarkan tekanan pada pedal minyak sambil matanya melilau ke kiri dan kanan jalan. 

“Tamat aje pengajian, saya terus ambil keputusan buat bisnes sendiri. Pernah juga saya dengan orang tua bergaduh kecil dengan keputusan ni, tapi disebabkan kesungguhan saya, ayah saya berlembut hati memberi keizinan.” Ketika itu ingatan Dierall membayangkan kembali kemarahan Kamaruddin sewaktu dia berdegil untuk memilih haluan hidup sendiri. Tambahan pula, ayahnya itu sudah lama berhasrat untuk meletakkan Dierall sebagai CEO Mahligai Vista, sebuah empayar besar yang menjadi nadi utama kepada ratusan pekerja. 

“Kalau boleh saya tahu, ayah awak usahakan syarikat mana?” 

“Mahligai Vista.” 

Anak mata Nia membuntang sewaktu mendengar bait bicara Dierall yang dialun perlahan. Setahu Nia, Syarikat Mahligai Vista adalah penyumbang terbesar dalam syarikat ayahnya malah syarikat pembinaan lain juga menjadi rakan kongsi dalam syarikat tersebut. Selama ini Suria Holdings bergantung sebahagian dana daripada Mahligai Holdings setiap kali mereka mendapat projek-projek besar. 

Walaupun baru setahun jagung menceburi bidang pensyarikatan di Suria, Nia tahu serba sedikit tentang latar belakang ahli perniagaan yang menjadi rakan kongsi dalam perusahaan mereka sekeluarga. Nama Mahligai Vista juga sudah tidak asing lagi buat dirinya. 

“Jadi, Dato’ Kamaruddin tu ayah awak?” Duga Nia. Dalam perasaan senang mendengar kata-kata Dierall, dia turut cemas menanti jawapan. Kepalanya dilentokkan menghadap wajah Dierall yang bersahaja. Ketika itu lagu Yang Indah nyanyian Dakmie sedang berkumandang di corong radio kereta yang dipandu Dierall dengan cermat. 

Untuk sesaat dua Dierall menoleh lalu menganggukkan kepala. Nia terdiam. Tidak dapat membayangkan bahawa selama ini dia berkawan dengan anak tokoh korporat tersohor. Nia menekan bibir bawahnya dengan jari telunjuk sedang otaknya memikirkan sesuatu. 

“Awak kenal ayah saya?” Pertanyaan Dierall mengusir lamunan Nia. 

“Siapa tak kenal Dato’ Kamaruddin Syafiee? Pelabur utama syarikat ayah saya dan banyak lagi syarikat lain.” Nia mengunci mulut lalu meletakkan pandangannya pada setiap papan tanda jalan yang dilintasi. Pandangannya bagaikan kosong. Ketika itu terasa benar dirinya kerdil jika diukur dari segi kekayaan. Kalau dilihat, dia dengan Dierall ibarat langit dengan bumi. 

“Are you okay?” Tanya Dierall sebaik sahaja menyedari kebisuan Nia. 

“Err, awak tak ambil hati ke bila saya selalu perlekehkan awak selama ni?” Akhirnya perkara yang bermain di fikiran Nia terluah juga. Dia tidak sanggup memendam terlalu lama setelah mendengar pengakuan Dierall tentang status keluarganya tadi. Mungkinkah lelaki itu akan mengungkit setiap perlakuannya seawal perkenalan mereka dulu? 

“Saya bukan orang macam tu. Takkanlah disebabkan status keluarga kita berbeza, saya nak buat sesuka hati. Kalau tak, dah lama saya saman awak sebab dah menyusahkan saya mencari nama dan alamat pejabat awak.” Dierall tergelak di hujung bicara. Nia pula mengerling tajam ke wajah Dierall lalu tangannya galak mencubit lengan lelaki itu. Bagai telah lama kenal, antara mereka sudah tidak ada rasa kekok setiap kali bersama. 

“Aduh! Kalau awak cubit lagi sekali, saya terus saman awak.” 

“Alah, macam perempuanlah awak ni. Baru kena cubit sikit dah nak saman-saman orang.” Nia mencemik. 

Dierall menghabiskan sisa tawanya sebelum bersuara. “Kita nak pergi mana ni?” Soalnya sambil menekan brek kereta Honda City milik Nia yang dipandunya sebaik sahaja lampu isyarat menyalakan lampu merah. 

“It's up to you.” Ringkas saja jawapan diberikan. Nia sendiri tidak tahu pasti tentang perancangannya awal pagi tadi. Hari cuti sepatutnya dimanfaatkan untuk duduk di rumah dan berehat sambil menonton televisyen ataupun duduk bersantai di halaman rumah. Namun, pada hari itu Nia Arisya memilih untuk keluar ke Bestari. Pada awalnya, tujuan kedatangan Nia ke sana hanya untuk melihat-lihat saja, tetapi Dierall pula menyuarakan niat untuk mengajaknya pergi entah ke mana. 

Lamunan Nia terbang sebaik sahaja Dierall menekan pedal minyak dan memecut laju ke utara. Ketika itu, anak mata Nia hanya memandang sekilas pada setiap papan tanda yang dilewati. Nak pergi mana ni? Takkan nak ke KLIA? Nia keliru. 

“Kita pergi Putrajaya nak?” 

“Nak pergi Alamanda ke?” Soal Nia berbaur keterujaan. 

“Itulah perempuan, shopping aje memanjang.” Omel Dierall kemudiannya. 

“Hey, terasa tau!” Protes Nia. Dia menjeling Dierall yang tersengih. 

***

TASIK PUTRAJAYA yang sangat luas dan indah kini menjadi destinasi utama mereka. Sememangnya kawasan itulah yang menjadi kunjungan ramai setiap kali hujung minggu datang menjengah waktu. Semalam mereka ke Lakes Garden, menikmati ketenangan tasik hijau di sana. Kini Tasik Putrajaya turut membawa kedamaian di hati masing-masing. 

“Dah lama saya tak ke sini.” Ujar Dierall sambil mendepakan kedua tangannya menghadap tasik yang terbentang luas di depan mata. 

“Awak selalu ke sini?” Nia sedikit hairan mendengar ungkapan Dierall yang disudahi dengan keluhan panjang. Lelaki itu berpaling seraya merebahkan depaan tangan. Kemudian, dia berpeluk tubuh sambil melangkah perlahan. 

“Dulu selalulah dengan...” Dierall mengunci kata. Lidahnya terkelu serta merta bersama langkah yang terhenti tiba-tiba. Sesaat dua dia memandang hamparan lantai jalan. Ada keluhan perlahan yang tercetus keluar dari rongga hidungnya. Nia sekadar menjadi saksi perlakuannya itu. Agak lama Dierall tenggelam dalam dunianya dan Nia pula hanya membiarkan tindakan itu tanpa banyak bertanya. 

Fikiran Dierall terus bermain dengan ingatan-ingatan lama. Peristiwa setahun lalu memunggah rasa sebak di hati lelakinya. Pemergian insan yang begitu dikasihi dan dicintai benar-benar memberi tamparan hebat buat dirinya. Lukanya kini masih bernanah. Namun begitu kasihnya juga tidak pernah punah walau parut yang ditinggalkan masih berbekas. Kasih yang ditanam sekian lama masih disiram dan dijaga walaupun hampir layu ditelan waktu. Meskipun sakit itu tidak terkesan pada zahirnya, tetapi hatinya berdarah parah! 

Betapa gadis itu sungguh bererti buatnya. Kenapa dia pergi? Hatinya membentak marah pada diri sendiri. Kelopak matanya dipejam perlahan-lahan. Berusaha untuk membuang sayu di hati lantas menenangkan diri yang disapa gelisah. 

“Are you okay?” Dierall tersentak. Sapaan Nia meleraikan segalanya. Matanya berkerdip tatkala Nia melentokkan kepala menghadap ke mukanya. Kenangan pahit yang menjengah beransur terlerai pada saat jemari lembut Nia menerpa ke bahu Dierall. Dia membalas senyuman Nia ketika gadis itu mempamerkan wajah ceria. 

“Kita naik cruise nak?” Usul Dierall sewaktu beriringan dengan Nia. 

“Awak tunggu sini kejap, saya nak buat bayaran dulu.” Tambahnya lagi. 

Nia mengikut saranan Dierall dan menunggu sehingga lelaki itu kembali. Tidak sampai sepuluh minit, Dierall muncul bersama dua keping tiket cruise di tangan. Senyuman di bibirnya sudah melebar ketika beriringan dengan Nia menuju ke dalam cruise. 

Tasik Putrajaya sememangnya begitu terkenal dengan bot penumpang yang menyenangkan dan selesa untuk para pengunjung sehinggakan ia digelar Putrajaya Cruise oleh sesetengah pelancong yang bertandang ke Malaysia. Tasik yang terletak di tengah-tengah bandar Putrajaya itu membolehkan para pengujung menikmati keindahan dan pemandangan menarik di sekitarnya dan Dierall tidak ingin melepaskan kesempatan itu lebih-lebih lagi ketika bersama Nia Arisya. 

“Cantik kan?” Soal Dierall seraya jari telunjuknya menuding ke arah Jambatan Putrajaya yang tersergam indah sambil diperhatikan oleh Nia. Masjid Putrajaya turut kelihatan bersama bangunan pentadbiran yang lainnya. Manakala suasana di dalam cruise yang dinaiki juga agak santai dengan hidangan jus sejuk pelbagai perisa. 

“Dah pukul satu dah ni, kita pergi lunch nak?” Saran Dierall ketika mereka melangkah perlahan ke kawasan parkir kereta yang terletak di petak hujung. Beberapa orang turut kelihatan sedang berada di petak parkir masing-masing. Nia mengerling jam rollex di tangan. Perutnya yang berkeroncong memberi kesempatan untuknya menerima pelawaan itu. Pagi tadi dia hanya bersarapan dengan roti bakar dan teh panas. Tambahan pula, kedua orang tuanya awal-awal pagi lagi sudah berangkat ke rumah Mak Long, katanya ada kenduri kecil-kecilan. 

Alongnya pula menghilang entah ke mana. Sebelum dia keluar tadi, Nizi sudah menghidupkan enjin kereta dan terus memecut ke bandar. Mungkin masih sibuk dengan urusan-urusan pejabat yang tiada penghujung bagi abangnya itu. Patutlah Nizi tidak memiliki pasangan hidup sampai sekarang. Terlalu asyik memikirkan kerja! 

“Kita nak makan kat mana?” Dierall menyoal lagi. 

“Kita makan kat Alamanda nak?” Kali ini Nia memberi usul sambil mengangkat telunjuk. Dierall yang tidak berkira pula hanya menganggukkan kepala mengiakan usul Nia. 

