DERUAN ombak yang melanda pantai, memecah keheningan
senja. Hempasan ombak yang silih berganti mengimbau kembali kenangan lama.
Nostalgia silam itu acapkali memanggil ingatannya untuk kembali mengenang
peristiwa lampau. Malah seringkali juga dia berusaha sedaya upaya demi
menangkis ingatan itu dari terus menceroboh masuk ke segenap benak.
Namun
kali ini, biar sekerap mana pun dia cuba menepis, dia tetap kecundang dalam
pelukan memori yang kian gagah mencengkam kotak fikirannya. Dia tersungkur
dipukul dek memori yang perkasa lantas meroboh dinding keegoannya selama ini.
Semakin dipaksa dirinya melontar jauh kisah silam itu, semakin kerap ia
menghimpit jiwa bagai tidak ingin membiarkan ketenangan menyaluti hati sucinya.
Mindanya
mula karam dalam kerakusan nostalgia silam yang menerobos ke setiap inci nubari
dan akhirnya dia terpaksa akur dengan kehadiran ingatan itu.
“Perlukan
pertolongan?” Lelaki berkemeja putih itu menawarkan diri menghulurkan bantuan.
Nia
Arisya memandang tepat ke wajah polos itu. Anak matanya yang bundar berwarna
coklat hazel
tampak bersinar. Cantik.
Senyuman manis yang mekar melebar di bibir mungilnya pula mempamerkan
keikhlasan yang jelas terpancar pada setiap inci urat wajah. Ketenangan di
wajah lelaki itu menyenangkan Nia. Bagai ada angin kedamaian yang bertiup
lantas membelai lembut hatinya pada saat itu.
“Err…terima
kasih.” Sapu tangan yang dihulurkan oleh lelaki berlesung pipit itu dicapainya
perlahan-lahan lalu mengesat mukanya yang terkena tempias hujan yang turun
renyai ketika dia terjengah-jengah mencari perteduhan tadi. Dierall
Qalfee…begitulah nama yang diperkenalkan.
“Cantik
nama tu…”
Lelaki
itu lantas menghamburkan tawa sebaik sahaja Nia mengungkapkan pujian. Ketika
itu juga Nia menarik muka lalu tertunduk memandang lantai simen yang rata, bibirnya
diketap demi menutup kekalutan diri. Mukanya sudah merah padam menahan
perasaan. Gelojak perasaan malu dengan ungkapan spontannya tadi mula bergayutan
di dahan hati, segan apabila ditertawakan oleh lelaki bertubuh lampai itu.
Sejenak
kemudian, lelaki itu beransur-ansur meneduhkan tawanya yang memuncak sebelum
memalingkan pandangan ke arah Nia. “Terima kasih…” Ucapnya ringkas. Masih ada
sisa tawa yang kedengaran di hujung katanya lantas menghadirkan kerutan di dahi
Nia.
Suasana
menjadi hening. Tiada sepatah kata pun yang keluar dari mulut kedua-duanya,
seakan telah ketandusan bait kata untuk menyambung bicara. Nia tidak lagi
memalingkan wajahnya ke raut yang sudah menyepi itu. Kerutan di dahinya
dileraikan satu persatu, meneutralkan kembali kehairanan yang telah menapak
sebentar tadi. ‘Pelik betul mamat ni,’ getus Nia bersama cemikan.
Beberapa
minit kemudian, perlahan-lahan hujan renyai beransur reda. Namun mereka masih
berdiri kaku di situ, bersebelahan antara satu sama lain. Masing-masing tetap
setia mencanai kebisuan dan keadaan terus menyepi. Dengan segenap rasa yang
berbaur, Nia mengalihkan wajahnya perlahan-lahan ke raut Dierall. Lelaki itu
masih berpeluk tubuh bersama pandangan mata yang dilemparkan jauh ke hadapan.