***

KERETA Honda City itu diparkirkan dengan berhati-hati setibanya mereka di Alamanda Shopping Centre. Dierall memandu perlahan kereta tersebut memasuki kawasan parkir, khuatir juga jika tergesel dengan kereta yang bersebelahan lalu menyebabkan kereta milik gadis itu tercalar atau terkemik. 

Setelah mengunci kereta, keduanya berjalan menuju ke pintu masuk utama. Sewaktu melangkah masuk ke Restoran Secret Recipe, Dierall tiba-tiba mematikan langkah. 

“Ya Allah...” 

“Why?” Nia mengerutkan dahi. 

“Dompet saya tertinggal kat kereta awak. Saya pergi ambil dompet dulu ya? Awak tolong cari tempat duduk dulu.” Ujar Dierall. 

Lebih kurang sepuluh minit, Dierall muncul dan menarik kerusi untuk duduk di hadapan Nia setelah berlari menuju ke kereta dan mengambil dompet jenama Levi’s miliknya yang tertinggal. Melihatkan Nia masih belum membuat pesanan, Dierall lantas memanggil pelayan berbangsa India di restoran itu untuk memesan hidangan. 

“Such a pleasant day to be with you!” Wajah Nia berseri. Sememangnya dia tidak menyangka akan melalui saban hari itu bersama Dierall. Lelaki itu sekadar tersenyum nipis mendengar ujarannya. 

“Thanks sebab sudi bawa saya bersiar-siar hari ni. Seronok sangat!” Ujar Nia lagi dengan riak teruja. 

“Memang dah plan pun nak ajak awak keluar.” Dierall menghulurkan kunci kereta kepada Nia dengan senyuman. 

Nia turut tersenyum. “Patutlah.” Kunci kereta di tangan Dierall disambut. Ketika itu dia melihat Dierall menanggalkan kaca mata hitam yang dipakainya sejak dari dalam kereta lagi. Wajah bersih tanpa jerawat itu ditatapnya. Dengan menyarung kemeja berwarna merah jambu cair dan seluar jeans biru gelap, penampilan sebegitu menampakkan satu lagi sisi ketampanan yang dimiliki oleh Dierall. Terbuai seketika perasaan Nia Arisya tatkala menatap figura tampan di depan mata. 

Ternyata kehadiran lelaki itu cukup menyenangkan hari-harinya. Mungkin masih terlalu awal untuk dia menilai tahap kejujuran Dierall Qalfee dalam menjalin hubungan persahabatan dengannya, namun Nia tetap merasakan kebahagiaan yang mengiringi sepanjang tempoh perkenalan mereka. Pernah sekali terlintas di layar mindanya, akan berubahkan status persahabatan itu di masa akan datang? 

Nia Arisya tidak berani untuk mengandaikan apa-apa. Tidak juga dia berani untuk meletakkan sebarang harapan. Dia amat menyenangi Dierall. Suka berdampingan dengan lelaki itu kerana personalitinya yang menarik. Namun, biarlah masa yang menentukan hala tuju hubungan mereka. Ah! Kenapalah Nia berfikiran begitu? Hubungan mereka belum mencecah usia setahun, Nia sudah jauh belayar dengan fikiran masa depannya. 

“Demi membalas kebaikan awak sebab bawa saya ke Lakes Garden semalam, jadi hari ni giliran saya pula bawa awak bersiar-siar.” Dierall memberikan penjelasan. Wajah Nia direnungnya. 

“Nia? Kenapa diam?” Sapanya sebaik menyedari gadis itu tidak berpijak di bumi nyata. 

“Err, that doesn’t mean, I wasn’t listening.” Nia mengangkat keningnya memandang Dierall. Ketika Dierall berkata-kata tadi, mujurlah lamunannya sudah diterbangkan jauh. Jadi, lelaki itu tidak ada alasan untuk mencekupnya dalam khayalan. 

Sewaktu mereka sibuk berbual panjang, pelayan tadi datang membawa hidangan. Pandangan Dierall merayap-rayap di atas meja sesudah pelayan itu selesai meletakkan kesemua hidangan. Terasa sungguh berselera dengan hidangan yang bakal menjadi santapan mereka sekejap lagi. 

“Lain kali, saya ajak awak makan kat satu tempat.” 

“Betul?” Nia teruja mendengar pelawaan Dierall. Jika masih ada kesempatan lagi, dia mahu meluangkan masa bersama lelaki itu. 

“Nantilah, kita cari time yang sesuai, okay? Lepas tu kita boleh buat banyak aktiviti bersama, cycling, wall climbing and so on. Then, you and me will be a good couple.” Dierall berjanji sambil berlawak di hujung katanya. Jika Nia menyatakan kesudiannya, maka Dierall akan menjadi orang yang paling bahagia. Bukan sahaja aktiviti-aktiviti yang dirancang dapat meningkatkan kesihatan fizikal bahkan ia akan dapat mengeratkan lagi hubungan yang sedia terjalin di antara mereka apabila kerap meluangkan masa berdua. 

Nia tersenyum mendengar kata-kata Dierall. Bersetuju di dalam diam. Jus carrot di depan mata dihirup perlahan demi melunaskan kehausan yang bermukim di tekaknya. Sementara matanya tidak jelak dari memandang wajah tampan yang sedang berselera menjamu hidangan. Dia mula sedar, bunga di hati sudah kembang setaman!



HANYA SELAFAZ RINDU - 8





“KALUNGAN bunga yang mama nak tempoh hari tu mana? Mama hampir terlupa nak tanya Nia.” Mazni tiba-tiba bersuara ketika dia dan anak gadisnya itu sibuk menyusun pasu bunga di perkarangan rumah. Nia yang sedang khusyuk mengangkat pasu kecil di tepi pagar berhenti dari perbuatannya untuk seketika lalu duduk rapat ke sisi Mazni. Pertanyaan Mazni yang kedengaran samar-samar di cuping telinganya tadi membuatkan Nia berkalih pandang ke arah ibunya. 

“Apa dia mama?” 

“Kalungan bunga yang mama nak tu mana?” Mazni mengulang pertanyaan. 

‘Kalungan bunga? Kalungan bunga apa ya?’ Nia tertanya sendiri. Ketika itu fikirannya sudah menerawang mencari kepastian tentang pertanyaan Mazni sebentar tadi. 

“Ya Allah.” Ucap Nia panjang seraya menepuk dahi. 

“Kenapa?” Perbuatan tidak semena-mena Nia itu memancing pandangan Mazni. 

Nia terpinga-pinga, tidak terus menjawab pertanyaan ibunya. Fikirannya tiba-tiba memikirkan janjinya dengan Dierall Qalfee sementelah semalam dia tidak datang ke Bestari untuk memenuhi janji yang terpateri. Entah berapa lama Dierall menunggu kehadirannya dan sudah pasti lelaki itu sedang berjauh hati. 

“Nia lupalah tu.” Keluhan Mazni menerbangkan lamunan Nia. 

“Taklah mama, kalungan tu ada dalam kereta Nia.” Jelas Nia sebelum rajuk ibunya itu berpanjangan. Mazni hanya meneruskan pekerjaannya mencabut lalang-lalang kecil yang tumbuh meliar di dalam pasu, sedikit pun tidak membalas kata-kata Nia. 

“Nia pergi ambil kalungan tu sekarang ya? Mama janganlah merajuk.” Seloroh Nia bersama gelak tawa yang dihamburkan serta-merta. Dia melentokkan sedikit kepalanya memandang wajah Mazni di sisi. Dia tahu ibunya itu sedang buat-buat merajuk. 

“Ada-ada aje anak mama ni.” Tempik Mazni lalu mengangkat tangan dan memukul punggung anak gadisnya itu sebaik sahaja Nia bingkas dari bangku. Dengan gelak tawa yang masih bersisa, Nia berlalu ke garaj. 

Begitulah kehidupan Mazni yang tidak akan sunyi jika Nia terus menemaninya di sisi. Anak gadisnya itu amat gemar membantunya melakukan kerja-kerja di rumah. Ada masanya mereka akan duduk bersama-sama menanam pokok-pokok renek di tepi kolam milik suaminya. Ada ketikanya juga, Nia akan membantunya memasak di dapur. Mazni tersenyum sendiri ketika meladeni ingatan-ingatan itu. 

Dalam sekejap, tidak semena-mena ingatan Mazni kembali merisik peristiwa hitam yang berlaku setahun lalu. Air mukanya berubah serta-merta. Betapa peristiwa itu telah memontang-mantingkan kehidupan mereka sekeluarga sehingga meninggalkan kesan yang sangat mendalam. 

Mujurlah kini kehidupan Nia Arisya sudah bebas dari segalanya. Dia telah merdeka dari trauma yang cukup perih untuk ditanggung sementelah anak gadisnya itu seorang insan yang sangat lemah. 

Waktu pantas berjalan dan mengubah semuanya. Biarlah peristiwa itu berlalu dan Mazni ingin terus melupakannya. Hatinya sudah jelak melihat Nia dihurung kesedihan saban hari. Dia lebih rela Nia hilang separuh dari ingatan masa lalunya dari terus dimamah dura. 

“Mama!” Sergahan Nia serta-merta mematikan lamunan Mazni. 

“Astaghfirullahalazim...anak aku ni.” Mazni mengurut dada yang sesak dengan kejutan yang tiba-tiba menerpa ke jantungnya. 

Nia tersenyum nakal lalu mengambil tempat rapat ke sebelah ibunya. 

“Nasib mama ni tak ada penyakit jantung.” Sambung Mazni lagi. 

“Sorry mama, Nia bergurau aje.” Bicara Nia sambil jemari lembutnya mengusap-usap belakang Mazni. Degupan jantung Mazni yang mendadak laju tadi kini beransur perlahan dan kembali berdegup normal. Laman wajah Nia ditatap dengan dandanan senyuman kelegaan. 

“Nah, kalung yang mama nak!” Nia menghulurkan kalungan di tangan. 

“Cantik! Pandai Nia pilih.” Puji Mazni sedang tangannya menyambut kalungan bunga dari tangan Nia. Ketika itu, Nia tidak berkata apa-apa. Dia hanya membisu bersama fikirannya yang semedang saja melayang entah ke mana. 

“Nia! Oo, Nia!” Suara Mazni menerpa ke cuping telinga menyebabkan Nia Arisya berpaling semula. “Tak dengar ke apa mama cakap ni?” Soal Mazni lagi. 

“Apa dia ma?” 

“Puan Syira bagi diskaun macam biasa ke?” Sudah tiga kali bibir Mazni mengajukan pertanyaan sama. Jauh benar lamunan anaknya itu sehingga tidak sedar bait-bait persoalan yang dialunkan dari bibir Mazni. Nia memaniskan muka lalu mengangguk mengiakan pertanyaan Mazni. Pada masa yang sama, fikirannya sedang asyik memikirkan sesuatu. 

“Mama, Nia nak keluar sekejap ya?” Omongnya seraya berdiri. Belakang seluarnya ditepuk-tepuk bagi menepis debu yang menempel sebelum anak matanya mengarah ke wajah ibunya yang mendongak mengekori gerak perbuatannya. 

“Eh, nak pergi mana pulak tu?” Tanya Mazni. 

“Nak jumpa menantu mama.” Usik Nia pula. Dia memuntahkan tawa berpanjangan. Belum sempat ibunya itu mengajukan pertanyaan lanjut, Nia terus bersuara, “Nia bergurau aje. Nia nak jumpa kawan kejap.” Dia lantas membongkokkan badan lalu mengucup pipi Mazni sebelum berlalu. 

“Baik-baik bawa kereta tu Nia.” Sempat Mazni menitipkan pesan sebelum tubuh anaknya itu menghilang dari pandangan. 

***

NIA memanjangkan leher menjenguk ke dalam kedai buku itu. Sudah lebih satu jam dia menunggu di luar kedai. Punggungnya juga sudah naik kematu apabila terpaksa berlama duduk di kerusi kayu. Hendak berjalan mundar-mandir juga kakinya sudah canggung berdiri. 

Sedari tadi matanya tidak putus-putus memerhati ke dalam kedai lewat dinding kaca jernih, namun layak yang dicari-cari tiada di kaunter pembayaran seperti selalunya. Ke mana agaknya? Nia sekali lagi melabuhkan punggung di kerusi luar kedai. Dia menongkat dagu dengan kedua-dua belah tangan sambil matanya melilau ke sekitar. Ada beberapa pasang mata yang memandangnya namun tidak dipedulikan. Rasa bersalah dengan kejadian semalam terus membelenggu setiap inci ruang di dasar hatinya. 

Sekali lagi dia menoleh ke ruang dalam Bestari yang begitu sesak sementelah hari itu merupakan hujung minggu. Kesesakan itu jugalah yang telah mematikan niat Nia untuk menuntun langkah masuk ke dalam Bestari. 

Nia bingkas dari kerusi dan berkira-kira untuk pergi. Dalam sesaat dua dia berpaling lagi namun tiada apa yang mampu mengubah keputusannya untuk berlalu. Nia membuka langkah dengan perlahan sedang kepalanya menekur ke lantai jalan. Jiwanya semakin galak diserbu rasa bersalah yang berbongkah-bongkah. 

“Cik Nia cari saya ke?” Satu suara bersahaja menyapa lalu menyanggah langkahan Nia. Kepalanya diangkat lalu dipalingkan bersama tubuhnya. Wajah itu kini jelas di pandangan mata. Urat-urat wajah yang menegang membuatkan Nia menelan liur sebelum menyusun kata. 

“Dierall...” 

Lelaki itu tidak bersuara, malah dia terus menghayun langkah masuk ke dalam kedai bersama dua buah kotak kecil di tangan. Gamaknya Dierall tidak berminat untuk mendengar setiap butir bicara yang bakal keluar dari mulut Nia. 

Aduh! Dia betul-betul marahkan aku. Bibir Nia terkunci, tergamam dengan perbuatan Dierall sebentar tadi. Dia mati akal. Tetapi dalam sekejap Nia mengambil jalan untuk menuntun langkah meluru ke dalam Bestari. Kakinya dihayun pantas menghampiri kaunter pembayaran dan menyelinap masuk di celah-celah keramaian orang yang beratur. Kesemua pasang mata yang tersentak dengan kehadirannya memerhati dengan wajah kehairanan. 

“Awak buat apa ni?” Dierall yang terkejut apabila lengannya digenggam tiba-tiba lantas bersuara. 

“Sorry, saya nak awak ikut saya sekarang.” Ujar Nia tegas. Tubuh Dierall sudah tertolak ke depan ketika Nia menarik lengannya keluar dari kaunter. 

Hendak tak hendak, Dierall menurut juga perintah Nia Arisya. Setelah mengarahkan Adi mengambil alih tugasnya di kaunter, Dierall membuntuti langkah Nia yang tergesa-gesa. Pada masa itu, Dierall sukar menduga punca Nia bertindak di luar sangkaannya. 

***

“AWAK ni kenapa?” Tanya Dierall setelah sekian lama menyepi. Nia di sisi masih membisu. Tiada tanda-tanda mahu bersuara dan menjawab pertanyaan Dierall. Lakes Garden yang menjadi destinasi persinggahan mereka ketika itu agak lengang. Suasananya sungguh tenang kerana terletak di pinggir bandaraya Kuala Lumpur dan jauh dari kesesakan. Jadi, kerana itu juga keduanya terus membisu sambil membawa haluan ke sekitar kawasan tasik dengan perlahan. 

Seketika, Nia menghentikan langkah di bawah sepohon pokok rendang setelah jauh mereka berjalan meninggalkan kawasan parkir kereta beberapa minit lalu. Kawasan yang sedikit redup dari cahaya matahari petang itu membuatkan Nia diulit damai yang menyenangkan. Pandangan matanya terus dihumbankan jauh ke tengah tasik yang menghijau. Dierall yang sedari tadi mengiringi Nia sekadar mengekori setiap gerak-geri gadis itu. 

“Tenangkan?” Suara Nia mula kedengaran sambil tangannya didepakan seluasnya. Kali ini Dierall pula menyepi. Dia cuba menikmati ketenangan yang turut dirasai Nia pada saat mata keduanya menghadap tasik yang tenang. Serasanya, sudah lama Dierall tidak menikmati suasana seperti itu semenjak dia sibuk menguruskan Bestari beberapa bulan yang lalu. 

“Saya nak minta maaf pasal semalam.” Ujar Nia seakan sudah bersedia untuk masuk ke dalam topik perbualan sebenar. Ketika Dierall dapat menangkap kata-kata Nia, dia langsung tidak memalingkan wajah. Malah terus membiarkan Nia dengan susunan bicaranya. 

Angin petang yang berhembus mulus mendamaikan jiwa sehingga terasa membelai kalbu. Keluhan-keluhan kepenatan juga sudah pergi ditiup angin dan menghilang lenyap dari urat-urat tubuh. Suara Nia yang mengalun semakin lama semakin perlahan membuatkan Dierall memaku pandangan redup ke wajahnya. 

“Kenapa awak sanggup buat semua ni semata-mata nak minta maaf?” Dierall bertanya. 

“Sebab...” Nia terus menggigit bibir bawahnya. Keningnya berkerut. Kemudian dia berpaling dan meletakkan pandangan ke muka Dierall. Mereka bertembung mata. 

“Saya takut awak marahkan saya.” Tambah Nia. 

“Bila pula saya marahkan awak? Tell me.” Dierall sudah tersenyum simpul di hujung bicaranya. 

“Jadi, awak tak marahkan saya?” 

Dierall mengangkat kedua-dua keningnya sebelum menghalakan muka ke depan. Hatinya sudah berdebar-debar ketika mereka bertembung mata tadi. Demi mengurai gugup, Dierall pura-pura bermasam muka sedang hatinya dibanjiri kesenangan melimpah. 

“Cuma saya kesal sikit. Kenapa awak tak text or call me ke kalau ada urusan. Tak adalah saya ni nak risau sangat and rasa tertipu.” Dierall menceber. 

“Hey, saya mana tahu number phone awak!” Tempelak Nia. Tangannya menampar bahu Dierall menyebabkan lelaki itu tertawa dengan olahannya. Ketika itu, keduanya kembali membawa haluan ke sekitar tasik. 

“Kalau saya tahu number awak, mungkin dah lama saya marah-marah awak dalam phone.” Dierall menyambung semula gelak tawanya tatkala melihat Nia mencemik. Meskipun baru sekejap mengenali Nia, Dierall akui bahawa gadis itu tampak comel dalam setiap tingkah yang disaksikan dengan sepasang mata Dierall. 

Perbualan mereka mati di situ. Suasana petang di Lakes Garden sungguh menggamit jiwa dan masing-masing tidak ingin melepaskan peluang hujung minggu yang mendamaikan itu. Mereka berjalan kaki mengelilingi tasik sehingga sampai di Carcosa Seri Negara. Di sana mereka duduk bersantai sambil menikmati hidangan teh panas bersama roti Scone yang segar di beranda Carcosa. 

“Thanks dah sudi temankan saya jalan-jalan.” Ucap Nia ikhlas. Matanya terkebil-kebil ketika memandang Dierall yang melontarkan senyuman manis. Roti Scone bulat berinti krim coklat yang menyelerakan itu dicarik sedikit sebelum memasukkannya ke rongga mulut. 

“Ini juga untuk menggantikan pertemuan kita yang tak jadi semalam.” Tambah Nia lagi setelah selesai mengunyah makanan di mulut. 

“Sebelum tu, boleh bagi phone number awak?” Pinta Dierall tanpa segan-silu. Blackberry Bold miliknya sudah pun berada di genggaman setelah dikeluarkan dari kocek seluarnya tadi sedang anak matanya memandang Nia penuh harapan. 

“Itupun kalau awak tak kisah lelaki tak tahu malu ni ganggu awak tiap-tiap malam.” Usiknya pula diiringi tawa. Nia ikut ketawa. 

***

“SERONOK nampak?” Sapa Nizi setelah menyedari ada segaris senyuman kebahagiaan terukir di bibir adiknya. Ketika Nizi memandu keretanya masuk ke perkarangan rumah tadi, sempat anak matanya menangkap tubuh Nia yang sedang duduk bersendirian di halaman. Seusai memakir dan mematikan enjin kereta, Nizi terus membawa haluan merapati Nia. 

“Along dari mana ni? Dari pagi tadi tak nampak. Sekarang baru muncul, jumpa girlfriend ya?” Nia membalas dengan gurauan. 

“Ish, budak ni! Along jumpa klien syarikat. Kan semalam along dah bagitahu kat Nia pasal perkara ni.” Balas Nizi sedang tangannya menanggalkan butang baju kemeja yang terasa mencekak leher. Seharian keluar berurusan dengan pelanggan syarikat menjadikan tulang empat keratnya dimamah kelenguhan. Mujurlah urusan pada hari itu terus dapat diselesaikan segera sementelah Nizi tidak sukakan kerja yang semedang bertangguh. 

“Nia terlupa.” Jawab Nia ringkas. Dia tersengih-sengih memandang wajah Nizi yang berubah serius dengan anggapannya tadi. 