Entah apalah yang dimenungkan. Nia berhenti dari perbuatannya lalu dibiarkan
saja lelaki itu bersama khayalannya. Kini anak mata Nia tertumpu pada debu-debu
jalan yang hinggap di seluar slack hitam yang dipakainya. Laju tangannya
memainkan peranan menepis debu-debu yang melekat.
Untuk
beberapa ketika, lelaki itu mula berbicara memecah keheningan suasana. “Err, saya
minta diri dulu.” Laju saja kata-kata itu terpacul. Tanpa berkira, lelaki itu
lantas melangkah pergi dengan senyuman bersisa di bibir mungilnya yang merah
cair. Nia pula sekadar menjadi pemerhati bagi setiap langkah Dierall yang kian
menjauh dari pandangan mata.
“Kenapa
dengan aku ni?” Bisik Nia.
Matanya
terkebil-kebil memikirkan sesuatu. Namun tidak semena-mena bibirnya mendandan
senyum sebaik sahaja ingatannya mengenang peristiwa yang baru berlaku. Buat
pertama kalinya dia dijamah kekalutan sedemikian. Nia mengeluh panjang seraya
menggeleng-gelengkan kepala. Dalam senyum yang kian melebar, tiba-tiba ingatannya
terarah kepada sesuatu.
“Sapu
tangan ni?”
Sepantas
kilat Nia berpaling ke arah tadi lalu memanjangkan leher demi menjenguk di
kejauhan, terjengah-jengah mencari bayangan lelaki itu jika masih kelihatan.
Namun hampa, bayangan itu telah tiada, hilang dari pandangan mata.
“ENCIK, novel Damya Hanna ada lagi tak?” Soalnya seraya
jemarinya membelek-belek buku di atas rak. Sedari tadi anak matanya meneliti
setiap tajuk novel diikuti dengan nama penulisnya di rak yang tersedia. Lugu
mencari, dia lantas mengaju pertanyaan kepada pekerja yang sibuk memerhati gelagatnya
ketika itu.
“Cik
nak novel yang mana?” Pekerja lelaki itu menyoal kembali.
“Novel
Bicara Hati.” Jawabnya ringkas.
Anak
matanya masih ligat meneliti setiap novel yang tersusun rapi di hadapan mata. Hasratnya
mencari novel Damya Hanna yang menjadi kegemarannya sejak azali belum luntur
lagi. Malah hampir separuh dari koleksi novelnya merupakan karya Damya Hanna,
penulis yang tidak asing lagi dalam dunia penulisan Alaf 21.
“Biar
saya cari dulu ya?” Lembut saja pertuturan lelaki itu sebelum dia berlalu
bersama langkah yang pantas.
Nia
Arisya yang melihat tindakan pekerja itu turut mengekorinya dari belakang lalu
memakirkan kaki di kaunter pembayaran. Ketika itu kelihatan seorang lelaki muda
sedang berdiri di belakang kaunter sambil menguntumkan senyuman kepadanya. Nia
membalas senyuman itu lalu berpeluk tubuh dengan hasrat menunggu kehadiran
pekerja tadi. Sempat pandangannya dihumbankan jauh ke luar dinding kaca Kedai
Buku Bestari yang baru pertama kali dikunjunginya itu. Sebelum ini, pernah dia
terfikir untuk singgah ke Bestari namun kerana kesibukkan memanjang dia sering
melupakan keinginan itu.
“Maaf
cik, novel tu dah tak ada stok.”
Segera
Nia berpaling sebaik sahaja teguran itu hinggap di cuping telinga. Dia tergamam
seketika. Bibirnya terkunci rapat, tidak terkata apa-apa. Lelaki di hadapan
mata menguntum senyum sebelum menampakkan wajah bersahaja.
“Cik
yang saya jumpa tempoh hari tu kan?” Lelaki itu memulakan pertanyaan.
“Awak
Dierall Qalfee?” Lama berdiam, akhirnya satu persatu patah kata itu meniti di
bibir Nia yang terketar-ketar. Jiwanya diserbu perasaan yang berbaur. Entah
mengapa sewaktu matanya dapat menangkap urat-urat wajah yang menyenangkan itu,
dadanya berdebar-debar.