“Eh, along masuk dulu!” Pinta Nizi sambil memicit-micit tengkoknya untuk kesekian kali. Tanpa berkira-kira, Nizi sudah angkat kaki menuju ke pintu utama rumah. Dari luar lagi cuping telinganya sudah menangkap bunyi televisyen terpasang. Pastinya Puan Mazni dan Tuan Mukhris sedang meladeni siaran berita seperti selalu. Sudah menjadi rutin kedua orang tuanya jika ada masa terluang. 

Sementara Nia pula terus menganyam ingatan-ingatan lewat petang tadi yang ditangkap masuk ke dalam benaknya. Suasana suram itu menjadikan Nia terus berulit kenangan. Mindanya mula berlayar menyusuri setiap perkara yang terasa menyenangkan. 

“Mana awak tahu nama penuh dan alamat pejabat saya?” 

Dierall menghirup teh yang tinggal separuh di dalam cawannya sebelum menjawab pertanyaan Nia. Matanya terarah ke muka Nia sebelum menguntum senyum. 

“Saya tanya kat pemilik kedai Amber Flower.” 

Ketika nama kedai Amber Flower menari masuk ke gegendang Nia, ingatannya kembali dibawa mengenang iras wajah senja Puan Syira yang sudah lama mengenali keluarga mereka. “Mana awak tahu Puan Syira tu kenal dengan saya?” 

“Untung badanlah kalau kita berani bertanya kan?” Balas Dierall sambil menjongket kening. Nia sekadar mengangguk mengiakan. Dia tersenyum-senyum memandang Dierall. Namun lelaki itu menuntun sikap bersahaja pada air muka.



HANYA SELAFAZ RINDU - 7





USAI saja urusan di pejabat, Nia memecut laju keretanya menuju ke lebuh raya. Seperti lazim, dia akan terperangkap dalam kesesakan lalu lintas yang panjang. Waktu-waktu begini memang banyak kereta yang beratur dan berjejeran di sepanjang lebuh raya utama. 

Nia yang sabar menunggu mengerling jam di tangan. Hampir jam 5.30 petang. Detik itu, di fikirannya hanya bayangan Dierall yang datang silih berganti. Mindanya kembali menerawang jauh. Dalam beberapa minit, deringan telefon bimbitnya menyedarkan Nia dari ilusi. 

“Waalaikumussalam, ada apa along?” Balasnya. Sayup-sayup kedengaran suara Nizi di corong telefon. 

“What?” Tempik Nia. 

Setelah mempunyai kesempatan terlepas dari kesesakan, Nia memutarkan stereng kereta lalu menekan pedal minyak untuk memecut laju dan berpatah semula ke Suria Holdings. 

‘I'm sorry, Dierall.’ Bisik hatinya berbaur kekesalan. 

Sesampainya di Suria, Nia mempercepatkan langkah. Ketika itu, Suria Holdings mulai lengang. Hanya tinggal seorang dua saja staf yang sibuk berkemas untuk pulang. Dari jauh, kelihatan Nizi terburu-buru melangkah ke pejabatnya. Nia semakin mempercepatkan hayunan kaki. 

“Ada masalah apa ni along?” Tegur Nia ketika tubuhnya sedang merapati Nizi. 

“Nasiblah Nia dah sampai.” Nizi mematikan kata sementara tangannya mencapai beberapa helaian kertas putih bertulis di atas meja. 

“Tolong along siapkan proposal ni sekarang. Klien kita tak cukup berpuas hati dengan proposal sebelum ni.” Pintanya pula seraya menyerahkan helaian putih itu kepada Nia. Adiknya itu hanya menyambut huluran Nizi tanpa banyak bicara. 

“Maafkan along sebab curi masa Nia.” Nizi kembali bersuara. 

“It's okay, along. Nia siapkan sekarang juga ya?” Nia cuba mengukir senyum bersama alunan suara yang mendatar. Walaupun ketika itu kepenatan sedang menggigit tulang empat keratnya, dia tiada kuasa untuk memprotes arahan Nizi. Dengan langkah longlai, Nia berlalu ke ruangannya. 

Untuk beberapa ketika, Nia duduk menyandar di kerusi sambil memejamkan mata. Pada saat itulah fikirannya kembali menangkap bayangan Dierall yang datang silih berganti. Nia melerai nafas keluhan. Hatinya terus dijamah sugul. 

“Bagaimanalah Dierall agaknya?” Bisik Nia perlahan. 

Jarum jam sudah berkalih tepat ke angka 6.30 petang. Itu bermakna sudah satu jam penantian Dierall berbaur kesabaran. Ke hulu ke hilir langkah dihayun perlahan bagi meredakan kegusaran. Dia berusaha untuk berlagak setenang mungkin. 

Sejak tadi Dierall berlegar-legar di luar Bestari. Duduk tidak senang, berdiri pun ada saja yang tidak kena. Dia juga sudah naik canggung untuk mundar-mandir. Hendak menghubungi Nia, tetapi sayang nombor telefon gadis itu sama sekali tiada dalam simpanan. Kekesalan mula timbul. 

“Takkan aku nak ke office dia pulak? Waktu macam ni bukan waktu bekerja lagi.” Kata Dierall sambil telunjuknya menekan-nekan bibir bawah. Matanya terkebil-kebil memikirkan sesuatu. Dahinya sudah berkerut seribu. Dia buntu memikirkan jalan yang wajar diambil. 

Kata-kata Nia lewat pagi tadi terngiang-ngiang kembali di benaknya. Apa kata-kata Nia itu sekadar mainan semata? 

“Think positive, Rall...” Bisiknya mematahkan tanggapan yang bukan-bukan. 

Jenuh menunggu, Dierall membuka haluan ke tempat parkir. Kepalanya hanya menunduk memandang hamparan jalan tar yang rata sambil otaknya terus berfikir. Kakinya terus ditolak ke hadapan. Batu-batu kecil yang berselerakkan di atas jalan disepak perlahan. Kedua-dua tangannya terus memeluk tubuh yang ditampar lembut dek angin yang bertiup ketika itu. 

Setibanya di tempat parkir, enjin kereta dihidupkan. Sedangkan dia masih bersandar pada Vios Spectra hitam miliknya. Dia melentokkan sedikit kepalanya pada tubuh kereta sambil matanya terkebil-kebil mendongak ke dada langit yang jingga. Jiwanya mulai sarat dengan beban perasaan yang tidak tertanggung. Keindahan suasana langit ketika itu sudah kabur dari pandangan mata. Hatinya walang. Fikirannya melayang. 

Beberapa minit berlalu, Dierall mengangkat lengan selari dengan aras pandangan. Jam di tangan menunjukkan pukul 7.30 malam. Dierall sudah berkira-kira untuk pergi. Pintu kereta lantas dibuka sambil matanya melilau ke sekeliling kawasan sebelum memasukkan dirinya ke dalam perut kereta. Dierall sudah putus asa dalam penantian. 

***

“NIA dah siapkan proposal tu? Dah lewat sangat dah ni.” Sapa Nizi. 

Dia menarik tali lehernya keluar dari kolar baju kemeja yang melekap di tubuhnya. Seluruh anggota badannya juga terasa longlai sekali. Memandangkan jarum jam sudah hampir ke angka 10.00 malam, Nizi memilih keputusan untuk pulang. Namun, ketika dia melangkah ke ruangan Nia, adiknya itu masih kelihatan tekun menaip. 

“Tinggal bahagian akhir proposal aje lagi.” Balas Nia tanpa menoleh ke raut wajah yang tercegat di sisinya. Kesepuluh jemarinya ligat menekan punat aksara pada papan kekunci komputer riba miliknya. Anak matanya terus tertumpu pada skrin komputer yang tertulis berjuta aksara. 

“Kalau macam tu, along nak buat minuman panas dulu. Nia nak?” Tawar Nizi. 

“Nia nak Horlicks!” Ujar Nia sambil tersenyum. Kali ini wajah Nizi dikerling sejenak sebelum menyambung semula tugas-tugasnya. 

“Ada-ada aje.” Sahut Nizi. Sempat Nia tertawa. 

“Siapkan kerja tu cepat.” Arah Nizi sebelum berlalu. 

Nia memicit-micit tengkok belakangnya yang terasa lenguh akibat menekur terlalu lama. Jari jemarinya juga sudah mulai kebas menekan setiap butang pada papan kekunci. Namun, pekerjaan itu harus diteruskan memandangkan bahagian akhir kertas kerja itu cuma tinggal separuh lagi yang belum siap. 

“Dah selesai?” Sapaan Nizi beberapa minit kemudian menyebabkan Nia berpaling. 

“Hampir.” Sahutnya sambil menyambut huluran secawan Horlicks panas daripada Nizi. 

“Kerja along pulak macam mana?” Mata Nia terus memanah tepat ke wajah Nizi yang sedang menyemak hasil kerjanya pada skrin komputer riba yang bercahaya menggunakan 'Power Save Mode'. 

Tanpa berkalih pandang, Nizi membalas pertanyaan Nia, “Dah settle.” 

“Biar Nia siapkan dulu. Along restlah kat kerusi tu.” Usul Nia kepada Nizi. Tangannya terus memaut komputer riba yang sudah sendeng menghadap Nizi. Dia dapat melihat garis-garis keletihan yang berlingkaran di wajah abangnya. Sedari pagi lagi Nizi belum menjenguk rumah, boleh dikatakan sudah seharian abangnya itu menghabiskan masa di pejabat demi menguruskan segala urusan berkenaan dengan pembinaan tapak perniagaan baru di Rawang. 

Kebelakangan ini, Nizi Arash dirasakan semakin kuat bekerja sehingga tidak mengambil endah akan urusan-urusan lain. Di dalam hati, Nia hanya mampu mengeluh panjang. Sesekali dia menggeleng ketika melihat Nizi yang berbaring longlai di atas sofa panjang di ruang pejabatnya. 

***

NIA ARISYA terus menghempas badan di atas tilam empuk di ruang kamarnya. Helaan nafas kepenatan terurai perlahan dari dadanya yang terasa menyesakkan. Ketika dia dan Nizi tiba di rumah pada jam 11.30 malam tadi, Tuan Mukhris dan Puan Mazni sudah nyenyak diulit mimpi. 

Sesaat dua, Nia memejamkan matanya serapat mungkin. Setelah itu, dia memanah pandangan ke siling kamar, terkebil-kebil. Fikirannya kosong pada saat diri dibungkus kepenatan. Nia memutarkan badannya sekejap ke kiri, sekejap pula ke kanan. Fikirnya ingin lelap terus, namun satu persatu posisi itu tidak memberikan keselesaan untuknya melelapkan diri. 

Nia kembali memalingkan diri menghadap siling. Pada masa yang sama, perutnya tiba-tiba berkeroncong menyanyikan lagu kelaparan, Nia bingkas dan duduk di birai katil sambil tangannya memperkemaskan ikatan pengikat pada rambut. 

Perlahan-lahan kaki Nia meniti tangga rumah, turun ke dapur untuk melihat-lihat jika masih ada makan malam yang ditinggalkan. Nia tergagau-gagau di dalam gelap. Matanya membulat mencari sesuatu ketika kakinya sedang melangkah ke peti sejuk. Di benaknya, Puan Mazni pasti akan meletakkan nota pesanan pada pintu peti sejuk jika mereka tidak bersua saban hari itu. 

“Buat apa dalam gelap ni?” 

“Along! Terperanjat Nia.” 

Serentak dengan itu, suis lampu dibuka. Jelas dan terang wajah Nizi sedang mentertawakan keletah Nia. 

“Siapa suruh Nia main dalam gelap ni? Kalau ya pun, bukalah lampu dulu.” Sempat Nizi mengeluh sebelum menyambung semula sisa ketawanya yang belum kebah sambil membawa haluan kaki merapati Nia yang bermasam muka. 

“Nia baru aje terfikir nak buka lampu. Along aje yang sengaja nak memeranjatkan orang.” Dengus Nia yang sedia geram. Beberapa saat melihat riak bersahaja Nizi di depan mata, Nia kemudiannya merebahkan pandangan ke arah nota di tangan. Matanya mula bergerak dari kiri ke kanan. 

Anak-anak mama, 
Makan malam mama dah siapkan 
dan mama simpan dalam peti sejuk 
Nia dan Nizi panaskan lagi kalau nak makan 
Selamat malam.

Belum sempat Nia membuka mulut untuk menyampaikan pesanan Puan Mazni, Nizi terlebih dahulu menyaingi langkahnya. 

“Mesti mama ada simpankan lauk untuk kita kan?” Duga Nizi sambil tangannya membuka pintu peti sejuk. Nia sekadar memerhati perbuatannya. 

“Lepas tu, mama suruh kita panaskan lauk kalau nak makan.” Sambung Nizi lagi setelah mengeluarkan lauk dari peti sejuk lalu diunjukkan ke muka Nia yang masih terpinga-pinga mendengar percakapannya. 

“Macam mana along tahu?” Nia mengungkap kata satu persatu sambil mengerut kening. 

“Along dah biasa makan lewat malam. Dah selalu sangat baca nota pesanan mama tu.” Balas Nizi seraya memuncungkan mulutnya mengarah ke nota kecil di tangan Nia. 

“Nia terlupalah. Along kan selalu balik lewat. No wonderlah along dah terbiasa.” 

“Dah, jom panaskan lauk-lauk ni.” Arah Nizi. Nia mencapai semangkuk sup ayam di atas meja lalu membuntuti langkah Nizi yang sudah ke depan menggenggam dua pinggan lauk yang lainnya. 

Sejam kemudian, seusai menjamah makanan dan mengemas dapur, Nia melangkah perlahan menuju tangga. Sempat juga dia mengerling Nizi ketika abangnya itu menukar haluan menuju ke ruang tamu rumah. Nia tidak jadi meneruskan langkah lalu memaku diri di tangga. 

“Tak tidur lagi?” Soalnya 

“Nantilah.” Sahut Nizi lalu merebahkan badannya ke sofa. 

“Goodnight along.” Nia meneruskan langkah, menghitung anak tangga yang dinaiki perlahan. Apa yang sedang berlegar di fikirannya kini hanyalah mimpi-mimpi indah yang bakal mengulit lenanya kelak.



HANYA SELAFAZ RINDU - 6





DIERALL membantu pekerja-pekerjanya menyusun buku-buku di rak yang tersedia. Hari itu, hampir sepanjang hari Bestari dipenuhi pelanggan yang berkunjung. Tidak menang tangan Dierall dibuatnya. Tambah-tambah pula, Adi tidak dapat datang untuk membantunya atas beberapa urusan yang perlu diselesaikan. Mujurlah para pekerjanya banyak membantu, meringankan sarat beban. 

Dalam keasyikkan meladeni tugas itu, Dierall tiba-tiba teringat akan sebuah novel yang baru saja ditempahnya dua minggu lalu. Pantas kakinya dihayun merapati kaunter yang sudah mulai lengang dari asakkan orang ramai sejam yang lalu. Tangannya mencapai sebuah novel di dalam laci sambil bibirnya melebarkan senyuman. 

‘Nia mesti suka!’ Desisnya sambil tersenyum girang. Novel itu dibelek-belek beberapa kali sementara pandangannya dilontarkan ke luar menembusi dinding kaca jernih. Di luar sana, cuaca kelihatan mendung. Awan kelabu mula berarak laju, melitupi langit yang awalnya cerah. Air muka Dierall mula berkalih suram, sesuram keadaan detik itu. 

‘Agak-agaknya, dia akan datang tak?’ Dierall menyoal hati yang dibaluti perasaan hampa. Kepalanya masih terjenguk-jenguk ke luar dinding kaca bersama hati yang sarat dengan kegelisahan. Sedari tadi dia menanti kehadiran yang diharap-harapkan. 

‘Takkanlah dia nak datang dalam keadaan cuaca yang mungkin akan hujan kejap lagi?’ Dierall menduga lagi hatinya dengan beribu tanda tanya. Teka teki itu jugalah yang memakan perasaannya sendiri. 

Perlahan-lahan Dierall merebahkan punggung, duduk di kaunter lalu melepaskan keluhan. Sesekali anak matanya melilau ke sekitar ruang kedai. Kelihatan para pekerjanya masing-masing sibuk melayan ragam para pelanggan. 

“Assalamualaikum.” Kedengaran jelas dan terang satu suara lembut yang menyapa. 

“Waalaikumussalam.” Salam disambut tanda berbahasa. Dierall segera menoleh. Seorang gadis berambut hitam lurus mencecah paras bawah bahu sedang berdiri tegak di hadapannya. Gadis itu bertindak bersahaja. 

“Saya tunggu-tunggu awak datang tau.” Spontan Dierall menuturkan kata lalu bingkas dari tempat duduk. Dia membawa haluan pantas seakan ada sesuatu yang menolak tubuhnya menghampiri gadis itu dengan segera. Nia pula sekadar memerhati. Untuk sesaat dua, dia menghumban pandang ke sekeliling kedai yang tampak lengang. 

“Awak bagi saya bunga-bunga tu kan?” Sedang Nia mengangkat kepalanya mendongak memandang Dierall di depan mata, persoalan itu dilepaskan satu persatu. 

“Saya tak bagi, saya ganti yang rosak semalam.” Balas Dierall dengan riak bersahaja. 

“Habis, bunga mawar tu? Bukan awak yang bagi?” 

“Oh, memang saya yang bagi.” Dierall memaniskan muka sebelum meneruskan kata. “Kenapa? Salah?” Dia tersengih lagi. 

“Apa senyum-seyum?” Bentak Nia. Matanya dijegilkan. 

“Senyum pun salah? Nanti saya buat muka serius, awak takut pulak.” Dierall menjongket kening. Pandangannya terus direbahkan ke wajah Nia dan pada saat itulah hatinya mula merasai satu debaran tatkala mereka bertembung mata untuk seketika. 

Nia Arisya terdiam. Segera dia berkalih pandang ke kaunter pembayaran. Ketika itu juga anak matanya tertancap pada sesusuk tubuh yang sedang memerhati ke arah mereka. “Ada pelanggan.” Lantas Nia bersuara cuba mematahkan suasana yang kian meresahkan. 

“Hah?” 

“Ada pelanggan nak buat bayaran kat kaunter, baik awak layan pelanggan awak tu dulu.” 

Dierall menoleh laju. 

“Awak tunggu sini kejap ya? Jangan lari tau!” Ucap Dierall tegas sebelum terburu-buru membuka langkah ke kaunter. 

Nia hanya menjuihkan bibir lalu berpeluk tubuh. Matanya dihumban terus ke wajah Dierall yang memerhatinya dari kejauhan. Jelak menunggu setelah beberapa ketika, Nia mula beralih langkah dari satu rak ke satu rak. 

“Tak banyak yang berubah.” Bisiknya sendiri. Ketika anak matanya terpandangkan sebuah rak panjang berlabel perkataan ‘Novel’, langkahnya terus mati di situ. Tangannya mula meraba-raba mencari buku. Satu persatu novel-novel itu ditarik keluar dari rak dengan harapan dia akan bertemu sesuatu yang memikat hatinya. 

“Awak masih berminat dengan novel ni?” Tiba-tiba Dierall mencelah. Tubuhnya terus disandarkan pada rak sambil dia memeluk tubuh. Di tangan kananya pula tergenggam erat sebuah novel berwarna merah coklat yang ditayang-tayangkan di depan mata Nia. 

‘Bicara Hati? Wah, my favorite book ever!’ Detak hati Nia. Wajahnya langsung berubah ceria ketika menerima huluran buku itu dari tangan Dierall. 

“Thanks awak!” 

***

FIKIRAN Nia merantau di segenap isi nostalgia. Alangkah indahnya pertemuan tadi, menyemai bibit perasaan yang belum pernah dirasai sebelum ini. Dia benar-benar terhutang budi pada Dierall walaupun baru sedikit lelaki itu berbakti kepadanya. 

“Mana awak dapat novel ni?” Tanya Nia. 

“Saya kan peniaga, mestilah saya ada ikhtiar macam mana nak cari stok baru.” Lelaki itu menjongket kening sambil meleraikan pelukan tangannya pada tubuh. 

“Jadi, berapa harganya ni? Saya bayar.” Aju Nia seraya jemarinya menggeledah tas tangan, mencari beg duit. 

“Eh, tak apa lah! Saya ikhlas bagi kat awak. Anggaplah itu sebagai hadiah persahabatan dari saya.” Ucap Dierall ikhlas. Ketika itu, Nia sudah angkat kepala, memanah pandangannya tepat ke wajah Dierall. 

“Betul, saya ikhlas. Awak ambil aje.” Sambung Dierall lagi. 

“Tapi...” 

“Tak apa.” Celah Dierall. 

Nia kelu. Dia hanya membalas senyuman Dierall selepas beberapa saat membisu. Sedang meladeni suasana itu, aneka perasaan mula bertamu. Tetapi, Nia sengaja melupakan perasaan itu untuk sementara waktu. 

“Saya nak ajak awak lunch nanti boleh?” Pelawa Dierall. Dia sudah berdiri tegak di hadapan Nia bersama pandangan mata yang meredup. Jelas sekali wajah itu memahat pengharapan menggunung. 

“Maaf.” 

Air muka Dierall terus berubah pada saat ungkapan 'maaf' itu menari-nari masuk ke gegendang telinga. 