Nama
itu juga tidak pernah luput dari ingatan semenjak pertemuan mereka beberapa
hari lalu. Dia semakin keliru dengan perasaan yang sedang membelenggu hatinya pada
saat lelaki itu berdiri tegak di hadapannya bersama senyuman. Hanya debaran di
dada yang kian memuncak.
Dierall
mengangguk perlahan sementara Nia pula cuba menyusun kata untuk percakapan
selanjutnya. Kelopak matanya tidak terkebil sedikitpun ketika menatap wajah
tampan itu. Sesekali dia menelan liur demi membasahkan tekak yang terasa
kering.
“Kenapa
nak cari novel tu? Novel lain kan banyak. Saya boleh syorkan satu novel terbaik
keluaran bulan ni pada awak, itupun kalau awak nak.” Ujar Dierall bersahaja.
Setiap
bait kata yang beralun dari mulut lelaki itu membangunkan Nia dari lamunan.
Namun dia seakan masih tidak dapat menangkap apa yang cuba disampaikan. Kelopak
matanya tetap tidak berkelip seolah-olah detik itu dia tidak lagi berpijak di
bumi nyata.
“Awak
tak nak novel lain ke?” Dierall menyoal lagi.
Kali
ini dia membuka langkah menuju ke rak buku berdekatan. Jemarinya kini
menggenggam sebuah buku ilmiah yang dicapai dari rak tersebut lalu
dibelek-belek. Sesekali dia berpaling menghadap Nia yang masih terpaku di depan
kaunter sebelum anak matanya beralih ke arah rakannya yang sedang sibuk membuat
kira-kira. Sesaat dua, Dierall kembali membuang pandang ke laman muka Nia.
Gadis itu masih berdiam diri. Persoalan yang diaju Dierall sedari tadi
dibiarkan tidak berjawab.
“Ada
apa-apa lagi yang boleh saya tolong?” Dia kembali menyoal seraya merapati gadis
itu. Perlahan-lahan nafas dihela keluar dari rongga hidungnya bagi melepaskan
keluhan.
Nia
Arisya sekali lagi tersentak dengan kehadiran pemuda itu. Kali ini, mereka
bertembung mata. Hampir luruh jantungnya melihat tindakan Dierall yang
merenungnya tanpa kata. Degupan yang dirasa semakin kencang menggoncang dada
yang sedia kalut.
“Err...tak!
Terima kasih.” Nia melarikan pandangan, meleraikan panahan mata yang terasa
menyesakkan dada. Dia buru-buru membuka langkah menuju ke muka pintu, tidak
ingin menapak terlalu lama dalam situasi yang meresahkan itu.
Sebaik
sahaja gadis itu berlalu pergi, Dierall terus menghamburkan seluruh tawa yang
ditahan-tahan sebentar tadi sambil disaksikan oleh Adi yang terpinga-pinga.
Geli hatinya tidak terbendung lagi apabila melihat riak gementar gadis itu.
“Dierall…Dierall…”
Bisiknya sendiri sambil menggeleng-gelengkan kepala. Dia menghabiskan sisa tawa
yang berbaki, masih melayang-layang air muka gadis itu dalam ingatannya. Entah
mengapa dia senang melihat gadis itu gusar dengan setiap tingkahnya.
NIA ARISYA melangkah perlahan di celah-celah keramaian orang
yang lalu-lalang. Sesak. Seperti sesaknya kotak fikirannya ketika itu. Pelbagai
persoalan menerjah benaknya yang tidak henti-henti mengenang peristiwa yang
baru berlaku. Perasaan bodoh apa yang sedang membelenggunya kini?
“Kenapa
dengan aku ni?” Bicaranya separuh berbisik dengan nada yang membentak.