“Why?” Dia bertanya lagi demi kepastian. Kepalanya dilentokkan sedikit, menghadap wajah Nia yang sedang menekur. Lama gadis itu berdiam sebelum menjawab pertanyaa Dierall. 

“Pagi tadi saya dah promise dengan mama yang saya nak balik lunch kat rumah. But, this evening saya free, kita jumpa ya?” Di hujung kata-kata itu, Nia mendandan wajahnya dengan senyuman. Dierall ikut tersenyum. 

“Okay, I’m waiting!” 

“Jauh termenung?” Sapaan seseorang dari belakang membuatkan Nia berpaling. Bibirnya mengukir senyuman apabila anak mata hitam miliknya menyapa raut wajah Mazni yang serasa menenangkan. 

“Tak adalah mama.” Jawabnya tenang. 

Mazni duduk menyertai Nia. Usai menjamu selera tadi, bayangan Nia tidak kelihatan di mana-mana setelah menghilang dari ruang makan. Rupa-rupanya, anak gadisnya itu sudah jauh bermenung di perkarangan rumah. Entah apalah yang dilamunkan. 

Untuk beberapa ketika, mereka menyepi dari berkata-kata. Mazni leka memerhati tanaman bunga yang berwarna-warni. Sesaat dua kemudian, dia melepaskan keluhan lalu membawa pandangan ke laman wajah Nia yang sedang tersenyum sendirian. Bagai orang sedang angau bercinta lagaknya. 

“Tengah angau bercinta ke anak mama ni?” 

Soalan Mazni mematikan lamunan Nia yang sedang menjauh. 

“Eh, taklah mama!” Jawab Nia ringkas. 

Untuk kesekian waktu, mereka menyepi lagi. Mazni malas hendak bertanya lanjut. Dia sekadar merenung wajah anak gadis kesayangannya itu. Kulit Nia kelihatan lebih cerah berbanding dulu. Rambutnya yang lurus sudah agak panjang sehingga ke paras bawah bahu. Wajahnya juga semakin matang. Banyak yang sudah berubah pada diri anaknya itu dan Mazni cukup senang melihat perubahan yang berlaku.



HANYA SELAFAZ RINDU - 5





“MORNING mama!” Ucap Nia sambil membetulkan butang bajunya yang belum dibutangkan dengan sempurna. Setelah itu, dia duduk di kerusi sambil kornea matanya merayap memandang hidangan sarapan yang begitu meliurkan. Semalam dia langsung tidak menjamah apa-apa. Akibat terlalu penat dan terasa tidak enak badan, dia terus saja merehatkan diri dan melelapkan mata di kamar. 

“Good morning. Awal anak mama bangun hari ni?” Sindir Mazni. Lazimnya, satu-satu anak gadisnya itu sering lewat bangun. Hari ini sikap Nia itu menimbulkan sedikit kehairanan di hati Mazni. ‘Buat tabiat agaknya anak aku ni,’ Mazni berbisik dalam hati sambil tersenyum. 

“Mama ni, Nia lewat bangun pun salah, ni bangun awal pun salah.” Rajuk Nia Arisya. 

“Papa dengan along mana, ma?” Soalnya pula, tidak jadi meneruskan rajuk yang dibuat-buat sebaik sahaja terlihat secawan kopi panas yang selalu dihidangkan untuk Tuan Mukhris tidak terusik sedikitpun. Jika ayahnya sudah ke pejabat, sudah pasti secawan kopi itu telah habis diminum. Paling tidak pun akan tinggal separuh. 

“Mimpi apa anak papa sarapan awal pagi ni?” Tuan Mukrish tiba-tiba terjengul di ruang makan seraya memotong perbualan anak-beranak itu. Satu lirikan senyuman dilemparkan ke arah Nia dan isterinya sebelum membongkokkan badan bagi meletakkan beg bimbit di sisi meja. Nia membalas senyuman itu sebaik sahaja Tuan Mukrish merebahkan tubuh ke kerusi. 

“Ada-ada ajelah papa ni. Nia sengaja bangun awal sebab nak buat surprise! Bukan senang nak tengok Nia bangun awal kan?” Nia menayang gigi. Dia sudah dapat berbangga dengan pencapaiannya hari itu. 

“Kalau hari-hari macam ni kan bagus?” Seloroh Mazni pula membuatkan pandangan Nia terpancing ke arahnya. 

“Kalau hari-hari tak bolehlah nak berjanji.” Sengih Nia lagi. Tuan Mukhris sudah tertawa kecil mendengar ujaran anak gadisnya itu. 

“Along mana, ma? Takkan dia pula yang nak lewat hari ni?” 

“Along kau subuh-subuh tadi dah berangkat ke pejabat.” Seloroh Puan Mazni lagi. Nia mengerutkan dahi lalu menjebehkan bibir. Dia yakin ibunya pasti sedang bergurau. 

“Ada apa ni?” Nizi tiba-tiba muncul di muka pintu, mencelah percakapan mereka yang mulai kedengaran rancak. Serentak pandangan Nia dan Puan Mazni rebah ke muka Nizi yang terpinga-pinga. 

“Kenapa nama along disebut-sebut ni?” Soal Nizi sambil membawa haluan kakinya menuju ke meja makan. Nia dan Puan Mazni hanya berpandangan sesama sendiri sebelum keduanya tergelak kecil. Tanpa menghiraukan keduanya, Nizi terus melabuhkan punggung pada kerusi yang kosong. 

Nizi Arash merupakan anak sulung dalam keluarga. Setelah tamat pengajian di Kanada, dia terus berkhidmat di Syarikat Suria Holdings milik ayahnya. Jika hendak diikutkan hati, Nizi ingin memiliki kerjaya sendiri tanpa bergantung harap pada perusahaan milik Tuan Mukhris. Namun atas beberapa sebab yang tidak dapat dielakkan, Nizi harus akur dengan keputusan ayahnya untuk sama-sama mentadbir Suria Holdings. 

“Nia ingatkan along dah ke pejabat subuh-subuh tadi, rupanya Nia bangun lagi awal.” Balas Nia bersahaja lalu membawa pandangannya ke wajah Puan Mazni yang tersenyum geli hati. Nia ikut tertawa kecil. 

Ketika itu Nizi sekadar mengelewehkan bibir dengan gurauan Nia yang sudah sebati dengan dirinya. Meskipun adiknya itu sudah mencecah usia 23 tahun, namun tingkah Nia yang masih seperti anak kecil tetap menyenangkan mereka sekeluarga. 

Setelah menjamah sekeping roti dan secangkir Horlicks panas yang sedia terhidang di atas meja, Nizi bingkas dari kerusi dan serta merta mencapai beg bimbit hitam yang diletakkan di sisinya tadi. Kornea matanya pula mengerling jam di tangan. 

“Nizi ke pejabat dulu papa. Ada beberapa urusan penting yang perlu diselesaikan sebelum bertemu klien kita tengah hari ni.” Jelasnya kepada Tuan Mukhris. 

Mukhris mengangguk perlahan sambil mengelap mulut dengan sehelai sapu tangan yang sudah dikeluarkan dari kocek bajunya. “Kalau macam tu kita ke pejabat sama-sama.” Usulnya kepada Nizi. 

Mukhris turut bangun dari kerusi memandangkan anak lelakinya itu sudah tergesa-gesa hendak ke pejabat. Mazni pula tidak banyak menyoal, sekadar menjadi pemerhati. Dia sudah biasa dengan sikap keduanya yang sering saja sibuk di syarikat yang terbina hasil dari titik peluh suaminya selama 20 tahun itu. 

Kehadiran Nizi Arash yang sanggup memberikan khidmat di syarikat itu sedikit sebanyak telah membantu memajukan perusahaan. Begitu juga dengan Nia Arisya, walaupun baru setahun berkhidmat sebagai Penolong Ketua Eksekutif dalam syarikat, namun dia tetap menyumbangkan beberapa kejayaan untuk syarikat milik keluarga mereka. Mukhris sendiri pernah memuji kewibawaan Nia mengurus pekerjaan. 

“Mama, Nizi tak balik makan tengah hari nanti, kena jumpa klien.” Pesan Nizi. Tangan Mazni seraya dipaut kemas lalu dikucupnya. Mazni pula hanya mengangguk mengiakan sambil mengiringi kedua beranak itu sehingga ke muka pintu. 

Nia yang masih duduk menghadap meja makan hanya melirik dari jauh. ‘Papa dan along memang kuat bekerja, mengalahkan menteri!’ Getus hatinya. Sempat anak matanya mencuri pandang ke wajah senja Mazni. Sebagai anak perempuan, Nia sememangnya tahu apa yang sedang berlegar di benak ibunya itu. Demi melunturkan perasaan sunyi di hati Mazni, ada kalanya Nia sanggup melupakan seketika masalah pekerjaannya dan menemani Mazni di rumah. Ketika itulah banyak perkara dan cerita yang mereka akan kongsikan bersama. 

“Hah, Nia! Dah puas termenung?” Sergah Mazni tiba-tiba. 

“Ish mama ni, terkejut orang tau.” 

Mazni tergelak. Dia kembali melabuhkan punggung di kerusi lantas tangannya mencapai secawan teh yang tinggal separuh lalu dihirup perlahan. Nia sekadar memerhati geraknya. 

“Nia bila lagi nak ke pejabat? Tengok papa dengan along tu macam sibuk aje dengan tugas masing-masing, Nia tak ada urusan ke? Ke selalu curi tulang masa kerja?” Celoteh Mazni lagi. 

“Yalah! Yalah! Nia nak pergilah ni.” Balas Nia lalu mencapai beg bimbit putih serta tas tangan yang diletakkan di sisi kerusi ketika dia hendak bersarapan tadi. 

Tangan Mazni dipaut lalu dikucupnya dengan penuh rasa hormat. Kemudian tangan keduanya terurai sambil diiringi pesan dari Nia. 

“Tengah hari ni mama masak sedap-sedap tau, Nia balik makan.” 

Mazni mengangguk perlahan disertai dandanan senyuman bermakna. Jelas terpancar kegembiraan di wajah senjanya sebaik sahaja cuping telinganya menangkap maksud kata-kata Nia. 

“Nia pergi dulu mama...” Lambaian tangan Nia diiringi dengan senyuman yang mampu mendatangkan kedamaian di hati Mazni. Dia turut membalasnya dengan senyuman lalu menghantar tubuh anaknya itu dengan pandangan mata sebelum lenyap di kejauhan bersama kereta yang dipandu. 