‘Lelaki
tu bukan siapa-siapa pun bagi aku, dia hanya bayangan bodoh yang hadir untuk
seketika cuma!’ Nia menyumpah-nyumpah di dalam hati. Sarat perasaan yang
berbuku itu tidak tertanggung lagi. Tiba-tiba, tanpa diduga sesuatu berlaku
dalam sekelip mata.
“Aduh!”
Nia mengerang. Segera tangannya memegang bahu yang terasa sedikit pijar.
Matanya mencerlung memandang tubuh tinggi lampai di hadapan mata.
“Maaf.”
Ucap lelaki itu tenang.
Nia
mencongak merenung wajah lelaki yang tampil bersahaja itu. Mukanya sudah kelat.
Tidak pasal-pasal tubuhnya tertolak ke belakang akibat rempuhan yang tidak
semena-mena datang dari lelaki yang tidak dikenali.
“Buta
ke?” Soalnya bergaul amarah. Sudahlah hatinya sedang panas ketika itu, ditambah
lagi dengan masalah yang mengundang tanpa mahunya.
“Kan
aku dah minta maaf. Aku tahulah salah aku!” Lelaki itu tiba-tiba membentak.
Riak kurang senang dengan percakapan Nia jelas terpancar pada urat-urat
wajahnya. Kali ini lelaki itu pula menghumban pandangan tajam ke dalam anak
mata Nia.
“Huh!”
Dengus Nia, namun dia tidak berani berlawan kata. Kerongkongnya juga terasa
perit untuk menelan liur. Sudah beraneka sangkaan memenuhi ruang legar fikirannya
pada saat lelaki itu menjegilkan mata.
Tanpa
banyak berfikir, Nia terus angkat kaki meninggalkan lelaki itu dalam keadaan
tergesa-gesa, takut kiranya lelaki itu bertindak lebih keras dari apa yang
sedang berlegar di benaknya. Beberapa langkah menapak, Nia menoleh kembali.
Ternyata lelaki itu masih membuang renungan ke arahnya. Dengan pantas Nia
menghayun langkah, menjarakkan diri sejauh mungkin. Semakin lama, perasaan
gusarnya kian lenyap bersama bunyi derapan kasut tumit tinggi yang melekat di
kakinya.
“ADA apa-apa yang boleh saya bantu, cik?” Senyuman
diberikan sebaik sahaja melihat salah seorang pekerja Kedai Buku Bestari
menyapanya di muka pintu.
Sedari
tadi dia hanya memaku langkah di situ sambil matanya melilau ke segenap ruang.
Lagaknya seperti orang kehilangan sesuatu, terjengah-jengah di muka pintu.
Gadis yang menegurnya tadi masih setia menonton setiap perbuatannya lalu
membawa pandangan Nia ke wajah manis itu.
“Mana
pekerja lelaki tu?” Spontan Nia mengajukan pertanyaan.
“Pekerja
yang mana cik?” Giliran gadis itu pula bertanya. Dia sudah menghampar
kehairanan pada lapis-lapis kerutan di wajahnya.
“Pekerja
lelaki yang namanya Dierall?”
“Oh,
Abang Dierall rupanya! Dia bukan pekerja sini cik...” Gadis itu sempat tertawa
kecil sebelum menyambung kembali butir bicaranya, “Abang Dierall tu tuan punya
kedai ni.”
“Kenapa
ni Ayu?” Sesusuk tubuh tinggi lampai muncul tiba-tiba lalu memintas percakapan
keduanya. Pandangan mata Dierall direbahkan tepat ke wajah Ayu sebelum perlahan
menoleh ke arah Nia Arisya yang sudah menampakkan kebingungan.
“Cik
ni cari abang.” Ayu menuding telunjuk ke tubuh Nia.
“Oh,
okay! Awak pergi sambung kerja.” Arah Dierall sambil
bercekak pinggang. Gadis yang dipanggil dengan nama Ayu itu tersipu-sipu
sebelum mengangguk perlahan.
Setelah
gadis itu berlalu, tinggal Nia dan Dierall yang masih tenggelam dalam kesepian
masing-masing. Pandangan Dierall tetap tidak berkalih, terus menghadiahkan
renungan. Nia pula hanya menekur menahan malu akibat panahan mata yang
meresahkan.
Kegelisahan
Nia semakin mengocak jiwa pada saat lelaki itu membawa haluan menghampirinya
perlahan-lahan. Tiada lirikan senyuman yang terbit di bibir mungil itu, hanya
suram yang mengisi urat-urat muka.
“Awak
cari saya kenapa?” Soal Dierall sambil menjongketkan kening. Wajahnya menghamparkan
urat-urat tegang, namun jauh di sudut hati dia sedaya upaya menahan ketawa.
Mujur masih dapat dibendungnya perasaan geli hati itu. Jika tidak, pasti sudah
meletus tawanya di hujung pertanyaan tadi.
“Sa...sa...saya...”
Terketar-ketar Nia menyusun bicara. Antara mahu atau tidak, dia berkira-kira
untuk menatap wajah tegang Dierall. Dia sudah diulit gerun berbaur benci.
‘Kenapa
ni? Kenapa lidah aku kelu?’ Nia tertanya-tanya sendiri. Dia cuba mencari semula
kekuatan yang mungkin telah lari bersama susunan katanya tadi.
“Saya
apa?” Lantang suara Dierall mencelah di antara getar suara Nia yang beralun.
“Saya
nak pulangkan sapu tangan ni.” Dengan sekali nafas, kata-kata itu terus
meluncur keluar dari mulut Nia. Di tangannya sudah tersadai sehelai sapu tangan
berwarna biru cair. Dierall mengerling sapu tangan itu.
“Ni
sapu tangan awak!” Nia bertempik kecil seraya mengunjukkan sapu tangan itu ke
muka Dierall. Matanya yang terpejam sudah tertoleh ke sudut lain.
“Mana
awak dapat? Curi ya?” Dierall mencipta andaian. Hampir pecah perutnya menahan
tawa. Mujurlah suasana tegang ketika itu menghalang gelak tawanya terburai dari
perut yang menunggu waktu untuk meletup. Dia cuba menduga sejauh mana tindakan
gadis pemalu itu terhadap andaiannya sebentar tadi. Bukan disebabkan dia lupa
akan peristiwa pertemuan mereka beberapa hari lepas, tetapi entah kenapa sejak
bertemu gadis itu, dia acapkali mempermainkannya.
“Mulut
tu jaga sikit! Awak sendiri yang bagi pinjam sapu tangan ni kat saya tempoh
hari. Awak ni betul-betul tak ingat ke atau memang sengaja buat-buat tak
ingat?” Tujahan omelan dari gadis yang dilabel pemalu itu sedikit menyentak
sanubari Dierall. ‘Garang juga dia ni!’ Desis hati kecilnya.
Tanpa
diduga, Dierall menekan perut meletuskan segala tawa. Beberapa pasang mata
memerhati gelagatnya yang mengejutkan hampir seluruh isi kedai. Nia
terpinga-pinga. Ketika itu, pelbagai persoalan menyerbu masuk ke ruang
mindanya.
“Kenapa
dengan awak ni?” Nia mengerutkan dahi sambil mencongak memandang wajah yang
tidak kebas mengeluarkan gelak tawa. Sudah dimarah-marah sedemikian rupa,
lelaki itu masih mampu mencanai rasa senang pada riak mukanya. Nia mendengus
tidak puas hati.
Sejenak
kemudian, Dierall menekup mulut bagi mengawal perlakuannya. Ketawa tadi
dileraikan beransur-ansur memandangkan Nia juga sedang berpeluk tubuh sambil
menghumban pandang ke arahnya dengan air muka yang kelat. Namun, tidak sedikitpun
Dierall gentar menerima renungan itu.
“Bagi
sini sapu tangan saya.” Dierall tersenyum sambil menghulurkan tangan meminta
sapu tangan itu diberikan kepadanya. Nia mendengus lagi seraya menurut kemahuan
lelaki itu. Bibirnya diketap utuh bagi menahan amarah yang tercipta. Di dalam
hati, Nia tidak henti-henti mengherdik menyelar perbuatan menjengkelkan itu.