***

LONTARAN pandangan Nia melekap pada suatu sudut di atas meja pejabatnya. Dengan hayunan pantas, dia membawa haluan kaki menuju ke sudut itu setelah menapak sesaat dua di muka pintu. Setangkai bunga mawar kuning bersama sekalung dahlia ungu tersusun kemas di atas meja. Tangan Nia terus mencapai sekeping kad biru cair yang bertulis dengan dakwat hitam di atas meja bersebelahan dengan kalungan dahlia ungu. Di atas kad itu hanya tertulis, 'Untuk Saudari Nia Arisya'. 

“Siapa yang letak bunga-bunga ni atas meja I?” Soal Nia sedang Rubisa mendekatinya sebaik sahaja menapak ke dalam pejabat. Terkial-kial setiausahanya itu menyusun bicara tatkala melihat garis-garis kegelisahan terpampang pada riak Nia. 

“I yang letakkan. Kenapa?” Rubisa bertanya kembali. Keresahan di wajahnya sudah tidak tergambar. Dia khuatir jika majikannya itu naik marah dengan perbuatannya. Mungkin meletakkan bunga di atas meja tanpa pengetahuan Nia itu menjadi satu kesalahan. 

“Siapa yang bagi bunga-bunga ni?” Suara Nia masih beralun mendatar. Pandangannya kembali dihumbankan ke atas meja. Bunga-bunga itu tampak cantik, namun ia tidak dapat melembutkan hatinya yang berkeras ingin tahu, siapa gerangan pengirimnya? 

“Tadi ada seorang lelaki datang ke pejabat. Dia kata bunga-bunga ni untuk you. Dia gantikan bunga you yang rosak semalam. Itu aje yang dia bagitahu kat I. I tak sempat nak tanya, dia dah pergi.” Jelas Rubisa lanjut dengan dahi yang sudah berkerut seribu. 

‘Semalam?’ Terdetik sesuatu di hati Nia Arisya. Satu persatu ingatan semalam mengetuk pintu fikirannya. ‘Dierall ke?’ Dia menduga lagi. ‘Tapi, macam mana dia boleh tahu nama aku?’ Beraneka tanda tanya timbul di minda Nia. 

“Dia ada bagitahu nama dia pada you tak?” 

“Tak, I tak sempat nak tanya.” 

“Em...tak apalah. You boleh keluar.” 

Secalit ketenangan menyusur masuk ke setiap rongga kegelisahan di hati Rubisa. Dia lantas berlalu meninggalkan Nia yang masih terpinga-pinga dalam kehairanan. Jelas dan terang wajah itu penuh dengan tanda tanya. 

‘Siapa agaknya lelaki tu ya? Dierall ke?’ Persoalan-persoalan itu masih menjadi tanda tanya. Namun, benak Nia cuba mengetepikan perkara itu buat seketika. Banyak urusan pejabat yang lebih penting kini datang silih berganti memasuki ruang mindanya, melambai-lambai minta diselesaikan. 

Nia menyandarkan tubuh pada kerusi. Dia melentokkan kepala ke kerusi yang didudukinya ketika itu. Sesaat dua, mata hitamnya memanah ke siling pejabat. Setelah itu, dia memejamkan kelopak mata untuk beberapa ketika lalu menghela nafas sebelum mencapai fail-fail yang tersusun rapi pada rak belakang. Dia mula menyelak setiap halaman fail sambil anak matanya bergerak dari kiri ke kanan. 

Sudah lebih tiga jam Nia Arisya menyelak-nyelak setiap muka surat di dalam fail hitam yang tebal. Dia cuba meletakkan seluruh tumpuannya pada data-data yang tercatat. Namun, kadang kala pemikirannya terganggu dek peristiwa yang menjengah awal pagi tadi, masih terngiang-ngiang dalam kotak fikirannya. Argh! Dia hilang tumpuan. Kerja yang disentuh sedari tadi hanya sempat terluak separuh. 

Dia jadi tidak senang duduk. Dia bingkas dari kerusi, langkahnya ditolak ke hulu ke hilir di ruang pejabat yang luas. Kemudian, pandangannya dilemparkan menembusi jauh ke luar dinding kaca sedang otaknya ligat berfikir. Bukan memikirkan kerja yang datang bertimbun, tetapi memikirkan perkara yang mungkin dianggap remeh oleh sesetengah orang. Namun bukan jenisnya yang suka mengambil ringan terhadap sesuatu perkara. 

“Termenung aje kerja dia.” 

Nia tersentak. Sedari tadi, dia langsung tidak menyedari kehadiran bunyi derapan kasut Nizi yang menapak ke dalam pejabat. Entah sudah berapa lama Nizi tercegat di situ dan memerhati gelagatnya yang sudah seperti orang tidak keruan. 

“Ada apa along?” Soalnya bagi menutup kegelisahan. 

“Dah kau semak fail-fail yang along bagi semalam? Along perlukan fail tu lepas ni.” Sedang Nizi menghampiri Nia, sempat juga dia membetulkan kedudukan tali lehernya sebelum mendongakkan kepala memandang kembali ke muka Nia. 

“Tinggal satu fail ni aje. Nanti dah siap semak Nia suruh Rubisa hantar ke pejabat along ya?” Kata Nia lalu mencapai fail tebal di sisi meja. Nizi mengangguk mengiakan. Dalam sekejap, mata Nizi tiba-tiba teralih pada kalungan bunga di atas meja. 

“Ada pakwe rupanya adik aku ni.” Selorohnya separuh berbisik. Telinga Nia cepat-cepat menangkap percakapan Nizi walaupun samar-samar. 

“Tak adalah. Along jangan fikir yang bukan-bukan pula. Kalungan tu Nia beli untuk mama, okay!” Jelas Nia dengan nada sedikit meninggi. Mukanya mencuka. 

“Dah! Dah! Along bergurau aje. Sambung buat kerja tu, jangan nak termenung pula.” Arah Nizi, cuba berlagak serius dalam sisa perasaan geli hatinya. 

“Ingat! Along nak fail tu secepatnya.” Nizi mengawang-awangkan telunjuk, memberi peringatan sekali lagi sebelum berlalu. Nia yang memerhati gelagat alongnya itu hanya mengelewehkan bibir.



HANYA SELAFAZ RINDU - 4





KAKINYA menghayunkan langkah dengan pantas. Cuaca yang tadinya panas terik kini berubah suram dengan awan mendung yang berarak laju. Hujan yang turun tiba-tiba, semakin lebat mencurah ke bumi. Ada kalanya, begitulah lumrah alam yang tidak dapat diduga dek akal. 

Dierall menggenggam erat beg plastik hitam yang ada di tangan, takut-takut kalau novel yang terselindung di dalam beg plastik itu akan terkena hujan yang kian mengganas lebatnya. Baju kemeja biru yang melekap di tubuh sasanya juga sudah separuh basah disiram hujan. 

Lopak air di permukaan jalan yang tidak diselenggara diredah tanpa mempedulikan kasut kulit hitam miliknya berendam dalam takungan air tersebut. Dia berlari-lari anak malah sempat juga matanya memerhati ke sekeliling kawasan, mungkin ada tempat yang boleh dijadikan sebagai perteduhan sementara menunggu hujan lebat itu reda. 

Kekesalan mula menyelinap ke dalam jiwa kerana memarkir kereta jauh dari kedai bukunya pagi tadi. Perkara itu sudah menjadi kebiasaan bagi Dierall setiap kali berlaku kesesakan pada waktu pagi. Banyak kenderaan yang berjejeran di jalan raya dan masing-masing ingin ke tempat kerja. Jadi, dia mengambil keputusan untuk berjalan kaki sahaja dari tempat parkir kereta yang mujur jauhnya cuma setengah kilometer dari kedai bukunya. 

Dierall melangkah dan terus melangkah. Akhirnya kornea matanya terpancang pada sebuah kedai bunga yang menyediakan satu ruangan terbuka di kawasan luarnya. Dia mempercepatkan langkah menuju ke ruang legar itu. Namun, tidak semena-mena sesuatu terjadi di luar dugaannya. 

“Aduh!” Kedua-duanya mengerang kesakitan. Pantas jemari Dierall mengurut bahunya yang terasa berpijar akibat rempuhan kuat itu. Ketika itu juga dia segera menoleh dengan kekalutan yang berbongkah. Gadis muda yang berusia dalam lingkungan 20-an itu sudah tersungkur ke lantai. 

“Maaf! Maaf!” Dierall panik seraya merebahkan lutut kanannya ke lantai bagi mendapatkan gadis yang tersedu-sedu menahan kesakitan itu. 

“Cik tak apa-apa ke?” Soal Dierall cemas. Dia berkira-kira untuk memaut lengan gadis itu kerana hatinya sudah dipagut rasa bersalah yang kian merebak dan meresap ke dalam lipatan hatinya. 

Sementara gadis itu masih menunduk memandang hamparan lantai marmar hijau yang separuh basah dek tempias hujan lebat ketika itu. Di hujung helaan nafasnya masih ada sisa-sisa suara halus yang mengerang kesakitan. Kalungan bunga yang baru dibelinya tadi sudah terhempas ke lantai dan tercalit kotoran yang kelihatan jelas pada warna putih bersihnya. 

“Awak buta ke? Awak dah kotorkan kalungan bunga saya.” Butir katanya semakin tenggelam bersama sebak di dada. 

Hendak marah-marah Nia tidak berdaya lagi. Dia cukup terpukul dengan apa yang telah berlaku. Harapannya, kalungan itu sempat diberikan kepada ibunya hanya tinggal menjadi debu angan-angan yang terbakar halus dan lenyap diterbangkan angin kedinginan ketika itu. 

“Maafkan saya ya? Nanti saya gantikan dengan yang baru.” Pujuk Dierall berbaur nada kesal. Rasa bersalah terus berkubu dan meratah benaknya. 

“Tapi awak tak apa-apa ke ni?” Soalnya lagi bersama riak kebimbangan. 

Gadis itu masih menunduk bersama esakan yang beransur kebah. Sesekali tangannya menyeka dua butir air jernih yang sudah tumpah dari tubir mata. Dierall pula mengetap bibir, masih teragak-agak untuk memaut lengan gadis tersebut. 

Nia memerah kudrat sedaya upaya untuk bangkit sendiri. Ketika dia cuba berdiri tegak, urat kakinya tiba-tiba terasa menegang, terus dia gagal menggerakkan tubuh. Nia Arisya mengerang kecil sambil mukanya berkerut menahan kesakitan. Hampir-hampir tubuhnya melayang tetapi sempat dipaut oleh Dierall. 

“Awak okay?” Tanya Dierall. 

Ketika itu Nia tidak terus menjawab. Malah matanya membuntang memandang Dierall di depan mata. Fokusnya hanya pada wajah itu. Tak mungkin! Protes hatinya dengan kenyataan yang sedang menyerbu ke dasar diri. 