“By the way, thanks!” Ucap Dierall bersahaja seraya memasukkan sapu
tangan itu ke dalam kocek belakang seluar slack miliknya. Nia hanya
membisu dengan garis wajah yang masih mencuka.
“Ada
apa-apa lagi?” Dierall menyoal kembali.
“Tak.”
Jawab Nia ringkas.
Beberapa
pasang mata yang kekal setia menonton adegan antara mereka membuatkan hati
wanita Nia diselubungi perasaan malu yang kian menebal. Tindakan yang tidak
semena-mena itu membuatkan Nia dilumuri kekesalan. ‘Dia ingat dia tu siapa?
Tuduh-tuduh aku, permainkan aku ikut suka dia. Menyampah!’ Herdiknya dalam
hati.
Nia
Arisya membuang pandang ke sekeliling. Perasaan segan di dasar hati semakin
naik sampai ke kemuncak. ‘Menyesal aku!’ Bentaknya lagi. Nia berkalih pandang
ke arah Dierall, lelaki itu semakin mewah menguntum senyuman seolah tiada apa yang
menggusarkannya.
‘Kau
ingat kau handsome sangat ke senyum macam tu? Huh, memang kau handsome
pun! Err, cuma sayang perangai kau teruk!’ Nia menarik muka sebelum menekur
sesaat dua.
Tanpa
banyak bicara lagi, Nia Arisya bersedia untuk angkat kaki. Jika dia terus
berlama di situ, mungkin hanya akan menambah luka di hati sakit di mata. Dia
mula menyusun langkah, berpaling dari melihat wajah tampan yang menyebalkan
itu. Dalam diam Nia menanam tekad untuk melupakan bayangan lelaki itu setelah
dia melangkah keluar dari Bestari.
NIA ARISYA tersedar dari imbauan kisah lamanya. Dia kembali ke
alam nyata dan kali ini anak matanya mula memberi tumpuan ke arah ombak laut
yang beransur tenang dari menghempas sang pantai. Dia melepaskan segugus nafas
ringan bersama lirih suara keluhan dari dadanya.
‘Kenapa
kenangan itu masih hidup dalam kamus hidupku? Sedangkan telah lama waktu itu
berputar meninggalkan segalanya di belakang. Atau mungkinkah kerana hati ini
yang terlalu degil?’ Detak hatinya merintih.
Keegoan
itu juga yang memakan dirinya sendiri. Ketenangan yang dicari menghilang entah
ke mana. Hanya memori nakal yang berlegar-legar di ruang minda walaupun sarat
dengan beban lain yang tidak terpikul oleh insan lemah sepertinya. Segala yang
dirasakan indah turut berlalu pergi meninggalkannya terkapai-kapai.
Hampir
sebulan lamanya bayangan lelaki itu tidak muncul lagi di hadapan mata. Memang
itu yang menjadi harapan Nia pada kali terakhir dia melihat wajah sebal itu
suatu ketika dulu. Biarpun kini lelaki itu tidak muncul di dunia nyata namun di
ruangan mimpi dan igauannya, wajah itu tetap bermaharajalela. Malah nama itu
masih subur dalam ingatannya sehingga ke detik ini. Dierall Qalfee! Dia meraung
dalam hati melepaskan geram yang bersemadi.
Kicauan
camar yang bergegas pulang ke sarang menandakan senja mula berlabuh dan
bertautnya malam. Cahaya kemerahan di langit senja mula pudar dilitupi awan
malam yang kelam. Nia mengerling muka jam Rollex yang
tersidai di pergelangan tangan, jarumnya hampir menunjukkan ke angka tujuh.
Dia
mula meninggalkan keindahan ciptaan Tuhan itu dengan langkah longlai menuju ke
kawasan parkir kereta yang tidak jauh dari tempatnya berdiri. Tiupan bayu
pantai masih terasa memukul-mukul tubuh rampingnya. Kedinginan yang terasa
menggigit kulit mulusnya membuatkan Nia bergegas masuk ke perut kereta.
Sejenak
kemudian, enjin kereta dihidupkan. Perlahan-lahan stereng kereta itu diputarkan
sambil tapak kakinya menekan pedal minyak. Lampu kereta yang menyuluh jalan
memudahkan lagi perjalanan. Kereta Honda Civic berwarna biru metallic itu dipandu cermat keluar dari kawasan pantai dan
menuju ke jalan besar.
Kawasan
Pantai Cherating yang menjadi destinasi percutiannya selama seminggu itu kini
ditinggal sepi. Di dalam hati Nia berharap, agar ketenangan yang dicari itu
akan bertandang juga mengetuk pintu sukmanya lalu membunuh segala keresahan
yang sedang menari-nari di pentas hatinya saat ini. ‘Pergilah wahai resahku...’
HEMBUSAN angin malam yang mengamuk sepoi-sepoi bahasa
menampar lemah tubuhnya yang hanya mengenakan t-shirt
Adidas putih dan seluar panjang berwarna hitam. Seluruh pandangannya
dilemparkan ke awan mega di langit malam yang kian memekat warna
kegelapannya.
Jutaan
kejora yang tidak terhitung bilangannya tetap setia memberi sinar menghiasi
mega malam. Hanya purnama yang tidak kelihatan bersama cahayanya yang megah.
Malam itu tidak seperti malam-malam yang lainnya. Sepi. Seolah-olah purnama
ingin mengasingkan diri dari seluruh cakerawala. Masing-masing membawa haluan
sendiri.
Begitulah
percaturan hidup, gambaran yang cukup menzahirkan betapa agungnya kuasa Tuhan
yang memerintah sekalian alam. Bukan hanya kejora dan purnama memiliki takdir
tersendiri malah setiap insan juga tidak terlepas dari suratan takdir itu.
Apatah lagi insan kerdil sepertinya yang seringkali teruji dengan pelbagai
pancaroba kehidupan yang tidak akan pernah surut mengiringi sepanjang
perjalanan.
Sekali
dia tersilap memilih jalan, sukar untuk dia berpatah semula. Jikapun dia mampu
untuk berpatah, bekasnya tetap ada dan akan meninggalkan parut yang mendalam
buat dirinya. Mungkin juga akan berdarah kembali andai hati degil untuk
melepaskannya.
Dia
melabuhkan punggung di kerusi ukiran kayu yang baru saja dibeli oleh uminya
beberapa hari lepas di Klang Valley, sebuah kedai perabot terkemuka di Kuala
Lumpur. Uminya, Datin Zahirah sememangnya suka mengumpul aneka koleksi perabot
sebagai perhiasan rumah termasuklah perabot-perabot yang ada di kedai bukunya.
Suasana
malam yang hening ketika itu memberikan sedikit ketenangan untuk meredakan kepenatan
yang menusuk-nusuk tulang empat keratnya. Sesaat dua, anak matanya terpaku pada
secawan Milo panas yang tinggal separuh di atas meja. Berhati-hati jemarinya
mencapai cawan putih itu lalu menghirupnya perlahan-lahan masuk ke rongga mulut.
Dia
kembali menyandar tubuh pada kerusi, meleraikan segala keletihan yang berbekas.
Di kala itu, benaknya mula dilumuri perasaan hambar bersama sejumlah kenangan
yang memintas. Seketika dia tersenyum mengenang peristiwa itu, namun ada
ketikanya juga dia digomoli perasaan hampa. Rasa bersalah terus menghimpit jiwa
tatkala gadis itu tidak pernah lagi menampakkan diri semenjak peristiwa sebulan
yang lalu. Mungkin ada silapnya pada tindakan aku masa tu, detak hatinya.