Dierall turut mencerlung. Bibirnya sudah kaku tidak bergetar, tergamam Dierall dibuatnya. Hatinya bagai tidak percaya dengan apa yang sedang dilihat dengan sepasang matanya ketika itu. Dia benar-benar yakin, dia tidak rabun mahupun buta! Memang gadis inilah yang dicarinya sejak sebulan yang lalu. 

Nia sendiri bagai tidak sedar dari alam khayalan yang diladeninya ketika menatap wajah itu sebentar tadi. Dia hanya tersedar apabila Dierall tiba-tiba memegang erat bahunya selepas beberapa minit berlalu. 

“Lepaskan saya.” Bentak Nia bersama jegilan mata. 

Dierall yang menyedari pandangan tajam Nia segera melonggarkan pegangan. “Maaf, saya...” 

Nia tidak berkata apa-apa, sebaliknya dia terus mencangkung dan memicit buku lalinya yang terasa perit sekali. Namun, sebelah hatinya cuba menahan getar yang berkalut. Sungguh, dia benar-benar gelisah ketika itu! Segala perbuatannya hanya dijadikan sebagai alasan bagi menutup perasaan resah yang melimpah. 

”Err, ni awak kan?” Soal Dierall dalam keadaan serba salah. Dia sama-sama mencangkung. 

“Siapa?” Nia cuba mengelak dengan mengalihkan pandangan. Fokusnya kini hanya pada buku lalinya yang masih terasa berdenyut-denyut. 

“Maaf, saya tak pernah tahu nama awak, tapi saya tahu yang ni awak kan?” Pertanyaan Dierall terdorong atas rasa optimis yang tidak pernah lupus. Kelopak matanya tidak terkebil ketika pandangannya merayap-rayap pada seraut wajah ayu yang mengusik tenang di kalbunya waktu itu. 

Nia terkesima. Tiba-tiba terjentik sesuatu di hatinya apabila mendengar ujaran Dierall. Sempat bibirnya menguntum senyum nipis di saat dia teringat kembali pada detik perkenalan mereka suatu ketika dulu. Seingat Nia, dia tidak pernah memperkenalkan dirinya kepada jejaka itu, jadi memang wajarlah sehingga ke hari ini Dierall tidak pernah tahu siapa dia. Sempat Nia tergelak dalam hati. 

“Betul kan?” Dierall mencelah di tengah-tengah lamunan Nia. Dia melihat ada senyuman terdandan di bibir gadis itu membuatkan rasa kurang yakin Dierall akhirnya terbang jauh. 

“Awak nak apa lagi? Nak sakitkan hati saya lagi? Nak permainkan saya lagi? Lakonan apa lagi lepas ni?” Bertubi-tubi persoalan itu termuntah dari mulut Nia. Dia sudah menuding jari ke muka Dierall yang terpinga-pinga. 

Dengan amarah yang tiba-tiba berbuku, Nia bingkas bagai ada sesuatu yang menerbangkan dirinya untuk berdiri semula. Kesakitan pada buku lalinya tadi beransur surut membuatkan Nia berjaya menyeimbangkan tubuhnya untuk berdiri tegak. Dierall ikut bangkit sambil matanya tidak berkalih dari wajah itu. 

“Awak fikir awak tu siapa? Sesuka hati aje nak marah-marahkan orang, lepas tu buat tuduhan yang bukan-bukan. Tak fikir ke hati dan perasaan orang?” Sambung Nia lagi, menyelar perbuatan Dierall yang lepas-lepas. 

Akhirnya, Nia dapat menzahirkan juga amarah yang terpendam selama ini. Dia sendiri tidak pernah menduga bahawa kata-kata seperti itu berani dimuntahkan dan berkemungkinan boleh menimbulkan amarah lelaki itu. Ah! Aku peduli apa! Bentak hatinya lagi, memprotes segala kemungkinan yang bakal terjadi. 

Dierall menjatuhkan pandangan, menyepi seketika. Dia sekadar mengetap bibir sambil jiwanya terus dipeluk rasa bersalah. Beg plastik di tangan terus digenggam seerat mungkin. Perlahan-lahan kekesalan menapak lalu menghuni hatinya. Nia juga tidak berkata apa-apa. Dalam keheningan suasana, hanya bunyi rintik hujan yang menerpa ke cuping telinga masing-masing. 

“Saya memang salah, saya minta maaf.” Cuma kata-kata itu yang mampu meniti di bibir Dierall setelah menyepi untuk beberapa ketika. Dia menanam harap agar kata ‘maaf’ yang terucap dari dalam hatinya yang paling luhur itu akan dapat membasuh luka di hati Nia. 

Sekali lagi terjentik sesuatu di hati Nia. ‘Salah lelaki ni tidaklah sebesar mana pun. Tapi, perlukah aku mempercayai setiap gerak gerinya lagi? Sudah puas dulu aku dipermainkan dek perlakuannya yang sukar diduga. Hanya lakonan semata-mata.’ Nia membuang keluhan lalu melarikan pandangan. 

“It's okay.” Nia sendiri tidak sedar bila masanya kata-kata itu terlepas dari mulutnya. ‘Ah, mulut ni pun! Tak menyempat betul aku nak kenakan dia, kau dah ucap ‘tak apa’!’ 

“Thanks!” 

Nia terpinga-pinga. Dilihatnya ada garis kegembiraan terlakar pada urat wajah lelaki itu. 

“By the way, nama awak apa?” Dierall tersipu-sipu mengajukan pertanyaan. 

“Saya...” Nia Arisya hampir menghabiskan bicara, namun kata-kata itu dimatikan separuh jalan. Perkara yang terlintas di fikirannya membuatkan Nia berfikir. 

“Err, awak cari sendiri, okay?” Seloroh Nia seraya tertawa kecil. Mungkin sudah sampai gilirannya untuk mempersendakan lelaki itu pula. 

“Tapi...” 

“Jangan lupa gantikan kalung bunga saya tadi.” Nia memintas bicara Dierall. Lelaki itu tersenyum lagi, tidak jadi meneruskan kata-kata. 

Gadis ini benar-benar sedang menguji dirinya. Keperibadian gadis itu mampu menarik tumpuan Dierall. Lirikan senyuman yang baru pertama kalinya menyentuh bibir gadis cantik itu meninggalkan kesan yang sangat mendalam pada jiwa, membuatkan hatinya terdetik untuk mengenali gadis itu. 

***

DIERALL QALFEE merebahkan diri di atas tilam empuk berjalur biru putih. Suasana bilik yang agak suram ketika itu dengan hanya bersuluhkan cahaya lampu meja serta lampu dinding membuatkan mindanya kembali menjengah ke ruang kenangan. Sudah menjadi rutin hariannya di kala sepi. 

“Nak saya hantarkan awak balik?” Setelah lama mendiamkan diri, Dierall kembali bersuara. Wajah gadis itu ditatapnya dengan penuh harapan agar perlawaan tulusnya diterima baik. 

“Saya drive sendirilah. Kereta saya ada kat parking sebelah sana.” Jelas Nia sambil mengangkat telunjuk. 

Dierall terdiam lagi. Ketika itu, Kuala Lumpur sudah kembali bernafas setelah hampir satu jam disirami hujan lebat. Tiada lagi kedengaran bunyi rintik hujan yang menusuk ke gegendang telinga, yang tinggal hanyalah gerimis. 

“Saya minta diri dulu ya?” Pinta Nia mempamitkan diri. 

“Awak boleh jalan ke? Nak saya temankan awak sampai ke tempat parking?” Dierall menyarankan. 

“Saya okay aje!” Nia mendandan senyuman sambil disaksikan oleh Dierall. Lelaki itu sudah tidak terkata apa-apa lagi selain menghantar tubuh Nia pergi dengan pandangan yang tidak kebah. 

“Jangan lupa janji awak nak gantikan kalung bunga tu.” Nia menjerit kecil sambil menghantar isyarat tangan bagi memperingatkan lelaki itu sekali lagi. Dia sudah menjarakkan diri dari Dierall yang tidak putus-putus memahat senyuman sehingga menampakkan sepasang lesung pipit miliknya. 

“Abang!” Sergah Diera yang tiba-tiba terpacul. Terkejut beruk Dierall dibuatnya apabila terdengar sergahan yang tiba-tiba membingitkan telinga. 

Adiknya itu sudah pun berdiri di tepi katil bersama sengihan. Dia tidak sedar bila pula pintu kamarnya dikuak. Bunyi tombol dipulas juga tidak kedengaran jelas. Betapa lamunan tadi mengaburkan semua dunia realitinya. Dierall bangun lalu menyandarkan tubuhnya pada kepala katil sambil mengerling Diera. 

Ketika itu gelak tawa sudah meniti di bibir Diera. Jelingan Dierall langsung tidak mendatangkan gentar di hatinya. 

“Novelnya?” Diera menyoal walau tawanya masih bersisa di hujung kata. Dierall meraup muka dengan kedua tapak tangan bagi meredakan perasaan kagetnya tadi. Keluhan dilepaskan perlahan sebelum meneruskan kata. 

“Ada kat atas meja tu. Ira ambil sendiri.” 

Diera masih setia memburai tawa tatkala melihat tingkah abangnya. ‘Entah apa yang dimenungkan Abang Rall tadi ya?’ Soalnya dalam hati seraya menggelengkan kepala. Setelah mencapai novel tersebut, Diera pantas mengangkat kaki, bersedia untuk keluar dari bilik itu. Rasa tidak sabar untuk memulakan pembacaannya sudah datang bertimba-timba. Novel Terus Cintai Aku karya Aleeya Aneesa itu telah sekian lama ditunggu-tunggu. Lebar senyuman di bibirnya pula hampir mencecah ke telinga. 

Belum sempat Diera memulas tombol pintu kamar, namanya dipanggil membuatkan pandangan Diera terpancing ke arah Dierall yang mencerlung. 

“Lain kali jangan sergah abang macam tu lagi.” Dierall memberi peringatan. Diera membalas kata-kata abangnya itu dengan anggukan seraya ketawa berdekah-dekah. 

“Tak baik perempuan ketawa macam tu.” Teguran Dierall beransur-ansur mematikan gelak tawa adiknya. Bibir Diera sudah memuncung bagi menyelar teguran Dierall. Dia sudah malas hendak bertekak lidah, melayan leteran Dierall yang hanya akan mencipta sakit di hatinya. Diera pantas berlalu dengan cemikan. 

Dierall menggelengkan kepala. Longlai. Badannya direbahkan semula ke katil. Dalam sekejap, bayangan gadis itu tiba-tiba menjelma masuk ke minda. Kini, hanya senyuman yang menemani di setiap inci bibirnya. 

“Kenapa dia yang aku fikirkan?” Dierall menyoal hati.