Semenjak
bayangan gadis itu menghilang, fikirannya asyik mengenang dan meladeni
peristiwa-peristiwa yang terjadi. Dia sendiri tidak pernah mengerti hati dan
pemikirannya. Ada apa pada gadis itu? Sehingga benaknya tidak lekang dari
mempersoalkan tentang kehadiran gadis tersebut.
“Abang
kat sini rupanya...” Sapaan itu menerbangkan jauh lamunan Dierall.
“Kenapa
Ira?” Spontan Dierall menyoal seraya menyapu muka dengan tapak tangan, membuang
khayal yang masih melekat di benaknya.
Diera
Ayuni hanya memaniskan muka tatkala Dierall mengajukan persoalan. Gigi putihnya
sudah ditayang-tayang di depan Dierall dengan harapan abangnya itu akan dapat
menangkap maksud perbuatannya, namun Dierall sekadar mengukir lekuk-lekuk
garisan di dahi.
Lama
menunggu tindak balas Dierall, gadis kecil molek itu mula muak. “Abang, macam
biasalah.” Rengek Diera bagai meminta sesuatu. Dierall pula semakin galak
mengerutkan dahi lalu menggaru-garu kepala yang tidak gatal, masih tidak dapat
menangkap maksud yang cuba disampaikan oleh Diera. Terlalu banyak perkara yang
terlintas di mindanya sehingga tidak dapat menampung ingatan-ingatan lain yang
ingin menerjah masuk.
“Takkan
tak ingat janji sendiri?” Diera merungut lalu membawa muka berpaling menghadap
sudut bertentangan. Dia sudah menarik kaki ke kerusi lalu memeluk lutut bersama
muka yang kelat. Bibirnya dijebehkan ketika Dierall menghadapnya. Kali ini, dia
ingin melancarkan mogok besar-besaran ke atas tauke besar Kedai Buku Bestari
itu.
Secangkir
Milo yang ada di tangan Dierall diletakkan perlahan-lahan ke atas meja.
Tangannya terdorong untuk menggaru kepala sekali lagi. Dia sudah mati akal
ketika Diera menarik muka melancarkan rajuk terhadapnya. Janji apa ya? Jari
telunjuknya menekan-nekan bibir bawah sambil otaknya ligat memerah jawapan
pasti. Untuk beberapa ketika, dia menyepi. Setelah tidak berupaya untuk
berfikir lagi, Dierall akur lalu merelakan diri memujuk rajuk Diera.
“Abang
minta maaf ya? Abang betul-betul tak ingat. Ira tinggal cakap je, abang
tunaikan janji tu.” Lirih suaranya mengujarkan kata. Sikap dingin adiknya itu tidak
dapat dilawan dengan kekerasan. Jika dimarah-marah, rajuk Diera semakin
menjadi-jadi. Hanya dengan kelembutan saja hati Diera mudah dilentur andai kena
pada gayanya.
“Abang
kan dah janji, nak bagi novel pada Ira. Jadi, novel tu mana?” Sahut Diera,
mengungkit janji yang pernah dilafazkan Dierall kepadanya. Walaupun tidak ada
surat bertulis hitam putih yang boleh
membuktikan kata-kata Dierall, tetapi Diera tetap menyimpan janji itu di dalam benak.
“Oh,
novel tu!” Dierall tertawa kecil, mula mengerti kemahuan Diera.
“Abang
terlupa nak bawa balik, tertinggal kat kedai. Besok-besok aje ya?” Sambung
Dierall lagi. Pandangannya terus direbahkan ke muka Diera yang sudah memuncungkan
bibir.
“Abang
janji kali ni tau?” Soal Diera mahukan kepastian. Dierall hanya menganggukkan
kepala sebelum menghantar tubuh Diera menghilang di balik pintu rumah dengan
pandangan mata bersama senyuman. Setelah itu, dia hanya menggelengkan kepala
tatkala mengenang telatah adik bongsunya itu yang ada waktunya sangat mencuit
hati.
0 Curahan Hati:
Catat Ulasan